Banjir Kemaman 2013: Suatu anekdot



Assalamualaikum.

Alhamdulillah. saya selamat kembali ke Universiti Pertanian Malaysia (UPM) setelah berkhidmat sebagai sukarelawan di Kemaman, Terengganu. Perjalanan saya ini sebenarnya tidak dirancang pada awalnya. Seminggu saya melihat iklan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM yang memerlukan sukarelawan. Sebaliknya pada masa yang sama, adik saya juga memerlukan sokongan. Masa seminggu saya gunakan untuk berfikir baik buruk keputusan saya.

Akhirnya, setelah saya menghadiri ceramah ‘Merempit ke Jalan Allah’ yang dilaksanakan oleh kolej saya, hidayah Allah telah membuka hati saya. Saya meminta izin daripada abah dan mak dahulu sebelum memaklumkan kepada pihak yang terlibat. Alhamdullilah. Segalanya diperkenankan dan diizinkan Allah untuk memberi peluang kepada saya berkhidmat kepada masyarakat. Tengah malam Sabtu tanggal 7 Disember, saya mendaftar sebagai sukarelawan dan bertolak pada petang keesokannya.

08/12/13 (Ahad)

Pada hari Ahad, saya berangkat ke pejabat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di Bangi. Takut. Resah. Saya bersendirian dan tiada teman yang dikenali. Risau juga andai kata tidak diterima kehadiran saya. Tapi Alhamdulillah. Saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan yang baru. Satu UPM. Dua orang ‘adik’ tahun satu yang mengambil kursus yang sama iaitu statistik dan seorang ‘akak’ yang cukup hebat keperibadiannya. MasyaAllah.

Ada hikmah di sebalik segala sesuatu. Saya juga berkenalan dengan seorang lagi rakan yang duduk bersama saya di dalam bas. Cukup hebat insan-insan yang pergi bersama saya. Cukup terbuka dalam menerima rakan baru membuatkan saya berasa sangat selesa. Saya juga belajar sedikit sebanyak bahasa Arab.

Para sukarelawan lelaki sangat menghormati dan mengutamakan keselamatan para sukarelawan perempuan. Keperibadian para sukarelawan perempuan sangat-sangat membuat saya segan dan malu sebenarnya untuk berada di samping mereka. Ilmu dunia mereka jangan dipandang sebelah mata. Ilmu akhirat mereka usah dipandang rendah.

Kecil saya rasakan apabila bersama-sama mereka. Bahasa yang mereka gunakan antara satu sama lain. Sifat dan akhlak sesama mereka. Cukup tenang rasanya. saya berasa seolah berada di sebuah negara Islam yang sangat aman, damai dan tenteram. Lembaran baru dibuka.

Kami bertolak pada jam 5 petang untuk pergi ke Darul Insyirah terlebih dahulu untuk mengambil barang-barang sumbangan untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir. Agak penat juga mengangkat barang-barang yang berat itu tetapi kepenatan itu berbaloi. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan ke Kuantan dan satu lagi ke Kemaman. Selepas maghrib kami bertolak menuju ke destinasi kami. Lebih kurang jam 1 pagi kami tiba di Kuantan. Para sukarelawan lelaki kumpulan tersebut tidur di pusat ADABI manakala para sukarelawan perempuan tidur di rumah yang disediakan.

Kami kembali meneruskan perjalanan kami ke Kemaman dan tiba pada jam 2.30 pagi. Kami disambut riang oleh penghuni rumah Balai Ukhuwah dan Dakwah ISMA (BUDI) Kemaman yang menjadi tempat penginapan para sukarelawan perempuan manakala para sukarelawan lelaki pula menginap di rumah yang disediakan. Kami dimaklumkan air dan elektrik tidak ada sejak banjir melanda. Oleh itu, mereka hanya menadah air hujan dan memakai lilin sahaja. Tetapi pada malam kami datang, air dan elektrik dapat disalurkan ke kawasan kami menginap. Syukur kepada Allah.

Kami berkenalan terlebih dahulu dengan penghuni rumah tersebut. Hanya tinggal dua keluarga sahaja pada masa itu kerana yang lainnya telah pulang ke rumah mereka untuk mengemas barangan mereka. Kanak-kanak kecil pula telah tidur. Maklumlah kerana kami tiba sangat lewat.

Tepat jam 3.30 pagi kami melelapkan mata.


09/12/13 (Isnin)

Selesai solat subuh, kami menyediakan sarapan. Para sukarelawan lelaki turut membeli nasi lemak untuk menambah menu sarapan kami. Sarapan kami pada pagi itu adalah roti sardin dan nasi lemak. Kami dimaklumkan bahawa mereka banyak membuat menu bertemakan sardin dan telur kerana itu merupakan salah satu bahan yang paling mudah didapati dan dimasak.

Nasi goreng sardin, kari sardin, sambal sardin, telur dadar, telur kicap, telur goreng dan menu lain bertemakan sardin dan telur. Selesai bersarapan, kami diberi taklimat tentang tugasan kami. Kami dipecahkan kepada 3 kumpulan dan kami akan membantu membasuh dan membersihkan rumah-rumah mangsa banjir di situ. Kami memulakan perjalanan ke rumah-rumah pada jam 9 pagi.

Sepanjang perjalanan, boleh dikatakan keadaan rumah-rumah tidak seperti tempat kediaman lagi. Air telah surut tetapi kerosakan barang usah dikata. Saya difahamkan air di kedua-dua sungai di kampung tersebut telah naik dan bertembung keduanya. Rumah yang saya tuju merupakan salah seorang ahli ISMA.

Paras air di rumah beliau adalah pada paras leher saya. Sangat tinggi. Jika saya, telah lemas rasanya. Sudahlah saya tidak pandai berenang. Air yang masuk pula bukanlah setakat air jernih tetapi air lumpur. Barang-barang seperti pinggan, beg, buku semuanya disalut lumpur. Lumpur itu pula tebal dan perlu digosok kuat untuk dihilangkan betul-betul.


bacaan lanjut: ISMA Web

0 komen:

Catat Ulasan