Memaparkan catatan dengan label Iftar Jamaie. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Iftar Jamaie. Papar semua catatan

SURAU KOLEJ KELIMA, 24 April - Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ayat itu diulang sebanyak 31 kali di dalam surah Ar-Rahman.

"Betapa kita sebagai makhluk terkadang begitu sombong untuk ‘berterima kasih’ kepada Sang Maha Pencipta, Allah S.W.T, setelah diberi nikmat yang tidak terhitung", kata Saudari Syahirah Abd Salam, Ketua Beliawanis 2, PEMBINA UPM semasa program Iftar Jamaie. 

Program iftar ini menjadi wadah untuk mahasiswi saling ingat memperingati diri sendiri dan rakan untuk belajar bersyukur atas nikmat yang kita peroleh.

Menurut Saudari Syahirah Abd Salam, sentiasalah menilai sejauh mana kita mensyukuri nikmat Allah dalam kehidupan kita. Usah hidup seperti robot yang di programkan dan tidak mempunyai perubahan diri ke arah yang lebih baik.

Bangunlah dengan rasa syukur dan berazam untuk menjadi lebih baik setiap pagi. Muhasabah diri sebelum tidur dengan rasa menyesal ke atas dosa yang dilakukan dan berikrar tidak mengulanginya.

Tanda syukur boleh dizahirkan dengan perbuatan. Manfaatkan anggota tubuh untuk berbuat perkara kebaikan, bukan menggunakan tangan yang diberi untuk mencuri atau nikmat melihat untuk melakukan perkara maksiat.

Selain itu, kita perlu sentiasa bersyukur dalam hati dengan yakin pada segala ketentuan Allah. Tidak mengeluh jika ditimpakan musibah. Sebaliknya, menganggap pasti terselit seribu hikmah yang pastinya baik buat kita.

Belajarlah untuk membasahkan lidah dengan Zikrullah, menangis kerana penyesalan terhadap dosa dan didik hati bersabar terhadap perkara yang dihadapi. Ingatlah, nikmat dunia yang kita rasai tidak kekal selamanya. Andai kita kufur nikmat, pastinya Allah tidak teragak- agak untuk menariknya kembali.

Wartawan:
NurAqilahShawarudin,
Biro Media danPromosi,
PEMBINA UPM.

Surau Kolej Kedua, UPM - Pada 3 Oktober 2013, telah berlangsungnya satu majlis Iftar Jamaie iaitu majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM dengan kerjasama Kolej Kedua.

Saudara Ahmad Naqiuddin, Timbalan Presiden PEMBINA UPM, telah menyampaikan tazkirah ringkas semasa majlis iftar pada kali ini, yang lebih berbentuk kepada peringatan buat diri sendiri serta semua hadirin yang hadir. Beliau mengatakan bahawa semua manusia di dunia ini menginginkan sesuatu yang baik dan bercita-cita untuk menjadi seorang yang lebih baik. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa untuk menjadi seorang yang baik, terdapat pelbagai halangan. Antaranya adalah, dibelenggu atau ditarik dengan unsur-unsur yang tidak baik terutamanya kawasan sekeliling kita semua.

Terdapat beberapa nasihat atau panduan daripada saudara saudara Ahmad Naqiuddin untuk menjadi seorang yang baik dalam semua aspek iaitu kita hendaklah cuba merapatkan diri dengan bergaul bersama orang baik-baik dan beriman supaya dapat menasihati kita dan memperingati serta membimbing kearah yang lebih baik. Saudara Ahmad Naqiuddin juga menegaskan supaya untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik, kita hendaklah menjaga hati kerana penjagaan hati amat penting. Rasulullah S.A.W juga bersabda:

“Ketahuilah, sungguh pada tubuh itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh tubuhnya, ketahuilah bahwa ia adalah hati”.
(Riwayat Bukhari & Muslim, dari Nu'man bin Basyir). 

Berdasarkan hadis ini jelaslah bahawa kita harus bersungguh-sunguh dalam menjaga hati.

Pesanan yang terakhir daripada saudara Ahmad Naqiuddin adalah dengan menyeru kepada semua hadirin yang hadir supaya menjaga hubungan kita dengan Allah S.W.T kerana tujuan kita semua diciptakan ini adalah untuk beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T yang Maha Pencipta.

Matlamat utama majlis ini diadakan adalah untuk menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi kembali mengamalkan amalan sunnah Rasulullah S.A.W iaitu berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Seperti yang diperkatakan oleh Saidatina Aisyah, 
"Rasulullah S.A.W mengambil berat tentang puasa hari Isnin dan Khamis" 
(Hadith Riwayat At - Tirmizi).

Majlis iftar pada kali ini di mulakan dengan para hadirin berbuka ringkas dahulu dan kemudiannya solat Maghrib secara berjemaah. Selepas solat Maghrib, para jemaah semua dijemput makan secara beramai-ramai. Selesai sesi tazkirah, para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah.  Majlis yang dihadiri dalam kalangan muslimin dan muslimat dari pelbagai kolej ini berakhir pada pukul 9.00 malam. 


Surau Kolej Canselor(UPM),18 Mar: ‘Lambaian Cinta Syurga’ sebagai tema bagi Iftar Jamie pada kali ini berjaya menarik minat ramai beliawanis UPM untuk sama- sama berbuka puasa bagi mereka yang berpuasa sunat pada hari isnin. Dengan kehadiran seramai lebih 20 orang peserta, objektif majlis iaitu untuk merapatkan ukhwah sesama saudara dan menghidupkan sunah Rasulullah S.A.W dapat di capai dengan kerjasama yang baik antara peserta.


SURAU KOLEJ CANSELOR,4 MAR: ‘Apabila dua saudara bertemu,rahmat Allah bersama dengan mereka’. Berkesempatan dengan itu, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM telah menganjurkan Iftar Jamie bagi mereka yang menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W  dengan berpuasa sunat pada hari Isnin. Majlis ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 40 orang beliawanis dari pelbagai kolej di UPM.

                Sebelum azan Maghrib berkumandang, majlis di mulai dengan bacaan al-Mathurat beramai –ramai. Setelah azan, peserta berbuka secara ringkas terlebih dahulu, bagi menunaikan solat Maghrib berjemaah. Selesai solat, para peserta menjamu selera dengan hidangan ala kampung yang sangat menyelerakan di dalam dulang dan makan bersama-sama dengan suapan pertama diberikan kepada teman bersebelahan terlebih dahulu.

Surau Serumpun, UPM – Pada 10 Disember 2012 iaitu hari Isnin telah berlangsungnya majlis berbuka puasa beramai-ramai atau dikenali sebagai Iftar Jamaie yang telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM. Majlis ini telah dihadiri 21 orang pelajar muslimah dari pelbagai kolej di UPM. Antara tujuan majlis ini diadakan adalah untuk merapatkan ukhwah yang sedia ada atau pun saling berkenalan sesama muslimah yang hadir. Selain itu, dengan adanya majlis ini para pelajar dapat mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dengan berpuasa pada hari Isnin dan khamis.

Majlis dimulakan dengan para hadirin dijemput berbuka puasa setelah azan Maghrib berkumandang. Setelah itu, para hadirin menunaikan solat Maghrib. Seusai solat, para hadirin bersama-sama dengan jemaah yang hadir membaca surah Yasin dan tahlil untuk disedekahkan kepada seorang pelajar iaitu Allahyarham Mohd Asyraf Aminuddin yang telah kembali ke rahmatullah. Kemudian, solat Isyak telah ditunaikan secara berjemaah.

Selepas itu, sedikit tazkirah telah disampaikan oleh saudari Nur Aqmal Hidayah Yahya. Tazkirah dimulakan dengan bacaan tafsir dari surah as-Syams ayat 9-10 yang bermaksud “Sesungguhnya beruntung orang yang menyucikan (jiwa)nya. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.”

Daripada tafsir tersebut, dapat disimpulkan bahawa jiwa yang bersih itu sangat penting untuk menjaga amal ibadat seperti solat, sedekah, puasa, zikir dan tilawah al-Quran. Disebabkan oleh masa yang terhad, saudari Nur Aqmal hanya mengupas tentang puasa dan tilawah al-Quran.

Menurut saudari Nur Aqmal, puasa terdiri daripada tiga kategori iaitu puasa orang awam, puasa orang khusus dan puasa orang ‘super’ khusus. Puasa orang awam adalah puasa yang menahan diri daripada makanan dan minuman sahaja. Puasa orang khusus ataupun dikenali sebagai puasa orang-orang yang soleh pula ialah puasa dari segala segi termasuklah makanan, pandangan, hati dan sebagainya. Manakala puasa ‘super’ khusus pula hanya untuk para rasul dan nabi di mana mereka menjaga perlakuan mereka setiap saat dan waktu.

Dari segi tilawah al-Quran pula, saudari Nur Aqmal telah menyarankan para hadirin supaya merasai keagungan Allah dan hadirkan hati ketika membaca al-Quran. Selain itu, tadabbur juga amat penting dalam tilawah. “ Tiada kebaikan dalam ibadah tanpa pemahaman, tiada kebaikan dalam bacaan al-Quran tanpa tadabbur,” ujar saudari Nur Aqmal.

Selepas sesi tazkirah, para hadirin bersurai. Majlis ini telah berakhir pada jam 9.45 malam.

Surau Kolej 13, UPM - Pada 29 November telah berlangsungnya satu majlis Iftar Jamaie iaitu majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM dengan kerjasama MTM Kerohanian Kolej 13. Objektif utama majlis ini adalah untuk menggalakkan para pelajar kembali mengamalkan amalan sunnah Rasulullah SAW iaitu berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Disamping itu majlis ini ingin merapat hubungan ukhwah sesama muslimin yang hadir khususnya.

Majlis bermula dengan para hadirin berbuka meminum air dahulu dan kemudiannya solat Maghrib berjemaah. Setelah itu para jemaah semua dijemput makan bersama. Permulaan majlis dikendalikan oleh saudara Ahmad Naqiuddin selaku pengerusi majlis yang kemudian memberi laluan kepada saudara Farid Mokhtar menyampaikan sedikit tazkirah.

"Kita hidup di zaman yang susah untuk kita amalkan sunnah Rasulullah. Rasulullah SAW bersabda:
Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api (Hadis riwayat Tarmizi). Amat beruntunglah kita yang hadir pada hari ini kerana masih mampu menghidupkan antara sunnah Rasul kita iaitu makan bersama di atas talam," ujar saudara Farid Mokhtar.

"Sambil kita berbuka puasa ini, ingatlah kita kepada saudara-saudara kita di Gaza. Mereka telah diserang oleh tentera Israel selama 8 hari. Dan kejayaan telah berpihak pada mereka apabila rejim Israel sendiri yang memohon gencatan senjata. Sesungguhnya mereka kuat bukan kerana pemimpin, tetapi kuat kerana keimanan mereka kepada Allah SWT."

Selepas sesi tazkirah, para hadirin dijemput berbuka puasa bersama di atas talam dengan kadar empat orang pada satu talam. Majlis yand dihadiri 20 orang pelajar muslimin dari pelbagai kolej UPM ini berakhir pada 8 malam.


Pada hari Khamis bersamaan 3 Rejab tahun 1433 Hijrah atau 24 Mei 2012 telah berlangsung satu majlis ringkas iftar bersama beberapa orang pelajar Asasi Sains Pertanian UPM (ASPer). Aktiviti ini dikendalikan oleh saudara Muhaimin Selawi dengan bantuan ahli-ahli Pembina UPM yang lain.

Sesi ta'ruf bersama adik-adik ASPer.

Pada jam 6.30 petang, para peserta mula memenuhi ruang hadapan surau Kolej 13. Sesi ta'aruf dimulakan dahulu dan diikuti pula sesi tazkirah yang disampaikan oleh saudara Sayfiq Shahmi atau lebih dikenali sebagai abang Shah oleh adik-adik asasi sekalian.


Saudara Muhaimin (kanan gambar) memberi sedikit kata-kata aluan kepada adik-adik ASPer.

Majlis iftar atau kata mudahnya majlis berbuka puasa ini diadakan bagi merapatkan lagi hubungan antara adik-adik yang baru memasuki UPM ini dengan ahli-ahli Pembina UPM yang lain. Ia juga bagi memperkenalkan kepada mereka mengenai Pembina dan apa matlamat utama Pembina sebagai badan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam menyeru belia ke arah Islam yang syumul.

Berbuka puasa di atas talam.

Majlis berakhir setelah semua para peserta habis menjamah hidangan pembuka puasa yang ditaja oleh Pembina UPM.