Kolej Serumpun, 24 September - Satu kuliah Fiqh Akidah bertajuk "Syiah - Satu Konspirasi" telah berlangsung yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Ismail atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad, selaku Ketua Unit Kajian Gerakan Syiah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Ia telah diadakan di surau serumpun, Universiti Putra Malaysia (UPM), selepas solat maghrib dengan kehadiran hampir 90 orang mahasiswa lelaki dan perempuan.
"Secara umumnya Syiah ini ialah golongan yang melebih-lebihkan Saidina Ali daripada sahabat-sahabat lain dan mengatakan bahawa beliau lebih layak menjadi khalifah," ujar Ustaz Mad.
Menurut Ustaz Mad, isu Syiah ini bukan sahaja melibatkan mazhab bahkan ia adalah isu AQIDAH kerana Syiah mengagungkan Saidina Ali sehingga mengatakan Saidina Ali itu Tuhan. Syiah yang beliau tumpukan ialah Syiah Imam 12 atau di Malaysia ia dikenali sebagai Syiah Jaafariah
Menurut beliau lagi, Syiah Imam 12 adalah sangat berbahaya kerana mereka mempunyai negara sendiri, iaitu negara Iran.
![]() | ||||
| Ceramah bahayanya Syiah oleh Ustaz Mad. |
Pergaduhan antara Iran dan Amerika hanyalah satu propaganda barat agar umat Islam sedunia tertipu dengan konspirasi yang mereka adakan. Orang-orang Syiah juga cukup membenci Palestin dan tidak pernah terlintas di fikiran mereka untuk membebaskan Palestin dari cengkaman rejim Israel.
"Mereka cuba bersembunyi dengan mengatakan sokongan mereka kepada ahlul bait (keluarga nabi). Walhal imam-imam yang mereka agungkan itu sendiri adalah ahli Sunnah Waljamaah," jelas Ustaz Mad kepada hadirin mengenai antara kesalahan Syiah dalam mengagungkan 12 Imam daripada keluarga Rasulullah SAW.
Secara ringkasnya Ustaz Mad menyatakan 8 ciri-ciri Syiah yang sesat antaranya ialah wilayah/walayah atau kekuasaan (menjadikan Imam sebagai rujukan hukum hakam dan bukannya al-Quran dan Sunnah), nikah mut'ah (nikah kontrak), taqiyyah (berbohong), ar-Raj'ah dan sebagainya.
Kesemua ciri-ciri ini tidak lain dan tidak bukan adalah jarum halus yang bertujuan hanyalah untuk menjauhkan umat Islam dari pegangan yang sebenar kita iaitu al-Quran dan Sunnah. Dengan itu barulah mereka boleh menguasai pemikiran umat-umat Islam dengan mudah.

