Mari Kenali UPM - Panduan Ringkas untuk Bakal Junior UPM

Musim pelajar baharu masuk universiti kian tiba. Pasti ramai yang bertanya dan mencari maklumat universiti yang bakal mereka masuk.

Di sini kami, ahli-ahli PEMBINA UPM ingin berkongsi sedikit tip dan panduan berguna buat junior UPM semua.



Masjid

Di UPM terdapat dua masjid utama yang menjadi tumpuan iaitu Masjid Universiti Putra Malaysia dan Masjid Jamek Serdang. Masjid UPM dikendalikan oleh Pusat Islam UPM.

Di setiap kolej kediaman ada surau mereka sendiri yang diuruskan oleh penghuni (pelajar) kolej masing-masing.

Kolej kediaman

Seperti yang anda tahu, di UPM terdapat 17 kolej. Kolej-kolej ini boleh dikategorikan sebagai kolej tradisional dan kolej serumpun. Perbezaannya adalah dari segi sistem pengurusan kolej iaitu kolej tradisional diuruskan oleh UPM sepenuhnya manakala kolej serumpun separa-swasta.

Kolej tradisional diwakili oleh kolej KMR, K2, KC, K5, K6, KTDI, KOSASS, KTP, KPZ, K10/11, K13, dan K17.

Kolej serumpun pula diwakili oleh K14, K15, dan K16. Kolej 12 telah dinaiktaraf menjadi kolej antarabangsa. Ia dihuni oleh pelajar antarabangsa sahaja.

K10 dan K11 adalah khusus untuk pelajar dari Fakulti Kejuteraan.

K17 khusus untuk pelajar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Verterinar.

Foodcourt

Di UPM tiada kedai makan. Hanya ada foodcourt atau kafe. Terdapat 2 foodcourt utama menjadi tumpuan para pelajar iaitu Foodcourt Serumpun dan Putra Foodcourt. Bezanya hanya lokasi sahaja. Foodcourt Serumpun terletak di Kolej Serumpun, manakala Putra Foodcourt berhadapan dengan Kolej Tun Perak.

Foodcourt Serumpun menjadi tumpuan bagi penghuni kolej serumpun iaitu kolej 14, 15, 16 dan KMR.
Putra Foodcourt pula menjadi tumpuan bagi penghuni kolej tradisional seperti Kolej Tun Perak, Kolej Pendeta Zaba, Kolej Kedua, KOSASS, dan Kolej Kelima.

Jika rajin, boleh pergi juga ke kafe MTDC berdekatan dengan Kolej Serumpun. Dibuka hanya waktu pejabat.

Kedai

Di Kolej Serumpun, terdapat satu kedai runcit yang menjual barang keperluan. Di kolej-kolej tradisional, terdapat kiosk siswa yang dikendalikan oleh para pelajar kolej sendiri. Barangan yang dijual juga mewakili barangan runcit harian pelajar selalu guna.

“Jika ingin fotostat atau print, kedai di deretan kedai SS adalah tempatnya.” Luqman Abd Hamid berkongsi cerita. “Tempat tersebut digelar SS kecil, kedai SS, atau old flat. Mudah sahaja untuk ke sana. SS berada bersebelahan fakulti Alam Sekitar. Turun di stesen bas di hadapan fakulti Alam Sekitar, dan berjalan kaki ke SS.”

“Lagipun, pilihan kedai di SS lebih banyak berbanding kedai yang ada di dalam UPM," tambah Luqman lagi.

Kemudahan Bank dan Pos

Terdapat beberapa mesin ATM di Foodcourt Serumpun seperti Bank CIMB dan Maybank.

Bank yang ada di UPM hanyalah bank CIMB dan BSN. Bank CIMB terletak bersebarang dengan Dewan Besar UPM.

Pejabat Pos dan Bank BSN terletak di tapak lama Kolej Mohamad Rashid (KMR). Pelajar boleh berjalan kaki dari bank CIMB UPM ke pejabat pos dengan melalui jejantas.

Sistem pembelajaran

Setiap subjek di UPM dikira dengan jam kredit. Kebanyakan jurusan mengambil jumlah jam kredit di antara 12 hingga 18 jam kredit. Penyesuaian jadual waktu terbahagi kepada dua iaitu jadual waktu fakulti dan jadual waktu universiti.

Jadual waktu universiti bergantung kepada subjek-subjek yang ditawarkan oleh universiti dan wajib bagi semua pelajar UPM ambil. Contohnya seperti subjek Kenegaraan, Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS), Hubungan Etnik, dan Pertanian Dan Manusia. Masa selalunya fleksibel.

Manakala jadual waktu fakulti, bergantung kepada penawaran oleh fakulti masing-masing.

Pendaftaran perlu dibuat sendiri oleh pelajar secara online.

"Kemudahan Internet di UPM iaitu Uspot berada di tempat tumpuan utama pelajar. Di kolej kediaman, foodcourt dan fakulti. Mudah untuk akses Internet dan mudah nak daftar subjek," pesan Syafiah Mohammad.

Pengurusan waktu sebagai pelajar UPM

Menurut Syafiq Syahmi Sazali, pelajar jurusan Kejuteraan Aeroangkasa tahun ke-4, apa yang penting adalah tumpuan semasa di dalam kelas. “Di universiti tidak sama seperti di matrikulasi ataupun asasi. Semuanya sendiri. Jadi tumpuan dalam kelas adalah peringkat utama untuk memahami apa yang kita pelajari,” kata Syafiq yang mendapat keputusan PNGK yang cemerlang di semester keenamnnya.

Sistem Pengangkutan

Pengangkutan utama di UPM adalah bas. Pelajar junior tahun pertama tidak dibenarkan membawa kenderaan. Ini menjadikan bas sebagai pengangkutan utama.

"Saya suka menaiki bas. Sambil menunggu dan duduk di dalam bas, saya boleh membaca buku. Tidak kiralah buku ilmiah ataupun santai," kata Norhazimah Zainal Abidin.

Namun begitu, tidak menjadi halangan untuk pelajar menunggang basikal ke kelas. Menurut Ahmad Naqiudin, dia lebih suka ke kelas dengan berbasikal kerana kolejnya iaitu kolej ke-6 dekat dengan fakultinya.

Bagi kolej yang dekat dengan fakulti seperti Kolej Keenam, Kolej Canselor dan KOSASS, pelajar mereka berpeluang berjalan kaki ke kolej, jika rajin.

Pelajar hanya dibenarkan membawa motorsikal apabila berada di tahun kedua dan ke atas. Manakala kereta dengan syarat pelajar tersebut adalah ahli Majlis Tertinggi Mahasiswa, Majlis Perwakilan Pelajar atau pelajar tahun akhir.

Sistem Merit

Bagi kolej tradisional, pelajar yang aktif dengan aktiviti di kolej dan universiti akan mendapat merit. Merit ini akan dikumpulkan di dalam buku merit yang diberi di awal semester satu dan akan dinilai di akhir semester kedua. Pelajar yang cukup, akan dapat terus tinggal di kolej pada semester seterusnya. Manakala yang tidak cukup, mempunyai dua pilihan iaitu rayuan atau pindah ke kolej lain.

Kolej yang menjadi tumpuan adalah kolej serumpun. Hal ini kerana kolej serumpun tidak mengamalkan sistem merit.

Aktiviti masa lapang

UPM sebagai universiti yang luas menyediakan banyak prasarana bagus untuk pelajar bergiat aktif di waktu petang atau masa lapang. Para pelajar boleh berjogging dan bersiar-siar di Bukit Ekspo sambil menikmati perjalanan melihat Dusun Durian UPM.

Outing

Tempat yang menjadi tumpuan adalah The MINES. Pelajar boleh menaiki bas UPM yang khas untuk ke KTM Serdang. Di situ, boleh berjalan kaki terus ke MINES.

“Jangan tertipu dengan helah pemandu teksi di KTM Serdang. Mereka caj sebanyak RM10 hanya untuk pergi ke The MINES. Jika jalan kaki, tidak sampai 10 minit.” Mohamad Izham memberi nasihat. “Beranikan diri bertanya orang di kedai 7/11, terletak di seberang KTM Serdang, cara ke The MINES.”

Pelajar juga boleh menaiki dari KTM Serdang terus pergi ke MidValley.

Pengangkutan balik kampung

Bagi yang ingin pulang ke Selatan, boleh menaiki dari KTM Serdang ke KTM Bandar Tasik Selatan (BTS). Di situ terletaknya Terminal Bas Selatan (TBS).

Bagi yang hendak pulang ke utara pula, dari KTM Serdang, turun ke KTM BTS, tukar naik LRT dan turun ke Terminal Bas Pudu.

Bagi yang ingin pulang ke Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan, dari KTM Serdang turun ke KTM Putra.

Jika ingin perjalanan yang santai dan selesa, pilihan alternatif buat yang balik kampung ke Utara, boleh naik keretapi. Tiket boleh beli di KL Sentral.

Bagi yang menaiki kapal terbang, Jang Abd Mutalib, pelajar dari Sabah, berkongsi pengalamannya pula. “Selalunya UPM menyediakan perkhidmatan bas ke LCCT dan KLIA di hujung semester. Kena selalu update dengan pengumuman mereka di FB.”

"Juga boleh naik dari KTM Serdang ke KTM BTS. Kemudian naik ERL terus ke KLIA atau LCCT," tambah Jang lagi.


PEMBINA UPM mengalu kedatangan semua pelajar junior ke UPM. Mari kenali PEMBINA, dan sertai kami dalam menjayakan aktiviti-aktiviti Islami di UPM.

Kami juga membuka ruang bagi junior bertanya soalan tentang kami ataupun UPM. Boleh tinggalkan komen di bawah atau bertanya terus ke grup FB kami.

6 ulasan:

  1. Wah...menariknya informasi di sini...saya sebagai pelajar tahun tiga UPM sangat mengalu0alukan kedatangan pelajar baharu UPM hehe :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama-sama.

      Jika saudara berminat mengenali PEMBINA, boleh lah hubungi kami.

      Jazakallah.

      Padam
  2. Tumpang tanya, kalau pelajar fakulti sains biasanya akan menetap di kolej mana?

    BalasPadam
  3. Bm atau Bi yg menjadi bahasa pengantar di upm?

    BalasPadam
  4. Bm atau Bi bahasa pengantar di upm?

    BalasPadam
  5. Salam, Untuk makluman tuan. web Edupark UPM
    telah ditukar ke alamat baru
    www.sciencepark.upm.edu.my/edu_park-2606

    BalasPadam