Benih yang baik, terjatuh ke lautan
menjadi mutiara, terdampar di daratan berubah menjadi permata, terawangan di angkasa
bertukar kejora.
Peribahasa ini membawa maksud seseorang manusia di mana pun
dia berada perlu menjadi insan berguna dan bermanfaat buat orang lain
seterusnya membawa kebaikan dan rahmat di sekelilingnya.
Ingin saya kupaskan bahawa belia kita
perlu mengambil contoh benih yang baik itu tadi. Hal ini kerana, belia yang
tergolong dalam lingkungan usia 18 hingga 40 tahun mempunyai ciri-ciri semangat
kepemudaan.
Ya, semangat seorang pemuda! Ke mana semangat ini perlu
didorongkan?
Pastinya kita kembali kepada fitrah hakiki iaitu, mencintai Allah
dan rasul-Nya berpandukan dua pegangan utama yang mana jika dia berpegang
kepadanya nescaya tidak akan sesat selama-lamanya Al-Quran dan Hadis.
Disebabkan semangat belia itu tadi telah
didorongkan melalui pilihan jalan yang salah, maka kita lihat sehingga kini
Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan ke-57 dan baru-baru ini menyambut Hari
Malaysia ke-51, belia kita semakin ketirisan identiti. Hal ini kerana, mereka
tidak punya matlamat hidup yang jelas.
Sedarkah mereka bahawa manusia diciptakan
untuk menjadi khalifah dan seorang ‘abid di muka dunia? Seperti mana yang
disebutkan dalam Surah Al-Baqarah 2:30 dan Surah Az-Dzariyat 51:56.
Khalifah yang dimaksudkan ialah
kepemimpinan. Jikapun kita tidak menakluk dunia, memimpin masyarakat, cukuplah
kita menjadi pemimpin buat diri kita sendiri. Melalui jalan itu, tanpa disedari
kita akan membawa kebahagiaan, kedamaian dan rahmatan di sekeliling kita.
Pemimpin itu sifatnya ada 17:
1.Mempunyai keyakinan diri yang tinggi
2.Bekerja keras
3.Bersedia untuk berkorban untuk kepentingan ahli
4.Mampu menjadi contoh teladan
5.Adil
6.Peramah
7.Mempunyai pegangan agama yang kuat
8.Suka bekerja dalam kumpulan
9.Hormat
10.Berpelajaran
11.Kreatif
12.Mempunyai kemahiran komunikasi
13.Berfikiran terbuka
14.Boleh dipercayai
15.Bermotivasi
16.Bertanggungjawab
17.Aktif dalam persatuan.
Jadilah ‘abid yang tawaduk dan
memperhambakan diri hanya semata-mata kepada Allah. Jadilah ahli ibadah yang
sentiasa merasa kekerdilan diri dengan Allah yang Maha Besar, Tuhan Sekalian
Alam. Melakukan sunnah Nabi Muhammad S.A.W juga menjadi salah satu ibadah kita.
Sunnah yang paling utama ialah jihad.
Dalam tafsir Ibn Hajjar ada mengatakan,
“Seseorang yang mana dia berjihad, akan diangkat darjatnya oleh Allah dapat duduk bersebelahan Rasulullah S.A.W di syurga.” Tidakkah kita mahu mengorbankan secebis tenaga untuk berjihad terutama melawan hawa nafsu kepada diri sendiri dan berjihad melebarkan sayap dakwah sementara di usia muda?
Sehingga kini, jiwa belia kita semakin
parah, perpaduan antara masyarakat kian merudum walhal kemerdekaan yang
dikecapi sekian lamanya. Aksesori-aksesori negara kita dihiasi oleh beli-belia
kita kerana mereka yang banyak mendominasi demografi negara Malaysia. Tetapi
sayangnya, aksesori tersebut telah dihiasi dengan kebanyakan gejala negatif ke
dalam tabi’i belia kita. Contohnya, gejala lumba haram, pergaulan bebas, kes
dadah, dan banyak lagi.
Perlu diterangkan jika belia ditanamkan
dengan matlamat yang jelas dalam kehidupannya, ditambah dengan imun hamasah
yang sedia ada dalam dirinya beserta vitamin tambahan dorongan dengan perkara
yang diminati berlandaskan tuntutan syariat, sudah pasti gejala sosial negatif
dan krisis dentiti yang berlaku pasti dapat ditangani. Oleh sebab itu, tidak
mustahil jika sebuah tamadun kontemporari bakal diterajui belia kemudian hari
bersama gagasan gemilang dan terbilangnya negara Malaysia pada tahun 2020
nanti.
Mengambil contoh zaman kerajaan
Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Kota Baitul Maqdis di awal usianya yang
muda. Begitu juga Al-Fateh yang membebaskan Kota Konstantinopal yang mempunyai
sebaik-baik tentera dan dialah sebaik-baik raja.
Kesimpulannya, pulihara dan
bangkitkanlah sifat belia dalam diri kita semua sementara kudrat masih ada.
Kitalah harapan pemilik negara dan peneraju legasi pimpinan sedia ada.
Kembalikan kemerdekaan yang sebenar-benar merdeka dalam negara Malaysia agar
ikatan kesepaduan kita kukuh dan tiada lagi doktrin-doktrin lesu yang akan
menjatuhkan kita.Belia harapan agama, bangsa dan negara.
"Jika kamu mahu melihat generasi masa hadapan, kamu lihatlah pemuda hari ini"
- As-Shahid Imam Hassan al-Banna
Oleh:
Nazatul Shima Masri,
Bacelor Pengurusan Alam Sekitar,
Ketua Biro Aktivisme Mahasiswa,
PEMBINA UPM.
Ketua Biro Aktivisme Mahasiswa,
PEMBINA UPM.