UPM, 7 Disember 2013 - Malam Bina Iman dan Takwa (MABIT) , anjuran Beliawanis PEMBINA UPM telah berlangsung semalam dengan kehadiran seramai 30 orang peserta dari pelbagai kolej.

MABIT kali ini bertujuan bagi meningkatkan iman dan merapatkan ukhuwah sesama ahli PEMBINA serta muslimat UPM.

"Keinginan seseorang untuk menghadiri majlis ilmu adalah petanda mereka cintakan ilmu dan ingin mendapat rahmat dan petunjuk dari Allah SWT. Justeru itu, perkara ini perlu kita syukuri bagi setiap beliawanis yang hadir pada malam ini", kata Ustazah Wan NorAnisah.

Kita boleh memilih untuk terus menjadi umat Jahiliyah atau umat yang terbaik kerana setiap itu adalah pilihan kita sendiri. Ini disebabkan keadaan dunia sudah semakin menyempit dan parah, lalu perubahan perlu dilakukan dalam melahirkan umat yang terbaik.

"Iman kita bertambah dan berkurang sesuai dengan perbuatan kita, namun perkara wajib tidak seharusnya ditinggalkan.

Rasulullah SAW diutus dengan membawa petunjuk Al-Quran dengan membaca ayat-ayat Allah, menyucikan jiwa dan mengajarkan kepada ummat manusia dalam mengeluarkan mereka yang dahulunya hina kini menjadi mulia, lemah menjadi kuat, berkabilah kembali bersatu dan jahil kepada berpengetahuan,"terang ustazah dengan lebih jelas.

Ustazah menekankan tentang sikap istiqamah dalam melakukan ketaatan kepada Allah seperti menghadiri majlis ilmu kerana dapat menghidupkan hati bersama orang-orang yang soleh dan solehah.

Sehubungan dengan itu, iman itu perlu dikawal dan perlu diperingatkan agar hati kita akan kembali kepada fitrah.

Majlis pada malam itu, dimulakan dengan solat Isyak berjemaah, pengisian ringkas dan 'game' taa'ruf. Para peserta menunaikan solat sunat taubat dan membaca surah Al-Mulk sebelum tidur. Peserta menunaikan qiam pada pukul 4.30 pagi secara berjemaah sementara menunggu waktu Solat Subuh.

Seusai solat, Tazkirah Subuh di sampaikan oleh Saudari Sayang  Syamira dari Biro Aktivisme Mahasiswa PEMBINAUPM. Majlis berakhir pada pkul 7.15 pagi setelah bersarapan pagi.
Peserta bergambar ceria di puncak Bukit Broga.

7 Dis, Bukit Broga, Semenyih – Bertemakan “Moving Your Heart, Mentadabbur Alam dan Merapatkan Ukhwah”, satu program riadah ke Bukit Broga telah dianjurkan oleh PEMBINA UPM.

"Kita harus senantiasa mencari cinta Allah S.W.T, cinta yang kekal abadi, agar hati kita sentiasa berada dalam keimanan dan ketaqwaan kepada Allah secara menyeluruh. Apabila hati sudah mula jatuh cinta pada yang Maha Esa, hati ini  akan merasa 'getaran cinta' yang lebih hebat dari cinta pada manusia. Lantas, terasa ingin senantiasa memuji dan kagum dengan setiap yang di cipta-Nya", kata saudari Noraziah semasa pengisian ringkas di puncak Bukit Broga.

Program bermula pada pukul 3.30 pagi di mana semua peserta berkumpul di Kolej Canselor, UPM sebelum bertolak ke Bukit Broga. Seterusnya, para perserta bertolak dari UPM pada pukul 4.00 pagi dan pendakian bermula seawal 5.00 pagi dan berakhir pada pukul 6.15 pagi.

Setibanya di puncak, para peserta mengambil tempat untuk membuat persiapan solat Subuh secara berjemaah. Setelah selesai solat, sebelum ke slot yang seterusnya, para peserta berkesempatan membaca Al-Mathurat beramai-ramai.

Slot yang seterusnya setelah sampai ke puncak, sedikit perkongsian antara ahli PEMBINA UPM telah dilakukan bagi bertujuan berkongsi perasaan atau pengalaman semasa mendaki Bukit Broga. Salah seorang daripada peserta iaitu saudari Azrin berkongsi rasa syukur kepada Allah S.W.T kerana diberi peluang sampai ke puncak untuk menghayati keindahan ciptaan yang Maha Kuasa.

Pemandangan pagi yang indah: Litupan awan dan kabus menyejukkan mata hati

Seterusnya, sedikit pengisian telah disampaikan oleh saudari Noraziah binti Zainul Abidin, dari Biro Tarbiyah dan Dakwah PEMBINAUPM, mengenai penghijrahan hati kepada Allah S.W.T secara menyeluruh kerana Allah S.W.T telah mengurniakan nikmat Iman, Islam serta tubuh badan yang sihat sehingga mampu untuk sampai ke puncak Bukit Broga.

Saudari Noraziah juga mengajak para peserta agar merenung kembali setiap perkara yang telah dilakukan sepanjang tempoh usia yang Allah berikan kerana nikmat masa dan usia kita semua akan dipersoalkan nanti diakhirat kelak.

Objektif utama bagi program ini telah tercapai dengan kerjasama yang sangat baik oleh para peserta iaitu untuk meningkatkan kekuatan fizikal dan mental ahli beliawanis PEMBINA UPM. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah serta memberi peluang kepada ahli PEMBINA untuk saling mengenali antara satu sama lain.

Setelah selesai slot pengisian, pada pukul 8.30 pagi, kesemua para peserta turun daripada puncak Bukit Broga untuk pulang semula ke UPM.

Antara gambar menarik sepanjang program:

 Peserta berkumpul di surau KC sebelum bertolak


 Tiba di puncak: Tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar

Sebelum: Kegelapan masih menutupi, hanya cahaya disuluh menerangi lalang ini.

Selepas: Sinaran matahari menerangi SELURUH alam, betapa hebatnya kehendak Allah S.W.T.


 Subhanallah: Kita hamba Allah yang harus sentiasa kagum serta memuji kehebatan Pencipta-Nya.
Pengisian ringkas oleh Ustaz Firdaus tentang kemanisan iman.


Bangi, 6 Disember 2013- Ahli-ahli PEMBINA wajib mengetahui bahawa untuk mendapatkan kemanisan iman, kita memerlukan pertalian ukhwah yang indah antara satu sama lain. Keterikatan hati individu-individu dalam sesebuah jemaah akan meneguhkan tapak asas kedudukan bangunan jemaah itu sendiri.

Pengawai Penyelidik, Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah yang bertajuk “Kemanisan Iman” dalam program Malam Bina Iman dan Takwa [MABIT] anjuran PEMBINA di sini.

Kemanisan iman mudah kita tuturkan melalui mulut, tapi untuk mengecapinya memerlukan pengorbanan yang jitu dan bersungguh. Menurut hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. Iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya, mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah, benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.”


“Ikhwah dan ikhwah yang lain akan saling memahami dan bergantung antara satu sama lain. Jika seorang ikhwah memasukkan tangan ke dalam poket seluar saudaranya untuk mengambil wang tanpa diketahui saudaranya akan berapa banyak, saudaranya akan berlapang dada kerana konsep memahami”, ujar Ustaz Firdaus.

Menurutnya, generasi para sahabat dahulu mengamalkan konsep itsar walaupun diri hampir mati kerana memikirkan akan hal saudara mereka. Kini, dalam dunia kita, umat Islam masih lagi mengalami penderitaan dan kesusahan. Jika hari ini, banjir di Pantai Timur Malaysia, peperangan di Palestin. Lihatlah juga peperangan di Mesir, Syria telah lama meletus. Justeru, adakah ‘memahami’ itu bergantung kepada waktu?

Pendekatan dan metodologi dakwah harus berubah mengikut peredaran zaman dan keperluan semasa. Orang-orang kafir terutama kristian akan ke depan untuk membantu masyarakat, sedangkan orang Islam masih lagi memikirkan hal mereka sendiri. Kita perlu ubah pemikiran ini. 

Agama ini mendidik muslim untuk menggarap segala potensi diri untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif supaya usaha dakwah menjadi lebih berkesan mengikut peredaran zaman.

Galeri:

Saudara Farisd Junos berperanan sebagai mas'ul MABIT kali ini.
Ustaz Firdaus menyampaikan ilmu bertajuk Halawatul Iman.
Para peserta membaca al-mathurat usai solat Subuh.

Saudara Aizat Farhan menyampaikan perkongsian dan tazkirah.





1. Selama bergiat di dalam unit kajian PEMBINA saya banyak didedahkan dengan bacaan-bacaan mengenai kepimpinan kampus dakwah dan strategi . Bacaan seperti buku Professor Paduka Mohammad Abu Bakar ,'Mahasiswa Mengugat' yang menjadi bahan bacaan ketika tahun 1 lagi, menarik minat saya mengenai kepimpinan kampus. Buku-buku seperti the 'Art of War', '33 Strategies of War' dan 'Law of Power' tersimpan kemas di dalam minda ini. Namun, paling diingati adalah 'Strategi Rasulullah di dalam 28 Perang Baginda'.

2. Ditugaskan pula untuk menyampaikan fikrah PEMBINA dalam jelajah arus siswa di seluruh Malaysia mengenai sejarah gerakan mahasiswa dan ancaman liberalisme menjadikan saya lebih memahami keadaan mahasiswa di negara. Gerakan mahasiswa bermula lewat 60 an sering menjadi rujukan kerana ia adalah generasi awal yang menandai idealisme perjuangan tetapi sebenarnya kontang dari ruh Islam.

3. Kepimpinan kampus hari ini pula tidak banyak berubah meskipun zaman telah berubah. Mereka gagal menjadi qudwah dan tauladan kepada masyarakat awam, 'front' Islamis dan paksi universitI bertembung hingga melibatkan nyawa, sedang masyarakat kampus derita cahaya. Masyarakat kampus menantikan satu kepimpinan yang mampu merubah segalanya dari persengketaan kepada persaudaraan , daripada derita kepada kegembiraan ,daripada kemunduran kepada kecelikan akal intelek.

4. Maka jika dibiar , mahasiswa akan menjadi pohon bonsai, jika tidak ditegur, hamasah pemuda akan disalah erti tanpa natijah yang benar.

5. Sedar atau tidak negara hari ini ketandusan insan seperti Tun Razak, Tun Dr Ismail, Profesor Muhammad Zulkifli dan Dr Burhanudin Al-Helmy kerana kecelaruan di dalam melahirkan kepimpinan.

6. Oleh sebab itu, saya mencalonkan diri saya untuk melakukan perubahan ini dengan tangan saya sendiri, walaupun dihadapkan selautan cabaran kerana usia PEMBINA UPM yang masih bertatih tetapi cabaran bukan alasan untuk maju kehadapan. seorang Al-Akh perlu berani melakukan perubahan kerana fikrah yang kita imani dan kita mengetahui potensi diri sendiri serta cita-cita terhadap gagasan Islam yang kita impikan di setiap mimpi malam.

7. Saya serahkan takdir perjuangan ini kepada yang maha Esa, kemenangan tidak menjadi soal penting bagi saya tetapi bagaimana idea dapat disampaikan kepada masyarakat kampus berjaya dibumikan menerusi cara pandang politik baru dan bagaimana fikrah Islam berjaya di implan dalam segenap jiwa mahasiswa bahawa perjuangan ini menuntut seseorang keluar berhadapan cabaran dan bertangungjawab terhadap agenda jangka panjang ummah.


8. Saya serahkan kepada kebijaksaan mahasiswa didalam mengundi.Undilah mereka yang mampu melakukan perubahan, mereka yang mempunyai kebijaksanaan serta mereka yang benar-benar ikhlas di dalam perjuangan.

9. Kepada semua calon, semoga maju jaya dan menjadi harapan saya agar ukhuwah yang telah terbina dapat kita kekalkan sehingga akhir hayat kita.


“Meneraju Arus Perubahan”
Luqman Abd Hamid
Calon kerusi umum

Seorang lelaki berumur datang ke sebuah kampung. Dia melihat beberapa orang pemuda berkumpul. Dia dihormati dan dijemput. Lelaki itu pelik kerana tidak menjadi kebiasaan pemuda di kampung-kampung berperilaku sedemikian. Mereka berbincang tentang masalah-masalah penduduk. Perbincangan mereka seperti pemuda yang berilmu dan berpengetahuan tinggi.

Mereka berbincang ringkas dan padat. Malahan mereka mengetahui sirah rasul apa yang tidak diketahui oleh mahasiswa-mahasiswi.

Lalu lelaki itu bertanya, "Dari mana kamu belajar semua ini?"

Mereka menjawab, mereka daripada Ikhwanul Muslimin.

Begitu jawapannya membuatkan lelaki itu berminat dengan ikhwan dan akhirnya dia turut serta dalam perjuangan Ikhwanul Muslimin. Dan lelaki itu adalah Hassan Hudhaibi, Mursyidil Am ke-2 Ikhwanul Muslimin.

Begitulah apa yang PEMBINA ingin bawa kepada para pelajar semua. Kita tidak mahu hanya sekadar menjadi bahan-bahan industri kelak apabila menjejak kaki keluar dari universiti ini.

Kita tidak mahu hanya cemerlang di akademik tetapi lupa tentang apa yang berlaku kepada saudara-saudara kita di luar sana.

Apakah kalian tidak ingat akan kata Rasulullah bahawa:

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”

Harus kita sebagai seorang pemuda, bergerak menegakkan panji-panji jihad. Sesungguhnya definasi jihad itu tidak terhad setakat mati syahid. Jihad definasinya lebih luas. Seluas apa yang kita dengari dan fahami.

Belajar itu juga jihad. Jihad demi ummah!

Baik. Mari saya berikan satu analogi.

Seorang pelajar yang pada keesokan hari akan menghadapi peperiksaan akhir. Dia telah bersedia dengan pelbagai maklumat untuk menjawab peperiksaan itu nanti. Apabila pagi esoknya pula, sedang dia bersiap untuk ke dewan peperiksaan, dia menerima panggilan dari rumah. Ayahnya sakit tenat.

Apakah yang perlu pelajar itu buat? Jika dia tidak menghadiri peperiksaan ini, tentunya dia akan gagal. Mungkin dia boleh balik lambat kerana ayah hanya sakit tenat. Sekejap sahaja ayah perlu menunggu.

Jadi jika saudara dalam situasi ini apakah pula keadaannya bagi saudara?

Pastinya kita akan meninggalkan peperiksaan itu dan pulang ke rumah menziarahi ayah yang sakit.

Begitu jugalah samanya kita sekarang. Ummat sekarang berada dalam keadaan tenat. Takkan kita tidak langsung menganggap ummat ini sebagai saudara? Bukankah Rasulullah SAW pernah berkata,

“Tidak beriman (dengan iman yang sempurna) sesiapa di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Adakah kita mahu menangguhkan keperihatinan kita kepada ummat hanya kerana akademik kita yang sementara?

Tidak. Saya tidak berkata begitu. Kita ada cara bijak untuk menyelesaikan dilema ini.

Dalam kita mencapai kejayaan akademik, turut sertalah dalam cakna akan hal-hal berkaitan ummat. Ketahui ancaman-ancaman yang menyerang ummat kini.

Kita bukan diserang dengan senjata dan darah. Pada zaman ini kita diserang dengan serangan pemikiran. Lihatlah bagaimana ia mencairkan jati diri kita.

Hedonisme yang berpaksikan hiburan. Segala macam konsert dilihat perkara penting untuk mengisi masa lapang dan menghilangkan stress. Islam tidak melarang untuk kita berhibur. Tetapi berhibur itu ada hadnya.

Liberalisme yang berpaksikan akal. Dikatakan bahawa al-Quran itu sudah tidak sesuai untuk ummat zaman ini. Ia perlu ditafsir semula. Golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual diberikan hak atas nama hak asasi manusia. Tidakkah kita mengingati kaum Lut yang dilaknat oleh Allah SWT dahulu?

Pluralisme yang menyamaratakan semua agama. Islam adalah tertinggi dan tiada yang tinggi selain Islam! Islam boleh bertoleransi dalam bab muamalah atau perhubungan seharian. Namun, bab akidah dan kepercayaan tidak sama sekali!

Kristianisasi yang cuba mencari lubang-lubang menyesatkan ummah. Kalimah Allah ingin dirosakkan mereka dengan dasar hak sama rata agama.

Syiah yang kian menular. Mencaci perihal para sahabat dan bersembunyi di sebalik kecintaan kepada ahlul bait (keluarga Nabi). Sifat taqiyyah (berbohong) mereka membuatkan ada yang turut tertipu dengan pembohongan mereka itu.

Lalu, apakah mahasiswa patut buat? Seharusnya kita memperkukuhkan akidah kita. Elakkanlah pertikaian atas perkara-perkara kecil. Kekalkan hubungan ukhwah (persaudaraan sesama kita).

Umat Islam bukanlah ummat yang pasif. Apabila diserang kita hanya mengiyakan serangan ini.
Bangkitlah pemuda-pemudi sekali. Bangkitlah dengan kesedaran yang betul. Bangkit dengan nama Islam yang benar.

Mari kita menjadi pemuda-pemudi idaman. Pemuda pemudi harapan. Sedar dan cakna dengan isu semasa melibatkan ummah. Menguatkan saf-saf kita dengan jati diri Islam yang sebenar.

Oleh,

Mohamad Izham Bin Mohd Alias
Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional