Memaparkan catatan dengan label Ucapan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ucapan. Papar semua catatan



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Di kesempatan ini ,  saya mengambil kesempatan untuk memberikan sepatah dua kata setelah Minggu Bersama Pembina melabuhkan tirainya minggu lalu.

Pertama sekali,  saya mengucapkan jutaan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang secara sukarela mengerah keringat mereka dalam usaha menjayakan program ini. Mereka tanpa paksaan, mengorbankan tenaga, masa dan wang ringgit bagi menjayakan program ini.  Saya cukup terharu apabila, saya baru sahaja ingin menjemput kawan sekolej saya ke program ini,  belum sempat saya menjemput beliau, beliau memberitahu sudah ada AJK yang pergi bilik ke bilik untuk mempromosi program ini.  Saya tahu ianya bukanlah satu kerja yang senang, amat memenatkan dan memerlukan masa yang banyak untuk melakukannya.

Kedua, saya amat berharap program ini mampu untuk memberi impak walau hanya sedikit kepada diri mana mana insan, dalam usaha untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala,  seterusnya mentransformasikan diri ke arah yang lebih baik.  Saya berharap agar program ini sedikit sebanyak mampu memberi input yang berguna demi untuk melihat generasi akan datang lahir sebagai generasi yang mampu untuk mendukung panji agama yang sebenar dan tulen.  Saya akui, program ini tidak mampu untuk mengubah keseluruhan umat,  namun jika ia mampu mengubah walau seorang muslim,  ianya sudah dikira satu kejayaan bagi kami.  Semoga dengan perubahan seorang muslim itu,  mampu menjadi asbab bagi kami untuk memasuki syurga Ilahi.

Akhir kata,  saya harap PEMBINA mampu untuk terus bergerak ke hadapan, menjadi salah satu agen dalam usaha menaikkan kembali kegemilangan Islam yang sudah hilang.  Kita mampu,  kita mampu,  kita mampu! Kita pernah gah memimpin 2/3 dunia suatu ketika dahulu,  tidak mugkin kita akan melakukannya sekali lagi. Semoga semua yang terlibat dalam program ini terus menerus menyumbang tenaga,  masa serta wang ringgit demi sama-sama kita melihat Islam kembali gah di persada dunia.

Setakat itu sahaja dari saya. Saya memohon maaf atas salah silap saya sama ada silap saya diketahui atau tidak sepanjang mengendalikan program ini.  Saya akhiri ucapan ini dengan ucapan jutaan terima kasih dan tahniah buat semua. Sekian.

Membina Generasi Harapan

Muhammad Najmi bin Ghazali
Pengarah Program MBP
Ketua Biro Tarbiyah & Dakwah
PEMBINA UPM



UPM, 10 Mac -Telah berlaku Pertemuan antara Saudara Amirul, presiden PEMBINA UPM dan Dato’ Dr. Shatar Sabran, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia (TNC HEPA UPM) untuk membincangkan kemasukan Edry Faizal, Host BFM,radio.
Hasil pertemuan tersebut, Dato’ Dr. Shatar Sabran bersetuju untuk tidak membenarkan mana-mana pemikiran yang merosakan pemikiran dan akidah Islam masuk  ke Universiti Putra Malaysia. “Saya akan maklumkan kepada pihak pengetua dan pegawai keselamatan untuk memberhentikan kemasukan Viral,Sial!” Tambahan beliau.

Sejak-sejak akhir ini, terdapat segelintir golongan liberal yang semakin berani kehadapan untuk menyebarkan kefahaman dan pendapat mereka. Viral, Sial! adalah satu tayangan dokumentari tentang video viral Aisyah Tajuddin bertajuk ‘Hudud: Isi periuk nasi? Yang menjadi kontroversi menolak dan meremehkan undang-undang hudud yang dijalankan di Kelantan.

Dalam videonya itu, Aisyah telah menimbulkan kontroversi kerana mengkritik isu banjir dan hudud yang berlaku di Kelantan. Aisyah cuba memberi persepsi bahawa, kerajaan Kelantan hanya sibuk mengangkat isu hudud dan mengabaikan mangsa banjir di Kelantan tanpa sebarang bantuan. Dokumentari ini mengupas tentang kenapa video Aisyah menjadi sangat viral dan ia di hostkan oleh Edry Faizal yang juga merupakan Host BFM radio dan dalam masa yang sama, Edry cuba menimbulkan suatu persepsi yang baharu kepada masyarakat tentang hudud.

Video ini telah tercalon di dalam Freedom Filmfest 2015, Anugerah Freedom Film yang mengangkat isu-isu golongan minoriti dan hak kebebasan bersuara dan berekspresi. Selain itu, Dokumentari ini ditayangkan di Artsforgrab pada september 2015 anjuran Projek Dialog dan dikupas di dalam forum yang yang dihadiri oleh ahli panel, director doku (David Buri, Suri Kempe, Fauzi Yusup wakil Impian Kelantan dan Ehsan Shahwahid, hos pertama BFM). Tahun ini, ia bakal ditayangkan di universiti tempatan termasuk UPM bagi menunjukkan solidariti terhadap isu Aisyah yang pernah menjadi viral. Kononnya bagi mengangkat semula ketidakadilan yang berlaku supaya ia dilihat lebih relevan pada masa kini.

Librealisme adalah salah satu ghazawatul fikr-serangan pemikiran untuk menarik secara halus ke arah kekufuran bukanlah satu cara yang baru bahkan sudah tercatat di dalam Al-Quran dengan Firman Allah s.w.t. 

Surah An Nisa’. Ayat 89 :


“Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka.”



“Dulu lain, sekarang lain, mana boleh samakan dahulu dan sekarang”,

Ini adalah jawapan cliché yang sering digunakan sekiranya disoal mengenai perbezaan kelakuan, pengamalan adat  dan sebagainya yang melibatkan dua zaman.

Ya, benar! Dulu dan sekarang memang sangat berbeza, tapi cuba lihat kembali sama ada perbezaan itu telah mewujudkan satu jalan cerita baharu yang positive mahupun yang negative.

Tetapi harus kita  ingat! Dua panduan hidup umat islam sentiasa sama untuk sepanjang zaman iaitu Al-quran dan sunnah.
            Jika dahulu, seorang pemuda lah yang telah menjulang tinggi agama islam. Tapi kini, di manakah nilai seorang pemuda itu dalam mengangkat mahupun membawa nama Islam itu sendiri.

Ingatkah kita akan kisah Ashabul kahfi?
Kisah agung ini  telah Allah titipkan dalam ayat-ayat cintaNya untuk dijadikan tatapan pemuda sepanjang zaman. Kisah yang menggambarkan  pemuda yang beriman dan kecekalan  mereka dalam mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda juga mereka sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan islam sehingga mereka tidak sanggup menggadaikannyal.

Mereka lebih rela mempertahankan iman dan agama biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan terasing. Bahkan sanggup sekiranya terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun. Kisah ini bukan sahaja untuk dibanggakan oleh seorang yang bernama pemuda tetapi harus dikutip segala nilai yang ada pada ashabul kahfi tersebut untuk diaplikasikan pada zaman yang penuh fitnah ini.    
    
Hari ini, pemikiran pemuda kita telah didoktrinkan dengan pelbagai jenis ancaman daripada barat. Hal ini kerana mereka tidak mahu lagi melihat sejarah seperti ashabul kahfi, Sultan Muhammad AL-Fateh  dan beberapa tokoh pemuda yang lain itu kembali berulang. Tanpa disedari, pemudalah yang digunakan sebagai bahan ekperimentasi dalam rancangan jahat mereka dan dengan  relanya juga kita menyerah diri untuk dijadikan bahan uji kaji mereka. 

Jika dilihat akan virus yang telah dialirkan musuh dalam darah pemuda, Hedonisme adalah virus yang paling kuat dan dekat dengan jiwa pemuda. Hedonisme ini dapat disingkapkan sebagai fahaman bahawa keseronokan merupakan matlamat utama dalam hidup. Hedonisme juga merupakan ajaran atau pandangan bahawa kesenangan atau kenikmatan merupakan tujuan hidup dan tindakan manusia.
           
Melalui terjemahan maksud hedonisme itu sendiri  telah jelas menunjukkan  betapa tersasarnya ia daripada tujuan hidup utama umat islam iaitu sebagai  khalifah dan untuk beribadat kepada Allah S.W.T.
Tetapi adakah kita pernah sedar akan hal ini?

Mungkin dalam kesedaran juga kita masih tidak dapat menepis serangan ini kerana masih ada yang beranggapan “ Muda hanya sekali, apa gunanya hidup kalau tak enjoy”. Islam tidak pernah menghalang kita untuk berhibur, tapi dalam berhibur juga ada batasnya. Ini tidak, semua jenis hiburan disapu, malah hiburan yang menjauhkan diri daripada menginggati Allah itulah yang lebih digemari oleh pemuda sekarang berbanding hiburan yang lebih mendidik jiwa. Bersesak-sesakkan dalam kelompok yang ramai, duduk bercampur antara lelaki dan perempuan dalam suasana yang gelap hanya dipandang enteng demi mendapatkan satu keseronokkan dunia semata-mata.

Masih ingat kah kita akan firman Allah,
“Maka pernah kah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuanNya, dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah(membiarkannya sesat)? Mengapa kamu tidak mengambil pengajaran.”                           [ Surah Al-Jathiyah : 23]

            Barah hedonisme ini hanya dipandang sepi oleh pemuda sedangkan kesannya sudah banyak dapat dilihat walhal dengan pandangan mata kasar sekalipun. Adakah kita tidak pernah terfikir bahawa isu pembuangan anak, zina dan pelbagai lagi masalah dalam kalangan pemuda itu berpunca daripada fahaman hedonisme yang diagung-agungkan ini. Ada yang berkata “tua nanti kita bertaubatlah”, tetapi  adakah kita dapat menjamin bahawa kita dapat hidup sehingga hari tua, justeru membenarkan diri dalam arus keseronokkan yang sia-sia . Sedangkan ada sahaja mereka yang diambil nyawa oleh Allah dalam keadaan berbuat maksiat. Semoga kita dijauhkan. 

            Kesimpulannya, pilihan ada ditangan kita, Allah telah mengurniakan akal bukan untuk dijadikan hiasan semata-mata, tetapi untuk digunakan dalam mengatur perjalanan  kehidupan sebagai hamba Allah. Sudah banyak yang menyampaikan mengenai bahang  hedonisme dan kesannya. Adakah kita masih ingin menzalimi diri sendiri dengan membenarkan bahang tersebut menjadi suatu kebiasaan kepada diri kita, sahabat-sahabat terdekat, ahli keluarga dan sebagainya?

Saya tinggalkan ruang ini dengan sebuah kata-kata yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu a’la. “ Sesungguhnya Allah sangat mengkagumi pemuda yang tidak ada baginya masa muda( berhibur dan bersuka-ria).  Sedangkan barat telah mencucuk-cucuk kita untuk mencari keseronokan ini.

Oleh itu saya menyeru semua pihak terutama di bumi UPM khususnya berjaga-jaga dengan budaya hedonisme. Anjuran program juga tidak seharusnya berunsurkan hedonisme. Pihak penganjur dan peserta program sentiasa ada pilihan.

“ Wahai orang yang beriman ¡ Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”             [Surah Al-Baqarah : 208]

 Masih adakah alasan untuk berhibur mengikut hawa nafsu?

Ditulis oleh:
Siti Nur Athirah bt Ismail,

SETIAUSAHA 1 PEMBINA UPM.



UPM, 15 Mac 2015 – Beliawanis PEMBINA UPM telah menganjurkan daurah yang bertajuk Normalisasi bertempat di surau Kolej Canselor. Daurah Nomalisasi ini disampaikan oleh saudari Ummi Kalsom Mohamad Khalid yang merupakan Pengawai Khas PEMBINA.

Normalisasi merujuk kepada sebuah proses memindahkan budaya asing kepada satu kelompok yang tidak biasa dengan budaya tersebut. Antara contoh yang paling hampir adalah dengan  menjadikan budaya Barat normal dalam kehidupan umat Islam.

“Serangan Normalisasi ini lebih halus dan lebih bahaya berbanding penjajahan fizikal. Hal ini kerana, ianya juga merupakan salah satu serangan pemikiran yang dilakukan oleh Barat sehingga mampu mempengaruhi nilai-nilai kehidupan kita sebagai umat Islam yang kini semakin hilang dan digantikan dengan nilai dan budaya Barat”,ujar saudari Ummi.

 Saudari Ummi juga menegaskan bahawa bangsa Yahudi tidak akan sekali-kali berputus asa untuk menjatuhkan agama Islam dan Allah SWT juga ada berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud:
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Antara contoh Normalisasi yang sedang berlaku sekarang terutamanya adalah dalam kalangan remaja iaitu fikiran remaja kini harus mempunyai boyfriend atau girlfriend. Ia menjadi suatu kepelikan apabila seseorang masih tidak mempunyai teman dikala usia muda.
Menurut saudari Ummi “ remaja juga lebih sukakan hiburan dalam kehidupan mereka seperti keluar malam, menghadiri konsert dan juga menonton wayang”.
Selain itu, saudari Ummi juga menyentuh mengenai liberalisme merupakan fahaman yang meraikan hak kebebasan manusia. Sisters in Islam (SIS) juga merupakan NGO yang cuba memasukkan serangan liberalisme  dalam minda umat Islam. Contohnya, SIS mengeluarkan hujah dengan mengatakan tudung adalah budaya arab dan bukan suruhan al-Quran. Tambahan lagi, SIS juga menentang poligami, hukum hudud dan sebagainya. Semua ini akan mengancam akidah seorang muslim bagi mereka yang tidak cukup ilmu pengetahuan mengenai agama Islam.

Akhir kata, saudari Ummi menyeru kepada semua mahasiswa agar terus mara kehadapan menentang musuh-musuh Islam tanpa berasa gentar dan takut. Terdapat banyak cabang atau sumber yang dapat dijadikan sebagai medium memperjuangkan agama Islam seperti menjadikan media dan bakat yang dimiliki oleh setiap individu sebagai alat untuk berdakwah.
“Kita semua harus bersyukur dilahirkan sebagai Islam dan sebagai mahasiswa kita juga harus mengorbankan segala masa muda kita untuk Islam”. Ujar saudari Ummi diakhir pengisiannya.

Sarah Aliah Najib
Wartawan Biro Media dan Promosi PEMBINA UPM







Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Pada setiap tahun, umat Islam akan menyambut dua hari perayaan iaitu, hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.  Hari raya Aidiladha merupakan satu hari perayaan yang amat bersejarah bagi seluruh umat Islam. Kerana peristiwa ini berlaku ketika zaman nabi Ibrahim a.s..  Pada ketika itu nabi Ibrahim bermimpi menyembelih anaknya sendiri dan ianya bukan sekadar mimpi kosong, tetapi juga merupakan suatu perintah daripada Allah kepada beliau.

Bukanlah ingin saya mengulangi semula kisah nabi Ibrahim, kerana saya yakin dan percaya kebanyakan daripada kita sudah mengetahui perjalanan peristiwa tersebut seperti yang terungkap di dalam al-Quran; surah As-Saffat, ayat 101-111. Tetapi, coretan saya ini adalah bertujuan untuk memetik sedikit ibrah atau pengajaran daripada kisah tersebut.


" Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan, Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.."
 [As-Saffat-37:110- 111]


Salah satu ibrah yang paling besar dalam kisah ini adalah taat. Kita dapat lihat dari kisah ini bahawa nabi Ibrahim melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah kepadanya, semata-mata untuk mendapatkan keredhaanNya. Berbeza pula dengan zaman sekarang, perkara tersebut tidak ramai yang mampu melakukannya. Sesetengah orang, yang zahir pun tidak mampu dilakukan, apatah lagi yang tidak nampak. 

Contohnya, taat kepada kedua ibu bapa, iaitu selepas taat pada peintah Allah s.w.t., kita dikehendaki mematuhi arahan kedua ibu bapa kita, selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.  Banyak sahaja cerita-cerita yang kita dengar di keratan akhbar-akhbar atau di internet, ramai anak muda yang tidak beradab dengan ibu bapanya sendiri. Dari sekecil-kecil perbuatan seperti bertengkar sehingga sebesar-besarnya seperti membunuh ibu bapanya sendiri hanya disebabkan perkara yang kecil. Sekiranya ini pun kita tidak dapat lakukan, bagaimana ingin kita mendapat keredhaanNya.

Seterusnya ialah pengorbanan. Pengorbanan adalah signifikan di dalam sebuah kehidupan. Tanpa pengorbanan, seseorang itu tidak akan mampu untuk hidup di dunia ini. Sama ada dari segi waktu, tenaga, mahupun wang. Saya ambil contoh yang paling terdekat iaitu kita ialah sebagai seorang mahasiswa. Tujuan kebanyakan daripada kita hadir ke universiti adalah ingin menuntut ilmu. Menuntut ilmu ini memerlukan kita untuk hadir ke kelas pada waktu pagi, dan pada sebelah malam pula mungkin akan ada perbincangan antara rakan-rakan sekelas. Begitulah rutin harian kebanyakan kita,sehinggalah kita bergraduasi. 

Dan tahap pencapaian kita itu dapat diukur pada berapa banyak waktu, wang, dan tenaga yang telah kita laburkan demi mencapai cita-cita kita. Begitulah juga sekiranya kita ingin mendapat keredhaanNya.
Justeru, hari raya Aidiladha ini bukanlah semata-mata menyambutnya dengan solat sunat Aidiladha dan diteruskan pula dengan penyembelihan haiwan-haiwan ternakan semata-mata. Tetapi, ia haruslah disertai dengan penghayatan sebenar Aidiladha itu. Sejarah bukanlah bertujuan untuk dijadikan kisah-kisah menarik untuk mengisi waktu senggang, bahkan ia juga bertindak sebagai pengajaran untuk generasi yang akan datang.
Wallahualam.    
  
Muhammad Nasaruddin,
Timbalan Presiden,
PEMBINA UPM.





                Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Putra Malaysia mengucapkan selamat kembali kepada semua mahasiswa dan mahasiwi dari seluruh pelusuk Malaysia ke kampus hijau yang terletak di daerah Serdang ini. Kita perlulah senantiasa membuat muhasabah terhadap niat kita untuk menuntut ilmu, moga-moga kita belajar dalam keadaan ikhlas semata-mata kerana  Allah  S.W.T dan refleksi semula, apakah cita-cita yang kita pasangkan pada permulaan hari kita melangkah di universiti tercinta ini?.

                Moga-moga kepulangan diri kita kali ini dengan azam yang baru dan kembali bersemangat dalam setiap perkara yang kita lakukan dalam diri kita. Anggaplah menimba ilmu ini sebagai salah satu jihad dalam diri kita yang memerlukan kita untuk bersungguh-sungguh dan berdisiplin.
(Barangsiapa yang menyusuri jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah S.W.T akan permudahkan baginya jalan untuk ke syurga.)

maksud hadis di atas ialah :

                Buatlah yang terbaik kerana kita adalah ummat yang terbaik. Bila kita kata terbaik, maka maksudnya terbaik dalam segala perkara yang kita lakukan termasuk dalam kehidupan kita. Akhirnya kita akan berbakti dan menyumbang kepada agama, negara dan bangsa. Sedarlah, bahawa mahasiswa merupakan aset negara dan akhirnya permata berharga yang akan menyumbang pada nusa dan bangsa pada satu ketika nanti. Jadilah mahasiswa dan mahasiswi yang mempunyai jati diri yang kukuh , berjiwa besar dan berusahalah untuk mematangkan diri kita kerana kelak sudah pasti kita akan jadi pemimpin, maka moga-moga kita dapat memimpin negara dengan baik pada ketika ini dengan persiapan-persiapan yang dilakukan sekarang.

                Saya akhiri  ucapan ini dengan ucapan bitaufiq wannajah, moga kita berjaya dalam kehidupan kita dalam pelbagai aspek kehidupan yang melibatkan persiapan duniawi dan ukhrawi.


PEMBINA Cawangan Bangi mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Asyraf Aminuddin yang telah terlibat dalam satu kemalangan di simpang empat menuju ke Fakulti Agrobio, UPM pada pagi tadi (10.12.12). Beliau merupakan pelajar tahun 2, Fakulti Pertanian di UPM dan adalah salah seorang ahli PEMBINA yang berdaftar di bawah Cawangan Bangi.

Beliau telah meletakkan azam yang tinggi untuk berbakti kepada keluarga, agama serta masyarakat semasa mendaftarkan diri menjadi ahli PEMBINA.

Ia dilakarkan melalui kata-kata beliau yang telah dirakamkan semasa mendaftar menjadi ahli PEMBINA

"Saya ingin menjadi ahli pembina kerana : Allah s.wt ( ingin membina dan membetulkan diri seterusnya keluarga dan saudara-saudara Islam yang lain dalam hal-hal agama).

Semoga terus menjadi semangat kepada kita semua.

Sesungguhnya daripada Allah kita datang, kepada Dia jualah kita kembali.

Innalillahiwainnailaihirrajiun.

Al- Fatihah.

sumber: PEMBINA BANGI