Iftar Jamie: Puasa Sunat Amalan Rasulullah S.A.W


Surau Kolej Kedua, UPM - Pada 3 Oktober 2013, telah berlangsungnya satu majlis Iftar Jamaie iaitu majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM dengan kerjasama Kolej Kedua.

Saudara Ahmad Naqiuddin, Timbalan Presiden PEMBINA UPM, telah menyampaikan tazkirah ringkas semasa majlis iftar pada kali ini, yang lebih berbentuk kepada peringatan buat diri sendiri serta semua hadirin yang hadir. Beliau mengatakan bahawa semua manusia di dunia ini menginginkan sesuatu yang baik dan bercita-cita untuk menjadi seorang yang lebih baik. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa untuk menjadi seorang yang baik, terdapat pelbagai halangan. Antaranya adalah, dibelenggu atau ditarik dengan unsur-unsur yang tidak baik terutamanya kawasan sekeliling kita semua.

Terdapat beberapa nasihat atau panduan daripada saudara saudara Ahmad Naqiuddin untuk menjadi seorang yang baik dalam semua aspek iaitu kita hendaklah cuba merapatkan diri dengan bergaul bersama orang baik-baik dan beriman supaya dapat menasihati kita dan memperingati serta membimbing kearah yang lebih baik. Saudara Ahmad Naqiuddin juga menegaskan supaya untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik, kita hendaklah menjaga hati kerana penjagaan hati amat penting. Rasulullah S.A.W juga bersabda:

“Ketahuilah, sungguh pada tubuh itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh tubuhnya, ketahuilah bahwa ia adalah hati”.
(Riwayat Bukhari & Muslim, dari Nu'man bin Basyir). 

Berdasarkan hadis ini jelaslah bahawa kita harus bersungguh-sunguh dalam menjaga hati.

Pesanan yang terakhir daripada saudara Ahmad Naqiuddin adalah dengan menyeru kepada semua hadirin yang hadir supaya menjaga hubungan kita dengan Allah S.W.T kerana tujuan kita semua diciptakan ini adalah untuk beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T yang Maha Pencipta.

Matlamat utama majlis ini diadakan adalah untuk menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi kembali mengamalkan amalan sunnah Rasulullah S.A.W iaitu berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Seperti yang diperkatakan oleh Saidatina Aisyah, 
"Rasulullah S.A.W mengambil berat tentang puasa hari Isnin dan Khamis" 
(Hadith Riwayat At - Tirmizi).

Majlis iftar pada kali ini di mulakan dengan para hadirin berbuka ringkas dahulu dan kemudiannya solat Maghrib secara berjemaah. Selepas solat Maghrib, para jemaah semua dijemput makan secara beramai-ramai. Selesai sesi tazkirah, para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah.  Majlis yang dihadiri dalam kalangan muslimin dan muslimat dari pelbagai kolej ini berakhir pada pukul 9.00 malam. 

0 komen:

Catat Ulasan