SURAU KOLEJ KELIMA, 24 April - Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ayat itu diulang sebanyak 31 kali di dalam surah Ar-Rahman.

"Betapa kita sebagai makhluk terkadang begitu sombong untuk ‘berterima kasih’ kepada Sang Maha Pencipta, Allah S.W.T, setelah diberi nikmat yang tidak terhitung", kata Saudari Syahirah Abd Salam, Ketua Beliawanis 2, PEMBINA UPM semasa program Iftar Jamaie. 

Program iftar ini menjadi wadah untuk mahasiswi saling ingat memperingati diri sendiri dan rakan untuk belajar bersyukur atas nikmat yang kita peroleh.

Menurut Saudari Syahirah Abd Salam, sentiasalah menilai sejauh mana kita mensyukuri nikmat Allah dalam kehidupan kita. Usah hidup seperti robot yang di programkan dan tidak mempunyai perubahan diri ke arah yang lebih baik.

Bangunlah dengan rasa syukur dan berazam untuk menjadi lebih baik setiap pagi. Muhasabah diri sebelum tidur dengan rasa menyesal ke atas dosa yang dilakukan dan berikrar tidak mengulanginya.

Tanda syukur boleh dizahirkan dengan perbuatan. Manfaatkan anggota tubuh untuk berbuat perkara kebaikan, bukan menggunakan tangan yang diberi untuk mencuri atau nikmat melihat untuk melakukan perkara maksiat.

Selain itu, kita perlu sentiasa bersyukur dalam hati dengan yakin pada segala ketentuan Allah. Tidak mengeluh jika ditimpakan musibah. Sebaliknya, menganggap pasti terselit seribu hikmah yang pastinya baik buat kita.

Belajarlah untuk membasahkan lidah dengan Zikrullah, menangis kerana penyesalan terhadap dosa dan didik hati bersabar terhadap perkara yang dihadapi. Ingatlah, nikmat dunia yang kita rasai tidak kekal selamanya. Andai kita kufur nikmat, pastinya Allah tidak teragak- agak untuk menariknya kembali.

Wartawan:
NurAqilahShawarudin,
Biro Media danPromosi,
PEMBINA UPM.

Kolej 13, UPM- “Perkara atau topik yang selalu menjadi persoalan dan sentiasa dibincangkan oleh pengguna khususnya umat Islam adalah pemilihan makanan halal dan haram kerana kini terlalu banyak isu yang diperkatakan tentang status halal pada sesetengah produk makanan”. ujar saudari Noor Jaini, yang ditemui dalam Kuliah Nisa' bertajuk ‘ Makanan Halal’ anjuran PEMBINA UPM baru-baru ini.

Beliau turut berkata bahawa Allah S.W.T jelas mengatakan perkara yang haram bagi umat Islam iaitu dalam surah Al- Ma’idah ayat 173 yang bermaksud
 “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

“Mengandungi sesuatu yang memabukkan iaitu arak atau alkohol merupakan antara yang diharamkan dalam Islam. Secara umumnya, tidak semua alkohol dapat memabukkan, tetapi terdapat dua sebatian yang memberi kesan memabukkan daripada alkohol iaitu etanol dan metanol ”. Jelas saudari Noor Jaini.

Saudari Noor Jaini juga menegaskan sebagai umat Islam di Malaysia yang berkongsi sebuah negara dengan masyarakat bukan Islam perlu lebih prihatin dan mampu memilih makanan yang halal mengikut hukum syarak.

Kuliah Nisa' merupakan salah satu Pakej Tarbiyyah yang ditawarkan kepada beliawanis di sekitar UPM dan diadakan pada setiap Jumaat pada pukul 12: 30 tengahari di surau kolej kediaman Kolej 13, Kolej 11 dan Kolej 17.

Wartawan:
Noor Khairina,
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.

 Puan Nisah Haji Haron dan Khairul Nizam Hasnol

BANGI, 13 April - Penulis perlu berjemaah untuk berjaya dan kekal dalam dunia penulisan kerana dengan berjemaah seorang penulis akan kekal istiqamah dalam menghasilkan karya-karya baru.
Munsyi Dewan, Puan Nisah Haji Haron berkata, dengan berjemaah penulis dapat memberi motivasi antara satu sama lain dalam mengekalkan momentum penulisan mereka.

“Mengapa kebatilan boleh terus naik dan kekal hidup? Ini kerana mereka terancang dan berjemaah,” katanya di bengkel penulisan kreatif anjuran PEMBINA Bangi yang berlangsung di Pejabat ISMA DHL
.
“Bentuklah satu kumpulan kecil antara anda semua agar terus bermotivasi untuk menulis. Tidak perlu ramai sebegini. Hanya perlu tiga hingga empat orang sudah memadai. Masing-masing memberi sokongan agar penulisan baik terus dapat dihasilkan,” nasihat Puan Nisah.

Penulisan terancang bermula dengan penulis sedar sasaran pembacanya. Sama ada pada peringkat kanak-kanak, remaja ataupun dewasa. Setiap sasaran lain strategi penulisan yang perlu dilakukan, menurut Puan Nisah.

Puan Nisah banyak berkongsi pengalaman beliau menulis dari awal terbitnya cerpen pertama beliau di Dewan Siswa (September 1990) yang bertajuk ‘Di Sebalik Wajahmu, Aries ‘ sehingga beliau menjadi penulis sepenuh masa.

Bengkel Penulisan Kreatif yang dihadiri oleh hampir tiga puluh orang pelajar dari Institut Pengajian Tinggi sekitar Bandar Baru Bangi ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Pembangunan Potensi PEMBINA Bangi.

Ia bertujuan melatih ahli PEMBINA menulis dengan betul dan terus sampai kepada masyarakat dan sebahagian daripada pakej kepimpinan yang ditawarkan oleh PEMBINA kepada ahlinya.

PUCHONG, 6 April - “Seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang yang bernama Ibu”. Antara petikan kata yang membuatkan kita merenung sejenak akan nasib ibu bapa kita pada masa hadapan.

Melangkah masuk ke dalam Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas yang menempatkan lebih kurang 50 orang penghuni akan menimbulkan rasa sayu dan sedih melihat keadaan mereka di sana.

“Mak cik tu perlukan kasih sayang. Dia nak kita peluk dia lama-lama”, kata seorang AJK Program Ziarah Amal ketika melakukan aktiviti di luar rumah jagaan sementara para ikhwah melawat golongan wanita di rumah tersebut.

Suntikan kata-kata semangat diberikan kepada golongan emas ini agar tabah dengan ujian dan takdir yang Allah swt tetapkan untuk mereka. Walaupun penekanan ini nampak kecil tetapi ia bermakna.

“Allah tidak lihat apa hasil yang kita dapat tetapi Allah lihat pada usaha yang kita buat”. Kata salah seorang wakil sukarelawan.

Keadaan di rumah jagaan tersebut sangat menyayat hati. Ada di antara mereka yang gembira menerima kunjungan, ada juga yang hanya membuat hal sendiri kerana mungkin mahukan privasi. Namun satu perkara yang kita tahu, mereka merindui anak-anak mereka. Meskipun tidak diluahkan rasa itu, namun, terlihat rindu itu melalui penerimaan mereka dengan kunjungan dari sukarelawan.

Walaupun Rumah Jagaan ini tidak pernah sunyi dengan kunjungan dan lawatan dari pihak-pihak yang prihatin namun masyarakat terutamanya golongan muda perlu adanya sikap sayang-menyayangi golongan lebih tua agar menjadi teladan kepada generasi akan datang.

Hasil daripada aktiviti program ini, sukarelawan dapat merapatkan lagi ukhwah sesama mereka, malah ia juga memupuk sikap prihatin. Selain itu, program ini juga membina semangat kerjasama dalam sepasukan antara muslimin dan muslimat.

Program Ziarah Amal anjuran Biro Sahabat Aman yang telah diwakili seramai 35 orang sukarelawan telah menghadirkan diri untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Wartawan:
Nurul Aini Zharfan,
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.

Surau Serumpun, 2  April – “Orang Islam ramai, tetapi tidak ramai yang melaksanakan Islam dengan bersungguh –sungguh”,kata Saudara Syed Zahiruddin Syed Hashim semasa Usrah Umum yang mengupas tentang Pembelaan Saudara Ummah Seakidah.

Isu –isu ummah seperti di Rohingya harus kita ambil peduli. Mereka di bunuh dan ditindas manakala ekonomi,pendidikan dan kesihatan mereka di sekat. Tanah mereka juga di rampas serta mereka di paksa keluar dari Islam untuk menganut agama Buddha.

Begitu juga isu ummah di Mesir, di mana 529 penyokong Morsi di jatuhkan hukuman bunuh selepas 48 jam perbicaraan di mahkamah. Mereka dibicara, dan diputuskan hukuman pada hari yang sama dan tidak mendengar suara tertuduh. Ini jelas telah melanggar prosiding mahkamah.

Namun adakah kita peduli? Isu –isu seperti ini tidak di ambil berat oleh segelintir umat Islam kerana mereka tidak merasakan penderitaan yang di alami saudara Islam kita sebagai penderitaan kita jua.

“Kebanyakan umat Islam memandang remeh  isu yang besar sebaliknya membesarkan isu yang remeh”, terang Saudara Zahiruddin dengan tegas.

Kita boleh membantu saudara kita dengan pelbagai pertolongan samada dari segi kewangan dan sentiasa mendoakan perjuangan mereka.

Luangkan sedikit masa kita dan rajinkan diri membaca untuk mengambil tahu isu ummah terkini. Sedarilah, bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain terutamanya saudara seaqidah adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama Islam yang luhur ini sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud,

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”
Hadith riwayat Bukhari.

Jadilah kita pemuda yang mempunyai ciri –ciri  seperti yang di sebut oleh Imam Shahid Hassan Al-Banna iaitu mempunyai iman yang suci, ikhlas yang bersih ,semangat yang membuak –buak serta usaha yang berterusan.

Wartawan:
Nur Liyana Binti Mat Hussin,
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.