MAJLIS SAMBUTAN MAULIDURRASUL DAN SOLAT HAJAT PERDANA 2015 – Anjuran
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa
Islam (PMI) dan Sahabat Surau Serumpun telah diadakan pada 24 Disember 2015 bersamaan 12 Rabi'ul Awal bertempat di Surau Kolej Serumpun, UPM.
Alhamdulillah,
Alhamdulillah, Alhamdulillah. Majlis pada malam ini berakhir dengan suasana
penuh keserdahanaan di bawah titisan renyai-renyai hujan rahmat yang turun
selepas azan maghrib dikumandangkan. Setelah solat maghrib berjemaah didirikan,
ahli syurga di surau bersama-sama melaksanakan solat hajat untuk pemohonan dipermudahkan
urusan peperiksaan akhir semester yang akan berlangsung bermula isnin minggu
hadapan. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan pengisian ketulan emas-emas
syurga melalui bacaan yaasin, selawat, wirid dan diakhiri dengan senjata mukmin
(doa).
PEMBINA mengambil
kesempatan ini untuk memanggil penceramah, Saudara Syafiq Syahmi, alumni PEMBINA
UPM bagi menyampaikan satu slot pengisian tentang tajuk ‘Rasulullah Pelopor
Kesatuan Ummah’ bersempena dengan sambutan Maulidurrasul pada malam ini. Penyampaian
yang cukup mantap dan sangat menarik untuk diteliti dan direnungi oleh semua
para jemaah surau. Bagaimana kita ingin mengenali seseorang? Dan bagaimana pula
untuk kita mencintai seseorang? Tidak kenal maka tidak cinta. Betul! Tepat sekali penyataan itu. Berimannya
seseorang kepada ALLAH S.W.T setelah mengenali siapa Tuhan yang satu dan Maha
Esa itu melalui sifat-sifat indah yang dimilikiNya. Begitulah juga untuk kita
berkenalan dengan siapa kekasih ALLAH S.W.T. Tidak lain dan tidak asing lagi di
pandangan mata serantau ummat manusia di muka bumi ini iaitu baginda,
Rasulullah S.A.W. Siapakah orang yang hebat ini? Orang hebat ini adalah utusan
ALLAH S.W.T yang paling agung untuk dibicarakan tentangnya. Baginda merupakan
agen penyatuan ummah sewaktu zaman kenabian dan kerasulan yang pada ketika itu ummat
manusia dalam keadaan porak-peranda dengan perpecahan di kalangan kabilah hasil
campur tangan puak Yahudi yang sejak azali lagi tidak menyukai kegemilangan dan
kemenangan Islam terpacak di atas muka bumi ini. Pada ketika itu, persaudaraan
golongan Muhajirin dan Ansar telah menjadi satu alat yang cukup produktif dalam
menghasilkan penyatuaan ummah di bawah pimpinan dan kendaliaan Rasulullah S.A.W.
Jika di undur kepada
zaman ketika itu, sebenarnya zaman sekarang ini telah kembali kepada zaman
dahulu. Di mana Islam pada hari ini telah berpecah-belah kerana membawa
kepentingan diri sendiri dan tidak lagi menjadikan Islam itu adalah tempat yang
paling utama untuk diperjuangkan. Ummat masih belum sedar bahawa sekarang ini
musuh Islam sedang bersorak riang melihat keadaan ummat pada hari ini. Mereka
sudah berjaya melihat Islam itu ditindas, dipijak dan dijaja dengan makian yang
cukup membingitkan. Inikah yang kita mahukan sebenarnya? Jika Rasulullah S.A.W
melihat ummat yang baginda kasihi pada hari ini, sudah pasti baginda akan
menangis. Menangis tatkala mengenangkan perjuangan dakwah baginda selama 13
tahun adalah sia-sia. Sedangkan pada ketika itu, baginda sanggup besusah-payah
mengorbankan nyawa, harta, pangkat dan keluarga hanya kerana ingin memastikan
Islam terus tertegak di atas muka bumi ini dan memastikan generasi akan datang
merasai nikmat Islam. Siapa generasi itu? Kita adalah generasi itu.
Wahai pewaris syurga
ALLAH S.W.T., ayuhlah kita sama-sama bersatu demi menyelamatkan satu payung yang
sudah berat dan penat terbeban dengan hujanan dari batu-batu yang memedihkan.
Musuh tidak akan pernah berhenti dan berpuas hati selagi tidak melihat Islam
itu hancur. Strategi demi strategi dirancang dalam memastikan kita menjadi
umpan mereka untuk memecah belahkan agama kita sendiri. COMANGGO, LGBT, SEKULAR
dan pelbagai lagi bentuk ancaman yang bergerak secara halus dan senyap tanpa
sedar. Jangan menjadikan perjuangan Rasulullah, para sahabat, Khulafa
Ar-Rasyidin dan barisan Ikhwanul Muslimin berakhir dengan debu sia-sia. Berkasih
sayang seperti kaum Muhajirin dan Ansar dalam mengembalikan semula jalur
kegemilangan Islam. Jaga hak dan tanggungjawab diri sendiri serta orang lain.
Sekarang bukan masa untuk setiap persatuan menunjukkan belang dan taring
masing-masing, tetapi hari ini adalah masa untuk duduk satu meja, berbincang
secara pemikiran terbuka tentang penyelesaian masalah ummat dan abaikan
kepentingan dan keegoan dir demi sebuah Islam yang tercinta. Ummat sekarang
sedang tenat. Oleh itu bersatulah untuk mencapai satu muafakat yang berkat di
sisi ALLAH S.W.T.
Pengisian yang cukup mantap sempena Maulidurrasul kali ini kerana aspek sunnah yang perlu diikuti oleh ummat hari ini bukan hanya tertakluk pada cara penampilan, makanan dan lain-lain, tetapi sunnah berjuang dalam menyatu padukan ummat pada hari ini. Program ini telah dihadiri lebih 100 pelajar Universiti Putra Malaysia dan diharapkan kerjasama yang dilakukan oleh badan dan persatuan-persatuan Islam di sini akan berterusan.
Wan Norkhalida
Ahli Biro Tarbiyah dan Dakwah
PEMBINA UPM
Ahli Biro Tarbiyah dan Dakwah
PEMBINA UPM