Saya berasa terpangil untuk memberi beberapa cadangan kepada Majlis Perwakilan Pelajar UPM berhubung program Green Campus.

Program berbasikal Green Campus di UPM adalah sesuatu yang baik dan ia tidak terlaksana di mana-mana universiti secara bersepadu. Justeru itu, perlaksanaannya dilihat wajar bagi mendidik mahasiswa agar mempunyai gaya hidup yang sihat dan menjimatkan kos operasi bas.

Meskipun ia dilihat memberi manfaat, terdapat keluhan dan rungutan daripada mahasiswa mengenai keberkesanan program tersebut.

Maka saya dengan rendah hati mencadangkan beberapa perkara, antaranya ialah :

1. Satu unit kajian perlu dilaksanakan kepada mahasiswa bagi mengenal pasti punca utama keluhan mereka.

2. Halangan 'nature call' seperti jalan berbukit dan hujan perlu difikirkan solusi yang terbaik. Mungkin boleh       dibuat susur gajah berbumbung (boleh dipanjangkan lagi mengikut bajet yang ada).

3. Pusat khidmat berbasikal atau bengkel basikal perlu diwujudkan (untuk mengatasi kerosakan dan masalah     pada basikal).

4. Mengimplimentasi pengunaan basikal di kampus dengan penyediaan parking berkelompok. Semua pelajar     dan staff menaiki basikal kecuali ibu yang sarat mengandung dan mereka yang kurang upaya.

Saya percaya program Green Campus boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan lagi tetapi kita perlu kepada pembaikan. Saya amat percaya TNC HEPA amat terbuka kepada mana-mana cadangan. Dan saya juga percaya pihak MPP akan menerima sebarang cadangan untuk pembaikan bersama.

Walaupun beberapa cadangan tidak realistik dalam jangka masa terdekat tetapi adalah lebih pihak berwajib di UPM mengambil langkah pembaikan demi kelangsungan program ini.

Langkah untuk tidak menyokong program ini adalah langkah terkebelakang kerana fasiliti telah pun dibina. Yang tidak terbina hanyalah budaya dan cara fikir kita dalam melihat sesuatu perkara.

Saya mengharapkan yang terbaik daripada MPP UPM. Moga Allah mendatangkan ilham dan juga peluang kepada kalian dalam setiap perkara yang memberi manfaat kepada mahasiswa UPM.

Berilmu berbakti,
Memimpin mahasiswa,

Luqman Abd Hamid,
Presiden PEMBINA UPM.

Bukit Ekspo, UPM - Satu program yang dianjurkan oleh PEMBINA UPM iaitu 'Gathering Beliawanis PEMBINA' telah berlangsung pada 14 September 2013. Program ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar baru untuk lebih mengenali PEMBINA. Di samping itu, semua peserta dapat memulakan hari dengan gaya hidup sihat serta dapat mengeratkan tali silaturrahim antara satu sama lain. Seramai 50 orang peserta telah menghadiri program ini.

Surau Serumpun, UPM – Pada 11 september 2013 iaitu hari Rabu selepas waktu maghrib, satu usrah umum bertajuk 'Kejatuhan Morsi: Kebangkitan Rakyat atau Satu Konspirasi' telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM. Usrah umum yang diadakan buat kali pertama pada semester ini amat mendapat sambutan daripada para pelajar kerana kehadiran amat memberangsangkan dan menunjukkan satu situasi yang positif. Antara tujuan usrah ini diadakan adalah untuk menyampaikan maklumat terkini kepada para pelajar mengenai isu di Mesir sebagaimana yang kita ketahui telah berlaku pergolakan politik sejak beberapa bulan yang lalu.

Usrah umum ini disampaikan oleh Ustaz Abdur Rahman Raji, yang merupakan pelajar tahun akhir di Mesir. Pada permulaan usrah, ustaz menyeru supaya semua umat Islam perlu memahami kefahaman ajaran  Islam ke arah kesatuan ummah dan tidak hanya terbatas dalam konteks semata-mata. Ustaz juga mengajak para pelajar supaya sentiasa cakna tentang isu-isu semasa yang berlaku sekarang dalam kalangan umat Islam seperti di Syria iaitu berlaku pembunuhan rakyat Syria dan ajaran syiah yang berkembang di Iraq kerana umat Islam adalah bersaudara.
Hidup di universiti ini penuh cabaran. Kepada yang baru pertama kali melangkah kaki ke alam universiti, dan bagi yang akan meneruskan sesi pembelajaran ke semester baru, tahniah diucapkan kepada anda semua.

Di sini, saya ingin berkongsikan mengenai satu pesanan ringkas kepada pelajar-pelajar dan diharapkan sedikit perkongsian ini bermanfaat kepada kita semua terutamanya saya.

Allah berfirman dalam surah Yusuf ayat terakhir iaitu ayat ke-111 (maksudnya);

"Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal. (Al-Quran) itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu, dan (sebagai) petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman."

Jadi, pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran, ibrah dan panduan hidup bagi siapa? Bagi mereka yang berfikir.

Di sini ingin saya ingin membawa kisah yang apabila kita teliti dan hayati, kita akan dapati pelbagai panduan yang ingin kita boleh implementasikan dalam kehidupan seharian kita.

Kisah yang ingin saya bawakan ini berkisar pada zaman Imam Malik.

Pada suatu ketika, Imam Malik sedang mengajar hadis di Masjid Nabawi. Sedang beliau mengajar bersama anak-anak muridnya, tiba-tiba mereka dikejutkan oleh sebuah teriakan, "Ada gajah! Ada gajah!"

Rupanya mereka didatangi oleh rombongan kabilah bersama gajah. Semua anak murid Imam Malik keluar untuk melihat gajah itu kerana ia binatan yang aneh kerana mempunyai hidung yang panjang.

Semua keluar kecuali dua orang iaitu Imam Malik dan seorang pemuda bernama Yahya bin Yahya. Oleh itu, pengarang al-Muwatha' itu bertanya kepada pemuda tersebut.

''Wahai syab (pemuda), kenapa kau tidak ikut sekali untuk melihat gajah?"

Pemuda itu lalu menjawab.

"Ya Syeikh, saya datang jauh-jauh ke sini dari negeri saya bertemu anda, belajar dengan anda, dan meminta bimbingan anda. Bukan untuk melihat seekor gajah!"

Mendengar jawapan itu Imam Malik merasa kagum dan menyematkan kepada Yahya bin Yahya sebuah sebutan sebagai "Manusia Cerdas dari Andalusia". Akhirnya Yahya bin Yahya pulang ke Andalusia dan menjadi Imam besar di sana.

Baiklah pelajar yang dirahmati sekalian.

Saya pasti banyak pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah Yahya bin Yahya. Di sini saya ingin kongsikan 3 noktah penting yang boleh dijadikan ibrah bersama.

1. Fokus

Kita perlukan fokus yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu pelajar semua harus meletakkan target-target apa yang hendak di capai semasa di universiti.

Sebagai contoh ingin cemerlang dalam akademik, aktif dalam persatuan untuk meningkatkan kemahiran, mendalami ilmu Islam atau ingin melalui proses tarbiyah diri dan sebagainya yang telah kita telah letakkan pada permulaan harapan kita.

Lalu dengan menyibuk dalam perkara-perkara remeh temeh di sekeliling kita mampu menyebabkan kita tidak hilang fokus. Jika sebut pelajar, antara serangan pemikiran atau belenggu yang biasa dialami ialah game, menonton movie dan berpacaran sesama bukan muhrim.

Marilah kita buat persediaan awal dan kuatkan ''mind set'' kita untuk fokus bagi mencapai cita-cita yang kita tetapkan pada permulaannya. Seterusnya untuk tidak terjebak dengan perkara-perkara remeh di sekeliling kita.

Tidak menghiraukan keadaan sekeliling bukan bermaksud untuk tidak mengendahkan langsung apa yang berlaku di sekeliling kita seperti sahabat kita, senior, aktiviti kolej dan sebagainya.

Rasulullah pernah berpesan (maksudnya):

"Seorang mukmin yang bergaul dengan banyak orang, lalu ia sabar dengan tindakan mereka yang menyakitkan, maka itu lebih baik daripada orang yang tidak pernah bergaul dengan orang kebanyakan dan ia tidak boleh bersabar dengan tindakan mereka." (HR Ahmad)
2. Prioriti

Kisah ini juga mengajar kita mengenai suatu fiqh, iaitu fiqh awlawiyat (keutamaan/prioriti). Dalam kita menjalani kehidupan seharian kita, banyak perkara yang ingin kita lakukan. Oleh itu, timbanglah semua perkara sebaiknya dan dahulukan prioriti-prioriti yang penting dan elakkan dari perkara-perkara yang membazirkan masa anda.

Utamakanlah perkara-perkara yang baik. Apabila masa kita tidak diisi dengan perkara yang baik, secara automatik ianya diisi dengan perkara yang tidak baik.

Tarikan hari ini ialah tarikan antara dua belenggu. Jika kita tidak dibelenggu atau diikat dengan benda yang baik, kita akan dibelenggu pula dengan perkara yang buruk.

Maka, rancanglah sebaiknya urusanmu. Moga Allah permudahkan segalanya.

3. Berjiwa besar

Ketiga, Yahya bin Yahya mengajar kita untuk berjiwa besar. Yahya bin Yahya mengembara dari tempat yang jauh iaitu Andalusia dan ini menuntut jiwa yang besar. Jika kita lihat diri kita di alam universiti ini, ada pelajar yang merantau jauh dari Kelantan, Kedah dan ada jauh dari selatan tanah air dan ada yang menaiki pesawat dari Sabah dan Sarawak hanya untuk menuntut ilmu. Ini jelas menuntut kita untuk berjiwa besar.

Jiwa besar bermaksud kita mengutamakan masalah dunia lebih daripada masalah peribadi. Masalah kini, ramai mahasiswa jiwa mereka kecil. Masalah peribadi mereka itulah dianggap masalah dunia.

Contohnya putus tunang, putus couple, handphone rosak, dan laptop rosak, menyebabkan mereka putus asa dan merasakan dunia ini telah berakhir. Walhal ada yang lebih besar berbanding semua itu. Iaitu hal dunia Islam.

Terus, saya mengajak diri saya dan rakan-rakan untuk menjadi muslim yang berjiwa besar dan bercita tinggi.

'Amr bin 'Ash pernah berpesan, "Kalian harus bercita-cita meraih hal-hal yang besar, bukan hal-hal yang kecil." Ini kerana, barangsiapa mencari yang besar, maka fikirannya akan terpacu untuk berfikir yang besar pula.
Ayuh bercita-cita tinggi menawan gunung kejayaan!
Moga sedikit peringatan ini menjadi panduan berguna untuk diri kita terutamanya yang menulis ini. Semoga Allah merahmati usaha kita ini dan perbaharui niat kita melakukan apa-apapun kerana Allah s.w.t.

Moga kita, belia, menjadi aset penting dalam berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Oleh:
Ahmad Naqiuddin Mohd Tahir
Timbalan Presiden PEMBINA UPM 2013/14
Menghayati bacaan al-Quran di dalam usrah aka bulatan gembira

APA ITU USRAH?

Usrah dalam bahasa Arab bermaksud keluarga. Manakala daripada istilahnya pula usrah ialah ikatan perpaduan yang dibina atas dasar iman dan Islam dengan berusaha tolong-menolong sesama sendiri untuk memahami dan menghayati Islam; berusaha mempertingkatkan ilmu dan amal, dan menghindari maksiat dan permusuhan berdasarkan firman Allah (maksudnya):

Bertolong-tolonganlah kamu berbuat kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya dan takutlah kepada Allah.” [Al-Maidah, 5:2]
Usrah juga bertepatan dengan maksud hadis 7 golongan yang mendapat naungan di akhirat kelak. Antaranya adalah:

"... dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana-Nya.." - (HR Bukhari & Muslim)


KENAPA PERLU USRAH?

Fitrahnya seorang insan, pelupa, jahil dan lalai. Maka peringatan tentang akhirat amatlah wajar. Kita bimbang jika hari silih berganti namun tiada langsung peringatan diberi, sedangkan jika dalam seminggu tiada santapan rohani dalam diri membuatkan diri kita menjadi lalai.

Makanya usrah ini, antara salah satu medium dengan ahli-ahli usrah akan membincangkan  asas aqidah, tauhid, ibadah, sirah, serta bertadabbur dengan Quran, yang pastinya menyentuh jiwa.

Peringatan untuk sentiasa memperbaiki amalan, memahami tujuan penciptaan, serta mengambil  tahu perihal nasib saudara seislam kita akan kita perolehi dengan menyertai usrah.

BAGAIMANAKAH PENGEDALIAN USRAH?

Usrah  diadakan pada tiap-tiap minggu atau paling kurang tiap-tiap dua minggu sekali dan merupakan program tarbiyah yang tetap. Majlis usrah dikendalikan dan di ketuai oleh seorang ketua atau naqib (lelaki) atau naqibah (perempuan).

Ia dikendalikan mengikut 3 rukun usrah iaitu:

1. Taaruf (berkenalan)
Ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan serta berkasih sayang dengan semangat cinta kepada agama. Kita hendaklah memahami pengertian dan hakikat ukhuwah sejati. Elakkan perkara-perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwah itu.

Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung titah firman Allah dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Jadikan firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. sebagai perkara yang wajib diutamakan.

Antara firman Allah (maksudnya): Orang-orang mukmin itu bersaudara-mara. (Al-Hujarat, 26:10)

2. Tafahum (saling memahami)
Periksalah diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar mentaati perintah Allah atau terlibat dalam arena kederhakaan. Setelah memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat.

Rakan yang dinasihati itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat dari sahabatnya. Pemberi nasihat pula janganlah berubah hati terhadap sahabat yang tersilap itu-walau sejarak sehelai rambut sekali pun.

Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), "Agama itu adalah nasihat." Oleh itu, perhatikanlah dalam-dalam pengajaran yang mulia dalam hadis ini-mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada kamu.

3. Takaful (tolong –menolong)
Memelihara nasib sesama sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar.  Rukun ini diamalkan dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara menolong memikul bebanan sesama sendiri.

Takaful merupakan tunjang iman dan inti sari ukhuwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, berganti-ganti membuat kebajikan dengan jalan segera menolong antara satu sama lain sedaya upaya.

KEBAIKAN USRAH

  • Meningkatkan kefahaman anggota-anggota dan menentukan sikap Islam terhadap satu-satu masalah. 
  • Menambahkan penghayatan dan menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jamaah. 
  • Membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai "Din Wa Daulah", menghayatinya di dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan mendakwahnya sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.
  • Membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islammiyah di dalam kehidupan diri dan sensitif terhadap segala perkara yang tidak Islamik.
  • Membina generasi Islam yang insaf dan sedar akan cabaran dan godaan yang berbagai bentuk yang mengancam kemurnian Islam.
  • Mendidik perasaan anggota supaya bertanggungjawab terhadap ALlah dan RasulNya. Menghubungkan anggota secara langsung dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. 
  • Mengikhlaskan diri anggota kepada ALlah, demi untuk mencari keredhaannya, mengharapkan pahala dan merasa gerun dengan siksaanNya. Bukan kerana segan dengan naqib usrah atau kumpulannya tetapi kerana ketaatan kepada ALlah. Oleh itu setiap anggota hendaklah membetulkan niatnya, kemudian diikuti dengan amalan sekalipun tanpa arahan dari sesiapa. 


AKTIVITI SEMASA USRAH

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh berlangsung di dalam usrah. Di antaranya ialah:

1. Membentangkan Kesulitan

Setiap anggota membentangkan kesulitan masing-masing. Setiap kesulitan yang diluahkan oleh dan rakan kita harus diberi perhatian dan berusaha untuk mengatasinya. Hal ini dilakukan dalam suasana ukhuwah sejati dan dengan niat kerana Allah. Dengan demikian dapatlah diperkuatkan lagi asas saling percaya-mempercayai dan tali hubungan ukhuwah dapat diperkukuhkan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya, "Orang mukmin itu cermin bagi saudaranya."

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi (maksudnya): Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dan dalam erti kata timbang rasa simpati mereka adalah laksana badan yang satu, iaitu apabila mana-mana anggota mengadukan hal turut menangguhkan seluruh badan dengan berjaga malam dan merasai demam.

2. Bermuzakarah

Anggota usrah bermuzakarah iaitu bertukar-tukar fikiran dalam urusan Islam. Muzakarah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar batas-batas sopan santun yang sempurna dan dengan cara harga-menghargai fikiran yang datang daripada semua pihak dalam muzakarah itu.

 3. Kajian Buku

Mengadakan studi (penelitian) terhadap sesebuah kitab yang bermutu.  Penelitian dikaitkan dengan kehidupan harian. Panduan daripada buku  disampaikan dalam taklimat sesuatu projek seperti menziarahi orang sakit; menolong orang-orang yang berhajat (walaupun hanya sekadar kata-kata yang baik), mencari dan bertanyakan hal tentang anggota yang tidak kelihatan bersama-sama kumpulan, menanggung bebanan anggota yang terputus rezeki.

Semuanya itu dapat menambahkan lagi tali ukhuwah dan dapat melipat gandakan perasaan kasih sayang dalam hati masing-masing.

4. Aktiviti Sokongan

Siapa kata usrah di dalam surau sahaja?
Untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama sendiri, turut juga diadakan rehlah, lawatan, aktiviti lasak seperti mendayung sampan, mendaki gunung dan berbasikal. Selain itu turut juga diadakan aktiviti khusus seperti berpuasa (seminggu sekali atau dua minggu sekali), solat Subuh berjemaah di masjid dan qiamullail.

--

Bukan dari sekolah aliran agama? Kurang ilmu agama? Eh itu bukanlah satu kemestian jika hendak menyertai sesuatu usrah. Sesiapa pun boleh menyertainya. Apa yang penting hanyalah keterbukaan dan kemahuan ahli menyertai usrah.

PEMBINA UPM menawarkan usrah sebagai salah satu aktiviti mingguan kepada mahasiswa UPM. Usrah dijalankan di kolej-kolej kediaman UPM mengikut fleksibilit masa dan tempat ahli usrah (iaitu anda yang berminat). Usrah yang berjalan dibezakan antara usrah lelaki dan usrah wanita. Tidak bercampur.

Untuk menyertai usrah PEMBINA, tidak wajib menjadi ahli PEMBINA. Bagi mana-mana pelajar yang berminat ingin menyertai usrah PEMBINA, bolehlah menghubungi AJK yang bertugas di bahagian Jom Sertai PEMBINA.