1. Ibadah qurban pasti mengingatkan kita kepada Nabi Ibrahim , Siti Hajar dan Nabi Ismail. Sebuah kisah pengorbanan yang agung.

2. Terdapat pelbagai surah di dalam al-Quran menyentuh mengenai perkara ini antaranya ialah surah al Kautsar, al Hajj dan as-saffat , semuanya mempunyai intipati yang lebih kurang sama iaitu pengorbanan.

3. Membuktikan bahawa salah satu keperluan umat islam di dalam perjuangan menegakkan kalimat-NyA ini adalah sikap ingin berkorban. Pengorbanan mendidik jiwa supaya patuh terhadap suruhan Allah dan dijelmakan menerusi kehidupan masyarakat.

4. Hasan mengorbankan dirinya demi memacak panji Al Fateh di Konstantinople. Pejuang kamikaze berkorban dengan meletakkan peledak bom di dalam pesawat untuk memastikan kejayaan Jepun. Manakala penduduk Mesir berkorban dengan merelakan tubuh mereka ditembak peluru hidup assisi. Semuanya dilakukan demi suatu perkara; survival negara.

5. Akibat memingirkan aspek pengorbanan , sering kali keadaan di suatu tempat berada di dalam keadaan 'volatile' ,tidak stabil dan sering kali mengundang pelbagai ancaman. Sungguh ia telah pun terjadi di negara kita.

6. Dari sudut kepimpinan , UMNO masih memilih ahli golongan yang tidak telus memegang tampuk parti, PAS masih lagi kabur di dalam isu syiah sunni dan kalimah Allah. Manakala parti kufar pula menunjukkan strategi halus mempamerkan bahawa mereka yang paling telus hinggakan ada masyarakat berkata “apakah salahnya kita ditadbir kuffar?” menunjukkan betapa seriusnya masalah kepimpinan negara yang berada dihadapan kita.

7. Dari segi ekonomi, beban yang ditangung rakyat bukan lagi kepalang, hidup mereka terdesak dengan pelbagai tuntutan hidup sedang ekonomi berada dalam keadaan lembab yang tiada kemajuan seolah-olah tiada jalan penyelesaian antara jurang ekonomi miskin dan kaya.

8. Dari sudut keselamatan, negara telah di ancam dengan pelbagai kepentingan negara asing. Tidak sampai beberapa hari Washington membatalkan kedatangannya ke Kuala Lumpur, Xi Jin Ping datang mencuri perhatian rakyat dengan menjalinkan persahabatan secara tiba tiba, ia bukti jelas betapa Malaysia dilihat penting kepada keselamatan China terutamanya di dalam tuntutan ke atas kepulauan Spratly yang bukan sahaja strategik dari sudut ketenteraan tetapi mempunyai hasil minyak yang tidak terhingga.

9. Dari sudut agama , tuntutan coalition of malaysian ngo (COMANGO) jika diteliti pasti merungkai perkara-perkara di dalam agama. Kebebasan beragama menjadi senjata paling kuat kumpulan batil tersebut dan sudah pasti ia menghalakannya kepada Islam.

10. Masalah sosial pula bergerak umpama barah senyap dan ia dibiar terpingir oleh kebanyakan aktivis kampus.

11. Dan apakah mahasiswa kita pada hari ini sedar akan masalah yang menimpa negara mereka? Atau mereka masih terperangkap dalam dunia percintaan atau dunia movie yang tiada kesudahan?

12. Perjuangan mahasiswa hari ini perlu dilihat dari ufuk yang lebih luas, ia bukan hanya sekadar isu jalan raya di kampus, masalah sistem maklumat pelajar dan sebagainya tetapi ia perlu berevolusi kepada isu negara, keselamatan tanah air serta berjuang membumikan agenda dakwah kepada masyarakat.

13. Aktivisme mahasiswa pada hari ini telah berubah, jika kebanyakan siri pejuangan mahasiswa ditandai dengan demostrasi dan pungutan tanda tangan, kini adalah masa untuk kita memberi cadangan solusi dan tindakan.

14. Maka di dalam memanifestasikan perkara tersebut ia memerlukan keagresifan dan pengorbanan gerakan mahasiswa. Usaha yang telah diberi selama ini perlu dilipat gandakan demi kejayaan ibu pertiwi. Kita tidak boleh lengah. Kealpaan kita hanya menyebabkan negara di dalam bahaya dan hendaklah di antara kita memikul beban ini dengan rasa izzah dan tangungjawab ,sesunguhnya di tangan kita adalah masa depan negara.


"Memimpin mahasiswa"
Luqman Abd Hamid
Presiden PEMBINA UPM

 

Setiap kali ketika kita berbual-bual dengan sahabat kita atau sesiapa sahaja, mesti sekurang-kurangnya  kita pernah “tersebut” ayat-ayat yang agak klise seperti berikut.

“untunglah , dapat dekan setiap semester.”

“untunglah, anak orang kaya, apa nak, semua dapat.”

“untunglah, dapat biasiswa, 'jelous' aku.”

“untunglah, 'boyfriend handsome', belajar dekat Korea.”

"untunglah ini.. untunglah itu.."

Cuba kita duduk diam dan fikir sejenak, jikalau ada orang berkata begitu kepada kita, apa yang kita akan rasa? Pasti rasa sedih bukan? Mungkin bukan niat diri untuk membangga-bangga, tetapi apabila situasi di atas berlaku kepada kita, pasti kita berasa tidak selesa. Cuba kita fikir, kenapa kita perlu sibuk-sibuk untuk membandingkan apa yang orang lain dapat dengan apa yang kita tidak dapat.

Sudah rezeki mereka memiliki apa yang mereka miliki. Kenapa kita harus cemburu? Kita seperti tidak bersyukur dengan apa yang kita ada. Muhasabah diri kita. Sekurang-kurangnya kita masih ada mulut untuk bercakap, ada tangan, kaki, hidung, dan semua bahagian badan yang sempurna yang Allah S.W.T beri kepada kita sejak kita lahir. 


Kita masih mampu bernafas, menghirup udara yang segar, kita masih lagi punya ibu dan ayah yang sayangkan kita, adik-beradik yang baik, kejayaan yang kita peroleh sekarang, hidup di bumi Malaysia yang aman, tiada perang dan bermacam-macam lagi jika ingin diceritakan tentang rezeki kurniaan Allah kepada diri kita ini. Firman Allah S.W.T,

 “ Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan” (55:13)

Kita perlu berhenti untuk membanding-bandingkan diri kita dengan orang lain. Ya, untuk beberapa keadaan, ia akan menjadi bagus jika kita akan berusaha untuk memperbaiki diri kita untuk mencapai kejayaan dan menjadi seorang yang lebih baik. Sebenarnya, apabila kita bersikap terlalu membanding-bandingkan, kita akan mula tertekan dan bersaing tanpa sebab yang baik untuk diri kita. 

Seterusnya kita akan lupa segala rezeki yang Allah telah beri kepada kita. Kita akan sibuk dengan pelbagai rungutan. Hakikatnya, apabila kita merungut, itu adalah sesuatu yang membuang masa kita. Lebih -lebih lagi, jikalau kita merungut, tanpa melakukan apa-apa usaha, hanya sekadar merungut dan bersedih.


Astaghfirullah hal a'zim...

Marilah semua, kita muhasabah semula. Bersyukurlah dengan segala rezeki yang Allah sudah kurniakan kepada kita. Setiap hamba Allah, ada rezeki masing-masing yang Allah sudah tetapkan untuk dirinya. 

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita berhenti menyebut “Untunglah” dan lebihkan “Alhamdulillah” J


Jikalau kita masih lagi rasa sedih dan kecewa dengan setiap perkara yang terjadi kepada diri kita, sentiasa muhasabah diri kita semula. Firman Allah S.W.T,

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya...” (2:286)

Bersyukurlah dengan hidup anda sekarang dan hayatinya. Jika kita sering merungut dan membanding-bandingkan, ia sesuatu yang rugi untuk diri kita.

Oleh:
Sayang Syamira bt. Sobri, 
Ketua Biro Aktivisme Mahasiswa PEMBINA,
Bac (sains) Pembangunan Sumber Manusia, Tahun 2.


Surau Serumpun, UPM – Pada 9 oktober 2013 iaitu hari Rabu selepas waktu maghrib telah diadakan usrah umum ke-3 bertajuk:  Antara Semalam Dan Hari Ini yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM. Usrah umum ini disampaikan oleh saudara Luqman Abdul Hamid selaku Presiden Persatuan Belia Islam Nasional, Universiti Putra Malaysia. 

Antara pengisian yang disampaikan oleh beliau adalah mengenai sejarah umat Islam dahulu ketika berada dalam zaman jahiliah iaitu zaman masyarakat Arab jahiliah yang mengamalkan perbuatan yang tidak bermoral seperti berjudi, berzina dan meminum arak.

Kedudukan wanita dalam masyarakat pula adalah rendah, sehinggakan mereka tidak dapat mewarisi harta pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Terdapat dalam  kalangan mereka yang menanam bayi perempuan sejurus selepas lahir. Pembunuhan terhadap bayi perempuan ini dilakukan kerana mereka beranggapan anak perempuan akan menjatuhkan maruah keluarga. 

Dalam hal perkahwinan pula, tidak mempunyai peraturan khusus yang boleh dijadikan panduan oleh masyarakat pada ketika itu. Seseorang lelaki boleh berkahwin dengan beberapa orang wanita sekaligus atau dengan sesiapa yang disukainya.

Namun, setelah kedatangan Islam yakni turunnya wahyu pertama pada tahun 610 Masihi, kehidupan masyarakat Islam telah berubah dengan bersandarkan kepada aqidah, syariat, dan akhlak. Strategi Nabi Muhammad S.A.W dalam berdakwah menyebarkan agama Islam adalah melalui dakwah secara sulit selama tiga tahun dan terang-terangan mengambil masa 10 tahun.

Saudara Luqman juga turut menceritakan tentang penyebaran dakwah selepas kewafatan Rasulullah S.A.W yang diteruskan oleh para sahabat iaitu zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin yang dipimpin oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan, dan Saidina Ali bin Abi Talib. Corak pemerintahan yang dijalankan oleh kerajaan ini adalah berdasarkan corak pemerintahan Rasulullah S.A.W serta Al-Quran dan Sunnah. Pemerintahan kerajaan ini telah berlangsung selama lebih kurang 29 tahun dan melalui banyak cabaran dan rintangan dalam usaha menyebarkan dakwah Islam dan mengekalkan keamanan negara.

Selepas kerajaan Khulafa Ar-Rasyidin, pemerintahan disambung oleh kerajaan Bani Umaiyah dan berlaku pertukaran sistem kepada sistem dinasti oleh Muawiyah bin Abu Sufian r.a. Berlaku perluasan kuasa sehingga Andalus, Turkinistan, Uzbekistan, Afghanistan dan sempadan kerajaan China. Pusat pentadbiran Bani Umaiyah adalah bertempat di Damsyik (Syria).

Seterusnya, pada 750 Masihi pemerintahan Islam diteruskan oleh kerajaan Abbasiyah dan berlaku perluasan empayar kepada pemantapan tamadun, sistem pendidikan Islam, penterjemahan dan Pusat Islam Dunia. Bermulanya kejatuhan umat Islam bila berlakunya Perang Salib I mengakibatkan musuh Islam berjaya menakluki Kota Palestin. Namun, ia berjaya ditawan semula oleh Salahudin al-Ayubi.

Selain daripada memperihalkan soal zaman kegemilangan Islam pada suatu ketika dahulu, saudara Luqman turut memberi ulasan mengenai sejarah Islam kini yang turut berada dalam konteks jahiliah iaitu wujudnya kumpulan Black Metal, budaya lepak, hiburan melampau, kes penagihan dadah,seks bebas yang semakin berleluasa, pembantaian umat Islam, kejahilan umat serta khurafat iaitu wujudnya istilah nabi palsu.

Saudara Luqman juga berkongsi cara atau formula kebangkitan  untuk mengatasi masalah tersebut melalui “MANHAJ NUBUWWAH” iaitu dakwah dan tarbiyyah merupakan agenda utama baginda S.A.W tatkala memulakan dakwahnya di Mekah. Negara Islam Madinah tidak akan tertegak kukuh kalau tidak kerana tarbiyah.

"Kegemilangan di Badar tidak akan datang bergolek kalau bukan kerana tarbiyah. Keutuhan daulah selepas kewafatan Nabi s.a.w. tidak akan berlaku kalaulah bukan kerana adanya golongan al awa’iel yang ditarbiyah. Malah kelangsungan daulah dalam kalangan khalifah Islam lemah juga adalah kerana wujudnya RIJAL yang ditarbiyah oleh para ulama", kata saudara Luqman.

Pada pengakhiran slot usrah, saudara Luqman telah memperingatkan tentang peranan umat Islam untuk menegakkan semula zaman kegemilangan Islam dengan memberi beberapa panduan iaitu umat Islam seharusnya cuba untuk mengubah diri sendiri ke arah lebih baik serta berani untuk menyeru orang lain kerana segalanya bermula daripada diri kita sendiri yang bersesuaian dengan firman Allah S.W.T

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah dirinya sendiri (ar-Ra’d:11)”.

Selepas berakhirnya sesi usrah, para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah. Sesi usrah umum pada kali ini berakhir pada jam 9.30 malam. Para peserta tidak pulang dengan tangan kosong, tetapi memperolehi pelbagai ilmu dan info yang sangat berguna sebagai panduan hidup di arus yang serba moden ini.
Mahasiswi beragenda

Mahasiswi pada masa ini perlu bangkit! Ya. Kenapa? Bukankah sekarang dunia sudah aman dan maju?  Kerana dengan kemajuan teknologi yang canggih pada masa ini dan keamanan yang dialami selama 56 tahun membuatkan kita semakin lalai dan kabur dengan setiap matlamat dan tanggungjawab kita sebagai seorang pelajar. Terlalu banyak masa yang kita habiskan dengan melakukan perbuatan yang tidak bermanfaat. Contohnya,


  • Mahasiswi sanggup menghabiskan masa berjam-jam melayari internet untuk meng’update’ laman sosial, dan mengetahui perkembangan semasa mengenai artis, lebih-lebih lagi kini kita dipengaruhi dengan ‘korean wave’ yang sudah tentunya melalaikan kita dari mengingati Allah.
  • Mahasiswi sanggup menghabiskan masa sehariannya di ‘shopping complex’ untuk membeli belah, menonton wayang, karaoke bersama teman, dan makan ditempat mewah untuk ‘memanjakan’ diri setelah berhempas pulas ‘study’.
  • Mahasiswi sanggup menghabiskan masanya dengan menonton filem dan drama dari pelbagai negara untuk menghiburkan diri setelah mengalami ‘stress study’.
  • Mahasiswi sanggup menghabiskan masanya bersama kekasih hati yang dicintai sebelum sah menjadi mahramnya. 
Dan banyak lagi perbuatan-perbuatan yang membuatkan kita alpa dengan matlamat kita sebagai seorang pelajar. Walaupun ada sebahagian mahasiswi yang menggunakan masanya dengan baik, tetapi ia sangatlah sedikit dan boleh dibilang orangnya.

Mahasiswi di zon selesa?

“Tak payahla nak fikir banyak tentang dunia luar.. tujuan kita masuk U sebab apa? Belajar kan?”

“Buat apa sibuk-sibuk hal diorang.. lantak lah, Bukannya masalah kita pun!”

Banyaknya kata-kata negatif yang membuatkan kita terus berada di zon selesa dimana hanya kita sahaja yang kisah tentang diri kita. Ada sebahagian daripada kita yang tidak mahu ambil berat mengenai masalah-masalah umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di negara Islam diluar sana. Ia membuatkan mahasiswi kini semakin lesu, leka dan hilang arah tuju mereka sebagai seorang pelajar yang berdedikasi dan bermatlamat tinggi.

Mahasiswi yang mempunyai ilmu pengetahuan

Mahasiswi berperanankah dalam menghadapi cabaran masa ini?

Ya! Mahasiswi sangat berperanan menghadapi cabaran pada masa ini, bukan hanya mahasiswa sahaja yang perlu mengambil berat dan menyuarakan pendapat mereka. Mahasiswi juga perlu menunjukkan sahsiah yang tinggi dan kuat menghadapi cabaran disamping mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi.
  • Mahasiswi pada masa ini perlulah mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap permasalahan yang berlaku di sekeliling mereka dan bukan itu sahaja, mahasiswi juga  perlu ‘aware’ dengan berita-berita  melangkaui sempadan Malaysia. Sebagai contoh, masalah pembuangan bayi. Walaupun bukan kita yang melakukannya tetapi kita kena mengambil tahu dan mengambil sikap berjaga-jaga dalam diri kita. Kalau bukan kita yang melakukannya adakah itu dikira selamat? Bagaimana pula dengan adik-beradik kita, saudara mara kita dan jiran tetangga kita? Perlukah kita mengambil sikap tidak ambil tahu? 
  • Mahasiswi perlu jelas dengan tujuan penciptaan kita di dunia ini. Jika kita lihat dalam Surah Adz-Dzaariyaat ayat 56 iaitu: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” Tujuan kita di dunia ini bukanlah ‘saja-saja’ atau berseronok sahaja tetapi kita mempunyai matlamat yang ingin dituju iaitu Syurga Allah. Jadi, kita hendaklah melakukan ibadah yang mengingatkan diri kita kepada Allah. Antaranya solat diawal waktu, berpuasa, menghadiri majlis ilmu, mendampingi orang-orang soleh dan setiap perbuatan kita niatkan kerana Allah. Jika mahasiswi jelas dengan penciptaan manusia ini pasti setiap perbuatan kita ini tidak sia-sia dan kita bersungguh-sungguh untuk membuat bekalan menuju ke akhirat kelak.
  • Mahasiswi perlu cakna dengan persekitaran. Cabaran pada masa ini memerlukan kita sebagai seorang mahasiswi ‘alert’ persekitaran kita dengan membaca bahan-bahan ilmiah dan melayari internet dari sumber-sumber yang betul.  Hal ini akan menyebabkan kita lebih yakin terhadap sesuatu perkara dan lebih bersedia untuk menghadapinya. Sebagai contoh: ajaran syiah yang mula menular di Malaysia ini kita perlu tahu tentang perkara ini. Bukan hanya sekadar tahu tetapi mahasiswi perlu mengkaji sejauh manakah kebenarannya. Adakah ia memberi manfaat kepada kita jika mengamalkannya atau memudaratkan kita. Jika kita tidak mengkaji sesuatu perkara sebenar-benarnya, maka ia akan mudah mempengaruhi kita dan menjadikan kita rosak dan tidak bernilai. Bagaimanakah generasi akan datang? Cuba  bayangkan..
  • Mahasiswi juga perlu menjaga kesihatan diri. Walaupun ia nampak mudah dan tidak perlu dihiraukan tetapi kesihatan kita perlu dipandang secara serius. Hal ini kerana terlalu banyak penyakit yang muncul dikalangan kita yang masih muda lagi. Bagaimana kita mahu berjuang sekiranya kita sakit? Bagaimana kita nak beribadah sekiranya kita tidak bermaya dan tidak berupaya melakukan  sesuatu?
  • Mahasiswi perlu sihat dan kuat. Bagaimana? Mahasiswi perlu bijak mengambil pemakanan yang seimbang. Ramai remaja perempuan dan mahasiswi pada masa ini menahan perut kerana dikatakan mahu ‘berdiet’ untuk kurus tetapi tidak mengambil zat-zat yang secukupnya yang diperlukan oleh badan manusia. Mahasiswi juga perlu melakukan senaman sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Hal ini kerana sebahagian mahasiswi pada masa ini kurang menghiraukan gaya hidup yang sihat.
  • Mahasiswi perlu memelihara diri sebaik-baiknya.

Ambil Ibrah dalam  sirah wanita pejuang Islam

Ramai wanita Islam yang mencatat sejarah mereka kerana keperibadian mereka berjuang menghadapi cabaran pada suatu masa yang lalu yang boleh kita jadikan contoh. Antaranya:
  • Masih ingatkah pada Asma’ Binti Abu Bakr? Beliau digelar Zat An-Nitaqain kerana mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua untuk membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan bapanya Abu Bakr RA ketika persembunyian di Gua Thur. Beliaulah juga yang dilempang oleh Abu Jahal sehingga tercabut subang di telinganya, kerana tidak mahu memberitahu posisi Rasulullah SAW dan bapanya ketika hijrah.Beliaulah juga yang mentarbiyyah anaknya, Abdullah Ibn Zubair RA, sehingga menjadi seorang sahabat Rasulullah SAW yang berani. 
  • Masih ingatkah pada  isteri Rasulullah SAW, Ummu Salamah? Bagaimana cerdiknya beliau, bijaknya beliau sehinggakan beliau  menjadi penasihat yang baik kepada Rasulullah SAW. Ketika peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, apabila Rasulullah mengarahkan semua sahabat-sahabatnya menyembelih haiwan dan bercukur rambut, tiada seorang pun yang bangkit menyahut arahannya. Rasulullah SAW hairan, lantas kembali ke khemah, lalu berkata di hadapan Ummu Salamah, “Kenapakah berlaku begitu?” Ummu Salamah berkata, “Jangan kau hiraukan mereka, cukurlah rambutmu, dan sembelihlah haiwanmu” Bila Rasulullah SAW melakukan, semua sahabat mengikuti.
  • Masih ingatkah pada Maryam, ibu kepada Isa AS. Sang Perawan itu menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang terkunci, Allah memuliakannya dengan memilih Zakaria AS sebagai penjaga. Maryam yang suci inilah dipilih Allah untuk mengandungkan Isa AS. Apabila dia melahirkan Isa AS dan ditohmah dengan pelbagai dugaan, dia bergantung kepada Allah, dan bersangka baik atas segala apa yang berlaku ke atasnya. Akhirnya anaknya Isa AS boleh berbicara dan menyeru manusia sedari buaian. 
  • Masih ingatkah pada Fatimah Az-Zahrah binti Rasulullah SAW?. Dialah yang bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya itu diseksa teruk. Tanpa kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia sentiasa membantu ayahandanya yang sering disakiti. Tangannya yang bersih dan suci itulah yang mencuci najis yang dibalingkan ke tubuh ayahandanya. Tangannya yang suci itulah yang membersihkan segala luka ayahandanya. Seorang wanita yang tabah, kuat menempuhi segala dugaan. 
  • Masih ingatkah pada isteri kedua Nabi Muhammad S.A.W yang paling muda semasa dikahwini, Aisyah R.A? Beliau membuktikan bahawa wanita mampu menguasai bidang keilmuan mengatasi kaum lelaki serta mampu menjadi pendidik kepada para ilmuan dan pakar-pakar pelbagai bidang. beliau juga menjadi bukti kemampuan wanita dalam mempengaruhi pandangan masyarakat, baik lelaki mahupun perempuan, serta membekalkan sumber inspirasi dan kepimpinan yang mantap. Wanita yang kaya dengan pekerti tinggi, lemah lembut serta sopan santun ini juga telah membawa kebahagiaan dan ketenangan hati yang tidak putus kepada suaminya.
Kesimpulannya, mahasiswi pada masa ini mampu menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang sekiranya kita mengambil berat terhadap peranan mahasiswi yang sebenarnya. Mahasiswi juga perlu membimbing rakan-rakan yang lain untuk turut ‘aware’ dengan cabaran di Malaysia dan juga diluar negara supaya kita menjadi mahasiswi yang beragenda terrhadap diri, masyarakat, agama dan negara.

Oleh:
Norhazimah bt Zainal Abidin, 
Naib Presiden PEMBINA, 
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Surau Kolej Kedua, UPM - Pada 3 Oktober 2013, telah berlangsungnya satu majlis Iftar Jamaie iaitu majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM dengan kerjasama Kolej Kedua.

Saudara Ahmad Naqiuddin, Timbalan Presiden PEMBINA UPM, telah menyampaikan tazkirah ringkas semasa majlis iftar pada kali ini, yang lebih berbentuk kepada peringatan buat diri sendiri serta semua hadirin yang hadir. Beliau mengatakan bahawa semua manusia di dunia ini menginginkan sesuatu yang baik dan bercita-cita untuk menjadi seorang yang lebih baik. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa untuk menjadi seorang yang baik, terdapat pelbagai halangan. Antaranya adalah, dibelenggu atau ditarik dengan unsur-unsur yang tidak baik terutamanya kawasan sekeliling kita semua.

Terdapat beberapa nasihat atau panduan daripada saudara saudara Ahmad Naqiuddin untuk menjadi seorang yang baik dalam semua aspek iaitu kita hendaklah cuba merapatkan diri dengan bergaul bersama orang baik-baik dan beriman supaya dapat menasihati kita dan memperingati serta membimbing kearah yang lebih baik. Saudara Ahmad Naqiuddin juga menegaskan supaya untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik, kita hendaklah menjaga hati kerana penjagaan hati amat penting. Rasulullah S.A.W juga bersabda:

“Ketahuilah, sungguh pada tubuh itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh tubuhnya, ketahuilah bahwa ia adalah hati”.
(Riwayat Bukhari & Muslim, dari Nu'man bin Basyir). 

Berdasarkan hadis ini jelaslah bahawa kita harus bersungguh-sunguh dalam menjaga hati.

Pesanan yang terakhir daripada saudara Ahmad Naqiuddin adalah dengan menyeru kepada semua hadirin yang hadir supaya menjaga hubungan kita dengan Allah S.W.T kerana tujuan kita semua diciptakan ini adalah untuk beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T yang Maha Pencipta.

Matlamat utama majlis ini diadakan adalah untuk menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi kembali mengamalkan amalan sunnah Rasulullah S.A.W iaitu berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Seperti yang diperkatakan oleh Saidatina Aisyah, 
"Rasulullah S.A.W mengambil berat tentang puasa hari Isnin dan Khamis" 
(Hadith Riwayat At - Tirmizi).

Majlis iftar pada kali ini di mulakan dengan para hadirin berbuka ringkas dahulu dan kemudiannya solat Maghrib secara berjemaah. Selepas solat Maghrib, para jemaah semua dijemput makan secara beramai-ramai. Selesai sesi tazkirah, para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah.  Majlis yang dihadiri dalam kalangan muslimin dan muslimat dari pelbagai kolej ini berakhir pada pukul 9.00 malam.