Bukit Ekspo,UPM- Pada 27 Oktober 2013, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM, telah mengadakan program ‘Gathering’ bagi menerangkan hala tuju dan pakej –pakej menarik yang disediakan PEMBINA UPM kepada ahli baru.

Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Presiden PEMBINA UPM, Saudara Luqman Abd Hamid yang menerangkan secara ringkas tetapi padat tentang kelebihan dan kepentingan mahasiswa serta mahasiswi menyertai PEMBINA UPM.

“Keadaan mahasiswa kini amat tenat. Mengikut pemerhatian, di South City Plaza, ramai mahasiswa menghabiskan masa di kelab yang disediakan di situ sehingga lewat malam dan lebih menyedihkan, ada segelintir yang berkhidmat sebagai pelayan kelab atasan”, kata saudara Luqman. Justeru, sebagai mahasiswa, kita harus berfikir di luar kotak dalam memandu agenda dakwah, bukan hanya berfikir tentang diri sendiri tanpa menghiraukan keadaan sekeliling yang semakin membimbangkan ini. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Imran ayat 110 yang bermaksud,

“Kamu adalah sebaik –baik umat yang dilahirkan bagi manusia (supaya) kamu menyuruh dengan makruf dan mencegah dari kemungkaran serta beriman kepada Allah”.

Oleh itu, PEMBINA UPM menyediakan pelbagai pakej untuk membina jati diri dan mengamalkan prinsip amar makruf nahi mungkar. Antaranya ialah Biro Sahabat Aman, Biro Aktivisme Mahasiswa, Biro Rekreasi, Biro Tarbiyah, dan Biro Media.

 Majlis diteruskan dengan menjemput wakil dari setiap biro di dalam PEMBINA UPM. Saudara Shafiq Sahmi menerangkan tentang aktiviti dan pengenalan Biro Sahabat Aman. Antara aktiviti yang telah dijalankan biro ini ialah Program Bakti, kesukarelawan dan Kafilah Dakwah. Sahabat Aman turut bekerjasama dengan Aman Palestin bagi membantu saudara Islam kita di Syria, Palestin dan Mesir dan telah berjaya mengutip jumlah kutipan derma memberansangkan sebanyak RM37000 pada tahun lepas dan akan meningkatkan sasaran kutipan pada tahun ini.

Seterusnya saudara Naqiuddin menerangkan tentang Biro Tarbiyah. Antara aktiviti biro ini ialah Malam Bina Iman Takwa(MABIT), Usrah, Iftar Jamie dan lain –lain bagi memantapkan akidah kita. Saudara Naqiuddin turut mengatakan “Semua orang mempunyai cita –cita untuk menjadi orang yang baik dan cemerlang, tetapi sedikit terbelenggu oleh perkara tidak baik”.

Apabila kita tidak dibelenggu dengan perkara yang baik, maka kita akan dibelenggu dengan perkara yang tidak baik. Justeru, kita harus mengutamakan setiap wasilah tarbiyah bagi membantu kita memahami Islam secara syumul.

 Majlis diteruskan dengan menjemput wakil dari Biro Media iaitu Saudari Faizah. Media memainkan peranan yang sangat penting pada masa kini kerana ancaman luar kepada umat Islam adalah daripada media seperti laman sosial, media cetak dan elektronik. Biro media menpunyai bidang tugas seperti ‘designer’,jurugambar, wartawan, dan lain –lain. Bagi yang tidak mempunyai pengalaman, bantuan akan diberikan bagi meningkatkan kemahiran bagi setiap bidang tugas.

Biro Aktivisme Mahasiswa di wakili oleh Saudari Sayang Syamira. Antara aktiviti terbaru biro ini ialah Himpunan Mahasiswa (HIMMAH). Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelajar pelbagai universiti dan bakal melahirkan pemimpin – pemimpin  Ummah. Kursus Pengucapan Awam juga akan diadakan bagi meningkatkan tahap keyakinan pelajar dalam menyebarkan wasilah dakwah.

Saudara Luqman mewakili Biro Rekreasi bagi menerangkan aktiviti dijalankan biro ini. Antaranya ialah riadah, mendaki gunung, aktiviti lasak, perkhemahan dan lain –lain yang menyihatkan badan serta mencergaskan minda kita. “Arus mungkar di luar semakin kuat, jadi untuk menongkah arus tersebut kita haruslah bersedia mental dan fizikal”, kata Saudara Luqman. Selain itu, muslim yang kuat lebih dicintai Allah berbanding muslim yang lemah.

Seterusnya, para peserta di bahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut biro –biro yang diminati bagi mendapat penjelasan lanjut tentang biro masing –masing. Setelah itu, peserta menjamu selera sebelum majlis berakhir pada pukul dua belas tengahari.

Gambar sekitar program:

Presiden PEMBINA UPM: Saudara Luqman memberi penerangan kepada ahli baru


'Flyers' mengenai pakej menarik yang disediakan PEMBINA UPM


Sebahagian ikhwah yang hadir ke gathering PEMBINA UPM


Akhwat bergambar kenangan mengeratkan ukhwah yang terbina

BANGI, 26 Oktober – Bertempat di Pejabat ISMA Hulu Langat, telah diadakan Bengkel Photoshop Kemahiran Asas oleh persatuan PEMBINA cawangan Bangi dengan kerjasama Mentalgraphy. Seramai lebih 50 orang telah hadir dalam sesi perkongsian ilmu ini yang dikendalikan oleh saudara Muhd Amin Al-Asri.

Sebelum pembelajaran diteruskan, peserta didedahkan dengan kepentingan media dalam menyampaikan dakwah Islam. Turut difahamkan, kini media barat lebih aktif dalam menyampaikan maklumat mereka melalui medium ini berbanding kita. 

Setelah itu, peserta mula didedahkan dengan langkah pertama dalam penggunaan Adobe Photoshop iaitu peralatan-peralatan yang terdapat dalamnya. Antaranya, brush, quick selection tool, shape tools, text tools, clone stamp tool dan lain-lain. Peserta juga diajar bagaimana mengendalikan layer dengan betul. 

Di samping itu, tenaga pengajar turut berkongsi cara-cara mengedit gambar serta beberapa web khas untuk mengekstrak tulisan dan mendapatkan contoh poster terbaik. Sebelum berakhir, peserta dibekalkan dengan CD tutorial photoshop dan sempat juga merakam kenangan dengan sesi bergambar.

Semoga perkongsian ilmu ini bermanfaat dan diaplikasikan dalam menggencarkan lagi dakwah melalui media.

Antara gambar sepanjang program:

Muhd Amin Al- Asri dari Mentalgraphy memberi penerangan mengenai Photoshop


Peserta tekun mempelajari kemahiran Photoshop dengan tunjuk ajar dari yang berpengalaman


Peserta lelaki bergambar sebelum program berakhir


Peserta wanita bergambar teruja setelah memperolehi kemahiran Photoshop


Islam adalah satu agama yang lengkap dan sempurna. Ia lengkap dan sempurna kerana ia datang dari sisi Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa yang telah menciptakan alam ini secara keseluruhan. Bumi, planet-planet, bintang, gunung-ganang, lautan samudera, flora dan fauna kesemuanya. Subhanallah, Maha Suci Allah.

Islam yang diturunkan Allah SWT untuk umat manusia juga bukanlah sekadar agama biasa. Maksudnya, ia bukan seperti agama-agama lain yang wujud seperti Kristian, Buddha, Hindu, Taoisme, Sikh dan lain-lain. Islam tidak duduk sama taraf dengan fahaman dan isme agama-agama ini. Islam dijadikan Allah untuk menjadi 'superior' ke atas agama-agama yang lain. Islam mesti 'superior' kerana peranannya ialah untuk menyelamatkan umat manusia daripada kesesatan.

"DIA-lah Allah SWT yang telah mengutuskan Rasul-Nya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya." (As-Soff:9)
Islam tidak lain adalah satu cara hidup yang mengatur segala ruang inci kehidupan manusia. Allah SWT tidak menciptakan manusia secara kebetulan atau begitu sahaja. Maha Suci Allah daripada perkara itu. Sebaliknya, Allah SWT menciptakan manusia ada tujuan dan peranan yang perlu dialaksanakan. Maka dengan itu, umat Islam ialah umat yang memahami tujuan penciptaannya di dunia ini, tahu tugasan asasinya iaitu untuk menjadikan Allah s.w.t sebagai Tuhan yang disembah dan apa sahaja yang diperintahkan-Nya dilaksanakan, dan apa yang dicegah oleh-Nya ditinggalkan.

Proses untuk melahirkan manusia yang sebegini itulah yang dinamakan sebagai 'tarbiyah'. Dalam memastikan umat manusia tahu dan faham tujuan dia diciptakan, Allah SWT telah mengutuskan para Rasul pada setiap zaman yang wujudnya umat manusia, dari zaman Nabi Adam AS sehinggalah Rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW. Tujuan pengutusan mereka adalah sama, iaitu sebagai pemberi peringatan dan mengajak manusia mentauhidkan Allah SWT.

"DIA-lah Allah SWT yang telah mengutuskan kepada orang-orang (Arab) seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Al-Jumu'ah:2)

Memahami akan peranan yang cukup besar ini, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam menekuni usaha 'tarbiyah'. Keutamaan terhadap 'tarbiyah' dalam PEMBINA adalah ibarat rukun utama kewujudan PEMBINA. Tanpa 'tarbiyah', maka tiada ertilah PEMBINA.

Dengan itu, saya menyeru agar setiap individu menyedari kepentingan untuk melibatkan diri dalam arena perjuangan ini serta berada dalam posisi membersihkan diri dari kejahilan dan kemaksiatan. Sertailah program-program PEMBINA seperti Usrah, Kuliah Fiqh, Qiamullail (Mabit), Iftar dan lain-lain. Jadikanlah Islam sebagai perjuangan utama dalam hidup ini kerana hidup ini bukan untuk hidup, tetapi hidup di dunia ini adalah untuk mati.

Wallahu'alam.

Surau Serumpun, UPM – Pada 23 oktober 2013 iaitu hari Rabu selepas waktu Maghrib telah diadakan satu usrah umum bertajuk “Polemik Khalimah Allah”  yang telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM. Usrah umum ini disampaikan oleh Ustaz Muhammad Firdaus Zailani, graduan Universiti Al-Azhar. Sebelum memulakan perbincangan mengenai isu khalimah Allah, Ustaz Muhammad memberi gambaran mengenai isu penggunaan khalimah Allah yang harus diambil tahu oleh semua mahasiswa. 

"Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalah gunakan oleh agama lain, adalah amat berbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama",kata Uztaz Muhammad.

Pada permulaan usrah, ustaz menceritakan mengenai sifir pertembungan yang berlaku sebelum kedatangan Islam, di mana semasa zaman jahiliah, perkara yang berlaku adalah mengenai pertembungan ‘nafsu melawan nafsu’ iaitu berlaku banyak peperangan dan bergaduh sesama mereka.

Menurut ustaz, selepas kedatangan Islam dan wujudnya kepimpinan Islam, berlaku pula pertembungan Al-Haq melawan nafsu iaitu perjuangan menegakkan agama Islam melawan kuasa nafsu. Namun, dalam melawan kuasa nafsu, agama Islam yang harus ditegakkan kerana Islam adalah agama yang benar seperti dalam surah Ali’Imraan ayat 19 iaitu Allah S.W.T berfirman,

Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi kitab kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barang siapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sungguh, Allah sangat cepat perhitungan-Nya”.

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa Islam adalah agama benar dan yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T. Ustaz menegaskan bahawa kepimpinan Islam harus disepakati dan ditegakkan di Malaysia tanpa sebarang unsur negatif yang mampu mengancam kedudukan agama Islam dan salah satu isu yang mampu mengancam agama Islam adalah isu mengenai penggunaan khalimah Allah dalam penerbitan The Herald dan kitab Bible dalam bahasa Melayu.

Ustaz turut membicarakan perspektif daripada respon umum bahawa masih ramai lagi umat Islam yang tidak cakna isu ini dan sesetengah pihak hanya tahu berhujah semata-mata mengenai ayat al-Quran. Di samping itu, yang membangkitkan isu ini adalah orang bukan Islam, tetapi yang bergaduh sampai ke hari ini adalah orang Islam. Isu yang sepatutnya kita sepakat dan bersatu, tetapi kita berpecah semata-mata kerana kepentingan pihak tertentu. Maka, dalam konteks negara kita, kalimah Allah tidak boleh kita benarkan penggunaannya kepada orang selain dari kaum Muslimin.

Perkara yang paling penting, semua pihak perlu jelas bahawa nama Allah telah menjadi nama khas bagi Tuhan umat Islam. Perlu dibezakan antara kalimah Allah dari sudut bahasa yang telah wujud sejak zaman Jahiliyyah dengan kalimah Allah yang menjadi istilah atau nama khas semenjak kedatangan Islam. Jika diperhatikan kalimah tauhid – "La ilaha illa Allah". Ia tidak bermakna - "Tiada Tuhan melainkan Tuhan", tetapi membawa maksud "Tiada Tuhan melainkan Allah". Oleh itu, para sarjana Islam tidak bersetuju untuk menggantikan kalimah Allah dengan perkataan God dalam Bahasa Inggeris.

Pada pengakhiran usrah umum, ustaz menegaskan bahawa sesuatu kebenaran dalam menegakkan agama Islam harus dicari dan diperjuangkan oleh semua umat Islam. Penceramah turut menyeru kepada semua mahasiswa supaya cakna isu umat supaya kepimpinan Islam akan terus tertegak. Selesai sesi ceramah, para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah. Sesi ceramah pada kali ini berakhir pada jam 9.30 malam.


Sekitar Kawasan UPM- Pada 20 oktober 2013, satu program telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), UPM iaitu Explorace Running Iman bertemakan Suara Palestin Membangkit Iman Membina Ukhwah yang disertai oleh mahasiswa dan mahasiswi UPM.

Antara objektif utama program ini dijalankan adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pendedahan kepada para peserta mengenai sejarah sebenar dan situasi di Palestin. Pada masa yang sama, melalui explorace ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan mahasisiwa UPM kerana aktiviti ini melibatkan kerjasama dalam kumpulan di mana para peserta dipecahkan kepada tujuh kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai lima orang ahli.

Program ini bermula pada pukul 8:00 pagi di mana kesemua peserta mendaftar dan  berkumpul di Cafe Serumpun. Setelah selesai pendaftaran, para peserta diminta melakukan senaman pagi bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku kepada peserta sepanjang explorace dijalankan di sekitar kawasan, UPM. Seterusnya, para peserta diberi sedikit taklimat dan kata-kata aluan oleh saudara Syafiq Syahmi bin Sazali, selaku pengarah program Running Iman mengenai perjalanan program.

Setelah selesai sesi taklimat mengenai sepanjang explorace, pengembaraan explorace bermula dari Cafe Serumpun dan terus bergerak ke arah check point yang seterusnya mengikut 'task' yang diberikan oleh fasilitator program. Sepanjang pengembaraan yang dilakukan di sekitar UPM, terdapat sembilan ‘check point’ yang harus dilalui oleh para peserta. 

Antaranya adalah di check point satu, bertempat di Kolej 13 iaitu ‘Cuba Teka’ di mana terdapat beberapa soalan kuiz yang dijawab oleh para peserta mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Palestin.  Objektif kuiz ini diadakan adalah untuk menguji tahap pengetahuan para peserta mengenai isu Palestin sekali gus dapat menyedarkan mereka bahawa semua mahasiswa harus cakna isu-isu semasa terutamanya yang berkaitan dengan Islam.

Di Pusat Kesihatan Universiti UPM juga merupakan salah satu tempat yang dituju oleh para peserta bagi mendapatkan petunjuk yang seterusnya, walau bagaimana pun, sebelum itu, para peserta telah diberikan tugasan untuk melaksanakan jualan amal dengan menjual barangan daripada Aman Palestin  yang terdiri daripada button badge Aman Palestin, mafia dan buku-buku.

Antara matlamat yang cuba dicapai melaui tugasan ini adalah untuk menerapkan unsur pengorbanan dan sumbangan dalam setiap cabang kerana pengorbanan bukanlah diukur melalui sembelihan korban, wang ringgit tetapi tetap diukur melalui pengorbanan tenaga. Tugasan ini juga menguji tahap kemahiran para peserta dalam perniagaan yang memerlukan strategi dan begitu juga dengan dakwah. Ternyata tugasan ini berjaya dilaksanakan oleh semua kumpulan kerana jumlah kutipan wang hasil daripada jualan mereka amat memberangsangkan.

Bagi menghayati dan membangkit lagi tema Running Iman iaitu 'Suara Palestin Membangkit Iman Membina Ukhwah' , terdapat juga check point yang bertemakan persaudaraan dan check point ini dipanggil ‘Mister and Miss Blind’ bertempat di Kolej Tun Perak, UPM. Tugasan yang diberikan adalah setiap kumpulan perlu memilih salah seorang ahli kumpulan untuk menjadi ‘Mister Blind’ atau ‘Miss Blind’, manakala empat orang yang dikehendaki melakukan tugasan yang berbeza.

Antara objektifnya adalah untuk memberi rasa kesedaran dalam hubungan persaudaraan yang akan diredhai Allah Ta’ala apabila kita menyerikan hubungan kerana cinta kepada Allah dan komunikasi yang baik harus dijadikan keutamaan dalam persaudaraan supaya ukhwah yang terjalin akan berkekalan sepanjang masa.

Selain daripada bertemakan hubungan persaudaraan, terdapat juga check point yang bertemakan ‘Patient and Calmness’, sekali gus dapat menguji kesabaran dan ketelitian para peserta dalam melakukan sesuatu tugasan tanpa mengenal erti putus asa. Tugasan di check point tersebut iaitu di Kolej Kelima, UPM memerlukan setiap kumpulan membina sebuah monumen bangunan yang paling indah dan kukuh dengan menggunakan barang-barang yang disediakan. Kecantikan monumen yang dibina akan dinilai, seterusnya markah akan diberikan oleh fasilitator program.

Antara check point lain yang harus dilalui oleh para peserta adalah ‘cari gali’, ‘al-kisah’, ‘imagination’,  dan kerjasama. Setiap check point yang telah ditetapkan oleh fasilitator program mempunyai objektif atau matlamatnya yang tersendiri. Tempat terakhir sekali adalah di Padang Permainan, Bukit Ekspo dimana kesemua kumpulan akan berkumpul.

Apabila kesemua kumpulan sudah berjaya menamatkan pengembaraan Running Iman, sesi penutupan dijalankan dengan menjemput wakil dari PEMBINA, UPM iaitu saudara Naqiuddin untuk memberikan sedikit perkongsian mengenai pengajaran Running Iman. Beliau mengatakan bahawa di dunia ini begitu banyak nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T tanpa kita sedari iaitu nikmat Iman dan juga Islam serta nikmat untuk hidup selesa di dunia ini. Saudara Naqiuddin juga memberi sedikit perbandingan mengenai kehidupan mahasiswa di kampus yang selesa dengan suasana kesengsaraan kehidupan di Palestin.

Program berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para peserta serta sesi fotografi turut dilakukan sebagai kenangan dan tanda jalinan ukhwah antara mahasiswa UPM serta dalam kalangan ahli PEMBINA UPM.

Antara gambar-gambar sepanjang aktiviti:


Senaman pagi yang menyegarkan dan membangkitkan semangat



Peserta bertungkus lumus menghasilkan monumen yang paling kreatif 




Imagination: Peserta melukis dan membentang gambaran tentang  isu Palestin



Kerjasama: Peserta mengangkat cawan yang berisi air ke 'checkpoint' terakhir



Semangat membara: Ikhwah bergambar kenangan


Teruja dan ceria: Akhwat bergambar kenangan