PUTRAJAYA,23 Mac- Program Secomel Ukhwah anjuran
Biro Sukan dan Rekreasi PEMBINA UPM telah diadakan di Taman Botani. Saudari
Sayang Syamira, Exco Kerohanian dan Integrasi MPP UPM, turut hadir menyampaikan
tazkirah berjudul ‘Hiburan Islam adalah Penawar Stress’ sebelum program
bermula.
‘Semua orang pasti pernah mengalami tekanan atau
stress dan kebiasaannya akan mencari penawarnya dengan berhibur”,kata Saudari
Syamira.
Stress itu ialah fitrah manusia, hiburan juga
merupakan fitrah manusia. Saidina Ali ada mengatakan,
‘Bila kita dipaksa melakukan sesuatu, hati kita akan sakit’.
Ini bermakna, fitrah manusia itu mudah untuk stress,
tidak suka melakukan sesuatu lebih- lebih lagi jika dipaksa. Jadi, bagaimana
kita sebagai seorang Muslim ingin mengawal stress atau tekanan?
Rasulullah S.A.W pernah berhibur bersama isterinya, Saidatina
Aisyah dengan mendengar qasidah, zikir-zikir memuji Allah S.W.T.
Jadi, tidak salah untuk kita berhibur selagi ianya
masih mengikut kerangka Islam. Hiburan diibaratkan seperti garam di dalam
makanan. Jika makanan tidak diletak garam, rasanya tawar kurang enak. Jika
terlebih pula, rasanya masin tidak enak. Namun, bila diletak secukup rasa,
makanan menjadi cukup lengkap, terasa kesedapannya.
Kita harus ketahui, hiburan terbahagi kepada hiburan
asasi dan hiburan sampingan. Hiburan asasi seperti solat dan membaca al-Quran.
Allah menyuruh hambanya untuk solat agar hambanya sentiasa mengingati-Nya.
Solat juga merupakan kerehatan bagi manusia.
Apabila kita solat, kita ibarat berada di dunia yang
berbeza yang menghubungkan kita dengan Pencipta kita. Hati kita menjadi tenang
selepas solat dan segala tekanan hilang sekelip mata. Betapa hebatnya kesan
solat jika kita benar –benar khusyuk menunaikannya. Solat menjadi penghibur
kepada hati kita yang resah dan tidak tenang.
Hiburan sampingan pula ibarat penjamu selera yang
menjadi pemangkin bagi hiburan asasi kita. Nasyid, Zikir, Selawat merupakan
pengajak dan pengiklan supaya kita bersemangat untuk beribadah kepada Allah
S.W.T.
Namun, jika kita lihat pada masa kini, ramai yang
lebih suka kepada hiburan yang melalaikan yang hanya bertindak sebagai
‘painkiller’ atau penahan sakit sahaja. Ianya hanya menghilangkan stress
sementara waktu sahaja, tetapi tidak menyembuhkan dan menjadi penawar kepada
penyakit hati kita. Ianya diibaratkan seperti meminum air laut. Air yang
diminum tidak menghilangkan dahaga, malah merasa lebih kehausan.
Setiap manusia pasti ada sisi jahiliah dalam diri
mereka. Jadi, sentiasalah bermujahadah melawan nafsu. Mujahadah itu sememangnya
pahit kerana Syurga yang menanti kita di akhirat nanti sungguh manis sekali.
Gambar sepanjang program:
Saudari Sayang Syamira semasa menyampaikan tazkirah ringkas.
Teka Lagu Nasyid: Saudari Shima berjaya meneka dengan tepat judul lagu yang dimainkan.
Senaman Tommy: Panaskan badan sebelum permainan bermula.
Futsal Ukhwah : Kaki peserta di ikat bersama pasangan.
Belon Kasih Sayang: Peserta bersedia untuk memecahkan belon pasangan lawan.
Wartawan:
Nur Liyana Binti Mat Hussin,
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.
0 komen:
Catat Ulasan