Memaparkan catatan dengan label Aktiviti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aktiviti. Papar semua catatan



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Di kesempatan ini ,  saya mengambil kesempatan untuk memberikan sepatah dua kata setelah Minggu Bersama Pembina melabuhkan tirainya minggu lalu.

Pertama sekali,  saya mengucapkan jutaan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang secara sukarela mengerah keringat mereka dalam usaha menjayakan program ini. Mereka tanpa paksaan, mengorbankan tenaga, masa dan wang ringgit bagi menjayakan program ini.  Saya cukup terharu apabila, saya baru sahaja ingin menjemput kawan sekolej saya ke program ini,  belum sempat saya menjemput beliau, beliau memberitahu sudah ada AJK yang pergi bilik ke bilik untuk mempromosi program ini.  Saya tahu ianya bukanlah satu kerja yang senang, amat memenatkan dan memerlukan masa yang banyak untuk melakukannya.

Kedua, saya amat berharap program ini mampu untuk memberi impak walau hanya sedikit kepada diri mana mana insan, dalam usaha untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala,  seterusnya mentransformasikan diri ke arah yang lebih baik.  Saya berharap agar program ini sedikit sebanyak mampu memberi input yang berguna demi untuk melihat generasi akan datang lahir sebagai generasi yang mampu untuk mendukung panji agama yang sebenar dan tulen.  Saya akui, program ini tidak mampu untuk mengubah keseluruhan umat,  namun jika ia mampu mengubah walau seorang muslim,  ianya sudah dikira satu kejayaan bagi kami.  Semoga dengan perubahan seorang muslim itu,  mampu menjadi asbab bagi kami untuk memasuki syurga Ilahi.

Akhir kata,  saya harap PEMBINA mampu untuk terus bergerak ke hadapan, menjadi salah satu agen dalam usaha menaikkan kembali kegemilangan Islam yang sudah hilang.  Kita mampu,  kita mampu,  kita mampu! Kita pernah gah memimpin 2/3 dunia suatu ketika dahulu,  tidak mugkin kita akan melakukannya sekali lagi. Semoga semua yang terlibat dalam program ini terus menerus menyumbang tenaga,  masa serta wang ringgit demi sama-sama kita melihat Islam kembali gah di persada dunia.

Setakat itu sahaja dari saya. Saya memohon maaf atas salah silap saya sama ada silap saya diketahui atau tidak sepanjang mengendalikan program ini.  Saya akhiri ucapan ini dengan ucapan jutaan terima kasih dan tahniah buat semua. Sekian.

Membina Generasi Harapan

Muhammad Najmi bin Ghazali
Pengarah Program MBP
Ketua Biro Tarbiyah & Dakwah
PEMBINA UPM



UPM, 20 & 27 Mac – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM telah menganjurkan Bengkel Asas Adobe Photoshop dan After Effects di pejabat PEMBINA Pusat dan kemudiannya di Balai Sri Putra, Kolej Kelima, UPM.

Bengkel Asas Photoshop telah dikendalikan oleh saudara Najimuddin, pelajar jurusan Zoologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang disertai oleh peserta seramai 21 orang dari jam 9 pagi sehingga 4 petang.

Pemenang bagi pertandingan mereka cipta poster yang bertemakan poster amalan sunnah adalah saudari Tengku Balqis binti Tengku Abd Rashid atas kriteria-kriteria tertentu.


Bengkel Asas After Effect seterusnya telah diadakan di UPM dan dikendaikan oleh Ibrahim Azran yang merupakan pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media yang dihadiri seramai 32 orang peserta telah menyertai bengkel ini dan tiga daripadanya adalah pelajar bukan Islam, seorang peserta lepasan SPM.





Saudara Syafiq Syahmi sebagai pengisi banyak menyentuh mengenai kepentingan media dalam agenda-agenda menyatupadukan umat ISLAM seluruh dunia dan seterusnya disambung oleh saudara Amirul Asraf Bin Ramli, Presiden Pembina UPM.

Para peserta telah diberikan tugasan untuk menghasilkan satu video pendek (tempoh 10 saat) dan pereka video pendek terbaik adalah saudara Muhammad Syahmi B. Mohammad Zalani.
“Bengkel ini bagus kerana boleh menjadi medium untuk menuntut ilmu yang baru dari segi video editing.”

“Penyampaiannya juga mudah difahami. Tidak pernah guna After Effects sebelum ini dan hanya pernah menggunakan Photoshop sahaja,”ujar Wong Wei Weng.

Ketua Media Pembina UPM, saudara Amirul Idzham turut memberi kupasan mengenai software ADOBE MASTER COLLECTION CS6 dan ucapan Presiden Pembina UPM sebagai penutup majlis.

“Media Pembina dalam merealisasikan hasrat murni dalam membina belia yang beriman dan berjasa,”- Presiden PEMBINA UPM.

Disediakan oleh,
Nurshyhida Bt Rosman,
Wartawan,
Biro Media PEMBINA UPM.




UPM, 10 Mac -Telah berlaku Pertemuan antara Saudara Amirul, presiden PEMBINA UPM dan Dato’ Dr. Shatar Sabran, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia (TNC HEPA UPM) untuk membincangkan kemasukan Edry Faizal, Host BFM,radio.
Hasil pertemuan tersebut, Dato’ Dr. Shatar Sabran bersetuju untuk tidak membenarkan mana-mana pemikiran yang merosakan pemikiran dan akidah Islam masuk  ke Universiti Putra Malaysia. “Saya akan maklumkan kepada pihak pengetua dan pegawai keselamatan untuk memberhentikan kemasukan Viral,Sial!” Tambahan beliau.

Sejak-sejak akhir ini, terdapat segelintir golongan liberal yang semakin berani kehadapan untuk menyebarkan kefahaman dan pendapat mereka. Viral, Sial! adalah satu tayangan dokumentari tentang video viral Aisyah Tajuddin bertajuk ‘Hudud: Isi periuk nasi? Yang menjadi kontroversi menolak dan meremehkan undang-undang hudud yang dijalankan di Kelantan.

Dalam videonya itu, Aisyah telah menimbulkan kontroversi kerana mengkritik isu banjir dan hudud yang berlaku di Kelantan. Aisyah cuba memberi persepsi bahawa, kerajaan Kelantan hanya sibuk mengangkat isu hudud dan mengabaikan mangsa banjir di Kelantan tanpa sebarang bantuan. Dokumentari ini mengupas tentang kenapa video Aisyah menjadi sangat viral dan ia di hostkan oleh Edry Faizal yang juga merupakan Host BFM radio dan dalam masa yang sama, Edry cuba menimbulkan suatu persepsi yang baharu kepada masyarakat tentang hudud.

Video ini telah tercalon di dalam Freedom Filmfest 2015, Anugerah Freedom Film yang mengangkat isu-isu golongan minoriti dan hak kebebasan bersuara dan berekspresi. Selain itu, Dokumentari ini ditayangkan di Artsforgrab pada september 2015 anjuran Projek Dialog dan dikupas di dalam forum yang yang dihadiri oleh ahli panel, director doku (David Buri, Suri Kempe, Fauzi Yusup wakil Impian Kelantan dan Ehsan Shahwahid, hos pertama BFM). Tahun ini, ia bakal ditayangkan di universiti tempatan termasuk UPM bagi menunjukkan solidariti terhadap isu Aisyah yang pernah menjadi viral. Kononnya bagi mengangkat semula ketidakadilan yang berlaku supaya ia dilihat lebih relevan pada masa kini.

Librealisme adalah salah satu ghazawatul fikr-serangan pemikiran untuk menarik secara halus ke arah kekufuran bukanlah satu cara yang baru bahkan sudah tercatat di dalam Al-Quran dengan Firman Allah s.w.t. 

Surah An Nisa’. Ayat 89 :


“Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka.”




Apakah dinamakan EGO?

Ego merupakan satu sikap dimana tidak mahu mengalah dan merasakan bahawa diri anda sentiasa betul, keras kepala dan tidak kenal erti putus asa.

Ego terbahagi kepada dua  iaitu:

1)Ego bermanfaat = ego ini dapat menjaga maruah seseorang daripada diganggu anasir nafsu dan          syahwat.
2)Ego memudharat = ego yang menyebabkan timbul perasaan riak takbur dan sombong dalam diri.

Tanda Ego

1.       Tidak boleh menerima teguran
2.       Menunding jari pada orang lain
3.       Pertahankan dosanya untuk membuat dosa yang lain.
4.       Merendahkan orang lain
5.       Suka mencarut
6.       Tidak suka pabila orang berdakwah
7.       Tidak mendoakan orang lain
8.       Tidak bersangka baik dengan orang


UPM, 22 Feb – Persatuan Belia Islam Nasional Universiti Putra Malaysia (PEMBINA UPM) telah menganjurkan Solat Hajat Perdana dan bacaan Yaasinn sebentar tadi di Surau Serumpun.

Solat Hajat yang dijalankan secara berjemaah adalah bersempena pembukaan semester baru bagi tahun 2016 yang dihadiri seramai 50 orang peserta lelaki dan perempuan.

Seusai solat hajat dan bacaan yaasinn, saudara Azlan Wildan selaku mahasiswa PhD UPM telah dijemput untuk berkongsi tips-tips kejayaan di samping mengimbau sejarah-sejarah Islam.

“Kesilapan kita orang Islam dalam dunia sekarang ini, kalau nak dibandingkan Islam masa zaman Abbasiyah di mana mereka sangat pentingkan ilmu,” kata Azlan Wildan.

“Pada zaman Abbasiyah itu adalah The Golden Age of Islam.”

“Pada zaman itu mereka sangat pentingkan ilmu, mereka merasakan ilmu itu nantilah yang akan memberi manfaat kepada manusia sejagat.”

“Tetapi zaman hari ini hanya pentingkan duit.”

“Ilmu itu untuk buat duit, mendapat kesenangan di atas muka bumi tanpa merasa betapa cintanya ilmu itu dalam hidup dia,” ujarnya.

Tambahan itu, beliau mengupas kata-kata Imam As-Syafie yang sangat mencintai ilmu dengan mengatakan bahawa sikapnya yang mencari ilmu adalah umpama seekor ibu ayam kehilangan anaknya.

Pada masa yang sama, saudara Azlan Wildan menyarakan beberapa tips kejayaan bagaimana untuk istiqamah dalam usaha serta mengekalkan momentum untuk belajar.

“Nabi memesan pada awal sekali, Inna mal a’maalu binniat.”

“Jika pada awalnya kita niat untuk dunia, maka kita dapat dunia tetapi jika kita niat kerana Allah maka Allah akan bagi ganjaran yang sangat besar kepada hambaNya.”

“Orang yang dekat hatinya dengan Allah s.w.t, orang itulah yang paling hampir dengan kejayaan,” tambahnya.

Beliau seterusnya mengingatkan agar mahasiswa menetapkan matlamat hidup dan mengenal pasti apa sebenarnya yang kita mahu dalam hidup.

“Barangsiapa yang mengejar redha Allah, maka dia akan mendapat dunia dan akhirat.”

“Ilmu bukan milik manusia dan manusia tidak pernah mencipta ilmu melainkan Allah,” tegas beliau.


Akhir sekali, beliau turut memesan untuk menjaga mata dan hati untuk mengelakkan kotornya hati kita yang menyebabkan sukarnya untuk menerima ilmu dan kembali kepada Allah segera jika merasa iman semakin jatuh yakni tanda kita semakin jauh dengan Allah.


MAJLIS SAMBUTAN MAULIDURRASUL DAN SOLAT HAJAT PERDANA 2015 – Anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dan  Sahabat Surau Serumpun telah diadakan pada 24 Disember 2015 bersamaan 12 Rabi'ul Awal bertempat di Surau Kolej Serumpun, UPM.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Majlis pada malam ini berakhir dengan suasana penuh keserdahanaan di bawah titisan renyai-renyai hujan rahmat yang turun selepas azan maghrib dikumandangkan. Setelah solat maghrib berjemaah didirikan, ahli syurga di surau bersama-sama melaksanakan solat hajat untuk pemohonan dipermudahkan urusan peperiksaan akhir semester yang akan berlangsung bermula isnin minggu hadapan. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan pengisian ketulan emas-emas syurga melalui bacaan yaasin, selawat, wirid dan diakhiri dengan senjata mukmin (doa).

PEMBINA mengambil kesempatan ini untuk memanggil penceramah, Saudara Syafiq Syahmi, alumni PEMBINA UPM bagi menyampaikan satu slot pengisian tentang tajuk ‘Rasulullah Pelopor Kesatuan Ummah’ bersempena dengan sambutan Maulidurrasul pada malam ini. Penyampaian yang cukup mantap dan sangat menarik untuk diteliti dan direnungi oleh semua para jemaah surau. Bagaimana kita ingin mengenali seseorang? Dan bagaimana pula untuk kita mencintai seseorang? Tidak kenal maka tidak cinta.  Betul! Tepat sekali penyataan itu. Berimannya seseorang kepada ALLAH S.W.T setelah mengenali siapa Tuhan yang satu dan Maha Esa itu melalui sifat-sifat indah yang dimilikiNya. Begitulah juga untuk kita berkenalan dengan siapa kekasih ALLAH S.W.T. Tidak lain dan tidak asing lagi di pandangan mata serantau ummat manusia di muka bumi ini iaitu baginda, Rasulullah S.A.W. Siapakah orang yang hebat ini? Orang hebat ini adalah utusan ALLAH S.W.T yang paling agung untuk dibicarakan tentangnya. Baginda merupakan agen penyatuan ummah sewaktu zaman kenabian dan kerasulan yang pada ketika itu ummat manusia dalam keadaan porak-peranda dengan perpecahan di kalangan kabilah hasil campur tangan puak Yahudi yang sejak azali lagi tidak menyukai kegemilangan dan kemenangan Islam terpacak di atas muka bumi ini. Pada ketika itu, persaudaraan golongan Muhajirin dan Ansar telah menjadi satu alat yang cukup produktif dalam menghasilkan penyatuaan ummah di bawah pimpinan dan kendaliaan Rasulullah S.A.W.

Jika di undur kepada zaman ketika itu, sebenarnya zaman sekarang ini telah kembali kepada zaman dahulu. Di mana Islam pada hari ini telah berpecah-belah kerana membawa kepentingan diri sendiri dan tidak lagi menjadikan Islam itu adalah tempat yang paling utama untuk diperjuangkan. Ummat masih belum sedar bahawa sekarang ini musuh Islam sedang bersorak riang melihat keadaan ummat pada hari ini. Mereka sudah berjaya melihat Islam itu ditindas, dipijak dan dijaja dengan makian yang cukup membingitkan. Inikah yang kita mahukan sebenarnya? Jika Rasulullah S.A.W melihat ummat yang baginda kasihi pada hari ini, sudah pasti baginda akan menangis. Menangis tatkala mengenangkan perjuangan dakwah baginda selama 13 tahun adalah sia-sia. Sedangkan pada ketika itu, baginda sanggup besusah-payah mengorbankan nyawa, harta, pangkat dan keluarga hanya kerana ingin memastikan Islam terus tertegak di atas muka bumi ini dan memastikan generasi akan datang merasai nikmat Islam. Siapa generasi itu? Kita adalah generasi itu.


Wahai pewaris syurga ALLAH S.W.T., ayuhlah kita sama-sama bersatu demi menyelamatkan satu payung yang sudah berat dan penat terbeban dengan hujanan dari batu-batu yang memedihkan. Musuh tidak akan pernah berhenti dan berpuas hati selagi tidak melihat Islam itu hancur. Strategi demi strategi dirancang dalam memastikan kita menjadi umpan mereka untuk memecah belahkan agama kita sendiri. COMANGGO, LGBT, SEKULAR dan pelbagai lagi bentuk ancaman yang bergerak secara halus dan senyap tanpa sedar. Jangan menjadikan perjuangan Rasulullah, para sahabat, Khulafa Ar-Rasyidin dan barisan Ikhwanul Muslimin berakhir dengan debu sia-sia. Berkasih sayang seperti kaum Muhajirin dan Ansar dalam mengembalikan semula jalur kegemilangan Islam. Jaga hak dan tanggungjawab diri sendiri serta orang lain. Sekarang bukan masa untuk setiap persatuan menunjukkan belang dan taring masing-masing, tetapi hari ini adalah masa untuk duduk satu meja, berbincang secara pemikiran terbuka tentang penyelesaian masalah ummat dan abaikan kepentingan dan keegoan dir demi sebuah Islam yang tercinta. Ummat sekarang sedang tenat. Oleh itu bersatulah untuk mencapai satu muafakat yang berkat di sisi ALLAH S.W.T. 

Pengisian yang cukup mantap sempena Maulidurrasul kali ini kerana aspek sunnah yang perlu diikuti oleh ummat hari ini bukan hanya tertakluk pada cara penampilan, makanan dan lain-lain, tetapi sunnah berjuang dalam menyatu padukan ummat pada hari ini. Program ini telah dihadiri lebih 100 pelajar Universiti Putra Malaysia dan diharapkan kerjasama yang dilakukan oleh badan dan persatuan-persatuan Islam di sini akan berterusan.


Wan Norkhalida
Ahli Biro Tarbiyah dan Dakwah
PEMBINA UPM

“Kenapa anda memilih jalan tidak normal ini?”
“Saya tidak melanggar norma. Saya memang lelaki dari kecil. Luaran je yang tidak mengizinkan. Dahulu fikir juga untuk berubah tapi memang tidak boleh sebab saya memang dah jadi diri sendiri.”

Begitulah dialog antara saya dan seorang perempuan yang mengaku lesbian berusia 20-an.
Dia yakin bahawa dia tidak tersalah jalan sebagaimana saya yakin bahawa dia sudah tersasar jalan.
Lalu siapakah yang harus dipersalahkan?
Adakah Islam yang sebenar tidak cukup tersebar sehingga mereka tidak boleh membezakan mana yang benar dan mana yang salah?

“Kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi
yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” [Al-Hajj : 46]

“Dan ingatlah sesiapa yang Allah tidak jadikan untuknya cahaya (hidayah petunjuk)
maka dia tidak akan beroleh sebarang cahaya
(yang akan memandunya ke jalan yang benar).” [An-Nur : 40]

Mereka kata mereka bahagia dengan keadaan mereka sekarang.
Bahagia kerana akhirnya menemui ‘pasangan’ yang memahami sifat peribadi mereka.
Bahagia kerana akhirnya ada juga insan yang boleh terima kewujudan mereka.
Bahagia kerana tidak akan melalui jalan yang sukar bersama pasangan berlawanan jantina.
Bahagia kerana dapat tunjukkan sifat sebenar mereka tanpa bersikap sembunyi di hadapan golongan tertentu.
Bahagia kerana walaupun Malaysia tidak mengiktiraf LGBT, namun negara lain sudah mulai terima LGBT.

Jika kau ukur bahagia ‘diri’ itu sebagai permit pelepasan untuk kau melakukan sewenang-wenangnya di dunia,
Perhatikanlah, kau sedang menempuh kebahagiaan yang palsu !
Kebahagiaan yang bersifat sementara.
Perhatikanlah sejarah lalu apabila rata-rata umat yang telah ditimpa azab Allah sedang ‘berbahagia’ dengan maksiat sebelum ajal menjemputnya.
Lalu apakah mereka tidak akan merasakan ‘bahagia’ yang sebenar?
Tidak, mereka akan mula merasai ‘bahagia’ yang sebenar apabila mereka mula rujuk dan taat pada al Quran.

Ada beberapa perkara penting tentang LGBT ini yang wajar diketahui umum :

1                    Tidak beritahu keluarga akan perkara sebenar

“Dari sudut keluarga, keluarga anda sendiri boleh terima anda?”

“Mereka tak tahu. Saya tak rapat sangat dengan mereka. Dengan
kawan-kawan boleh lah saya cerita.”

“boleh tahu kenapa?”

“Sebab family islamik sikit and konservatif. Tapi fikir juga untuk beritahu mereka dalam masa terdekat ni tapi ada 2 kemungkinan yang bakal berlaku,mereka boleh terima saya atau mereka akan buang saya. Jadi saya kena ada stable income. Rumah sendiri dan stable dalam hidup, barulah boleh beritahu .Bila ada semua tu, taklah terkontang kanting nak duduk mana nanti.”

[Petikan dialog antara saya dan transgender]

Majoriti golongan LGBT ini tidak akan beritahu hal keadaan mereka yang sebenar kepada keluarga kerana takut keluarga tidak akan menerima keadaan mereka.
Mereka menuduh keluarga tidak akan dapat menerima mereka dek kerana keluarga tidak berfikiran terbuka (open minded).

Mereka sering menuduh golongan anti-LGBT bersifat tidak open minded namun apabila disebut tentang suruhan al Quran, mereka tidak pula bersifat ‘open minded’. Walhal al Quran itu yang  lebih utama dalam segenap pemikiran.

Jika benar mereka yakin akan kepercayaan mereka, mengapakah masih ada ketakutan dalam menyatakannya?

Ibu bapa juga turut memainkan peranan penting. Sering kali ibu bapa memberikan alasan tidak cukup masa untuk memberi perhatian kepada anak di rumah dengan alasan sibuk bekerja di siang hari.
Ibu bapa lupa bahawa tugas memberi pendidikan pada anak juga merupakan tanggungjawab sepenuh masa mereka.

Hal ini demikian kerana anak itu juga lah yang akan menjadi pewaris bumi suatu hari kelak untuk menggantikan generasi kini.

Sedarlah bahawa mendidik pewaris bumi tidak semudah untuk mendidik kucing di rumah. Ia perlukan penjagaan dan pendidikan yang rapi semenjak kecilnya lagi bagai menatang minyak yang penuh.
Jika semua ibu bapa sedunia mengamalkan sifir ini, maka tiadalah akan wujud golongan LGBT kerana mereka tidak layak digelar pewaris bumi ini.

2                    Sokongan diberikan secara tidak sedar
Informer 1 :

“Macam mana reaksi /penerimaan kawan-kawan bila dapat tahu yg anda ni gay?”

“Kawan-kawan lelaki mula-mula tu tak nak kawan. Mereka suka mengejek. Tapi kawan perempuan semua ok..dorang baik dengan saya. Mungkin sebab saya tak minat perempuan sebab tu dorang selesa kot nak kawan dengan saya.”

Informer 2 :
“Masa anda sedar yang anda ni gay, ada tak rasa nak berubah?”
“Ada. Banyak kali fikir benda ni sampai la sekarang..tapi ada je benda menghalang untuk saya berubah..macam peer pressure. Kawan-kawan saya yang lain banyak mendesak supaya saya jadi diri sendiri. Buat apa jadi normal kalau diri sendiri tak happy.”

Golongan sekeliling LGBT dalam tidak sedar telah menunjukkan sokongan kepada golongan LGBT.
Sokongan yang bagaimana ?

Mereka merasakan diri mereka diterima masyarakat apabila kebanyakan rakan sekeliling selesa bergaul dengan mereka seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Budaya teguran sudah makin pudar di kalangan kita.

Buktinya masyarakat sudah tidak berani untuk menegur perbuatan terkutuk itu. Malah lebih menyedihkan ada yang menyokong mereka.

Bukanlah maksudnya kita tidak boleh bergaul dengan mereka langsung.Apa yang di maksudkan ialah masyarakat sekeliling mereka bergaul dengan ramah saban hari tanpa memikirkan apakah langkah terbaik untuk mengajak mereka ke arah normal.

Justeru mereka akan terus menerus merasakan mereka sudah cukup normal untuk berada di tengah masyarakat.

“Takutilah fitnah (azab bencana) yang tidak khusus hanya menimpa orang-orang yang zalim sahaja di kalangan kamu.” [Al-Anfal 8:25]

Orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah kembali segala urusan.” [Al Hajj : 41]

“Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian,  kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.” [Al ‘Asr : 2-3]




3          Malaysia iktiraf LGBT ?

Bagaimana anda menghadapi anti LGBT di negara ini? Adakah
anda mempunyai apa-apa masalah?”

“Negara ini mempunyai sistem negara. Kalau kita mahu menukar sistem pemikiran
anti-LGBT dalam negara ini memang mustahil. Saya merancang untuk berkahwin
dengan teman wanita saya di Jepun dan menetap di Taiwan.Buat masa sekarang
terdapat 16 buah negara yang boleh memberi pengesahan untuk perkahwinan ini.”

[Petikan dialog antara rakan pasukan kajian LGBT bersama seorang gay Kristian.]

Mereka sedar bahawa mereka ialah golongan minoriti dan adalah mustahil untuk Malaysia iktiraf LGBT.
Seharusnya masyarakat golongan majoriti iaitu melayu Islam lebih berfikiran optimis untuk menegakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berlandaskan al Quran dan sunnah.


4          Nafsu semata

Ada tak sebab lain kenapa pilih LGBT ? “
“Takde sebab. Lelaki-lelaki sekarang tak boleh percaya..lelaki orang pun tak boleh..ni untuk you la I pesan..sebab saya ada pengalaman dengan husband orang..so sebab tu I cakap semua tak boleh percaya sangat.”
“You rasa lelaki tak boleh percaya sangat, habis tu apa yang membuatkan
you nak teruskan dengan gay ni?”
“For me..lelaki dan perempuan dua-dua tak boleh percaya..kalau you dalam relationship curang tu mesti ada.. I tak percaya cinta sejati bagai..antara awak tahu or tak tahu je pasangan akan curang..kalau awak nak tahu..saya boleh cakapkan..gay ni berdasarkan nafsu semata-mata..memang ada cinta..tapi cinta tu takkan bertahan lama..”
[Petikan dialog antara saya dan seorang gay]

Nafsu menjadi teras utama.
Apa yang kita boleh harapkan pada masyarakat yang mengikut hawa nafsunya?
Bukan sahaja tidak boleh berbicara tentang soal kebaikan negara, malah urusan tentang diri sendiri pun tidak pasti boleh terurus.

Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka dan Sesungguhnya Telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka.”
 [ An-Najm  : 23]

“Dan Sesungguhnya kebanyakan (dari manusia) benar benar hendak menyesatkan (orang lain) dengan hawa nafsu mereka tanpa pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang melampaui batas’’.  [ Al-An’am : 119]

Ada juga segelintir daripada mereka yang mempunyai hasrat untuk berubah, namun kebanyakannya akan menganggap ia sekadar hasrat tanpa tindakan sahaja. Antara salah satu faktornya ialah suasana persekitaraan yang tidak membantu. 


Dalam hadis Imam Bukhari r.a. ada menyebut sebanyak sebelas tanda hari kiamat. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :

Tidak akan berlaku Kiamat sehingga :
Pertama : Dua kumpulan yang berpengaruh besar berperang sehingga mengorbankan banyak nyawa sedangkan misi mereka serupa.
Kedua : Munculnya para dajjal penipu seramai hampir 300 orang . Semuanya mendakwa diri mereka utusan  Allah s.w.t.
Ketiga : Dicabut ilmu.
Keempat: Banyak berlaku gempa bumi
Kelima : Masa menjadi singkat
Keenam : Lahirnya fitnah-fitnah
Ketujuh : Berlakunya banyak kekacauan iaitu pembunuhan
Kelapan : Harta benda melimpah ruah sehingga sukar mencari orang yang ingin menerima sedekahnya. Apabila dipanggil seseorang untuk menerima sedekah, orang itu berkata : “Saya tidak berhajat kepada harta tersebut kerana telah banyak harta”
Kesembilan : Manusia berlumba-lumba membina bangunan-bangunan tinggi.
Kesepuluh : Seseorang melalui kubur lalu berkata : ‘Wahai alangkah baiknya aku berada pada tempatnya.’
Kesebelas : Terbit matahari dari arah barat. Apabila terbit dan manusia melihatnya mereka semua akan beriman. Tetapi ketika itu :
“Tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. [Al-An’am : 158]

Fitnah-fitnah di sini bermaksud KEJAHATAN YANG AMAT DAHSYAT sama ada dari sudut pegangan mazhab, politik, kemasyarakatan atau ekonomi.

Bukankah LGBT itu sendiri merupakan kejahatan yang amat dahsyat?
Lupakah anda kisah kaum Lut yang diterbalikkan kota gara-gara umatnya pengamal homoseks?
“Maka tatkala datang azab Kami,Kami jadikan negeri kaum Luth itu
yang di atas kebawah (Kami balikkan),dan Kami hujani mereka dengan batu
dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi. Yang diberi tanda Tuhanmu dan siksaan itu tiadalah jauh dari orang-orang yang zalim” [Hud : 82-83]
Sesunggguhnya kalian mendatangi laki-laki untuk melepaskan nafsu kalian
(kepada mereka),bukan kepada wanita,
kalian adalah kaum yang melampaui batas.”  [Al-aa’raf : 81]

“Mengapa kalian mendatangi jenis laki-laki di antara manusia, dan kalian tinggalkan istri-istri yang dijadikan oleh Tuhanmu untukmu,kalian adalah orang-orang yang melampaui batas,”   [As-syu’araa’ : 165-166]
Tidak wujud lagi satu contoh teladan yang terbaik. Semua cita-cita murni yang dilaungkan oleh manusia ketika saat genting dahulu kini telah lenyap daripada pandangan mata dan hati. Malah suatu ketika dahulu mereka pernah menggabungkan seluruh kekuatan antarabangsa untuk menentang kezaliman dan kekejaman. Keadilan sosial, empat hak asasi, prinsip-prinsip yang dipersetujui oleh masyarakat antarabangsa dan sebagainya yang menggariskan segala prinsip murni semuanya kini hanya tinggal kenangan. Para pemimpin dunia ini sudah tidak lagi mendokong falsafah murni untuk memimpin dunia ini. Apa yang ada hanyalah falsafah material, penjajahan, jajahan takluk, monopoli bahan mentah !
Semua ini dilakukan dengan rakus dan haloba yang tiada tandingnya dalam sejarah manusia ! “
[Petikan daripada buku Majmu Rasail oleh Imam Hassan al Banna]

“Adapun keadaan yang dinamakan dunia Islam, maka hal itu sebagian keadaannya berbeza dengan keadaannya di Eropah, akan tetapi pada akhirnya akan bertemu dengannya, sebagaimana jahiliyah bertemu dengan jahiliyah di setiap tempat dimuka bumi, dan di setiap masa, meskipun sifat-sifatnya sedikit berbeza, yang membezakan jahiliyah yang ini dengan yang itu, serta membezakan antara keadaan ini dengan keadaan itu.
Islam di dunia ini (sekarang) asing bagi manusia, seperti keterasingannya pada awal munculnya di era jahiliyah jazirah Arab dahulu, dan jahiliyah yang sekarang melebihi yang terdahulu, Islam dibenci oleh banyak orang.”

[Petikan daripada buku Jahiliah Abad 20 oleh Muhammad Qutb]


Dunia mengharapkan ciri-ciri pemimpin yang unggul.
Pemimpin yang sudah pastinya bukan daripada golongan LGBT.
Pemimpin yang bebas daripada sebarang fahaman selain fahaman berpandukan al Quran dan sunnah.
Masih wujudkah pemimpin harapan dunia ini?



Rujukan :
Al Quran
Majmu’ Rasail
Fiqh sirah al Buti
Muntalaq
Jahiliyatul Qarnil 'Isyrin
**Kaedah menemu ramah golongan LGBT telah diadakan dalam 2 bulan yang lalu

Nurnazhifa bt Abd Rahman
Ketua Beliawanis Pembina UPM


Tahukah anda perihal terbitan buku Dubook?Dubook lahir dalam dunia penerbitan buku sejak tahun 2010. Buku-buku keluaran Dubook kebanyakannya hasil tulisan anak-anak muda berkisarkan realiti kehidupan seharian, negara, politik, mahasiswa dan sebagainya. Sebagai contoh Aku Kafir Kau Siapa?, Masyarakat Melawan Mahasiswa, Benz Ali Antithesis, dan Alif Lam Lam Ha.

Sungguhpun buku-buku mereka laris di pasaran umpama “pisang goreng panas”, ketahuilah kebanyakan penulisan dalam terbitan Dubookbagai berfikir dan menulis tanpa batas di mana sering membawa idea gila-gila belia, isi kandungan yang tiada hala tuju, bersifat liberal (lihat: bebas berfikir), mengelirukan, atheism, menghina agama, menghina ulama dan yang lebih mengejutkan sehingga menghina Tuhan.

Tidak dinafikan ada buku-buku mereka yang boleh diterima akal, namun kebanyakannya membawa kesan negatif dan menggunakan bahasa yang kesat dan kasar. Kesan negatif yang dapat digariskan termasuklah anak muda lebih cepat memberontak, mudah terpengaruh dengan ideologi (lihat: pemikiran) yang merosakkan, berfikir secara emosional, hilang hormat pada pimpinan dan agamawan, dan menjadikan anak muda mudah meluahkan sesuatu samada melalui perkataan, penulisan, perbuatan atau tindakan secara melampau.

Pada 28 Mei 2015 jam 12.00 sehingga 2.00 petang akan diadakan Carbook Sale yang menampilkan buku-buku terbitan SFP, TM, Dubook dan lain-lain bertempat di Pintu Belakang UPM. Oleh itu,PEMBINA menegaskan buat semua mahasiswa dan golongan belia, tidak bermaksud anda tiada hak untuk membaca buku-buku terbitan Dubook, tetapi disarankan mahasiswa yang menjadikan bahan bacaan seperti ini sebagai koleksi bacaan dinasihatkan untuk mempunyai pegangan agama yang kuat berikutan penulisan jenis ini mudah mempengaruhi orang lain.Selidiki bahan bacaan terbaik untuk pembangunan potensi belia, dan menjadi pembaca yang bijak ketika memilih bahan bacaan supaya dapat memandu fikiran generasi muda atau mencari sumber bacaan yang dapat mengukuhkan pegangan agama.

Hal ini kerana, kita tidak mahu mahasiswa atau golongan belia di luar sana menyokong intipati hasil air tangan penulisan golongan liberal dan lain-lain, seterusnya mendokong agenda perjuangan mereka yang lari dengan syariat Islam. Andai kata berniat membeli buku-buku yang disebutkan di atas dengan tujuan memerhati, menganalisa dan diambil pengajaran, maka ia dibolehkan.

Wallahua’lam.

Nazatul Shima Binti Masri
Biro Aktivisme Mahasiswa
PEMBINA UPM








Dewan PJSD, Kolej Serumpun, UPM- Pada 2 Mei 2015 telah berlangsung Forum Selamatkan Akidah Ummah. Forum yang diadakan ini merupakan acara kemuncak bagi program Kempen Selamatkan Ummah dengan tema “Akidah Teguh Ummah Terperihara” yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional, Universiti Putra Malaysia, PEMBINA UPM. Kempen yang dianjurkan ini berlangsung selama sebulan bermula pada 19 April sehingga 2 Mei.

Panel jemputan ialah Ustaz Syed Ahmad Israa Syed Ibrahim dan ditemani oleh  saudara Muhammad Nasaruddin selaku moderator bagi bersama-sama membincangkan topik yang bertajut Selamatkan Akidah Ummah.
Panel jemputan bersama moderator


“Liberalisme ini wujud sejak zaman kegelapan Eropah yang mencatatkan satu zaman di mana ketika itu manusia berada dalam keadaan gelap gelita tanpa sinar ilmu, jahiliyah. Barat berada di zaman kemuncaknya apabila golongan gereja dan penguasa menekan dan menindas rakyat Eropah pada ketika itu sehingga ia membentuk satu dorongan yang kuat untuk bebas dari cengkaman gereja dan cengkaman ekonomi yang lembab”, jelas Ustaz Syed Ahmad ketika ditanya mengenai asal usul kewujudan konsep liberalisme.

Ustaz Syed Ahmad juga menjelaskan bahawa liberalisme yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan oleh akal dan nafsu manusia melebihi wahyu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT iaitu berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

“Kita sebagai umat Islam harus meletakkan diri pada tempat yang sepatutnya dan kita harus tahu hak asasi yang dituntut dalam Islam adalah apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan kita seharusnya dapat membezakan hak asasi barat yang hanya berlandaskan kebebasan tanpa sebarang ikatan.” Terang Ustaz Syed Ahmad ketika ditanya mengenai sejauh mana hak asasi manusia ini diperjuangkan.

“Kebebasan yang diperjuangkan oleh barat hanya akan menjerumuskan kepada kehancuran semata-mata kerana ianya bersifat tanpa sempadan untuk bebas daripada undang-undang.” Tambah Ustaz Syed Ahmad.
Ustaz Syed Ahmad menegaskan bahawa aliran pemikiran liberalisme yang dicipta oleh Barat ini hanyalah untuk mengelirukan umat Islam mengenai ajaran fahaman Islam yang sebenarnya.

“Kita perlu membina kekuatan akidah serta kefahaman mengenai Islam dan harus fahami kalimah syahadah secara mendalam agar tidak mudah terpengaruh dengan konsep-konsep pemikiran yang dibawa oleh Barat.” Jelas Ustaz Syed Ahmad sebagai saranan atau langkah yang patut diambil oleh mahasiwa untuk mencegah diri daripada ancaman-ancaman yang membawa kepada keruntuhan akidah umat Islam.

Pada akhir forum ini, PEMBINA UPM telah menjemput kumpulan nasyid FETYA bagi melakukan persembahan nyanyian nasyid yang ditujukan khas buat mahasiswa mahasiswi UPM.

Wartawan Biro Media dan Promosi, PEMBINA UPM
Noor Khairina bt Mohd Said.



“Dulu lain, sekarang lain, mana boleh samakan dahulu dan sekarang”,

Ini adalah jawapan cliché yang sering digunakan sekiranya disoal mengenai perbezaan kelakuan, pengamalan adat  dan sebagainya yang melibatkan dua zaman.

Ya, benar! Dulu dan sekarang memang sangat berbeza, tapi cuba lihat kembali sama ada perbezaan itu telah mewujudkan satu jalan cerita baharu yang positive mahupun yang negative.

Tetapi harus kita  ingat! Dua panduan hidup umat islam sentiasa sama untuk sepanjang zaman iaitu Al-quran dan sunnah.
            Jika dahulu, seorang pemuda lah yang telah menjulang tinggi agama islam. Tapi kini, di manakah nilai seorang pemuda itu dalam mengangkat mahupun membawa nama Islam itu sendiri.

Ingatkah kita akan kisah Ashabul kahfi?
Kisah agung ini  telah Allah titipkan dalam ayat-ayat cintaNya untuk dijadikan tatapan pemuda sepanjang zaman. Kisah yang menggambarkan  pemuda yang beriman dan kecekalan  mereka dalam mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda juga mereka sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan islam sehingga mereka tidak sanggup menggadaikannyal.

Mereka lebih rela mempertahankan iman dan agama biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan terasing. Bahkan sanggup sekiranya terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun. Kisah ini bukan sahaja untuk dibanggakan oleh seorang yang bernama pemuda tetapi harus dikutip segala nilai yang ada pada ashabul kahfi tersebut untuk diaplikasikan pada zaman yang penuh fitnah ini.    
    
Hari ini, pemikiran pemuda kita telah didoktrinkan dengan pelbagai jenis ancaman daripada barat. Hal ini kerana mereka tidak mahu lagi melihat sejarah seperti ashabul kahfi, Sultan Muhammad AL-Fateh  dan beberapa tokoh pemuda yang lain itu kembali berulang. Tanpa disedari, pemudalah yang digunakan sebagai bahan ekperimentasi dalam rancangan jahat mereka dan dengan  relanya juga kita menyerah diri untuk dijadikan bahan uji kaji mereka. 

Jika dilihat akan virus yang telah dialirkan musuh dalam darah pemuda, Hedonisme adalah virus yang paling kuat dan dekat dengan jiwa pemuda. Hedonisme ini dapat disingkapkan sebagai fahaman bahawa keseronokan merupakan matlamat utama dalam hidup. Hedonisme juga merupakan ajaran atau pandangan bahawa kesenangan atau kenikmatan merupakan tujuan hidup dan tindakan manusia.
           
Melalui terjemahan maksud hedonisme itu sendiri  telah jelas menunjukkan  betapa tersasarnya ia daripada tujuan hidup utama umat islam iaitu sebagai  khalifah dan untuk beribadat kepada Allah S.W.T.
Tetapi adakah kita pernah sedar akan hal ini?

Mungkin dalam kesedaran juga kita masih tidak dapat menepis serangan ini kerana masih ada yang beranggapan “ Muda hanya sekali, apa gunanya hidup kalau tak enjoy”. Islam tidak pernah menghalang kita untuk berhibur, tapi dalam berhibur juga ada batasnya. Ini tidak, semua jenis hiburan disapu, malah hiburan yang menjauhkan diri daripada menginggati Allah itulah yang lebih digemari oleh pemuda sekarang berbanding hiburan yang lebih mendidik jiwa. Bersesak-sesakkan dalam kelompok yang ramai, duduk bercampur antara lelaki dan perempuan dalam suasana yang gelap hanya dipandang enteng demi mendapatkan satu keseronokkan dunia semata-mata.

Masih ingat kah kita akan firman Allah,
“Maka pernah kah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuanNya, dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah(membiarkannya sesat)? Mengapa kamu tidak mengambil pengajaran.”                           [ Surah Al-Jathiyah : 23]

            Barah hedonisme ini hanya dipandang sepi oleh pemuda sedangkan kesannya sudah banyak dapat dilihat walhal dengan pandangan mata kasar sekalipun. Adakah kita tidak pernah terfikir bahawa isu pembuangan anak, zina dan pelbagai lagi masalah dalam kalangan pemuda itu berpunca daripada fahaman hedonisme yang diagung-agungkan ini. Ada yang berkata “tua nanti kita bertaubatlah”, tetapi  adakah kita dapat menjamin bahawa kita dapat hidup sehingga hari tua, justeru membenarkan diri dalam arus keseronokkan yang sia-sia . Sedangkan ada sahaja mereka yang diambil nyawa oleh Allah dalam keadaan berbuat maksiat. Semoga kita dijauhkan. 

            Kesimpulannya, pilihan ada ditangan kita, Allah telah mengurniakan akal bukan untuk dijadikan hiasan semata-mata, tetapi untuk digunakan dalam mengatur perjalanan  kehidupan sebagai hamba Allah. Sudah banyak yang menyampaikan mengenai bahang  hedonisme dan kesannya. Adakah kita masih ingin menzalimi diri sendiri dengan membenarkan bahang tersebut menjadi suatu kebiasaan kepada diri kita, sahabat-sahabat terdekat, ahli keluarga dan sebagainya?

Saya tinggalkan ruang ini dengan sebuah kata-kata yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu a’la. “ Sesungguhnya Allah sangat mengkagumi pemuda yang tidak ada baginya masa muda( berhibur dan bersuka-ria).  Sedangkan barat telah mencucuk-cucuk kita untuk mencari keseronokan ini.

Oleh itu saya menyeru semua pihak terutama di bumi UPM khususnya berjaga-jaga dengan budaya hedonisme. Anjuran program juga tidak seharusnya berunsurkan hedonisme. Pihak penganjur dan peserta program sentiasa ada pilihan.

“ Wahai orang yang beriman ¡ Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”             [Surah Al-Baqarah : 208]

 Masih adakah alasan untuk berhibur mengikut hawa nafsu?

Ditulis oleh:
Siti Nur Athirah bt Ismail,

SETIAUSAHA 1 PEMBINA UPM.