Kolej Serumpun,UPM,6 Feb – PEMBINA UPM telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama. Ternyata program seperti ini mampu merapatkan hubungan antara pelajar. Walaupun berbeza jurusan, fakulti dan kolej, namun hubungan menjadi rapat kerana ikatan islam itu sendiri.

Sedikit perkongsian oleh Saudari Sayang Syamira, Exco Kerohanian dan Integrasi MPP UPM, mengenai kisah sahabat Rasulullah S.A.W  iaitu Mus’ab bin Umair. Beliau merupakan sahabat Rasulullah S.A.W yang sangat berjasa dalam menyebarkan agama islam. Sebelum memeluk islam, Mus’ab seorang jejaka yang sangat kaya datang dari keluarga bangsawan. 

Namun, islam mengubah beliau dari yang suka bermewahan menjadi seorang yang sangat sederhana. Sehinggalah sampai ke pengetahuan ibunya Mus’ab telah memeluk islam. Ibunya telah mengurung dan menyiksa Mus’ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Namun, tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus’ab. 

Suatu hari, ibunya mengugut tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islam. Mus’ab berkata kepada ibunya: 

“Andai kata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”.

Begitu tegasnya Mus’ab demi mempertahankan agama suci ini. Berbeza sungguh jika dibandingkan dengan pemuda mahupun pemudi sekarang yang sanggup menggadai agama untuk mengejar dunia.

Kemudian Mus’ab dihalau oleh ibunya dan dia tinggal bersama Rasulullah S.A.W dan sahabat. Mereka berjuang bersama demi islam. Sewaktu terjadi peperangan Uhud, Mus’ab syahid. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. 

Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur.

“Apabila ditarik kainnya keatas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.”

Demikianlah kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau juga merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Mus’ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak  berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. 

Mus’ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana berbanding darjat dan kehidupan serba mewah.Kisah Mus’ab harus diteladani remaja masa kini. Moga – moga cabaran dunia tidak melalaikan kita mengejar akhirat.

Majlis pada malam itu dimulakan dengan bacaan Mathurat, solat berjemaah dan paling menarik sekali ialah makan berdulang, salah satu aktiviti yang mengeratkan lagi kasih sayang dan ikatan persaudaraan. Majlis pada malam itu berakhir selepas solat isyak berjemaah.

Nur Aqilah
Wartawan 
Biro Media dan Promosi
PEMBINA UPM

Fakta Islam menggalakkan bersukan menjadikan seseorang sedar betapa besar, fleksibel dan lengkap agama ini yang Allah berikan kepada manusia. Dalam hal ini, Islam menekankan kepentingan latihan spiritual dan moral yang sepatutnya seiringan dengan latihan fizikal supaya mencapai matlamat yang dihajati.

Dalam menyokong pasukan, keganasan wajib dielakkan. Bermegah-megah juga mesti hindari. Menang dalam pertandingan tidak bermakna halal menghina lawan yang kalah. Islam memandang sukan sebagai jalan untuk meningkatkan kasih dan kerjasama antara manusia, bukan jalan melukakan perasaan.

Inilah sebab si pemenang tidak sepatutnya terbawa-bawa dengan kegembiraan sampai menghina lawan, dan yang kalah tidak boleh dihantui oleh cemburu terhadap kelebihan pihak lawan. Mereka mesti ingat yang kekalahan hari ini akan membuka jalan untuk kemenangan pada masa depan, jika mereka bersabar dan cuba menambah-baik diri mereka.

Ini mengingatkan kita akan peristiwa apabila seekor unta milik seorang badwi mengalahkan unta betina Rasulullah yang sentiasa menang dalam perlumbaan, Muslim berduka-cita. Mengulas hal itu, Rasulullah (SAW) bersabda:

“Allah SWT telah menetapkan tiada apa-apa yang kekal menang (bermaksud setiap situasi ada naik dan turun dan tiada keadaan yang kekal).” Rasulullah (SAW), membuat kenyataan ini untuk mententeramkan perasaan mereka yang rasa kekalahan untanya satu hakikat yang sukar diterima.

Dalam pertandingan, seorang Muslim sejati tidak lupa adab memberikan pihak lawab layanan baik. Mengenepikan adab dalam pertandingan dan perlawanan ialah satu sifat munafik yang Rasulullah (SAW) rujuk apabila bersabda:

“Terdapat empat sifat jika ditemui pada seseorang, dia seorang yang betul-betul munafik. Jika salah satunya ditemui pada seseorang, ia memberikan dia satu sifat munafik sampai dia meninggalkannya: jika diamanahkan dengan sesuatu, dia pecah amanah, jika bercakap, dia berbohong, jika berjanji, dia tidak tunaikan dan jika dia bertengkar dengan seseorang, dia melampau-lampau (menggunakan kata-kata kesat dan perbuatan buruk.)”

Azim Azemi
Biro Sukan dan Rekreasi
PEMBINA UPM

Bandar Baru Bangi, 21 Feb. – “Akhak dilakukan secara spontan, menurut Imam Al-Ghazali. Akhlak baik lahir daripada iman yang tinggi. Tidak kira ada orang atau tak, dia tetap buat demikian.”

Itulah antara yang disampaikan oleh saudara Muhaimin Selawi, alumni PEMBINA UPM di hadapan ahli PEMBINA di Surau Al-Amirin. Muhaimin menerangkan juga tentang hadis yang bermaksud,

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari ahirat, hendaklah berkata-kata yang baik atau diam" (Direkod oleh al-Bukhari dan Muslim)

“Antara sifat penghuni syurga Firdaus adalah seperti yang diterangkan dalam surah al-Mu'minuun ayat satu hingga sepuluh. Ayat ketiga menerangkan ‘Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia’. Kita sering muhasabah diri kita tentang solat kita. Tetapi tidakkah kita muhasabah akan lisan kita?”

Beliau menyampaikan tazkirah mengenai akhlak seorang muslim yang baik itu terhasil melalui kata-katanya dalam program Malam Bina Iman dan Takwa (MABIT).

MABIT adalah antara aktiviti ditawarkan dalam pakej tarbiyah PEMBINA. Ia diadakan secara bulanan anjuran PEMBINA cawangan Bangi dengan pengisian rohani seperti sesi tazkirah, tadarus al-Quran, dan qiamulai.

UPM, 19 Feb. – Mahasiswa harus kongsikan keperihatinan dengan menyebarkan maklumat ancaman COMANGO melalui facebook, twitter dan semua medium yang wujud serta melakukan bacaan dan kajian lanjut mengenai isu COMANGO.

COMANGO merupakan satu ancaman atau malapetaka kepada semua terutama sebagai umat Islam kerana tuntutan yang dibuat oleh COMANGO sama sekali tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara kita.

Menurut Timbalan Naib Yang Dipertua Biro Kebajikan, MPP UPM, Luqman Abd Hamid, antara faktor inilah mahasiswa harus membantah COMANGO.

Beliau menjelaskan demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Mahasiswa Bantah COMANGO’ di hadapan mahasiswa-mahasiswi Universiti Putra Malaysia (UPM) di Surau Serumpun.

Selain itu, COMANGO menuntut agar Malaysia menandatangani dan memeterai perjanjian International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR).

Ini mengizinkan umat Islam untuk murtad tanpa boleh diambil sebarang tindakan.

COMANGO juga menuntut agar negara mengiktiraf hak golongan Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) yang mengamalkan seks songsang.

Ini jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam malah jauh daripada nilai ketimuran orang Melayu.

Diskusi ilmiah ‘Bahaya COMANGO’ ini adalah salah satu siri JELAS 2.0 yang giat dijalankan oleh PEMBINA untuk menjelaskan kepada masyarakat khususnya mahasiswa tentang ancaman gerakan liberal masa kini, terutamanya COMANGO.

Usaha juga dibuat untuk mengumpul sebanyak mungkin tandatangan daripada orang ramai sebagai petisyen kepada kerajaan agar tidak tunduk kepada tuntutan melampau COMANGO.

COMANGO – Coalition of Malaysian NGOs – merupakan gerakan liberal yang berniat hendak mengubah perlembagaan Malaysia dengan menghasut negara-negara luar agar menekan kerajaan Malaysia untuk tunduk kepada undang-undang hak asasi manusia sejagat dalam sesi persidangan The Universal Periodic Review (UPR) Of Human Rights di Geneva tahun lepas.

Noor Khairina
Wartawan 
Biro Media dan Promosi
PEMBINA UPM


Hari Kekasih atau lebih terkenal dengan Valentine’s Day menjadi seakan telah menjadi satu sambutan kepada masyarakat dunia. Umat Islam juga turut terkena tempias ini. Propaganda golongan yang ingin mengaut untung melalui media massa memang hebat.