Tahukah anda perihal terbitan buku Dubook?Dubook lahir dalam dunia penerbitan buku sejak tahun 2010. Buku-buku keluaran Dubook kebanyakannya hasil tulisan anak-anak muda berkisarkan realiti kehidupan seharian, negara, politik, mahasiswa dan sebagainya. Sebagai contoh Aku Kafir Kau Siapa?, Masyarakat Melawan Mahasiswa, Benz Ali Antithesis, dan Alif Lam Lam Ha.

Sungguhpun buku-buku mereka laris di pasaran umpama “pisang goreng panas”, ketahuilah kebanyakan penulisan dalam terbitan Dubookbagai berfikir dan menulis tanpa batas di mana sering membawa idea gila-gila belia, isi kandungan yang tiada hala tuju, bersifat liberal (lihat: bebas berfikir), mengelirukan, atheism, menghina agama, menghina ulama dan yang lebih mengejutkan sehingga menghina Tuhan.

Tidak dinafikan ada buku-buku mereka yang boleh diterima akal, namun kebanyakannya membawa kesan negatif dan menggunakan bahasa yang kesat dan kasar. Kesan negatif yang dapat digariskan termasuklah anak muda lebih cepat memberontak, mudah terpengaruh dengan ideologi (lihat: pemikiran) yang merosakkan, berfikir secara emosional, hilang hormat pada pimpinan dan agamawan, dan menjadikan anak muda mudah meluahkan sesuatu samada melalui perkataan, penulisan, perbuatan atau tindakan secara melampau.

Pada 28 Mei 2015 jam 12.00 sehingga 2.00 petang akan diadakan Carbook Sale yang menampilkan buku-buku terbitan SFP, TM, Dubook dan lain-lain bertempat di Pintu Belakang UPM. Oleh itu,PEMBINA menegaskan buat semua mahasiswa dan golongan belia, tidak bermaksud anda tiada hak untuk membaca buku-buku terbitan Dubook, tetapi disarankan mahasiswa yang menjadikan bahan bacaan seperti ini sebagai koleksi bacaan dinasihatkan untuk mempunyai pegangan agama yang kuat berikutan penulisan jenis ini mudah mempengaruhi orang lain.Selidiki bahan bacaan terbaik untuk pembangunan potensi belia, dan menjadi pembaca yang bijak ketika memilih bahan bacaan supaya dapat memandu fikiran generasi muda atau mencari sumber bacaan yang dapat mengukuhkan pegangan agama.

Hal ini kerana, kita tidak mahu mahasiswa atau golongan belia di luar sana menyokong intipati hasil air tangan penulisan golongan liberal dan lain-lain, seterusnya mendokong agenda perjuangan mereka yang lari dengan syariat Islam. Andai kata berniat membeli buku-buku yang disebutkan di atas dengan tujuan memerhati, menganalisa dan diambil pengajaran, maka ia dibolehkan.

Wallahua’lam.

Nazatul Shima Binti Masri
Biro Aktivisme Mahasiswa
PEMBINA UPM








Dewan PJSD, Kolej Serumpun, UPM- Pada 2 Mei 2015 telah berlangsung Forum Selamatkan Akidah Ummah. Forum yang diadakan ini merupakan acara kemuncak bagi program Kempen Selamatkan Ummah dengan tema “Akidah Teguh Ummah Terperihara” yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional, Universiti Putra Malaysia, PEMBINA UPM. Kempen yang dianjurkan ini berlangsung selama sebulan bermula pada 19 April sehingga 2 Mei.

Panel jemputan ialah Ustaz Syed Ahmad Israa Syed Ibrahim dan ditemani oleh  saudara Muhammad Nasaruddin selaku moderator bagi bersama-sama membincangkan topik yang bertajut Selamatkan Akidah Ummah.
Panel jemputan bersama moderator


“Liberalisme ini wujud sejak zaman kegelapan Eropah yang mencatatkan satu zaman di mana ketika itu manusia berada dalam keadaan gelap gelita tanpa sinar ilmu, jahiliyah. Barat berada di zaman kemuncaknya apabila golongan gereja dan penguasa menekan dan menindas rakyat Eropah pada ketika itu sehingga ia membentuk satu dorongan yang kuat untuk bebas dari cengkaman gereja dan cengkaman ekonomi yang lembab”, jelas Ustaz Syed Ahmad ketika ditanya mengenai asal usul kewujudan konsep liberalisme.

Ustaz Syed Ahmad juga menjelaskan bahawa liberalisme yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan oleh akal dan nafsu manusia melebihi wahyu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT iaitu berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

“Kita sebagai umat Islam harus meletakkan diri pada tempat yang sepatutnya dan kita harus tahu hak asasi yang dituntut dalam Islam adalah apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan kita seharusnya dapat membezakan hak asasi barat yang hanya berlandaskan kebebasan tanpa sebarang ikatan.” Terang Ustaz Syed Ahmad ketika ditanya mengenai sejauh mana hak asasi manusia ini diperjuangkan.

“Kebebasan yang diperjuangkan oleh barat hanya akan menjerumuskan kepada kehancuran semata-mata kerana ianya bersifat tanpa sempadan untuk bebas daripada undang-undang.” Tambah Ustaz Syed Ahmad.
Ustaz Syed Ahmad menegaskan bahawa aliran pemikiran liberalisme yang dicipta oleh Barat ini hanyalah untuk mengelirukan umat Islam mengenai ajaran fahaman Islam yang sebenarnya.

“Kita perlu membina kekuatan akidah serta kefahaman mengenai Islam dan harus fahami kalimah syahadah secara mendalam agar tidak mudah terpengaruh dengan konsep-konsep pemikiran yang dibawa oleh Barat.” Jelas Ustaz Syed Ahmad sebagai saranan atau langkah yang patut diambil oleh mahasiwa untuk mencegah diri daripada ancaman-ancaman yang membawa kepada keruntuhan akidah umat Islam.

Pada akhir forum ini, PEMBINA UPM telah menjemput kumpulan nasyid FETYA bagi melakukan persembahan nyanyian nasyid yang ditujukan khas buat mahasiswa mahasiswi UPM.

Wartawan Biro Media dan Promosi, PEMBINA UPM
Noor Khairina bt Mohd Said.




UPM, 29 APRIL 2015 - “Allah cintakan manusia yang bertakwa, tetapi Allah lebih mencintai PEMUDA yang bertakwa”, kata Saudara Ahmad Shukeri Azizan semasa program Usrah Umum di Surau Serumpun, UPM dengan tajuk Sinar Pemuda.

Saudara Ahmad Shukeri menerangkan antara sifat-sifat yang perlu ada pada seseorang pemuda itu ialah beriman, tarbiyah, dakwah serta sabar. Antara ciri-ciri orang yang beriman pula ialah solatnya khusyuk, bergetar hatinya apabila mendengar laungan azan, serta beramal soleh. Kesemua ciri ini dapat diperolehi melalui tarbiyah. Namun, apa itu tarbiyah?

Tarbiyah merupakan proses tambah baik diri menjadi seorang yang lebih baik dari sebelumnya. Lumrah manusia itu sukakan perkara yang baik. Tidak ada seorang pun yang ingin bergelumang dengan dosa buat selamanya, kerana jauh dilubuk hati kita pasti inginkan ketenangan dan ingin kembali pada lumrah manusia itu sendiri.

Tanya pada diri kita sendiri adakah kita sudah beransur-ansur berubah menjadi lebih baik? Adakah kita sudah menyediakan diri untuk menunaikan  tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi seperti yang dituntut oleh Pencipta kita? Jadilah manusia yang bermanfaat buat diri malah buat sekalian manusia yang lain juga.

“Sentiasa muhasabah diri yang mudah lupa ini dengan tujuan utama kita mengikuti tarbiyah. Jika kita ingin berubah, berubahlah dengan sebaiknya supaya mereka disekeliling kita juga mendapat manfaat hasil dari perubahan diri kita. Secara tidak langsung kita sudah punyai sifat pemuda yang seterusnya iaitu berdakwah dan jalan dakwah itu pastinya memerlukan kesabaran”, terang Saudara Ahmad Shukeri lagi yang juga merupakan penulis buku Bedtime Story Sentap.

Semoga kita senantiasa memperoleh hidayah-Nya. Sekali hidayah menyapa diri, sambutlah ia dengan rasa syukur, kerana jika kita menolaknya, belum tentu ia akan menyapa kembali.

Program usrah umum tersebut yang merupakan salah satu slot program Kempen Selamatkan Ummah(KSU) anjuran PEMBINA UPM mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar UPM yang menjadi harapan kepada Sinar Pemuda.

Galeri:

Saudara Ahmad Shukeri menerangkan peranan pemuda


Muslimat khusyuk mendengar dan memahami apa yang disampaikan



Sebahagian yang mendaftar sebagai ahli baru PEMBINA UPM


Wakil PEMBINA UPM menyampaikan cenderahati kepada Saudara Ahmad Shukeri


Oleh:
Saudari NorAziah,
Wartawan PEMBINA UPM.