BANGI, 26 Oktober – Bertempat di Pejabat ISMA Hulu Langat, telah diadakan Bengkel Photoshop Kemahiran Asas oleh persatuan PEMBINA cawangan Bangi dengan kerjasama Mentalgraphy. Seramai lebih 50 orang telah hadir dalam sesi perkongsian ilmu ini yang dikendalikan oleh saudara Muhd Amin Al-Asri.

Sebelum pembelajaran diteruskan, peserta didedahkan dengan kepentingan media dalam menyampaikan dakwah Islam. Turut difahamkan, kini media barat lebih aktif dalam menyampaikan maklumat mereka melalui medium ini berbanding kita. 

Setelah itu, peserta mula didedahkan dengan langkah pertama dalam penggunaan Adobe Photoshop iaitu peralatan-peralatan yang terdapat dalamnya. Antaranya, brush, quick selection tool, shape tools, text tools, clone stamp tool dan lain-lain. Peserta juga diajar bagaimana mengendalikan layer dengan betul. 

Di samping itu, tenaga pengajar turut berkongsi cara-cara mengedit gambar serta beberapa web khas untuk mengekstrak tulisan dan mendapatkan contoh poster terbaik. Sebelum berakhir, peserta dibekalkan dengan CD tutorial photoshop dan sempat juga merakam kenangan dengan sesi bergambar.

Semoga perkongsian ilmu ini bermanfaat dan diaplikasikan dalam menggencarkan lagi dakwah melalui media.

Antara gambar sepanjang program:

Muhd Amin Al- Asri dari Mentalgraphy memberi penerangan mengenai Photoshop


Peserta tekun mempelajari kemahiran Photoshop dengan tunjuk ajar dari yang berpengalaman


Peserta lelaki bergambar sebelum program berakhir


Peserta wanita bergambar teruja setelah memperolehi kemahiran Photoshop


Islam adalah satu agama yang lengkap dan sempurna. Ia lengkap dan sempurna kerana ia datang dari sisi Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa yang telah menciptakan alam ini secara keseluruhan. Bumi, planet-planet, bintang, gunung-ganang, lautan samudera, flora dan fauna kesemuanya. Subhanallah, Maha Suci Allah.

Islam yang diturunkan Allah SWT untuk umat manusia juga bukanlah sekadar agama biasa. Maksudnya, ia bukan seperti agama-agama lain yang wujud seperti Kristian, Buddha, Hindu, Taoisme, Sikh dan lain-lain. Islam tidak duduk sama taraf dengan fahaman dan isme agama-agama ini. Islam dijadikan Allah untuk menjadi 'superior' ke atas agama-agama yang lain. Islam mesti 'superior' kerana peranannya ialah untuk menyelamatkan umat manusia daripada kesesatan.

"DIA-lah Allah SWT yang telah mengutuskan Rasul-Nya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya." (As-Soff:9)
Islam tidak lain adalah satu cara hidup yang mengatur segala ruang inci kehidupan manusia. Allah SWT tidak menciptakan manusia secara kebetulan atau begitu sahaja. Maha Suci Allah daripada perkara itu. Sebaliknya, Allah SWT menciptakan manusia ada tujuan dan peranan yang perlu dialaksanakan. Maka dengan itu, umat Islam ialah umat yang memahami tujuan penciptaannya di dunia ini, tahu tugasan asasinya iaitu untuk menjadikan Allah s.w.t sebagai Tuhan yang disembah dan apa sahaja yang diperintahkan-Nya dilaksanakan, dan apa yang dicegah oleh-Nya ditinggalkan.

Proses untuk melahirkan manusia yang sebegini itulah yang dinamakan sebagai 'tarbiyah'. Dalam memastikan umat manusia tahu dan faham tujuan dia diciptakan, Allah SWT telah mengutuskan para Rasul pada setiap zaman yang wujudnya umat manusia, dari zaman Nabi Adam AS sehinggalah Rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW. Tujuan pengutusan mereka adalah sama, iaitu sebagai pemberi peringatan dan mengajak manusia mentauhidkan Allah SWT.

"DIA-lah Allah SWT yang telah mengutuskan kepada orang-orang (Arab) seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Al-Jumu'ah:2)

Memahami akan peranan yang cukup besar ini, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam menekuni usaha 'tarbiyah'. Keutamaan terhadap 'tarbiyah' dalam PEMBINA adalah ibarat rukun utama kewujudan PEMBINA. Tanpa 'tarbiyah', maka tiada ertilah PEMBINA.

Dengan itu, saya menyeru agar setiap individu menyedari kepentingan untuk melibatkan diri dalam arena perjuangan ini serta berada dalam posisi membersihkan diri dari kejahilan dan kemaksiatan. Sertailah program-program PEMBINA seperti Usrah, Kuliah Fiqh, Qiamullail (Mabit), Iftar dan lain-lain. Jadikanlah Islam sebagai perjuangan utama dalam hidup ini kerana hidup ini bukan untuk hidup, tetapi hidup di dunia ini adalah untuk mati.

Wallahu'alam.

Surau Serumpun, UPM – Pada 23 oktober 2013 iaitu hari Rabu selepas waktu Maghrib telah diadakan satu usrah umum bertajuk “Polemik Khalimah Allah”  yang telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM. Usrah umum ini disampaikan oleh Ustaz Muhammad Firdaus Zailani, graduan Universiti Al-Azhar. Sebelum memulakan perbincangan mengenai isu khalimah Allah, Ustaz Muhammad memberi gambaran mengenai isu penggunaan khalimah Allah yang harus diambil tahu oleh semua mahasiswa. 

"Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalah gunakan oleh agama lain, adalah amat berbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama",kata Uztaz Muhammad.

Pada permulaan usrah, ustaz menceritakan mengenai sifir pertembungan yang berlaku sebelum kedatangan Islam, di mana semasa zaman jahiliah, perkara yang berlaku adalah mengenai pertembungan ‘nafsu melawan nafsu’ iaitu berlaku banyak peperangan dan bergaduh sesama mereka.

Menurut ustaz, selepas kedatangan Islam dan wujudnya kepimpinan Islam, berlaku pula pertembungan Al-Haq melawan nafsu iaitu perjuangan menegakkan agama Islam melawan kuasa nafsu. Namun, dalam melawan kuasa nafsu, agama Islam yang harus ditegakkan kerana Islam adalah agama yang benar seperti dalam surah Ali’Imraan ayat 19 iaitu Allah S.W.T berfirman,

Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi kitab kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barang siapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sungguh, Allah sangat cepat perhitungan-Nya”.

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa Islam adalah agama benar dan yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T. Ustaz menegaskan bahawa kepimpinan Islam harus disepakati dan ditegakkan di Malaysia tanpa sebarang unsur negatif yang mampu mengancam kedudukan agama Islam dan salah satu isu yang mampu mengancam agama Islam adalah isu mengenai penggunaan khalimah Allah dalam penerbitan The Herald dan kitab Bible dalam bahasa Melayu.

Ustaz turut membicarakan perspektif daripada respon umum bahawa masih ramai lagi umat Islam yang tidak cakna isu ini dan sesetengah pihak hanya tahu berhujah semata-mata mengenai ayat al-Quran. Di samping itu, yang membangkitkan isu ini adalah orang bukan Islam, tetapi yang bergaduh sampai ke hari ini adalah orang Islam. Isu yang sepatutnya kita sepakat dan bersatu, tetapi kita berpecah semata-mata kerana kepentingan pihak tertentu. Maka, dalam konteks negara kita, kalimah Allah tidak boleh kita benarkan penggunaannya kepada orang selain dari kaum Muslimin.

Perkara yang paling penting, semua pihak perlu jelas bahawa nama Allah telah menjadi nama khas bagi Tuhan umat Islam. Perlu dibezakan antara kalimah Allah dari sudut bahasa yang telah wujud sejak zaman Jahiliyyah dengan kalimah Allah yang menjadi istilah atau nama khas semenjak kedatangan Islam. Jika diperhatikan kalimah tauhid – "La ilaha illa Allah". Ia tidak bermakna - "Tiada Tuhan melainkan Tuhan", tetapi membawa maksud "Tiada Tuhan melainkan Allah". Oleh itu, para sarjana Islam tidak bersetuju untuk menggantikan kalimah Allah dengan perkataan God dalam Bahasa Inggeris.

Pada pengakhiran usrah umum, ustaz menegaskan bahawa sesuatu kebenaran dalam menegakkan agama Islam harus dicari dan diperjuangkan oleh semua umat Islam. Penceramah turut menyeru kepada semua mahasiswa supaya cakna isu umat supaya kepimpinan Islam akan terus tertegak. Selesai sesi ceramah, para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah. Sesi ceramah pada kali ini berakhir pada jam 9.30 malam.


Sekitar Kawasan UPM- Pada 20 oktober 2013, satu program telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), UPM iaitu Explorace Running Iman bertemakan Suara Palestin Membangkit Iman Membina Ukhwah yang disertai oleh mahasiswa dan mahasiswi UPM.

Antara objektif utama program ini dijalankan adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pendedahan kepada para peserta mengenai sejarah sebenar dan situasi di Palestin. Pada masa yang sama, melalui explorace ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan mahasisiwa UPM kerana aktiviti ini melibatkan kerjasama dalam kumpulan di mana para peserta dipecahkan kepada tujuh kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai lima orang ahli.

Program ini bermula pada pukul 8:00 pagi di mana kesemua peserta mendaftar dan  berkumpul di Cafe Serumpun. Setelah selesai pendaftaran, para peserta diminta melakukan senaman pagi bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku kepada peserta sepanjang explorace dijalankan di sekitar kawasan, UPM. Seterusnya, para peserta diberi sedikit taklimat dan kata-kata aluan oleh saudara Syafiq Syahmi bin Sazali, selaku pengarah program Running Iman mengenai perjalanan program.

Setelah selesai sesi taklimat mengenai sepanjang explorace, pengembaraan explorace bermula dari Cafe Serumpun dan terus bergerak ke arah check point yang seterusnya mengikut 'task' yang diberikan oleh fasilitator program. Sepanjang pengembaraan yang dilakukan di sekitar UPM, terdapat sembilan ‘check point’ yang harus dilalui oleh para peserta. 

Antaranya adalah di check point satu, bertempat di Kolej 13 iaitu ‘Cuba Teka’ di mana terdapat beberapa soalan kuiz yang dijawab oleh para peserta mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Palestin.  Objektif kuiz ini diadakan adalah untuk menguji tahap pengetahuan para peserta mengenai isu Palestin sekali gus dapat menyedarkan mereka bahawa semua mahasiswa harus cakna isu-isu semasa terutamanya yang berkaitan dengan Islam.

Di Pusat Kesihatan Universiti UPM juga merupakan salah satu tempat yang dituju oleh para peserta bagi mendapatkan petunjuk yang seterusnya, walau bagaimana pun, sebelum itu, para peserta telah diberikan tugasan untuk melaksanakan jualan amal dengan menjual barangan daripada Aman Palestin  yang terdiri daripada button badge Aman Palestin, mafia dan buku-buku.

Antara matlamat yang cuba dicapai melaui tugasan ini adalah untuk menerapkan unsur pengorbanan dan sumbangan dalam setiap cabang kerana pengorbanan bukanlah diukur melalui sembelihan korban, wang ringgit tetapi tetap diukur melalui pengorbanan tenaga. Tugasan ini juga menguji tahap kemahiran para peserta dalam perniagaan yang memerlukan strategi dan begitu juga dengan dakwah. Ternyata tugasan ini berjaya dilaksanakan oleh semua kumpulan kerana jumlah kutipan wang hasil daripada jualan mereka amat memberangsangkan.

Bagi menghayati dan membangkit lagi tema Running Iman iaitu 'Suara Palestin Membangkit Iman Membina Ukhwah' , terdapat juga check point yang bertemakan persaudaraan dan check point ini dipanggil ‘Mister and Miss Blind’ bertempat di Kolej Tun Perak, UPM. Tugasan yang diberikan adalah setiap kumpulan perlu memilih salah seorang ahli kumpulan untuk menjadi ‘Mister Blind’ atau ‘Miss Blind’, manakala empat orang yang dikehendaki melakukan tugasan yang berbeza.

Antara objektifnya adalah untuk memberi rasa kesedaran dalam hubungan persaudaraan yang akan diredhai Allah Ta’ala apabila kita menyerikan hubungan kerana cinta kepada Allah dan komunikasi yang baik harus dijadikan keutamaan dalam persaudaraan supaya ukhwah yang terjalin akan berkekalan sepanjang masa.

Selain daripada bertemakan hubungan persaudaraan, terdapat juga check point yang bertemakan ‘Patient and Calmness’, sekali gus dapat menguji kesabaran dan ketelitian para peserta dalam melakukan sesuatu tugasan tanpa mengenal erti putus asa. Tugasan di check point tersebut iaitu di Kolej Kelima, UPM memerlukan setiap kumpulan membina sebuah monumen bangunan yang paling indah dan kukuh dengan menggunakan barang-barang yang disediakan. Kecantikan monumen yang dibina akan dinilai, seterusnya markah akan diberikan oleh fasilitator program.

Antara check point lain yang harus dilalui oleh para peserta adalah ‘cari gali’, ‘al-kisah’, ‘imagination’,  dan kerjasama. Setiap check point yang telah ditetapkan oleh fasilitator program mempunyai objektif atau matlamatnya yang tersendiri. Tempat terakhir sekali adalah di Padang Permainan, Bukit Ekspo dimana kesemua kumpulan akan berkumpul.

Apabila kesemua kumpulan sudah berjaya menamatkan pengembaraan Running Iman, sesi penutupan dijalankan dengan menjemput wakil dari PEMBINA, UPM iaitu saudara Naqiuddin untuk memberikan sedikit perkongsian mengenai pengajaran Running Iman. Beliau mengatakan bahawa di dunia ini begitu banyak nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T tanpa kita sedari iaitu nikmat Iman dan juga Islam serta nikmat untuk hidup selesa di dunia ini. Saudara Naqiuddin juga memberi sedikit perbandingan mengenai kehidupan mahasiswa di kampus yang selesa dengan suasana kesengsaraan kehidupan di Palestin.

Program berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para peserta serta sesi fotografi turut dilakukan sebagai kenangan dan tanda jalinan ukhwah antara mahasiswa UPM serta dalam kalangan ahli PEMBINA UPM.

Antara gambar-gambar sepanjang aktiviti:


Senaman pagi yang menyegarkan dan membangkitkan semangat



Peserta bertungkus lumus menghasilkan monumen yang paling kreatif 




Imagination: Peserta melukis dan membentang gambaran tentang  isu Palestin



Kerjasama: Peserta mengangkat cawan yang berisi air ke 'checkpoint' terakhir



Semangat membara: Ikhwah bergambar kenangan


Teruja dan ceria: Akhwat bergambar kenangan

1. Ibadah qurban pasti mengingatkan kita kepada Nabi Ibrahim , Siti Hajar dan Nabi Ismail. Sebuah kisah pengorbanan yang agung.

2. Terdapat pelbagai surah di dalam al-Quran menyentuh mengenai perkara ini antaranya ialah surah al Kautsar, al Hajj dan as-saffat , semuanya mempunyai intipati yang lebih kurang sama iaitu pengorbanan.

3. Membuktikan bahawa salah satu keperluan umat islam di dalam perjuangan menegakkan kalimat-NyA ini adalah sikap ingin berkorban. Pengorbanan mendidik jiwa supaya patuh terhadap suruhan Allah dan dijelmakan menerusi kehidupan masyarakat.

4. Hasan mengorbankan dirinya demi memacak panji Al Fateh di Konstantinople. Pejuang kamikaze berkorban dengan meletakkan peledak bom di dalam pesawat untuk memastikan kejayaan Jepun. Manakala penduduk Mesir berkorban dengan merelakan tubuh mereka ditembak peluru hidup assisi. Semuanya dilakukan demi suatu perkara; survival negara.

5. Akibat memingirkan aspek pengorbanan , sering kali keadaan di suatu tempat berada di dalam keadaan 'volatile' ,tidak stabil dan sering kali mengundang pelbagai ancaman. Sungguh ia telah pun terjadi di negara kita.

6. Dari sudut kepimpinan , UMNO masih memilih ahli golongan yang tidak telus memegang tampuk parti, PAS masih lagi kabur di dalam isu syiah sunni dan kalimah Allah. Manakala parti kufar pula menunjukkan strategi halus mempamerkan bahawa mereka yang paling telus hinggakan ada masyarakat berkata “apakah salahnya kita ditadbir kuffar?” menunjukkan betapa seriusnya masalah kepimpinan negara yang berada dihadapan kita.

7. Dari segi ekonomi, beban yang ditangung rakyat bukan lagi kepalang, hidup mereka terdesak dengan pelbagai tuntutan hidup sedang ekonomi berada dalam keadaan lembab yang tiada kemajuan seolah-olah tiada jalan penyelesaian antara jurang ekonomi miskin dan kaya.

8. Dari sudut keselamatan, negara telah di ancam dengan pelbagai kepentingan negara asing. Tidak sampai beberapa hari Washington membatalkan kedatangannya ke Kuala Lumpur, Xi Jin Ping datang mencuri perhatian rakyat dengan menjalinkan persahabatan secara tiba tiba, ia bukti jelas betapa Malaysia dilihat penting kepada keselamatan China terutamanya di dalam tuntutan ke atas kepulauan Spratly yang bukan sahaja strategik dari sudut ketenteraan tetapi mempunyai hasil minyak yang tidak terhingga.

9. Dari sudut agama , tuntutan coalition of malaysian ngo (COMANGO) jika diteliti pasti merungkai perkara-perkara di dalam agama. Kebebasan beragama menjadi senjata paling kuat kumpulan batil tersebut dan sudah pasti ia menghalakannya kepada Islam.

10. Masalah sosial pula bergerak umpama barah senyap dan ia dibiar terpingir oleh kebanyakan aktivis kampus.

11. Dan apakah mahasiswa kita pada hari ini sedar akan masalah yang menimpa negara mereka? Atau mereka masih terperangkap dalam dunia percintaan atau dunia movie yang tiada kesudahan?

12. Perjuangan mahasiswa hari ini perlu dilihat dari ufuk yang lebih luas, ia bukan hanya sekadar isu jalan raya di kampus, masalah sistem maklumat pelajar dan sebagainya tetapi ia perlu berevolusi kepada isu negara, keselamatan tanah air serta berjuang membumikan agenda dakwah kepada masyarakat.

13. Aktivisme mahasiswa pada hari ini telah berubah, jika kebanyakan siri pejuangan mahasiswa ditandai dengan demostrasi dan pungutan tanda tangan, kini adalah masa untuk kita memberi cadangan solusi dan tindakan.

14. Maka di dalam memanifestasikan perkara tersebut ia memerlukan keagresifan dan pengorbanan gerakan mahasiswa. Usaha yang telah diberi selama ini perlu dilipat gandakan demi kejayaan ibu pertiwi. Kita tidak boleh lengah. Kealpaan kita hanya menyebabkan negara di dalam bahaya dan hendaklah di antara kita memikul beban ini dengan rasa izzah dan tangungjawab ,sesunguhnya di tangan kita adalah masa depan negara.


"Memimpin mahasiswa"
Luqman Abd Hamid
Presiden PEMBINA UPM