Teruskan perjuangan itu!



Perihal tentang mujahadah, apa itu mujahadah? Mujahadah ialah perang atau perjuangan untuk mempertahankan agama Islam atau maksud yang lebih ringkas lagi adalah jihad. Mujahadah juga lebih sinonim tentang  berjuang bersungguh-sungguh untuk melawan musuh.

Siapakah musuh itu?

Tentu sekali hawa nafsu!

Berkata Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, Minhajul Abidin,

"Hawa nafsu ialah musuh yang sangat keji dan hina malah mencelakakan serta sukar untuk dihindari."

Oleh sebab itu, sikap mujahadah perlu ada dalam diri setiap manusia di dunia ini.

Namun sejauh mana mujahadah yang telah kita lakukan di dunia ini? Adakah kita benar faham perihal tentang mujahadah? Pelbagai dugaan dan cabaran yang harus ditempuhi oleh anak Adam untuk mereka bermujahadah.

Satu pegangan yang wajib untuk bermujahadah adalah taqwa. Taqwa bererti takut, patuh dan tunduk kepada Allah S.W.T sebagaimana Firman-Nya yang bermaksud dalam surah Ali Imran ayat 102

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa."

Perasaan takut kepada Allah yakni sifat taqwa membuatkan kita lebih mudah menguatkan diri dalam bermujahadah seterusnya membuatkan kita lebih berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan seharian dari segi perbuatan mahupun percakapan.


Pelbagai rentetan kisah yang berlaku dalam kalangan umat Rasulullah S.A.W perihal  bermujahadah, jadi marilah kita ikuti kisah Ummu Zulaikha dalam bermujahadah untuk berubah kearah kebaikan.

Yaa Nabi Salaam 'alaika, Yaa Rasul Salaam 'alaika, Yaa Habib Salaam 'alaika, Salawaatu'llah 'alaika.”

Nada 'alarm' telefon bimbit yang dipasang oleh Ummu Zulaikha memecah kesunyian di pagi hari. Ummu Zulaikha bingkas bangun dan hatinya memanjat kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana memberi peluang kepada dirinya bangun di pagi hari untuk bermunajat menyembah ILLAHI.

Jam di dinding menunjukkan pukul 3 pagi, Ummu terus ke bilik air bagi mempersiapkan dirinya mengadap Maha Pencipta. Tanpa berlengah-lengah, Ummu terus memakai telekung dan menunaikan solat Sunat Taubat, solat Sunat Hajat, solat Sunat Tahajjud dan diakhiri dengan solat Sunat Witir. Seusai berdoa, Ummu menyambung semula menelaah pelajaran di meja belajarnya.

Ummu seawal jam 8.00 pagi sudah bersiap-siap untuk pergi ke fakultinya kerana pada hari itu, fakultinya menganjurkan seminar bersama beberapa orang sasterawan negara, Dia sebagai pengarah program harus memastikan kesemuanya berjalan dengan lancar. Ummu juga akan mendapat kedatangan daripada pelajar universiti lain yang berminat untuk mengikuti seminar bersama sasterawan negara.

Namun, ada perkara yang paling tidak sabar bagi Ummu pada pagi itu kerana dia akan berjumpa dengan sahabat lamanya yang telah banyak membantunya dalam segala hal terutama membawa dirinya ke pangkal jalan setelah sekian lama tersasar jauh sebagai seorang muslim yang beriman dan bertaqwa. Sudah hampir tiga tahun rasanya Ummu tidak berjumpa dengan Alia sahabat baiknya ketika dia di UITM, Shah Alam.






Masih segar di ingatan Ummu ketika dia bergelar pelajar diploma pada umur 19 tahun. Dahulunya, dia seorang pelajar yang hanya Islam pada nama. Dia terkandas dalam dunia yang hanya mengagungkan duniawi. Amalan wajib yang menjadi pegangan sebagai umat Islam langsung tidak ditunaikan oleh Ummu, bacaan ayat-ayat suci al-Quran juga tidak diamalkannya.


Ya, dia tidak pernah ingin tahu dan faham apa itu Islam dan sepanjang hidupnya tidak pernah dia merasai suasana tarbiyah yang sebenar-benarnya dalam Islam.

Ummu sekejap lagi seminar akan bermula

Tersedar Ummu daripada lamunannya apabila Najihah, rakan sekuliahnya menyapa.

Kini Ummu sudah bermujahadah kembali ke pangkal jalan mencari redha ILLAHI.


Memang pada mulanya sukar bagi Ummu untuk berubah, namun dia bersyukur kerana Allah SWT telah mempertemukan dirinya dengan Alia, seorang gadis yang mempunyai hati ibarat sejernih air embun dinihari, begitu ikhlas membantu Ummu untuk kembali semula ke landasan Islam yang sebenarnya. Alia juga merupakan teman serumahnya ketika di kampus UITM dahulu.

Masih segar dalam ingatan, sewaktu hatinya dikawal rakus oleh nafsu, dia selalu mempersoalkan setiap perlakuan yang dilakukan oleh Alia.

“Kenapa awak rajin sangat pergi menghadiri usrah? Usrah yang awak dengar tu, tak masuk dalam peperiksaan, buang waktu aku sahaja kalau pergi mendengarnya”.

Itulah ayat yang selalu keluar dari mulut Ummu apabila Alia mengajaknya untuk turut sama mengikuti usrah.

Sehinggalah suatu malam, apabila Alia mengajaknya untuk menghadiri usrah umum yang dianjurkan oleh salah sebuah persatuan Islam di kampusnya. Pada permulaan, Ummu agak keberatan untuk menemani Alia, tetapi entah mengapa hatinya merasa terpanggil untuk mendengar pengisisan usrah tersebut. 

Selama hampir 1 jam setengah mendengar ceramah yang disampaikan oleh penceramah, Ummu merasa hatinya dipaut satu perasaan tenang yang sukar untuk ditafsirkan oleh dirinya sendiri.

Setelah pulang daripada ceramah tersebut, masih tergiang-giang di telinga Ummu maksud ayat dalam surah Al-Isra’, 18-19 yang dibaca oleh ustaz sebentar tadi

Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir.  Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik”.

Keesokan harinya, Ummu meminta penjelasan daripada Alia supaya dia memahami dengan jelas lagi maksud ayat tersebut. Setelah mendengar penjelasan daripada Alia, barulah Ummu sedar tujuan yang sebenarnya manusia diciptakan oleh Allah S.W.T. Ummu nekad untuk kembali kepada Islam yang benar dan dia sedar bahawa kehidupannya selama ini hanya sia-sia malah dipenuhi dengan pergunungan dosa.

Alia adalah pendorong utama bagi Ummu untuk dia terus bermujahadah. Sedikit demi sedikit Ummu cuba untuk berubah ke arah mencari redha ILLAHI demi menebus segala dosa yang pernah dilakukannya. Hari demi hari Ummu mendalami ilmu Islam dengan mengikuti kuliah agama, usrah, mabit dan melibatkan dirinya dalam kerja-kerja dakwah demi agama Islam semata-mata.

Sememangnya bagi Ummu mujahadah itu pahit, tetapi Alia selalu mengingatkan Ummu bahawa syurga itu indah. Sejuta kepahitan harus ditempuh oleh orang mukmin untuk menempah syurga selaras dengan sabda Rasulullah SAW: 
“Syurga dipagari dengan kesusahan, manakala neraka dipagari oleh keseronokan”- al-Hadis.
Itu adalah salah satu hadis yang menjadi kekuatan bagi Ummu untuk terus bermujahadah di jalan Allah SWT.


Hampir tiga tahun Ummu tidak bertemu dengan Alia, tapi pada hari ini insyaallah dengan izin Allah SWT, dia akan berjumpa dengan Alia yang merupakan wakil pelajar dari UKM untuk mengikuti seminar bersama sasterawan negara. Ummu merasa tidak sabar untuk bersua muka dengan Alia, pelbagai cerita yang ingin dikongsinya kepada sahabat baiknya itu.
“Assalamualaikum Zulaikha”, 
kedengaran lembut suara seorang wanita memberi salam, lantas menyedarkan Ummu daripada lamunannya, dia amat mengenali suara itu, persis suara Alia. Ummu menoleh ke arah suara itu lantas memeluk wanita tersebut kerana dia tahu, itu adalah Alia, meskipun wanita itu berpurdah, Ummu yakin itu Alia sahabat baiknya. Ummu bangga melihat mujahadah Alia yang kini sudah berpurdah.
Kesimpulannya melalui kisah ini, kita perlu bermujahadah dalam melaksanakan perintah Allah, juga bermujahadah dalam meninggalkan segala larangan-Nya. Apabila kita telah melaksanakan mujahadah yang benar, pasti kita akan diberikan petunjuk oleh Allah. Itulah janji Allah, Allah pasti bersama dengan orang-orang yang berbuat baik. Dalam kehidupan ini, terlalu banyak perkara yang memerlukan kita untuk memilih, dan jalan yang dibentangkan kepada kita tidak  semuanya indah dan mudah untuk dipilih.

Di sinilah letaknya hikmah mujahadah kerana dengannya, ‘jalan-jalan’ akan dijadikan terang oleh Allah bagi kita semua.

Oleh,
Noor Khairina bt Mohd Said, 
Aktivis PEMBINA UPM,
Tahun 2, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

0 komen:

Catat Ulasan