Jejak Pahlawan anjuran Pembina UPM




Melaka, 24 Jun - Telah berlansungnya program Jejak Pahlawan anjuran Pembina UPM bertujuan untuk memberi kesedaran dan kebangkitan jati diri dalam diri setiap peserta dengan mengenal dan melihat kembali sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Program ini telah dikendalikan oleh Ahmad Iqbal bin Ahyar dan Syed Zahiruddin bin Syed Hashim sebagai pengarah satu dan dua, Farah Ziela binti Abu sebagai timbalan pengarah serta ajk-ajk Pembina UPM yang lain. Dua bas telah disewa iaitu dengan satu bas memuatkan seramai 34 orang peserta ikhwah yang terdiri dari pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Nottingham Malaysia, dan Pembina Cawangan Bangi. Manakala sebuah bas lagi 46 orang peserta akhwat terdiri dari pelajar UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPIS).

Terdapat tiga buah muzium yang dilawati iaitu Muzium Istana Kesultanan Melaka, Muzium Dunia Melayu Dunia Islam, dan Muzium Samudera. Setiap muzium ada keunikannya dalam memberi input-input berguna kepada para peserta.



Muzium Istana Kesultanan Melaka ini adalah replika Istana Kesultanan Melaka semasa kegemilangannya di zaman Sultan Mansur Shah (1946-1477). Di dalamnya terdapat paparan maklumat-maklumat penting bermula dari era penubuhan kesultanan Melayu Melaka sehinggalah kejatuhannya.

Para peserta ikhwah bergambar di Muzium Istana Kesultanan Melaka
Keadaan dalam Muzium Istana Kesultanan Melaka
Muzium Samudera pula berkonsepkan replika kapal Flor de La Mar, kapal Portugis dahulu ketika zaman kesultanan Melayu Melaka. Di sini peserta didedahkan mengenai perkembangan perdagangan dari zaman kesultanan Melayu Melaka hingga ke zaman Kolonial Portugis, Belanda, Inggeris dan era penaklukan Jepun di Tanah Melayu.

Muzium Samudera dibina berdasarkan replika kapal Flor de La Mar
Akhir sekali Muzium Dunia Melayu Dunia Islam memaparkan perjuangan tokoh-tokoh Melayu terdahulu dari kurun ke-18 sehingga ke kurun ke-19 seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka, Syed Sheikh Al-hadi, Tok Kenali dan ramai lagi. Mereka ialah para pejuang dahulu yang bermati-matian memperjuangkan Islam di Tanah Melayu. Ini dapat memberikan kesedaran kepada golongan muda bahawa perjuangan menegakkan Islam di Tanah Melayu telah bermula sejak zaman dahulu lagi oleh para pejuang Melayu. Ia patut diteruskan oleh mereka pula dalam menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia.


Semasa sesi lawatan, para peserta ikhwah melawat Muzium Istana Kesultanan Melaka dan kemudiannya Muzium Samudera manakala para peserta akhwat pula dimulai dengan Muzium Samudera, Muzium Dunia Melayu Dunia Islam dan akhir sekali Muzium Istana Kesultanan Melaka.

Tidak lengkap sesuatu lawatan itu tanpa kesimpulan ringkas mengenai kehebatan Kesultanan Melayu Melaka dan Islam yang disampaikan oleh saudara Khairul Nizam Hasnol dan Azlan Wildan.

"Hebatnya Melaka dahulu bukan hanya kerana sultan sahaja tetapi kerana Islam. Sultan dan rakyat mengamalkan Islam sepenuhnya menjadikan Melaka satu kawasan yang aman dan makmur," ujar Nizam.

"Sebenarnya Istana Melaka dibina di atas bukit St. Paul. Ia membolehkan sultan melihat keadaan yang berlaku di sekitar laut dan pelabuhan. Walaubagaimanapun, lokasi sejarah itu telah dihapuskan oleh penjajah apabila mereka datang menakluki Melaka," terang Azlan mengenai kedudukan Istana Melaka yang sebenar. Dia juga menyeru agar para belia kini kembali mengenal semula sejarah yang benar bahawa pejuang Melayu dahulu berjuang bermati-matian mempertahankan Islam di Tanah Melayu.

Bagi melengkapkan sesi rombongan ini, satu kuiz diadakan untuk mencabar minda para peserta setelah penat berjalan melawati muzium-muzium tersebut.

Aktiviti seterusnya pula ialah pengisian di Masjid Selat, Melaka disampaikan oleh saudara Nurul Aizam bin Zaini, ketua Pembina Cawangan Melaka. Beliau memberi pengisian mengenai "Melayu dan Islam". Dua buah video ditayangkan iaitu "Dokumentari Melayu Sepakat Islam Berdaulat" dan pidato oleh saudara Badrul Sani di KOMPAS 2012.

"Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata,
Nyawa dan badan saya serahkan."


"Apa yang antum semua faham mengenai pantun ini? Ini adalah pantun jihad Melayu. Runtuhnya kota Melaka tidak bermakna runtuhnya kesultanan Melayu di Nusantara ini," ulas Aizam dalam menerangkan bahawa Melayu dan Islam itu saling berkait rapat antara satu sama lain sejak Islamnya orang Melayu.

"Kita dapat Islam kerana susah payah orang lain, darah dan perngorbanan serta nyawa orang lain. Kalau kita main-main, kita telah mengkhianati perjuangan mereka," tambah beliau lagi.

Masjid Selat menjadi tempat perpisahan Jejak Pahlawan di Melaka
Akhir sekali sesi penyampaian hadiah bagi para peserta yang berjaya mendapat markah tertinggi untuk kuiz sebelum ini. Ia kemudian disusuli dengan sesi fotografi sebelum semua berangkat pulang ke UPM.

Program ini berjaya menyampaikan maksud dan objektif utamanya. Para peserta mula sedar bahawa sejarah Melayu Melaka berteraskan Islam. Para pejuang Melayu dahulu hebat dengan Islam. Ia telah membuka minda dan menarik minat para peserta untuk mengetahui lebih mendalam mengenai sejarah Melayu dahulu.

"Saya rasa program ini berjaya meningkatkan lagi kefahaman saya mengenai Sejarah Melayu Melaka dahulu. Ia sungguh berbeza apa yang saya pelajari di buku teks sejarah dahulu," ujar Hanis Fozi, salah seorang peserta program tersebut.

Ramai di antara peserta berharap program seperti ini dapat diadakan lagi agar lebih ramai golongan belia khususnya dapat mengenali sejarah Tanah Melayu dan kaitannya dengan Islam.

"Saya berharap program seperti ini dapat meningkatkan lagi kesedaran di kalangan para belia dan menanam jati diri yang unggul dalam diri mereka bagi memperjuangkan Islam di Malaysia. Ia seperti mana yang mereka lihat pahlawan-pahlawan Melayu dahulu memperjuangkan Islam di saat sebelum dan selepas kedatangan penjajah. Satu-satu bangsa itu perlu mengenal sejarah mereka kerana bangsa yang berjaya adalah bangsa yang mengambil ikitbar dari sejarah mereka," ulas Syed Zahiruddin, selaku pengarah kedua program ini.

Para peserta bergambar bersama penceremah, saudara Nurul Aizam (berdiri tengah 8 dari kiri) sebelum berangkat pulang ke UPM

2 ulasan:

  1. bukan gambar muzium samudera tu adalah kapal portugis?

    apa-apa pun, ia sangat best!

    kata-kata pengisi yang tertusuk

    "Kita dapat Islam kerana susah payah orang lain, darah dan perngorbanan serta nyawa pranglain, kalau kita main-main, kita mengkhianati perjuangan mereka"

    lepas ni, buat lebih dari sehari, terpaksa scanning sebab tak cukup masa.

    apa pun jazakallah!

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas pencerahan tersebut.

    Jazakallah.

    BalasPadam