UPM, 26 Mac -  Pada hari ini bersamaan 26 Mac 2017 telah berlangsungnya sebuah program larian amal "Running4Rohingya" bertempat di Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia. Program ini merupakan salah satu aktiviti anjuran Persatuan PEMBINA UPM dengan kerjasama Yayasan Ikhlas yang dijalankan bersempena program Care4Pohingya yang sedang berlangsung sejak awal bulan Mac lagi. Tujuan program tersebut diadakan adalah bagi mengajak masyarakat setempat untuk sama-sama membantu etnik Rohingya dan melahirkan masyarakat yang prihatin terhadap isu-isu kemanusian. Sebahagian daripada bayaran yuran yang dikenakan akan disumbangkan kepada etnik Rohingya melalui agensi Yayasan Ikhlas.


Program tersebut telah dimulakan dengan pendaftaran para peserta pada pukul 7.30 pagi bertempat di Bukit Ekspo, UPM. Seramai 200 orang peserta telah menyertai program tersebut. Para peserta merupakan mahasiswa UPM serta orang awam yang terdiri daripada pelbagai kaum. Larian bermula jam 8.45 pagi di mana laluan peserta lelaki adalah sejauh 6 km manakala laluan bagi peserta wanita pula adalah 4 km. 
Di samping larian amal, terdapat juga gerai-gerai jualan dan booth-booth yang menarik seperti booth Giant Bubble dan booth Semakan Al-Fatihah yang dibuka untuk para pengunjung yang hadir ke program tersebut.


Program tersebut telah diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang. Seramai 20 orang peserta terawal yang terdiri daripada 10 orang peserta lelaki dan 10 orang peserta wanita telah berjaya memperoleh pingat kemenangan. Manakala peserta yang lain pula memperolej sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan. Pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih kepada para peserta dan pengunjung yang telah memeriahkan program Running4Rohingya tersebut dan berharap program-program seperti itu mendapat lebih banyak sambutan di masa akan datang.

Disediakan oleh,

Nur Aimi bt. Abdullah
Wartawan
Biro  Media  PEMBINA UPM