APA ITU USRAH?
Usrah
dalam bahasa Arab bermaksud
keluarga. Manakala daripada istilahnya pula usrah
ialah
ikatan perpaduan yang dibina atas
dasar iman dan Islam dengan
berusaha
tolong-menolong
sesama sendiri untuk memahami dan menghayati
Islam; berusaha mempertingkatkan ilmu dan amal, dan menghindari maksiat
dan permusuhan berdasarkan firman Allah (maksudnya):
“Bertolong-tolonganlah
kamu berbuat kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan
berbuat dosa dan aniaya dan takutlah kepada Allah.” [Al-Maidah, 5:2]
Usrah juga bertepatan dengan maksud hadis 7 golongan yang mendapat naungan di akhirat kelak. Antaranya adalah:
"... dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana-Nya.." - (HR Bukhari & Muslim)
KENAPA PERLU USRAH?

Fitrahnya
seorang insan, pelupa, jahil dan lalai. Maka peringatan tentang akhirat
amatlah wajar. Kita bimbang jika hari silih berganti namun tiada
langsung peringatan diberi, sedangkan jika dalam seminggu tiada santapan
rohani dalam diri membuatkan diri kita menjadi lalai.
Makanya usrah
ini, antara salah satu medium dengan ahli-ahli usrah akan membincangkan
asas aqidah, tauhid, ibadah, sirah, serta bertadabbur dengan Quran,
yang pastinya menyentuh jiwa.
Peringatan untuk sentiasa memperbaiki
amalan, memahami tujuan penciptaan, serta mengambil tahu perihal nasib
saudara seislam kita akan kita perolehi dengan menyertai usrah.
BAGAIMANAKAH PENGEDALIAN USRAH?
Usrah
diadakan pada tiap-tiap minggu atau paling kurang tiap-tiap dua minggu
sekali dan merupakan program tarbiyah yang tetap. Majlis usrah
dikendalikan dan di ketuai oleh seorang ketua atau naqib (lelaki) atau naqibah (perempuan).
Ia dikendalikan mengikut
3 rukun usrah iaitu:
1. Taaruf (berkenalan)
Ahli
usrah hendaklah berkenal-kenalan serta berkasih sayang dengan semangat
cinta kepada agama. Kita hendaklah memahami pengertian dan hakikat
ukhuwah sejati. Elakkan perkara-perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwah
itu.
Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung titah firman
Allah dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Jadikan firman Allah dan hadis
Rasulullah s.a.w. sebagai perkara yang wajib diutamakan.
Antara firman Allah (maksudnya):
Orang-orang mukmin itu bersaudara-mara. (Al-Hujarat, 26:10)
2. Tafahum (saling memahami)
Periksalah
diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar
mentaati perintah Allah atau terlibat dalam arena kederhakaan. Setelah
memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu
sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat.
Rakan yang
dinasihati itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat
dari sahabatnya. Pemberi nasihat pula janganlah berubah hati terhadap
sahabat yang tersilap itu-walau sejarak sehelai rambut sekali pun.
Rasulullah
s.a.w. bersabda (maksudnya), "
Agama itu adalah nasihat." Oleh itu,
perhatikanlah dalam-dalam pengajaran yang mulia dalam hadis
ini-mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada kamu.
3. Takaful (tolong –menolong)
Memelihara
nasib sesama sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar.
Rukun ini diamalkan dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara
menolong memikul bebanan sesama sendiri.
Takaful merupakan tunjang iman
dan inti sari ukhuwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara
bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, berganti-ganti
membuat kebajikan dengan jalan segera menolong antara satu sama lain
sedaya upaya.
KEBAIKAN USRAH
- Meningkatkan kefahaman anggota-anggota dan menentukan sikap Islam terhadap satu-satu masalah.
- Menambahkan penghayatan dan menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jamaah.
- Membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai "Din Wa
Daulah", menghayatinya di dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan
cita-cita serta tindakan mendakwahnya sebagai sistem hidup dalam
keluarga, masyarakat dan negara.
- Membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islammiyah di dalam
kehidupan diri dan sensitif terhadap segala perkara yang tidak Islamik.
- Membina generasi Islam yang insaf dan sedar akan cabaran dan godaan yang berbagai bentuk yang mengancam kemurnian Islam.
- Mendidik perasaan anggota supaya bertanggungjawab terhadap ALlah dan
RasulNya. Menghubungkan anggota secara langsung dengan Al-Quran dan
Al-Sunnah.
- Mengikhlaskan diri anggota kepada ALlah, demi untuk mencari
keredhaannya, mengharapkan pahala dan merasa gerun dengan siksaanNya.
Bukan kerana segan dengan naqib usrah atau kumpulannya tetapi kerana
ketaatan kepada ALlah. Oleh itu setiap anggota hendaklah membetulkan
niatnya, kemudian diikuti dengan amalan sekalipun tanpa arahan dari
sesiapa.
AKTIVITI SEMASA USRAH
Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh berlangsung di dalam usrah. Di antaranya ialah:
1. Membentangkan Kesulitan
Setiap
anggota membentangkan kesulitan masing-masing. Setiap kesulitan yang
diluahkan oleh dan rakan kita harus diberi perhatian dan berusaha untuk
mengatasinya. Hal ini dilakukan dalam suasana ukhuwah sejati dan dengan
niat kerana Allah. Dengan demikian dapatlah diperkuatkan lagi asas
saling percaya-mempercayai dan tali hubungan ukhuwah dapat
diperkukuhkan.
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya,
"
Orang mukmin itu cermin bagi saudaranya."
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi
(maksudnya):
Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih
sayang mereka, dan dalam erti kata timbang rasa simpati mereka adalah
laksana badan yang satu, iaitu apabila mana-mana anggota mengadukan hal
turut menangguhkan seluruh badan dengan berjaga malam dan merasai demam.
2. Bermuzakarah
Anggota
usrah bermuzakarah iaitu bertukar-tukar fikiran dalam urusan Islam.
Muzakarah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar
batas-batas sopan santun yang sempurna dan dengan cara harga-menghargai
fikiran yang datang daripada semua pihak dalam muzakarah itu.
3. Kajian Buku
Mengadakan
studi (penelitian) terhadap sesebuah kitab yang bermutu. Penelitian
dikaitkan dengan kehidupan harian. Panduan daripada buku disampaikan
dalam taklimat sesuatu projek seperti menziarahi orang sakit; menolong
orang-orang yang berhajat (walaupun hanya sekadar kata-kata yang baik),
mencari dan bertanyakan hal tentang anggota yang tidak kelihatan
bersama-sama kumpulan, menanggung bebanan anggota yang terputus rezeki.
Semuanya itu dapat menambahkan lagi tali ukhuwah dan dapat melipat
gandakan perasaan kasih sayang dalam hati masing-masing.
4. Aktiviti Sokongan
 |
| Siapa kata usrah di dalam surau sahaja? |
Untuk
mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama sendiri, turut juga diadakan
rehlah, lawatan, aktiviti lasak seperti mendayung sampan, mendaki gunung
dan berbasikal. Selain itu turut juga diadakan aktiviti khusus seperti
berpuasa (seminggu sekali atau dua minggu sekali), solat Subuh berjemaah
di masjid dan
qiamullail.
--
Bukan dari sekolah aliran agama? Kurang ilmu agama? Eh itu bukanlah
satu kemestian jika hendak menyertai sesuatu usrah. Sesiapa pun boleh menyertainya. Apa yang penting hanyalah keterbukaan dan kemahuan ahli menyertai usrah.
PEMBINA UPM menawarkan usrah sebagai salah satu aktiviti mingguan kepada mahasiswa UPM. Usrah dijalankan di kolej-kolej kediaman UPM mengikut fleksibilit masa dan tempat ahli usrah (iaitu anda yang berminat). Usrah yang berjalan dibezakan antara usrah lelaki dan usrah wanita. Tidak bercampur.
Untuk menyertai usrah PEMBINA, tidak wajib menjadi ahli PEMBINA. Bagi mana-mana pelajar yang berminat ingin menyertai usrah PEMBINA, bolehlah menghubungi AJK yang bertugas di bahagian
Jom Sertai PEMBINA.