BUKIT EKSPO,UPM- Sabtu lalu, 7 Jun 2014, telah berlangsungnya Program Simpulan Ukhwah Muslimat yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM. Program ini dianjurkan khusus untuk pelajar asasi UPM yang baru sahaja mendaftar masuk pada dua minggu yang lalu bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara beliawanis PEMBINA UPM.

“ Sebagai seorang pelajar kita harus bijak membahagikan masa sebaik yang mungkin dengan melakukan perkara yang berfaedah dan bermanfaat untuk diri sendiri dan ummah.” Kata saudari Siti Farhana Fathy dalam slot “Melangkah ke Alam Universiti”. Pengisian ini diberikan kepada para pelajar asasi sebagai satu perkongsian daripada saudari Farhana yang merupakan pelajar master sains bioterapeutik.

“ Kehidupan di kampus sebagai seorang pelajar sememangnya sibuk dengan tugasan dan pelbagai aktiviti yang disertai. Namun, sebagai seorang pelajar muslim, kita jangan sekali-kali lalai dalam menjalankan amanah yang telah Allah S.W.T berikan iaitu beriman dan bertaqwa kepada-Nya.”

Saudari Farhana mengingati adik-adik supaya jadikan al-Quran sebagai ‘teman’ dengan membacanya setiap hari walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti di kampus.

“Amalkan sikap suka bertanya kepada pensyarah jika tidak faham perkara yang dibincangkan semasa kuliah supaya dapat menguasai subjek tersebut secara menyeluruh, Jadikan universiti sebagai gedung ilmu dan medium untuk merebut peluang yang ada tanpa merasa takut dan malu”,  pesan saudari Farhana.

Akhir kata daripada saudari Farhana, beliau menasihati adik-adik supaya menjalinkan hubungan yang baik dengan teman-teman sekuliah dan perkara paling penting adalah bina juga hubungan antara pensyarah supaya ilmu yang dipelajari mendapat keberkatan kerana sebagai seorang muslim keberkatan amat penting dalam kejayaan seseorang individu.

Slot seterusnya, adalah sesi taaruf barisan kepimpinan dan pengenalan pakej-pakej yang ditawarkan daripada PEMBINA UPM yang disampaikan oleh ketua beliawanis PEMBINA UPM, saudari Nurnazhifa.


Wartawan:
Noor khairina,
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.