Bandar Baru Bangi, 3 Jan - Manusia memerlukan pengisian rohani untuk terus hidup dalam ketenangan. Untuk itu satu program tarbiyah telah diadakan yang dikenali sebagai Malam Bina Iman dan Takwa (MABIT) bertempat di Surau Al-Amirin. Para peserta terdiri daripada pelajar IPT sekitar Bangi seperti UPM, UKM, UNITEN, dan KUIS.

Pengisian awal dimulakan dengan tazkirah atau ceramah ringkas oleh Saudara Khairul Nizam Bin Hasnol, ketua cawangan PEMBINA Bangi. Beliau membentangkan ringkasan buku 'Manusia dan Kebenaran' karya Syeikh Yusuf AL-Qardawi.

Takrif al-Haq, sebagai salah satu daripada tiga nilai yang paling utama selain daripada nilai kebaikan dan keindahan (menurut ahli falsafah).

Sebagai manusia, fitrah kejadiannya diciptakan untuk mencari kebenaran dalam melayari kehidupan di dunia ini. Manusia dapat memahami dan mengerti tentang kebenaran melalui pengalaman dan pendidikan. Manusia juga dikurniakan akal dan dapat digunakan untuk menilai yang mana betul dan salah serta tidak mudah untuk ditipu.

Namun begitu, kebenaran perlu ada bukti. Dimanakah bukti itu? Semuanya terdapat dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Tetapi, tidak semua kebenaran perlu ada bukti. Contohnya, kejadian Isra'Mikraj dan kejadian di akhirat nanti. Tiada bukti akal dan logik yang menunjukkan kejadian itu, tetapi dengan nikmat iman, kita percaya semua itu berlaku.

Rujukan hendak mencari kebenaran ialah al-Quran. Tidak kira jemaah mana yang kita ikuti, atau ustaz mana yang kita dengar, al-Quran menjadi rujukan yang penting dan wajib.

Seterusnya, aktiviti tilawah al-Quran bersama. Setiap kumpulan diwajibkan menghabiskan tilawah bersama sebanyak separuh juzuk atau bersamaan 10 muka surat lebih.

Habis sahaja tilawah, para peserta diminta bersiap sedia untuk aktiviti kemuncak pada keesokannya pagi - qiamulai fardi (seorang) dan berjemaah pada 4:30 pagi.

Usai solat Subuh berjemaah, para peserta membentuk bulatan membaca bersama al-Mathurat.

Sesi pengisian kuliah Subuh 'Tuntutan Taubat' diberikan oleh Saudara Muhammad Bin Nasaruddin, pelajar perubatan UPM, tahun kedua.

Syaitan sentiasa mencari-cari dan menyusun tindakan yang menyebabkan mudarat lebih, mashalat kurang kepada manusia.

Ujar Muhammad, "Walaupun Allah Ta'ala telah mengatur dan menetapkan Firaun akan masuk ke neraka, tetapi Allah Ta'ala tetap menghantar nabi Musa dan nabi Harun bertemu dengannya. Sesungguhnya penerimaan taubat Allah Ta'ala itu luas. Walau setinggi gunung dosa kita dan walau setinggi langit dan bumi, Allah tetap menerima taubat kita."

"Pada paginya, manusia yang terjatuh ke dalam kemaksiatan, tetapi di waktu petang, dia menjadi hamba yang abid. Hatinya tetap rasa bersalah, namun syaitan tetap merisiknya untuk terus berbuat maksiat. Ketahuilah ikhwah, bahawa itulah iman. Dengan iman, kita akan kembali kepada Allah tiap kali kita tersungkur dan menjadikan usaha kita untuk menjadi lebih baik," tambahnya lagi.

Program selesai dengan para peserta makan bersarapan bersama.

Program tarbiyah ini adalah anjuran PEMBINA Bangi dan Ikatan Muslimin Malaysia Daerah Hulu Langat (ISMA DHL).

Aktiviti ruhiyah ini dijalankan setiap Jumaat pertama setiap bulan. Semua muslimin dijemput hadir untuk aktiviti akan datang.

Galeri:

Saudara Khairul Nizam Hasnol menyampaikan ceramahnya bertajuk "Manusia dan Kebenaran".

Sesi tilawah al-Quran bersama sebelum tidur.

Sesi tilawah al-Quran bersama sebelum tidur.

Sesi tilawah al-Quran bersama sebelum tidur.

Saudara Muhammad Nasaruddin memberi kuliah Subuh

Antara peserta yang hadir.

Sesi sarapan bersama mengakhiri majlis.


Assalamualaikum.

Alhamdulillah. saya selamat kembali ke Universiti Pertanian Malaysia (UPM) setelah berkhidmat sebagai sukarelawan di Kemaman, Terengganu. Perjalanan saya ini sebenarnya tidak dirancang pada awalnya. Seminggu saya melihat iklan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM yang memerlukan sukarelawan. Sebaliknya pada masa yang sama, adik saya juga memerlukan sokongan. Masa seminggu saya gunakan untuk berfikir baik buruk keputusan saya.

Akhirnya, setelah saya menghadiri ceramah ‘Merempit ke Jalan Allah’ yang dilaksanakan oleh kolej saya, hidayah Allah telah membuka hati saya. Saya meminta izin daripada abah dan mak dahulu sebelum memaklumkan kepada pihak yang terlibat. Alhamdullilah. Segalanya diperkenankan dan diizinkan Allah untuk memberi peluang kepada saya berkhidmat kepada masyarakat. Tengah malam Sabtu tanggal 7 Disember, saya mendaftar sebagai sukarelawan dan bertolak pada petang keesokannya.

08/12/13 (Ahad)

Pada hari Ahad, saya berangkat ke pejabat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di Bangi. Takut. Resah. Saya bersendirian dan tiada teman yang dikenali. Risau juga andai kata tidak diterima kehadiran saya. Tapi Alhamdulillah. Saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan yang baru. Satu UPM. Dua orang ‘adik’ tahun satu yang mengambil kursus yang sama iaitu statistik dan seorang ‘akak’ yang cukup hebat keperibadiannya. MasyaAllah.

Ada hikmah di sebalik segala sesuatu. Saya juga berkenalan dengan seorang lagi rakan yang duduk bersama saya di dalam bas. Cukup hebat insan-insan yang pergi bersama saya. Cukup terbuka dalam menerima rakan baru membuatkan saya berasa sangat selesa. Saya juga belajar sedikit sebanyak bahasa Arab.

Para sukarelawan lelaki sangat menghormati dan mengutamakan keselamatan para sukarelawan perempuan. Keperibadian para sukarelawan perempuan sangat-sangat membuat saya segan dan malu sebenarnya untuk berada di samping mereka. Ilmu dunia mereka jangan dipandang sebelah mata. Ilmu akhirat mereka usah dipandang rendah.

Kecil saya rasakan apabila bersama-sama mereka. Bahasa yang mereka gunakan antara satu sama lain. Sifat dan akhlak sesama mereka. Cukup tenang rasanya. saya berasa seolah berada di sebuah negara Islam yang sangat aman, damai dan tenteram. Lembaran baru dibuka.

Kami bertolak pada jam 5 petang untuk pergi ke Darul Insyirah terlebih dahulu untuk mengambil barang-barang sumbangan untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir. Agak penat juga mengangkat barang-barang yang berat itu tetapi kepenatan itu berbaloi. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan ke Kuantan dan satu lagi ke Kemaman. Selepas maghrib kami bertolak menuju ke destinasi kami. Lebih kurang jam 1 pagi kami tiba di Kuantan. Para sukarelawan lelaki kumpulan tersebut tidur di pusat ADABI manakala para sukarelawan perempuan tidur di rumah yang disediakan.

Kami kembali meneruskan perjalanan kami ke Kemaman dan tiba pada jam 2.30 pagi. Kami disambut riang oleh penghuni rumah Balai Ukhuwah dan Dakwah ISMA (BUDI) Kemaman yang menjadi tempat penginapan para sukarelawan perempuan manakala para sukarelawan lelaki pula menginap di rumah yang disediakan. Kami dimaklumkan air dan elektrik tidak ada sejak banjir melanda. Oleh itu, mereka hanya menadah air hujan dan memakai lilin sahaja. Tetapi pada malam kami datang, air dan elektrik dapat disalurkan ke kawasan kami menginap. Syukur kepada Allah.

Kami berkenalan terlebih dahulu dengan penghuni rumah tersebut. Hanya tinggal dua keluarga sahaja pada masa itu kerana yang lainnya telah pulang ke rumah mereka untuk mengemas barangan mereka. Kanak-kanak kecil pula telah tidur. Maklumlah kerana kami tiba sangat lewat.

Tepat jam 3.30 pagi kami melelapkan mata.


09/12/13 (Isnin)

Selesai solat subuh, kami menyediakan sarapan. Para sukarelawan lelaki turut membeli nasi lemak untuk menambah menu sarapan kami. Sarapan kami pada pagi itu adalah roti sardin dan nasi lemak. Kami dimaklumkan bahawa mereka banyak membuat menu bertemakan sardin dan telur kerana itu merupakan salah satu bahan yang paling mudah didapati dan dimasak.

Nasi goreng sardin, kari sardin, sambal sardin, telur dadar, telur kicap, telur goreng dan menu lain bertemakan sardin dan telur. Selesai bersarapan, kami diberi taklimat tentang tugasan kami. Kami dipecahkan kepada 3 kumpulan dan kami akan membantu membasuh dan membersihkan rumah-rumah mangsa banjir di situ. Kami memulakan perjalanan ke rumah-rumah pada jam 9 pagi.

Sepanjang perjalanan, boleh dikatakan keadaan rumah-rumah tidak seperti tempat kediaman lagi. Air telah surut tetapi kerosakan barang usah dikata. Saya difahamkan air di kedua-dua sungai di kampung tersebut telah naik dan bertembung keduanya. Rumah yang saya tuju merupakan salah seorang ahli ISMA.

Paras air di rumah beliau adalah pada paras leher saya. Sangat tinggi. Jika saya, telah lemas rasanya. Sudahlah saya tidak pandai berenang. Air yang masuk pula bukanlah setakat air jernih tetapi air lumpur. Barang-barang seperti pinggan, beg, buku semuanya disalut lumpur. Lumpur itu pula tebal dan perlu digosok kuat untuk dihilangkan betul-betul.


bacaan lanjut: ISMA Web