Memaparkan catatan dengan label Karya Kreatif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karya Kreatif. Papar semua catatan



UPM, 20 & 27 Mac – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM telah menganjurkan Bengkel Asas Adobe Photoshop dan After Effects di pejabat PEMBINA Pusat dan kemudiannya di Balai Sri Putra, Kolej Kelima, UPM.

Bengkel Asas Photoshop telah dikendalikan oleh saudara Najimuddin, pelajar jurusan Zoologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang disertai oleh peserta seramai 21 orang dari jam 9 pagi sehingga 4 petang.

Pemenang bagi pertandingan mereka cipta poster yang bertemakan poster amalan sunnah adalah saudari Tengku Balqis binti Tengku Abd Rashid atas kriteria-kriteria tertentu.


Bengkel Asas After Effect seterusnya telah diadakan di UPM dan dikendaikan oleh Ibrahim Azran yang merupakan pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media yang dihadiri seramai 32 orang peserta telah menyertai bengkel ini dan tiga daripadanya adalah pelajar bukan Islam, seorang peserta lepasan SPM.





Saudara Syafiq Syahmi sebagai pengisi banyak menyentuh mengenai kepentingan media dalam agenda-agenda menyatupadukan umat ISLAM seluruh dunia dan seterusnya disambung oleh saudara Amirul Asraf Bin Ramli, Presiden Pembina UPM.

Para peserta telah diberikan tugasan untuk menghasilkan satu video pendek (tempoh 10 saat) dan pereka video pendek terbaik adalah saudara Muhammad Syahmi B. Mohammad Zalani.
“Bengkel ini bagus kerana boleh menjadi medium untuk menuntut ilmu yang baru dari segi video editing.”

“Penyampaiannya juga mudah difahami. Tidak pernah guna After Effects sebelum ini dan hanya pernah menggunakan Photoshop sahaja,”ujar Wong Wei Weng.

Ketua Media Pembina UPM, saudara Amirul Idzham turut memberi kupasan mengenai software ADOBE MASTER COLLECTION CS6 dan ucapan Presiden Pembina UPM sebagai penutup majlis.

“Media Pembina dalam merealisasikan hasrat murni dalam membina belia yang beriman dan berjasa,”- Presiden PEMBINA UPM.

Disediakan oleh,
Nurshyhida Bt Rosman,
Wartawan,
Biro Media PEMBINA UPM.



Ku labuhkan duduk di batu keras,
Menunggu mentari senja pulang ke rumah,
Kata orang ianya indah.
Benarkah??
Bisikku sendiri.

Awan merah bergulung-gulung di kaki langit senja,
Berbaris penuh disiplin bersama mentari,
Seolah menghantar pemergian sang teman.

Di balik rimbunan awan,
Muncul beburung pulang ke sarang,
Melepaskan penat lelah setelah seharian mencari rezeki.

Angin berdesir tenang,
Kocakan air laut… geloranya,
Menambahkan irama yang tenang.
Indah sekali pemandangan ini.
Dapatkah ku coretkan pada sekeping kanvas?
Akan samakah nilainya???

Mungkin tidak.
Mana mungkin ciptaan manusia bisa dibandingkan dengan Yang Maha Mencipta.
Lantas… wajarkah jika aku masih tidak bersyukur akan nikmatNYA?
Belum lagi ku hitungkan segala nikmatNYA yang ada padaku.
Alangkah kerdilnya diri ini.

Namun masih mengatakan betapa hebatnya diri.
Ke sana ke sini di dunia fana,
Menceritakan betapa hebatnya mencipta keajaiban,
Padahal semua itu diiringi rahmat dan pertolongan dari Allah S.W.T
Aku beristighfar.
Mensyukuri nikmat Tuhan dan menyuarakan penyesalanku.


NOR ATIKAH AZMI
BACHELOR OF HOLTICULTURAL SCIENCE
TAHUN 2
BIRO AKTIVISME MAHASISWA

PEMBINA UPM 
Perjalanan ini mungkin sukar tapi , destinasi akhir adalah pasti .

Aku tak pasti.
Apakah langkah yang ku ambil ini benar?
Mujahadah.

Mampukah ku tempuhinya?
Hati ini nanar sendiri.
Tidak pasti akan hala tuju seterusnya.
Mampukah ku betulkan langkah yang telah lama tempang?
Adakah tongkat yang mampu menampungnya?
Mungkin tidak.

Akankah taubatku diterima?
Bagaimana pula pandangan insan terhadap diriku?
Perlukah aku hiraukan mereka?
Jika ku ambil kira… pasti parah.
Mana mampu ku penuhi kesemua keinginan mereka.

Tetapi…
Bagaimana caranya untukku tepis kesemua pandangan itu?
Bolehkah kau berikan ku jawapan?
Agar bisa ku hidup dengan tenang.

Wahai teman…
Mahukah kamu aku berikan jawapan?
Agar terungkai resah di hati.
Ingatlah kamu akan tujuan utama penciptaan kita.

Mengapa kita dicipta?
Adakah hanya untuk merasai bagaimana rasanya hidup di dunia?
Ataukah hanya untuk memenuhi kehendak kehidupan?

Ingatlah ini di dalam dirimu.
Terapkan ia di dalam diri supaya jalanmu tidak tersasar.
Kita dijadikan Allah sebagai khalifah di bumi.
Mengapa manusia kerdil ini mahu memikul beban ini sedangkan gunung ganang sendiri menolaknya?

Jadi… tunaikanlah amanahmu.
Sebarkan dakwah Islamiah di seluruh pelusuk dunia.
Agar agama kita dapat ditegakkan.
Janganlah kamu berhenti selagi Islam tidak tertegak seluruhnya.

Biar kamu berpenat di sini, asalkan di sana kamu bahagia.
Justeru... tenangkanlah hatimu wahai teman.
Ayuh sebarkan keindahan Islam dan nikmat Iman di dunia.


NOR ATIKAH AZMI
BACHELOR OF HOLTICULTURAL SCIENCE
TAHUN 2
BIRO AKTIVISME MAHASISWA

PEMBINA UPM 



Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Pada setiap tahun, umat Islam akan menyambut dua hari perayaan iaitu, hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.  Hari raya Aidiladha merupakan satu hari perayaan yang amat bersejarah bagi seluruh umat Islam. Kerana peristiwa ini berlaku ketika zaman nabi Ibrahim a.s..  Pada ketika itu nabi Ibrahim bermimpi menyembelih anaknya sendiri dan ianya bukan sekadar mimpi kosong, tetapi juga merupakan suatu perintah daripada Allah kepada beliau.

Bukanlah ingin saya mengulangi semula kisah nabi Ibrahim, kerana saya yakin dan percaya kebanyakan daripada kita sudah mengetahui perjalanan peristiwa tersebut seperti yang terungkap di dalam al-Quran; surah As-Saffat, ayat 101-111. Tetapi, coretan saya ini adalah bertujuan untuk memetik sedikit ibrah atau pengajaran daripada kisah tersebut.


" Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan, Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.."
 [As-Saffat-37:110- 111]


Salah satu ibrah yang paling besar dalam kisah ini adalah taat. Kita dapat lihat dari kisah ini bahawa nabi Ibrahim melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah kepadanya, semata-mata untuk mendapatkan keredhaanNya. Berbeza pula dengan zaman sekarang, perkara tersebut tidak ramai yang mampu melakukannya. Sesetengah orang, yang zahir pun tidak mampu dilakukan, apatah lagi yang tidak nampak. 

Contohnya, taat kepada kedua ibu bapa, iaitu selepas taat pada peintah Allah s.w.t., kita dikehendaki mematuhi arahan kedua ibu bapa kita, selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.  Banyak sahaja cerita-cerita yang kita dengar di keratan akhbar-akhbar atau di internet, ramai anak muda yang tidak beradab dengan ibu bapanya sendiri. Dari sekecil-kecil perbuatan seperti bertengkar sehingga sebesar-besarnya seperti membunuh ibu bapanya sendiri hanya disebabkan perkara yang kecil. Sekiranya ini pun kita tidak dapat lakukan, bagaimana ingin kita mendapat keredhaanNya.

Seterusnya ialah pengorbanan. Pengorbanan adalah signifikan di dalam sebuah kehidupan. Tanpa pengorbanan, seseorang itu tidak akan mampu untuk hidup di dunia ini. Sama ada dari segi waktu, tenaga, mahupun wang. Saya ambil contoh yang paling terdekat iaitu kita ialah sebagai seorang mahasiswa. Tujuan kebanyakan daripada kita hadir ke universiti adalah ingin menuntut ilmu. Menuntut ilmu ini memerlukan kita untuk hadir ke kelas pada waktu pagi, dan pada sebelah malam pula mungkin akan ada perbincangan antara rakan-rakan sekelas. Begitulah rutin harian kebanyakan kita,sehinggalah kita bergraduasi. 

Dan tahap pencapaian kita itu dapat diukur pada berapa banyak waktu, wang, dan tenaga yang telah kita laburkan demi mencapai cita-cita kita. Begitulah juga sekiranya kita ingin mendapat keredhaanNya.
Justeru, hari raya Aidiladha ini bukanlah semata-mata menyambutnya dengan solat sunat Aidiladha dan diteruskan pula dengan penyembelihan haiwan-haiwan ternakan semata-mata. Tetapi, ia haruslah disertai dengan penghayatan sebenar Aidiladha itu. Sejarah bukanlah bertujuan untuk dijadikan kisah-kisah menarik untuk mengisi waktu senggang, bahkan ia juga bertindak sebagai pengajaran untuk generasi yang akan datang.
Wallahualam.    
  
Muhammad Nasaruddin,
Timbalan Presiden,
PEMBINA UPM.
Sehelai Hijab Buat Cinderella


Pada suatu masa dahulu ada sebuah kerajaan yang rata-rata penduduknya beragama Islam. Namun, Islam telah lama ditinggalkan oleh penduduk. Masjid sunyi seolah-olah muzium sahaja. Hijab telah lama ditinggalkan oleh kaum hawa. Syiar Islam tidak terlaksana. Islam hanya sekadar nama.

Kerajaan tersebut dinaungi oleh raja yang sedang sakit tenat. Ramai rakyat risau dengan kesihatan raja. Raja perlukan penganti.

Bakal penganti baginda lain tidak bukan puteranya sendri iaitu Putera Remy. Sebelum Putera Remy ditabalkan menjadi raja, dia mesti mencari permaisuri untuknya bagi melengkapkan adat  kerajaan tersebut.

Bermulanya pencarian permaisuri hati.

*****

Di sebuah sudut di kerajaan itu, terdapat sebuah keluarga yang diketuai oleh seorang wanita yang menjadi ibu kepada dua orang perempuan, Laila dan Laili dan mempunyai seorang anak tiri, Reena. Ayah mereka telah meninggal dunia beberapa bulan lalu.

Mereka seperti rakyat kerajaan itu, sudah tidak mengamalkan cara hidup Islam. Tidak memakai hijab, apatah lagi ibadah solat tidak dilaksanakan. Islam hanya pada nama.

Reena sedih dengan hidupnya. Setiap hari dia didera oleh ibu tiri dengan  terpaksa menghadap muka  adik-beradik tiri yang selalu mengejeknya. Semua kerja rumah dilakukan oleh Reena seperti menyapu dan mengemop lantai dan sebagainya.

Ibu tiri, Laila dan laili tidur di bilik masing-masing. Manakala Reena hanya tidur di dalam stor yang penuh barang-barang rumah. Terasa sempit di dalam bilik stor itu.

Reena sangat rindukan arwah ayah dan ibu dia. Reena menyimpan gambarnya bersama arwah ibu dan ayah dia di bawah bantal. Sebelum tidur, dia akan tengok gambar itu. Dia terpaksa sembunyikan gambar tersebut. Kalau tidak, pasti akan dikoyak oleh ibu tiri dia.

Reena tersedu keseorangan di stor itu.

Apabila melihat gambar keluarganya, dia terasa sangat rindu dengan ayah dan ibu.

Yang berkerja hanya Reena. Ibu tiri, Laila dan Laili hidup senang-lenang di rumah. Reena berkerja sebagai pemungut teh di sebuah ladang teh milik keluarganya.

Seperti hari biasa, Reena dalam perjalanan pulang ke rumah setelah berkerja di ladang teh. Ketika dia berjalan, dia terdengar satu bunyi yang mengasyikkan. Entah mengapa dia berasa tenang sahaja. Seperti ada pelukan mesra daripada seorang yang dia kasihi.

Dia mencari dan akhirnya berjaya mencari di mana arah bunyi itu. Ia datang dari sebuah rumah usang.  Di balik luar tingkap Reena memerhati ada seorang nenek tua yang memakai telekung sedang membaca sebuah kitab lusuh.

Perasan dengan kehadiran Reena, nenek tua bertanya, "Anak muda apa kamu buat di sini?"

Reena tersentak dan membalas, "Saya suka lagu yang nenek baca tadi. Apakah lagu tersebut?”

Nenek menggelengkan kepala.

“Ni Al-Quran, kalam Allah.”

“ Al-Quran ? saya tak pernah dengar pun mengenainya.”

“ Mari nenek ajar kamu, tapi pakai ni dulu.”

“ Ni baju apa nek?”

“ Ni namanya telekung.”

Sejak hari itu, setiap hari selepas balik dari ladang teh Reena pasti singgah ke rumah nenek tua itu.
Nenek tua itu mengajar dia beribadah dan cara membaca Al-Quran yang sememang telah dilupakan oleh rakyat di kerajaan itu.

*****

Tukang hebah di kota mengeluarkan sebuah skrol di tangan.

“Pengumuman! Putera Remy akan pergi rumah ke rumah di setiap pelusuk negeri ini untuk memilih bakal permaisuri buat negeri ini.”

Berita itu menjadi bualan hangat dalam kalangan gadis-gadis sunti di kerajaan itu. Semua bersiap-siap dan memakai pakaian cantik.

Tidak terlepas juga Laili dan Laila. Dengan gembira mereka memberitahu ibunya mengenai berita itu. Ibu mereka berkata, “Wah pasti salah seorang daripada kamu berdua bakal menjadi isteri raja!“
Laila dan Laili berdua serentak bercakap, "Tentulah saya, bu."

Laila memandang Laili. Laili memandang Laila. "Sayalah! Bukan awak! Saya!” Mereka mula bergaduh.
Melihat keadaan itu, ibu mereka menjerit “Sudah, berhenti! Kamu berdua pergi mekap! Mana Reena? Reenaa mana kau!”

Reena baru pulang dari ladang teh dan memakai hijab buat pertama kalinya. Hijab itu diberi oleh nenek tua itu.

Ibu tiri terkejut melihat rupa baru Reena lalu berkata, "Apa yang kamu pakai tu! Buruk sungguh! Sudah, pergi masuk ke dalam stor sekarang!"

Reena membalas, "Tapi ibu, saya belum makan lagi."

“Kamu masuk sahajalah! Kalau tidak saya akan pukul kamu,” jerit ibu tiri sambil mengangkat tangan. Terus Reena ditarik dan ditolak masuk ke dalam stor dan dikunci.

"Bagus. Nanti Putera Remy tidak akan jumpa si Reena," bisik ibu tiri.

Malam itu, Reena menangis. Dia lapar dan tidak dapat keluar dari stor itu. Kemudian dia teringat pesan nenek tua itu, “Allah selalu bersama orang-orang beriman. Sebutkanlah ‘Lahaulawa kuwata illah billah.’"
Di dalam stor itu, tiada air. Reena pun ambil tayamum dan melalukan solat hajat lalu dia berdoa, "Ya Allah, kalau ini ujian daripada engkau, ya Allah, kuatkanlah hatiku. Ya Allah, tabahkanlah hatiku ya Allah. Bantulah aku dalam kesusahan ini.”

Perut Reena berkeroncong kuat selepas dia mengaminkan doanya. ‘Lahaulawa kuwata illah billah’ hanya itu yang Reena sempat sebutkan. Tiba-tiba dia perasaan ada seekor kucing masuk ke dalam stor dari lubang kecil di bawah tingkap. "Chibbi!" kata Reena spontan melihat kucing peliharaan Laila itu.

Reena belai Cibbi diribanya. Setelah itu Chibbi melompat dan berdiri di atas sebuah kotak seolah-olah ingin menunjukkan sesuatu. Reena mengerut dahi dan mendekati kotak itu. Dia membuka kotak itu dan terkejut dengan apa yang dia lihat. Satu tin sardin dan roti yang masih elok. "Alhamdulillah," kata Reena dan terus memeluk Chibbi. Chibbi meronta dan melepaskan diri. Ia berlalu pergi melalui lubang yang ia masuk tadi.
Pada malam itu, Reena bermimpi dia dilamar oleh seorang lelaki. Dia terjaga daripada mimpi itu lalu beristighfar. “Mimpi adalah mainan syaitan,” bisik Reena.

Keesokan paginya, tibalah giliran rumah mereka untuk dilawat oleh Putera Remy. Reena masih terperangkap di dalam stor dan dia tidak mengetahui akan hal ini.

Putera Remy mengetuk pintu.

“Silakan masuk,” ujar Ibu tiri. “Perkenalkan ini anak saya Laila dan Laili,“

“Hai putera kacak,” kata mereka berdua serentak dengan suara gedik, mata berkedip.

Putera Remy memandang mereka dari kepala sampai ke kaki. “Mekap tebal dua inci dan baju macam tidak cukup kain,” desis hati Putera Remy.

Putera Remy membalas dengan pandangan menyampah. “Minta maaf puan. Mereka bukan yang beta cari.”

Ketiga-tiga penghuni rumah itu membuntang mata dengan kenyataan putera itu.

Laila dan Laili bersuara manja, “Tapi… tapi kan.”

Terus putera menyergah, “Sudah! Jika beta dengar lagi suara gedik kamu, akan beta hukum kamu sekeluarga dengan hukuman pancung.”

Mereka berdua pun terdiam. Keadaan itu dilihat lucu oleh pengawal dan pengiring putera sehingga mereka ketawa senyap dari belakang putera. Putera pun beredar dari rumah itu.

Dalam hati ibu tiri, “Anak aku tak dapat, Reena pun aku akan pastikan tak dapat. Nasib baik aku sudah mengurungnya semalam.”

Reena masih terperangkap di dalam stor. Dia nak keluar dari stor itu. Dia merindui untuk berjumpa dengan nenek tua. Dia ingin mempelajari lagi bacaan Al-Quran.

Sambil duduk di atas guni, dia mengeluarkan gambar arwah ayah dan ibunya dari saku kiri baju. ‘Lahaulawa kuwata illah billah’ kata Reena perlahan. Tidak semena-mena ingatan kecilnya muncul.

“Ayah pernah menunjukkan saya satu laluan rahsia di dalam stor ini,” getus hati Reena.

Reena mendekati sebuah almari lama berdekatan tingkap stor. Terdapat satu patung kucing di dalam almari itu dan dia menolaknya ke kiri. Almari itu dengan perlahan bergerak ke tepi. Sebuah laluan rahsia muncul di balik almari itu. Reena tersenyum lebar.

Dia terus menyambar hijabnya dan melalui laluan itu.

Di belakang rumahnya, kawasan ladang luas itu Reena berlari-lari. Ketika itu Putera Remy terlihat Reena. Baginda hairan. Siapakah gerangan yang memakai penutup kepala itu?

Dengan senyap dia pun mengekori Reena. Dia melihat gadis itu masuk ke dalam sebuah rumah usang di balik bukit. Perlahan-lahan dia mendekati rumah usang itu. Sedang dia berada di hadapan pintu rumah itu dia terdengar alunan bunyi merdu seperti mana ketika Reena mendengar sebelum berjumpa nenek tua.
Dalam rumah usang itu, Reena membaca Al-Quran dengan tunjuk ajar nenek tua.

Putera Remy bersembunyi di dalam semak apabila mengetahui penghuni di dalam rumah itu akan keluar. Dia melihat gadis berhijab tadi keluar dari rumah usang itu. Putera Remy meneruskan misinya mengekori gadis itu.
Dia sedikit canggung apabila melihat gadis tersebut hilang sebaik memasuki ke dalam kawasan rumah yang dia melawat pagi tadi.

Reena kembali ke stor melalui laluan rahsia. Putera Remy dan pengawal-pengawalnya masuk ke dalam rumah melalui pintu utama.

Melihat kedatangan rombongan diraja itu kembali ke rumah mereka, ibu tiri sangat teruja.

Berdiri di hadapan pintu terus Putera Remy bersuara dengan serius sambil melirik ruang di dalam rumah itu, “Adakah ada anak gadis lain di sini selain mereka yang saya jumpa tadi?”

Dengan muka cemas, ibu tiri menjawab, “Tiada.”

“Betul? Atau mak cik menipu?”

Suasana menjadi tegang. Tiba-tiba Chibbi melompat di hadapan antara Putera Remy dan ibu tiri sambil mengiau ingin ia diikuti. Mata ibu tiri terbuka luas. “Jangan, jangan,” desis hatinya.

Putera Remy mengekori Chibbi. Chibbi berdiri betul-betul di depan pintu stor itu sambil menggosokkan badannya di hadapan pintu itu.

“Pengawal pecahkan pintu ini sekarang juga!” Arah Putera Remy.

Ketika itu cahaya memenuhi ruang stor yang separa gelap itu. Kelihatan Reena memakai telengkung dan sedang solat dengan kusyuknya.

Semua canggung melihat keadaan itu tidak tahu hendak berbuat apa.

Reena memberi salam pertama tanda selesai solat. Apabila memberi salam terakhir terus dia terkejut melihat ramai orang di luar pintu stor.

Putera Remy berdiri di hadapan pintu stor lalu bertanya, “Nama kamu siapa?”

“Reena,” jawab ringkas Reena.

Putera Remy berjalan setapak mendekati Reena. Melihat keadaan itu, terus Reena berkata dengan dingin, “Jangan dekati saya. Saya tidak halal untuk kamu sentuh.”

Dalam hati Putera Remy, “Tidak pernah aku berjumpa gadis yang betul betul menjaga dirinya seperti gadis ini.“

Kemudian Putera Remy pun berkata, “Kalau begitu, sudikah kamu menjadi halal untukku? Berkahwin dan menjadi permaisuri untuk rakyat?”

Pertanyaan putera itu terus membuatkan Reena teringat akan hal mimpinya malam tadi. Dia beristighfar dan membaca basmalah dalam hati. Sambil tunduk malu dengan senyuman manis dia membalas, “Saya sudi.”

*****

“Asalamulaikum warahmatullah..”

Suara salam Remy selepas solat berjemaah bersama pasangannya. Raja Remy menjadi imam kepada Permaisuri Reena.

Reena tunduk bersalaman sambil menyium tangan suaminya itu. Remy berkata, “Terima kasih adinda. Allah memberi hidayah kepada abang melalui adinda.”

Linangan air mata Reena jernih jatuh di atas sejadah. “Terima kasih abang. Allah memberi rezeki kepada saya melalui abang.”


Oleh:
Jang Abd Mutalib
Aktivis PEMBINA
Angka kematian syuhada mencecah lebih daripada 4 ribu di Mesir. 
(sumber: ISMA)

Nahdah dan Raba'ah,
Terhampar di kota Kairo
dua dataran perjuangan
medan berhimpun para mujahidin
pemuda dan wanita
bocah kecil, juga ibu-ibu dan para bapa
pencinta kebenaran
penegak keadilan
penyeru kebangkitan
pemburu kemenangan
perindu kesyahidan.
Mereka,
menunggu dan tetap menunggu
menanti dan terus menanti
sedari mula kudeta tentera
yang merampas posisi Morsi
mengangkat Assisi
meruntuhkan suara demokrasi

Ikrar mereka laungkan,
"Hidup mulia atau syahid menuju syurga!"