Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan


UPM, 22 Feb – Persatuan Belia Islam Nasional Universiti Putra Malaysia (PEMBINA UPM) telah menganjurkan Solat Hajat Perdana dan bacaan Yaasinn sebentar tadi di Surau Serumpun.

Solat Hajat yang dijalankan secara berjemaah adalah bersempena pembukaan semester baru bagi tahun 2016 yang dihadiri seramai 50 orang peserta lelaki dan perempuan.

Seusai solat hajat dan bacaan yaasinn, saudara Azlan Wildan selaku mahasiswa PhD UPM telah dijemput untuk berkongsi tips-tips kejayaan di samping mengimbau sejarah-sejarah Islam.

“Kesilapan kita orang Islam dalam dunia sekarang ini, kalau nak dibandingkan Islam masa zaman Abbasiyah di mana mereka sangat pentingkan ilmu,” kata Azlan Wildan.

“Pada zaman Abbasiyah itu adalah The Golden Age of Islam.”

“Pada zaman itu mereka sangat pentingkan ilmu, mereka merasakan ilmu itu nantilah yang akan memberi manfaat kepada manusia sejagat.”

“Tetapi zaman hari ini hanya pentingkan duit.”

“Ilmu itu untuk buat duit, mendapat kesenangan di atas muka bumi tanpa merasa betapa cintanya ilmu itu dalam hidup dia,” ujarnya.

Tambahan itu, beliau mengupas kata-kata Imam As-Syafie yang sangat mencintai ilmu dengan mengatakan bahawa sikapnya yang mencari ilmu adalah umpama seekor ibu ayam kehilangan anaknya.

Pada masa yang sama, saudara Azlan Wildan menyarakan beberapa tips kejayaan bagaimana untuk istiqamah dalam usaha serta mengekalkan momentum untuk belajar.

“Nabi memesan pada awal sekali, Inna mal a’maalu binniat.”

“Jika pada awalnya kita niat untuk dunia, maka kita dapat dunia tetapi jika kita niat kerana Allah maka Allah akan bagi ganjaran yang sangat besar kepada hambaNya.”

“Orang yang dekat hatinya dengan Allah s.w.t, orang itulah yang paling hampir dengan kejayaan,” tambahnya.

Beliau seterusnya mengingatkan agar mahasiswa menetapkan matlamat hidup dan mengenal pasti apa sebenarnya yang kita mahu dalam hidup.

“Barangsiapa yang mengejar redha Allah, maka dia akan mendapat dunia dan akhirat.”

“Ilmu bukan milik manusia dan manusia tidak pernah mencipta ilmu melainkan Allah,” tegas beliau.


Akhir sekali, beliau turut memesan untuk menjaga mata dan hati untuk mengelakkan kotornya hati kita yang menyebabkan sukarnya untuk menerima ilmu dan kembali kepada Allah segera jika merasa iman semakin jatuh yakni tanda kita semakin jauh dengan Allah.




UPM, 14 Mac 2015 – Beliawanis PEMBINA UPM telah menganjurkan Malam Bina Iman dan Takwa (MABIT) yang berlangsung  di surau Kolej Canselor  dengan kehadiran seramai 29 orang peserta dari pelbagai kolej. Sasaran MABIT kali ini adalah bertujuan untuk membuka hati dan minda mahasiswi mengenai “Manisnya tarbiyah”.

Pengisian yang bertajuk “Manisnya Tarbiyah” telah disampaikan oleh Saudari Sharifah Abdul Samad yang merupakan salah seorang daripada Jawatankuasa PEMBINA pusat.
Menurut saudari Sharifah, “tarbiyah adalah untuk memperbaiki diri dan juga perbaiki orang lain dan seseorang yang telah ditarbiyah haruslah bersedia untuk berubah kepada yang lebih baik dan menjadi "unusual" atau "rare" daripada orang lain.
Saudari Sharifah juga mengatakan bahawa banyak perkara yang perlu kita korbankan semasa memperjuangkan agama Allah SWT. Antaranya ialah masa,  duit, rakan-rakan dan banyak lagi.
Namun begitu, saudari Sharifah memberi peringatan bahawa sebagai seorang yang beragama Islam, kita harus yakin dengan janji Allah SWT seperti mana Firman Allah SWT dalam surah Muhammad, ayat 7 iaitu 

“Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”.

Berdasarkan pengalaman beliau dalam tarbiyah, “Allah SWT telah menghantar sahabat-sahabat yang baik untuk turut bersama-sama berjuang menegakkan agama Islam”. Tambahan pula, asas penting dalam dakwah juga adalah ukhuwah dan kita juga merupakan antara orang-orang yang terpilih untuk terus berada di jalan dakwah dan tarbiyah ini.

Sarah Aliah Najib
Wartawan Biro Media dan Promosi PEMBINA UPM


Bumi dan tanah rahmat, bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi, tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau.
Bagi umat Islam, di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan 'Tanah Yang Dijanjikan Tuhan' kepada mereka.
Di situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci mereka.
Atas kedua-dua sebab inilah, tanah tersebut menjadi rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak dari dahulu, hinggalah membawa kepada pertumpahan darah sekarang.
Bagaimana dengan Kristian pula? Kristian juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran Nabi Isa.
Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib (mengikut kepercayaan kristian).
Sejarah Awal
Sebenarnya sejarah bani Israel wujud sedari zaman Nabi Ibrahim lagi. Namun, kita susuri sedari kependudukan Bani Israel itu di Mesir, sepertimana yang diutuskan Nabi Musa a.s kepada mereka.
Kita tahu melalui al-Quran, bahawa Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke Laut Merah, di mana ketika itu Nabi Musa menggunakan mukjizatnya membelah dan menyeberangi lautan tersebut.
Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut.
Kita boleh baca sendiri dalam al-Quran, betapa kaum ini semakin lama semakin besar kepala, meminta yang pelbagai daripada Nabi Musa dan sebagainya.
Kita juga boleh lihat kisah Talut dan Jalut yang berlaku setelah kewafatan Nabi Musa, sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran melalui surah al-Baqarah.
Setelah Talut menawan kembali tanah Palestin daripada kekuasaan Jalut, tampuk pemerintahan Palestin disambung pula oleh Nabi Daud. Seterusnya disambung oleh Nabi Sulaiman, dengan bala tenteranya dan kegemilangan kerajaannya (termasuk haiwan, jin dan angin).
Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa.
Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di tanah Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin dijarah oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar lalu tersebarlah kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata dunia.
Sejak itu, tanah Palestin menjadi milik kerajaan Rom.
Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian.
Lebih kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja Constantine yang menjadikan Constantinople sebagai pusat pemerintahan, mengalami Kristianisasi.
Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom menguasai Palestin.
Kedatangan Islam
Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi.
Empayar Islam semakin berkembang dan Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka sedari itulah Palestin menjadi milik Islam, sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah.
Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan Rom yang telah menjalani Kristianisasi mengalami pelbagai perubahan daripada sudut struktur pemerintahan.
Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan gereja.
Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II memberikan 'fatwa' mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang mendapatkan kembali Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi.
Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades).
Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.
Menawan Semula
Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat.
Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi.
Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin.
Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibu negara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan.
Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai.
Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin di luar.
Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.
Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi.
Proses modenisasi semakin berlaku, dan kebergantungan terhadap kuasa barat semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah.
Khalifah pada masa tersebut hanyalah pada nama. Empayar Islam semakin lemah, di bawah kekuasaan barat seperti Britain dan Perancis.
Perang Dunia Pertama
Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya Perang Dunia Pertama. Perang ini terdiri daripada dua kuasa besar; iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Rusia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary.
Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Itali menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.
Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur diserang dan ditawan oleh Britain.
Kerajaan Islam Barat yang menjangkau hingga ke Algeria dan Sudan manakala negara-negara utara Afrika dikuasai oleh Perancis.
Kerajaan Islam juga diserang dari utara oleh Rusia, menyaksikan Rusia menawan kawasan utara kerajaan Islam.
Perlu diberi perhatian bahawa pada ketika ini, masih belum wujud negara bangsa dan kerajaan Islam disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.
Perpecahan Negara Arab
Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisme di negara-negara Arab.
Pejuang kebangsaan/nasionalisme Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah.
Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal I, berpaling tadah dan memihak kepada Britain.
Sejak itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain. Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin.
Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan, "Hari ini, Perang Salib sudah berakhir".
Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi.
Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 penduduk sebelum itu kepada mencecah setengah juta penduduk, manakala penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.
Wakil daripada Yahudi ketika Deklarasi tersebut merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann.
Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan Britain dalam perang tersebut.
Weizzman mendesak Setiausaha Luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut.
Dek terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju.
Pada mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour:
"Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?"
"Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!"
"Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!"
Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.
Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.
Pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama.
Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin.
British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Bertitik tolak daripada situ wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.
Kejatuhan Turki Uthmaniyyah
Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul.
Pada tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa tuntutan seperti sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar sekular.
Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.
Seorang ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding pihak pakatan ketika itu, "Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan kolonial?"
Lord Curzon menjawab, "Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya - Khalifah dan Islam".
Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan ke atas kabinet Turki ketika itu, lalu merombak parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan tersebut.
Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut.
Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik lalu merampas tampuk pemerintahan. 3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan.
Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, Khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri.
Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.
Holocaust
Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler.
Ketika tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang dikenali sebagai Action T4.
Pelan ini merencanakan pembunuhan Euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan hampir seramai 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh.
Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.
Penglibatan Amerika Syarikat
Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel.
Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki.
Setelah Holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang ada adalah sedikit, serta mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan.
Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry Truman.
Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) lalu pemisahan Palestin dideklarasikan.
Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB.
Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini.
Presiden Israel yang pertama ialah Chaim Weizmann.
Palestin Sekarang
Sedari peristiwa Holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas dasar terbuka negara tersebut terhadap mereka, serta ramai juga yang pulang ke tanah air di Israel.
Yahudi di Amerika diterima dengan tangan terbuka, bantuan dan pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas kasihan akibat Holocaust tersebut.
Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika.
Amerika, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang didirikan di atas tanah Palestin yang dirampas secara haram.
Sehingga kini, Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Palestin pula berjihad, dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa.
Sejak kerajaan khalifah Islam tumbang, tiada sesiapa lagi yang mahu menyokong Palestin.
Negara-negara Islam yang lain tunduk takut dan akur kepada Amerika.
Sampai bila keadaan ini akan berakhir? Hanya dua; sama ada Palestin akan terus dihapuskan dan Masjidil Aqsa dimusnahkan dalam usaha mereka mencari Temple of Solomon, ataupun tertegaknya kembali kerajaan khalifah Islam yang menyokong perjuangan Palestin.
Di manakah kita? Kita boleh berdiam diri tidak berbuat apa-apa, sekaligus menjadikan kesudahan yang pertama tadi sebagai realiti.
Ataupun, kita boleh berusaha melakukan sedaya upaya menyokong perjuangan Palestin, yang membawa kepada kesudahan yang kedua.
Fikir-fikirkan.
SUMBER: http://www.iluvislam.com/berita/81-dunia/774-sejarah-palestin-a-israel.html
dipetik dari: http://hafiz-langitbiru.blogspot.com/2011/08/rasulullah-menangis-di-padang-mahsyar.html 


Selawat ke atas nabi Muhammad S.A.W. 

Sayangilah Baginda Rasulullah...

Cintailah Baginda Rasulullah...

Kerana
Rasulullah tersangat sayangkan umatnya...
Sayang Rasulullah kepada kita hinggalah tibanya hari kiamat...
Semoga...
Kita semua beroleh syafaat Rasulullah SAW..

Sollu 'ala Nabi...



Wahai seorang kekasih,

telah lama kau dirindui,

pilu sedih dlm kerinduan,
mnangis pun xberair mata,
namun hati tetap gembira,
syafaatmu, menanti disana,

sungguh tabahnya hatimu,
menanggung derita yg melanda,
biarpun pedih, pedih terseksa,
kerana ummat kau tempuhi jua,

Wahai rasul kaulah segalanya,
contoh terbaik umat akhir zaman,
akhlakmu tinggi kan kami jejaki,
sifatmu sempurna pelengkap peribadi.

Wahai rasul, kami merindui,
sinaran wajahmu mendamaikan jiwa,
manis senyuman mu,
penawar hiba,
dihati kami, kaulah segalanya. 




Di bulan Ramadhan yang mulia ini, dunia digegarkan lagi dengan isu serangan Israel ke atas bumi Gaza, Palestin. Berita-berita terkini disiarkan melalui media seperti siaran televisyen tempatan dan antarabangsa. Tidak terkecuali dilaman sosial sama ada blog, Facebook, Twitter mahupun Instagram tentang perkembangan isu ini termasuk juga dalam telefon pintar seperti aplikasi Whatsapp dan sebagainya.

Isu Palestin seperti tiada kesudahan, hari ke hari perkara ini sudah dianggap sebagai satu kebiasaan dan bukan lagi sebuah perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin yang terletaknya Masjid Al-Aqsa daripada penguasaan zionis Israel.

Sedang kita di Malaysia aman berpuasa dan berbuka bersama keluarga dan sanak saudara di bulan Ramadhan, saudara kita disana dihidang dengan bedilan bom dan serangan udara yang telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan rakyat yang tidak berdosa.

Perkara ini realitinya berlaku. Namun, sedarkah kita?

Berapa ramai diantara kita  yang sebenarnya cakna tentang apa yang sedang dialami oleh saudara kita disana?

Ingin saya kongsikan disini, secara umumnya, umat Islam pada hari ini yang dianggarkan berjumlah 1.6 billion merupakan antara ¼ dari penduduk dunia dan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis golongan terhadap isu Palestin.

Golongan yang tidak tahu langsung atau hampir tidak mengetahui mengenai isu Palestin
Golongan yang berputus asa dan tidak memberi harapan kepada Palestin
Golongan yang meletakkan kepada tindakan yang terletak kepada kuasa-kuasa besar dunia
Golongan yang mengharapkan keajaiban tanpa usaha, lantas hanya terus duduk dan menunggu kedatangan penyelamat seperti Imam Mahadi dan Nabi Isa serta yang lain-lain
Golongan yang menyakini bahawa kemenangan akan dimiliki semula dengan mencontohi perjuangan generasi yang sebelum ini
Golongan yang hanya mengetahui dan cakna akan perkara ini bila mana dipaparkan di media massa seperti Facebook dan Twitter tetapi hanya sekadar berkongsi kisah sedih dan menumpang simpati.

Maka wajarlah kita cermin kembali diri kita, dimanakah kedudukan kita?Muhasabah diri kita.

Apa yang kita lihat hari ini, pada dasarnya merupakan perebutan antara dua kumpulan mengenai tuntutan kawasan tanah oleh Rejim Zionis yang menubuhkan Negara haram Israel dan juga rakyat Arab Palestin yang mempertahankan tanah air mereka.

Bumi Palestin yang pada suatu masa dahulu merupakan sebuah negara yang cemerlang. Seperti yang kita sedia tahu bahawa generasi Salahuddin telah berjaya menguasai Palestin kerana kecemerlangan akhlak dan kehebatan rohani di kalangan umat Islam pada zaman tersebut.

Namun, tanah umat Islam Palestin kini hanya tinggal sebahagian kecil yang terbahagi kepada dua iaitu Semenanjung Gaza yang bersempadan dengan Negara Mesir yang diketuai oleh pemimpin Hamas, Ismail Haniyeah Al- Asyqar dan Tebing Barat yang dikuasai puak Fatah dipimpin oleh Presiden Mahmoud Abbas, di mana jarak di antara dua negeri ini dipisahkan dengan kawasan yang sedang dikuasai zionis Israel.

Salahuddin al-Ayyubi merupakan seorang yang wara’  dan sentiasa mendirikan solat secara berjemaah. Bahkan ketika sakit, beliau memaksa dirinya untuk hadir bersama bagi mendirikan solat di belakang Imam. Beliau tidak pernah meninggalkan solat berjemaah melainkan beberapa hari ketika sakit sebelum kewafatan menjemputnya.

Selain itu, beliau senantiasa bangun malam untuk mendirikan solat Tahajjud. Dan inilah antara amalan sunnah yang tidak pernah ditinggalkan oleh para pejuang dan pendokong Islam yang tercoret dalam diri mereka seperti yang dilakukan sendiri oleh Nabi S.A.W, para sahabat seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab, Umar Abd Aziz dan lain-lainnya.

Melihat kepada perwatakan mereka, buat seketika waktu, cubalah kita muhasabah dan bandingkan dengan keadaan sebenar kita pada hari ini.

Selagi mana Muslim tidak bangkit dan menunaikan solat subuh secara berjemaah seperti ramainya ketika solat Jumaat, selagi itu orang Islam masih dalam keadaan lemah. Memang tiada nas yang jelas bahawa Zionis akan hancur jika solat Subuh berjemaah sama seperti solat Jumaat. Ia bukan satu keyakinan seperti menunggu turunnya Imam Mahadi tetapi ia adalah satu semangat bahawa Islam dapat dibangunkan bermula dengan menjadikan solat Subuh berjemaah sama seperti solat Jumaat.

Realitinya adakah ini akan berlaku dengan perilaku kita sendiri pada hari ini? Muhasabah diri kita.

Tidak usah diceritakan lagi bagaimana golongan ini menindas, menyiksa, dan memperlakukan saudara kita seperti binatang. Kanak kanak kecil dibedil, disembelih, diacukan pedang dan pistol manakala wanita-wanita diperkosa, disiksa dan dibunuh dengan kejam.

Namun, betapa kuatnya semangat dan keazaman mereka ini mempertahankan tanah air mereka. Apabila mereka diajukan soalan,

“ Mengapa tidak ditinggalkan sahaja negara ini dan berhijrah ke negara lain kerana cubaan yang diberikan kepada kalian cukup besar?”.

 Maka mereka menjawab.

“ Jika kami keluar dari Tanah ini (Palestin), maka siapa lagi yang akan menjaga Masjid suci Al-Aqsa?
Siapa lagi yang akan menjaga tanah waqaf Umat Islam?
Biarlah kami tetap disini, mewakili kalian (seluruh umat Islam di dunia), saudaraku.”

Subhanallah.
Betapa besarnya pengorbanan mereka untuk kita seluruh Umat Islam. Sedang kita di Malaysia, walaupun terdapat usaha-usaha membantu rakyat Palestin melalui sumbangan kewangan kepada  NGO yang khusus membantu rakyat Palestin, tetapi masih ramai lagi yang lalai dan alpa tentang isu di Palestin.

Apatah lagi mahu berjuang untuk saudara kita walaupun dengan sekecil-kecil usaha dan sehebat-hebat senjata umat Islam iaitu doa. Itupun kita tidak mampu.

Apabila diseru untuk memboikot syarikat yang mempunyai kaitan dengan zionis Israel seperti restoran makanan segera McDonald yang kita tahu sebenarnya banyak menyumbang kepada pembangunan Israel, masyarakat menjadi kecoh.Sama ada memboikot atau berkecuali.

Sedangkan golongan bukan Islam di luar negara turut memberi sokongan kepada saudara kita di Palestin, dengan sama-sama memboikot pengusaha seperti ini. Dengan mengadakan demonstrasi setidak-tidaknya, untuk membela umat kita atas dasar kemanusian.

Apakah yang kita lakukan disini? Sejauh mana kesedaran kita dan tindakan kita? patut kita tanya kepada diri kita sendiri.

Firman Allah dalam surah Ali- 'Imran,
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dengan memberikan pertolongan-Nya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik matahatinya)." [3:13]
Perjuangan ini tidak mungkin berhenti di sini. Islam pasti akan menang seperti yang dijanjikan Allah S.W.T. Namun, apakah kita ingin meraikan kemenangan tersebut tanpa kita memberikan sumbangan apa-apa terhadap Islam. Pastinya kita adalah yang paling rugi. Bangunlah wahai pejuang -pejuang Islam. Apa yang paling kita perlukan buat masa sekarang ialah kesedaran.

Wallahualam.

Oleh:
Nadia Hanani Ahmad Habibillah
Bachelor Of Aerospace Engineering
Biro Aktivisme Mahasiswa
Pembina Upm.
Assalamu’alaikum w.b.t.

Terima kasih diucapkan kepada pihak PEMBINA UPM kerana telah menjemput saya untuk menghadiri Program Daurah khas bagi pelajar tahun pertama ijazah semester pertama pada hari Ahad, 15/12/2013 dari 8.30 pagi hingga 1.30 petang bertempat di Masjid Besar UPM. 

Alhamdulillah dan rasa syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T kerana diberi peluang dan kesihatan yang baik untuk menjalani program yang dianjurkan pihak PEMBINA.

Daurah yang saya hadiri ini bertajuk Serangan Pemikiran: Sejarah Liberalisme Dan Ancamannya Di Malaysia Masa Kini telah disampaikan oleh Ustaz Mus’ab Norkefli lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir. 

Hadirnya saya dalam program daurah kali pertama ini telah membuka mata dan minda saya dengan lebih jelas tentang ancaman pihak luar yang membawa masuk serangan-serangan halus yang bukan berbentuk fizikal, iaitu serangan pemikiran yang mana serangan ini ditujukan khas untuk pemuda dan pemudi seluruh dunia. Serangan pemikiran yang berbentuk ancaman tidak sihat lagi merosakkan ini sebenarnya amat dispesifikasikan skopnya kepada para pemuda dan pemudi Islam sebenarnya. 

Hal ini kerana, sebelum ini saya hanya memahaminya serba sedikit melalui pembacaan sahaja, dan belum pernah mengikuti mana-mana program atau ceramah khas yang menerangkan bahaya liberalisme itu sendiri.
Oleh itu, saya amat berbesar hati apabila dijemput dan sukacita dimaklumkan bahawa daurah yang saya hadiri ini menjana pemikiran yang selama ini kurang terbuka mengenai isu semasa secara lebih mendalam.

Selain itu, bagi menyokong kenyataan saya ini adalah ramai orang termasuk diri saya sendiri tidak sedar dengan ancaman dan serangan halus yang dimainkan oleh musuh Islam. Buktinya, ramai pemuda pemudi semakin parah akhlaknya, semakin hilang budaya timurnya, semakin tenat rohaninya dan semakin tegar mereka dengan dunia yang kosong nilainya.

Tambahan, input yang saya terima hasil daripada program ini ialah dapat memahami dengan lebih jelas dan faham sejarah terciptanya liberalisme, tujuan dan objektif liberalisme diwujudkan, pengasas sistem liberalisme, para pengikut liberalisme dan negara yang terlibat dengan sistem liberalism serta isu masa kini yang berkait dengan liberalisme. 

Hasil pendedahan yang progresif dilakukan dapat menjadikan saya dan sahabat-sahabat lebih cakna, berhati-hati dan mendalami kesan-kesan sistem liberalisme melalui aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang disediakan.

Perbincangan dalam kumpulan tentang ancaman liberalisme

Dalam LDK itu sendiri, secara peribadi dan secara tidak langsung dapat saya fahami bahawa tugas yang diberikan itu adalah sebahagian kriteria yang terdapat dalam sistem liberalisme demi tujuan mereka yang satu, iaitu untuk menghancurkan jati diri dan agama serta akhlak pemuda pemudi Islam hari ini. 

Tugas yang diberikan kepada kumpulan-kumpulan (akhwat) yang terlibat semasa menjayakan daurah ini ialah isu berpasang-pasangan sebelum nikah atau istilah “couple”, isu syiah, konspirasi musuh Islam dan gejala hedonisme. Tidak dapat dinafikan bahawa inilah antara ancaman para pemuda pemudi hari ini yang masih ramai tidak menyedari bahawa mereka diulit alam fantasi di dunia ini yang noktah hidupnya mungkin hari ini.

Akhir kalam, saya faham dan jelas objektif adanya program daurah yang dianjurkan PEMBINA supaya anak-anak muda kembali kepada realiti dunia hari ini dan tidak tersangkut kepada konspirasi musuh Islam tanpa ada agenda dalam diri. 

Alhamdulillah banyak manfaat yang diterima dan diucapkan tahniah kerana program berlangsung mengikut jadual yang dirancang.

Saya percaya, jadual yang disusun itu  dipermudahkan oleh Allah S.W.T sehinggakan saya menghadiri mana-mana program anjuran PEMBINA, walaupun waktu program bermula tidak mengikut perancangan disebabkan beberapa faktor. 

Namun dengan izin Allah S.W.T, program yang dijalankan dapat disempurnakan mengikut waktu yang direncanakan. 

Apapun, syabas dialunkan kepada semua pihak yang menjayakan dan mudah-mudahan dapat meneruskan program dan mengajurkan aktiviti berbentuk dakwah dalam skop isu semasa pada masa akan datang. Besar harapan saya untuk melihat PEMBINA terus mekar dan maju ke hadapan, membawa nama Islam seterusnya meneraju arus mahasiswa yang tidak akan padam. 
Wallahua’lam.

Artikel oleh:
Nazatul Shima Binti Masri
Bacelor Pengurusan Alam Sekitar,
PEMBINA UPM.

Seorang lelaki berumur datang ke sebuah kampung. Dia melihat beberapa orang pemuda berkumpul. Dia dihormati dan dijemput. Lelaki itu pelik kerana tidak menjadi kebiasaan pemuda di kampung-kampung berperilaku sedemikian. Mereka berbincang tentang masalah-masalah penduduk. Perbincangan mereka seperti pemuda yang berilmu dan berpengetahuan tinggi.

Mereka berbincang ringkas dan padat. Malahan mereka mengetahui sirah rasul apa yang tidak diketahui oleh mahasiswa-mahasiswi.

Lalu lelaki itu bertanya, "Dari mana kamu belajar semua ini?"

Mereka menjawab, mereka daripada Ikhwanul Muslimin.

Begitu jawapannya membuatkan lelaki itu berminat dengan ikhwan dan akhirnya dia turut serta dalam perjuangan Ikhwanul Muslimin. Dan lelaki itu adalah Hassan Hudhaibi, Mursyidil Am ke-2 Ikhwanul Muslimin.

Begitulah apa yang PEMBINA ingin bawa kepada para pelajar semua. Kita tidak mahu hanya sekadar menjadi bahan-bahan industri kelak apabila menjejak kaki keluar dari universiti ini.

Kita tidak mahu hanya cemerlang di akademik tetapi lupa tentang apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di luar sana.

Apakah kalian tidak ingat akan kata Rasulullah bahawa:

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”

Harus kita sebagai seorang pemuda, bergerak menegakkan panji-panji jihad. Sesungguhnya definasi jihad itu tidak terhad setakat mati syahid. Jihad definasinya lebih luas. Seluas apa yang kita dengari dan fahami.

Belajar itu juga jihad. Jihad demi ummah!

Baik. Mari saya berikan satu analogi.

Seorang pelajar yang pada keesokan hari akan menghadapi peperiksaan akhir. Dia telah bersedia dengan pelbagai maklumat untuk menjawab peperiksaan itu nanti. Apabila pagi esoknya pula, sedang dia bersiap untuk ke dewan peperiksaan, dia menerima panggilan dari rumah. Ayahnya sakit tenat.

Apakah yang perlu pelajar itu buat? Jika dia tidak menghadiri peperiksaan ini, tentunya dia akan gagal. Mungkin dia boleh balik lambat kerana ayah hanya sakit tenat. Sekejap sahaja ayah perlu menunggu.

Jadi jika saudara dalam situasi ini apakah pula keadaannya bagi saudara?

Pastinya kita akan meninggalkan peperiksaan itu dan pulang ke rumah menziarahi ayah yang sakit.

Begitu jugalah samanya kita sekarang. Ummat sekarang berada dalam keadaan tenat. Takkan kita tidak langsung menganggap ummat ini sebagai saudara? Bukankah Rasulullah SAW pernah berkata,

“Tidak beriman (dengan iman yang sempurna) sesiapa di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Adakah kita mahu menangguhkan keperihatinan kita kepada ummat hanya kerana akademik kita yang sementara?

Tidak. Saya tidak berkata begitu. Kita ada cara bijak untuk menyelesaikan dilema ini.

Dalam kita mencapai kejayaan akademik, turut sertalah dalam cakna akan hal-hal berkaitan ummat. Ketahui ancaman-ancaman yang menyerang ummat kini.

Kita bukan diserang dengan senjata dan darah. Pada zaman ini kita diserang dengan serangan pemikiran. Lihatlah bagaimana ia mencairkan jati diri kita.

Hedonisme yang berpaksikan hiburan. Segala macam konsert dilihat perkara penting untuk mengisi masa lapang dan menghilangkan stress. Islam tidak melarang untuk kita berhibur. Tetapi berhibur itu ada hadnya.

Liberalisme yang berpaksikan akal. Dikatakan bahawa al-Quran itu sudah tidak sesuai untuk ummat zaman ini. Ia perlu ditafsir semula. Golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual diberikan hak atas nama hak asasi manusia. Tidakkah kita mengingati kaum Lut yang dilaknat oleh Allah SWT dahulu?

Pluralisme yang menyamaratakan semua agama. Islam adalah tertinggi dan tiada yang tinggi selain Islam! Islam boleh bertoleransi dalam bab muamalah atau perhubungan seharian. Namun, bab akidah dan kepercayaan tidak sama sekali!

Kristianisasi yang cuba mencari lubang-lubang menyesatkan ummah. Kalimah Allah ingin dirosakkan mereka dengan dasar hak sama rata agama.

Syiah yang kian menular. Mencaci perihal para sahabat dan bersembunyi di sebalik kecintaan kepada ahlul bait (keluarga Nabi). Sifat taqiyyah (berbohong) mereka membuatkan ada yang turut tertipu dengan pembohongan mereka itu.

Lalu, apakah mahasiswa patut buat? Seharusnya kita memperkukuhkan akidah kita. Elakkanlah pertikaian atas perkara-perkara kecil. Kekalkan hubungan ukhwah (persaudaraan sesama kita).

Umat Islam bukanlah ummat yang pasif. Apabila diserang kita hanya mengiyakan serangan ini.
Bangkitlah pemuda-pemudi sekali. Bangkitlah dengan kesedaran yang betul. Bangkit dengan nama Islam yang benar.

Mari kita menjadi pemuda-pemudi idaman. Pemuda pemudi harapan. Sedar dan cakna dengan isu semasa melibatkan ummah. Menguatkan saf-saf kita dengan jati diri Islam yang sebenar.

Oleh,

Mohamad Izham Bin Mohd Alias
Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional

Sejak Allah menciptakan komponen mahluk yang bernama manusia. Sejak daripada Adam dan anak-anaknya, insan telah mengenali makna kesakitan dan penderitaan. Kalau tidak sakit fizikal, kita akan sakit spiritual.

Sakit spiritual ini mengambil tempat yang pertama. Diciptakan nabi Adam di dalam syurga, Allah memerintahkan para malaikat dan semua mahluk tunduk kepada Adam. Semua mahluk yang ada pada ketika itu tunduk melainkan iblis.

Sebab apa iblis tidak tunduk? Keenganan dan besar diri. Keenganan patuh kepada perintah Allah kerana berpunca dari penyakit dalaman.

Sakit hati atau sakit rohani. Takabur adalah penyakit sanubari manusia.Penyakit inilah yang amat berbahaya. Jika dibandingkan sakit AIDS dengan penyakit hati ini, penyakit besar diri dan penyakit engan tunduk kepada perintah Allah s.w.t. ini lebih parah. AIDS is nothing!
Itulah hakikat pada mulanya Al-quran diturunkan untuk mengubati penyakit dalaman dahulu. Datangnya wahyu daripada Allah dan diutuskan rasul kepada manusia untuk menyembuhkan penyakit hati.

Penyakit yang berkongkong dalam diri manusia. Penyakit inilah yang menyebabkan manusia berada dalam penderitaan yang amat sangat. Orang yang sakit hati ini , di dunianya dia menderita. Orang yang berpenyakit hasad itu dalam hidupnya menyebabkan orang lain boleh tidur lena tetapi dia sendirian tidur tidak lena.

Orang yang berpenyakit ini, orang lain boleh makan nasi kenyang tapi dia makan nasi rasa macam pasir. Orang lain boleh senyum, luar senyum dalam pun senyum. Tapi orang yang sakit hati ini luar senyum tapi dalam tidak senyum.

Sakit hati yang paling kemuncak sekali ialah yang telah dijelmakan yang terkena pada iblis. Dia rasa takkabur. Dia besar daripada mahluk yang lain. Mahluk yang lain kesemuanya kecil, dia seorang yang besar. Disuruh tunduk kepada Adam, menempik berkata “Adam apa sahaja. Adam diperbuat daripada tanah. Aku daripada api.”

Jarang sangat umat hari ini yang tidak ada penyakit ini. Penyakit yang paling besar sekali ialah enggan tunduk pada perintah-perintah Allah. Al-Quran penuh dengan perintah-perintah Allah. Hatta pada surah Al-baqarah yang mengadungi 286 ayat sahaja, kata seorang muntasil, Ibnu Arabi, dalam surah al-baqarah sahaja terdapat sekurang-kurangnya sebanyak 1000 perintah.

Berapa yang kita taat daripada 1000 perintah itu? Hatta perintah paling senang sekali, perintah beriman kepada Allah. Allah beri perintah itu kepada manusia. Manusia ialah mahluk yang Allah cipta. Kita mahluk yang maha lemah. Allah yang maha perkasa yang memerintah.

Daripada tujuh billion manusia di dunia pada hari ini, yang menerima perintah dan taat kepada Allah hanya 2 billion sahaja manakala baki 5 billion orang tidak taat pada perintah Allah. Dua billion ini tergolong daripada orang- orang Islam.

Orang Islam adalah orang yang beriman. 2 billion umat Islam ini, yang Allah perintahkan sujud kepada-Nya sehari semalam lima kali. Adakah kesemuanya 2 billion ini taat kepada perintah yang mudah ini? Jawapannya tidak. Masih ramai lagi yang tidak solat. Orang yang tidak solat itu menandakan hati mereka takkabur.Perintah zakat, perintah puasa, perintah haji, perintah jihad dan perintah hukuman hudud. Itu perintah Allah bukan perintah manusia.

Perintah haram riba, perintah haram segala minuman yang memabukkan, haram judi, dan haram segala perbuatan yang keji. Orang ramai masih buat. Apa bezanya dalam konsep ilmu, di antara Allah memerintahkan iblis tunduk kepada Adam? Iblis enggan tunduk. Allah perintahkan manusia tunduk kepada Allah, tuhan kita. Mereka, manusia lalai itu juga enggan tunduk.

Agama Islam itu sendiri, agama berpesan-pesanan. Kita sebagai mahluk Allah yang maha lemah perlu ada sikap saling nasihat- menasihati kepada sesama kita. Ini supaya tunjuan hidup kita untuk mencari reda Allah itu akan tercapai hendaknya.

Oleh,

Hanis Arif Ab Rahim
Bendahari
PEMBINA UPM