Benih yang baik, terjatuh ke lautan menjadi mutiara, terdampar di daratan berubah menjadi permata, terawangan di angkasa bertukar kejora. 

Peribahasa ini membawa maksud seseorang manusia di mana pun dia berada perlu menjadi insan berguna dan bermanfaat buat orang lain seterusnya membawa kebaikan dan rahmat di sekelilingnya. 

Ingin saya kupaskan bahawa belia kita perlu mengambil contoh benih yang baik itu tadi. Hal ini kerana, belia yang tergolong dalam lingkungan usia 18 hingga 40 tahun mempunyai ciri-ciri semangat kepemudaan.

Ya, semangat seorang pemuda! Ke mana semangat ini perlu didorongkan? 

Pastinya kita kembali kepada fitrah hakiki iaitu, mencintai Allah dan rasul-Nya berpandukan dua pegangan utama yang mana jika dia berpegang kepadanya nescaya tidak akan sesat selama-lamanya Al-Quran dan Hadis.

Disebabkan semangat belia itu tadi telah didorongkan melalui pilihan jalan yang salah, maka kita lihat sehingga kini Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan ke-57 dan baru-baru ini menyambut Hari Malaysia ke-51, belia kita semakin ketirisan identiti. Hal ini kerana, mereka tidak punya matlamat hidup yang jelas. 

Sedarkah mereka bahawa manusia diciptakan untuk menjadi khalifah dan seorang ‘abid di muka dunia? Seperti mana yang disebutkan dalam Surah Al-Baqarah 2:30 dan Surah Az-Dzariyat 51:56.

Khalifah yang dimaksudkan ialah kepemimpinan. Jikapun kita tidak menakluk dunia, memimpin masyarakat, cukuplah kita menjadi pemimpin buat diri kita sendiri. Melalui jalan itu, tanpa disedari kita akan membawa kebahagiaan, kedamaian dan rahmatan di sekeliling kita.

 Pemimpin itu sifatnya ada 17:

1.Mempunyai keyakinan diri yang tinggi
2.Bekerja keras
3.Bersedia untuk berkorban untuk kepentingan ahli
4.Mampu menjadi contoh teladan
5.Adil
6.Peramah
7.Mempunyai pegangan agama yang kuat
8.Suka bekerja dalam kumpulan
9.Hormat
10.Berpelajaran
11.Kreatif
12.Mempunyai kemahiran komunikasi
13.Berfikiran terbuka
14.Boleh dipercayai
15.Bermotivasi
16.Bertanggungjawab
17.Aktif dalam persatuan.

Jadilah ‘abid yang tawaduk dan memperhambakan diri hanya semata-mata kepada Allah. Jadilah ahli ibadah yang sentiasa merasa kekerdilan diri dengan Allah yang Maha Besar, Tuhan Sekalian Alam. Melakukan sunnah Nabi Muhammad S.A.W juga menjadi salah satu ibadah kita. Sunnah yang paling utama ialah jihad. 

Dalam tafsir Ibn Hajjar ada mengatakan, 

“Seseorang yang mana dia berjihad, akan diangkat darjatnya oleh Allah dapat duduk bersebelahan Rasulullah S.A.W di syurga.” Tidakkah kita mahu mengorbankan secebis tenaga untuk berjihad terutama melawan hawa nafsu kepada diri sendiri dan berjihad melebarkan sayap dakwah sementara di usia muda?

Sehingga kini, jiwa belia kita semakin parah, perpaduan antara masyarakat kian merudum walhal kemerdekaan yang dikecapi sekian lamanya. Aksesori-aksesori negara kita dihiasi oleh beli-belia kita kerana mereka yang banyak mendominasi demografi negara Malaysia. Tetapi sayangnya, aksesori tersebut telah dihiasi dengan kebanyakan gejala negatif ke dalam tabi’i belia kita. Contohnya, gejala lumba haram, pergaulan bebas, kes dadah, dan banyak lagi.

Perlu diterangkan jika belia ditanamkan dengan matlamat yang jelas dalam kehidupannya, ditambah dengan imun hamasah yang sedia ada dalam dirinya beserta vitamin tambahan dorongan dengan perkara yang diminati berlandaskan tuntutan syariat, sudah pasti gejala sosial negatif dan krisis dentiti yang berlaku pasti dapat ditangani. Oleh sebab itu, tidak mustahil jika sebuah tamadun kontemporari bakal diterajui belia kemudian hari bersama gagasan gemilang dan terbilangnya negara Malaysia pada tahun 2020 nanti.

Mengambil contoh zaman kerajaan Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Kota Baitul Maqdis di awal usianya yang muda. Begitu juga Al-Fateh yang membebaskan Kota Konstantinopal yang mempunyai sebaik-baik tentera dan dialah sebaik-baik raja. 

Kesimpulannya, pulihara dan bangkitkanlah sifat belia dalam diri kita semua sementara kudrat masih ada. Kitalah harapan pemilik negara dan peneraju legasi pimpinan sedia ada. Kembalikan kemerdekaan yang sebenar-benar merdeka dalam negara Malaysia agar ikatan kesepaduan kita kukuh dan tiada lagi doktrin-doktrin lesu yang akan menjatuhkan kita.Belia harapan agama, bangsa  dan negara.

"Jika kamu mahu melihat generasi masa hadapan, kamu lihatlah pemuda hari ini"
- As-Shahid Imam Hassan  al-Banna


Oleh:
Nazatul Shima Masri, 
Bacelor Pengurusan Alam Sekitar,
Ketua Biro Aktivisme Mahasiswa,
PEMBINA UPM.

Hari Malaysia disambut bertujuan untuk mengingati sejarah di mana zaman perjuangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yakni Perdana Menteri Malaysia yang ketika itu berusaha untuk menyatukan Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura. Usaha dan penat lelah baginda dan rakan seperjuangannya berhasil apabila Malaysia akhirnya terbentuk pada tanggal 16 September 1963.

Masih ramai yang tidak tahu menahu akan sejarah penubuhan Malaysia ini. Walhal sepatutnya setiap rakyat Malaysia hendaklah mengambil tahu sebagai tanda mereka prihatin akan negara tercinta ini.

“Dunia tidak akan pernah berubah kecuali dengan sejarah. Berbagai pergolakan yang kita alami sekarang dan usaha yang kita tempuh untuk lepas dari kekelaman masa lalu, tidak akan pernah tuntas tanpa melihat akar-akar dan sebab-sebab permasalahannya dalam rekaman sejarah.”

“Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).”(8:200)


Penting untuk kita sebagai rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia. Ia menunjukkan nilai patriotik di dalam setiap bangsa dan agama di seluruh Malaysia. Cinta tanah air itu merupakan semangat yang sangat dituntut dalam Islam.

Firman Allah dalam surah Al- Baqarah,
 “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari kemudian” (2:126)

Nabi Ibrahim berdoa menunjukkan dia cinta akan tanah airnya. Penduduk yang beriman akan mempunyai negaranya yang tersendiri untuk menyambung generasi yang beriman juga. Ini secara tidak langsung menunjukkan negara yang tercinta berkait rapat dengan penduduk yang beriman. 

Cinta akan negara mestilah tidak bertententangan dengan Islam. Malah cinta itu subur kerana Allah. Cinta tanah air adalah sebahagian daripada iman.

Semangat yang berkobar-kobar sering kali diraikan bersama majlis yang penuh gilang gemilang. Tidak salah meraikannya dengan penuh meriah dan warna warni, tetapi ia menjadi kesalahan besar apabila majlis tersebut disusuli dengan aktiviti yang menyalahi adab dan syariat. 

Contohnya, pesta tarian. Lebih menyedihkan apabila ikhtilat antara lelaki dan perempuan tidak dijaga. Hal ini demikian boleh menyebabkan majlis tersebut bertukar daripada diredhai Allah kepada dimurkai Allah. Sering kali nafsu memandu mengalahkan iman ketika di dalam sesuatu majlis, meskipun kita tahu dengan jelas haq dan batil tidak pernah bertemu.

Allah berfirman dalam Surah Al- Mukminun,

Kalau sekiranya kebenaran mengikut nafsu mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan siapa-siapa yang berada di dalamnya.”(23:71)

Akhir kata, sambutlah Hari Malaysia dengan penuh semangat dan kesyukuran tanpa ada unsur yang menyalahi adab dan syariat. Jangan cemarkan kemuliaan Hari Malaysia dengan perbuatan yang songsang dan tidak mengikut syariat agama.

Oleh, 

Nur Nazhifa Ab. Rahman, 
Ketua Beliawanis,
PEMBINA UPM.





                Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Putra Malaysia mengucapkan selamat kembali kepada semua mahasiswa dan mahasiwi dari seluruh pelusuk Malaysia ke kampus hijau yang terletak di daerah Serdang ini. Kita perlulah senantiasa membuat muhasabah terhadap niat kita untuk menuntut ilmu, moga-moga kita belajar dalam keadaan ikhlas semata-mata kerana  Allah  S.W.T dan refleksi semula, apakah cita-cita yang kita pasangkan pada permulaan hari kita melangkah di universiti tercinta ini?.

                Moga-moga kepulangan diri kita kali ini dengan azam yang baru dan kembali bersemangat dalam setiap perkara yang kita lakukan dalam diri kita. Anggaplah menimba ilmu ini sebagai salah satu jihad dalam diri kita yang memerlukan kita untuk bersungguh-sungguh dan berdisiplin.
(Barangsiapa yang menyusuri jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah S.W.T akan permudahkan baginya jalan untuk ke syurga.)

maksud hadis di atas ialah :

                Buatlah yang terbaik kerana kita adalah ummat yang terbaik. Bila kita kata terbaik, maka maksudnya terbaik dalam segala perkara yang kita lakukan termasuk dalam kehidupan kita. Akhirnya kita akan berbakti dan menyumbang kepada agama, negara dan bangsa. Sedarlah, bahawa mahasiswa merupakan aset negara dan akhirnya permata berharga yang akan menyumbang pada nusa dan bangsa pada satu ketika nanti. Jadilah mahasiswa dan mahasiswi yang mempunyai jati diri yang kukuh , berjiwa besar dan berusahalah untuk mematangkan diri kita kerana kelak sudah pasti kita akan jadi pemimpin, maka moga-moga kita dapat memimpin negara dengan baik pada ketika ini dengan persiapan-persiapan yang dilakukan sekarang.

                Saya akhiri  ucapan ini dengan ucapan bitaufiq wannajah, moga kita berjaya dalam kehidupan kita dalam pelbagai aspek kehidupan yang melibatkan persiapan duniawi dan ukhrawi.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, dunia digegarkan lagi dengan isu serangan Israel ke atas bumi Gaza, Palestin. Berita-berita terkini disiarkan melalui media seperti siaran televisyen tempatan dan antarabangsa. Tidak terkecuali dilaman sosial sama ada blog, Facebook, Twitter mahupun Instagram tentang perkembangan isu ini termasuk juga dalam telefon pintar seperti aplikasi Whatsapp dan sebagainya.

Isu Palestin seperti tiada kesudahan, hari ke hari perkara ini sudah dianggap sebagai satu kebiasaan dan bukan lagi sebuah perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin yang terletaknya Masjid Al-Aqsa daripada penguasaan zionis Israel.

Sedang kita di Malaysia aman berpuasa dan berbuka bersama keluarga dan sanak saudara di bulan Ramadhan, saudara kita disana dihidang dengan bedilan bom dan serangan udara yang telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan rakyat yang tidak berdosa.

Perkara ini realitinya berlaku. Namun, sedarkah kita?

Berapa ramai diantara kita  yang sebenarnya cakna tentang apa yang sedang dialami oleh saudara kita disana?

Ingin saya kongsikan disini, secara umumnya, umat Islam pada hari ini yang dianggarkan berjumlah 1.6 billion merupakan antara ¼ dari penduduk dunia dan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis golongan terhadap isu Palestin.

Golongan yang tidak tahu langsung atau hampir tidak mengetahui mengenai isu Palestin
Golongan yang berputus asa dan tidak memberi harapan kepada Palestin
Golongan yang meletakkan kepada tindakan yang terletak kepada kuasa-kuasa besar dunia
Golongan yang mengharapkan keajaiban tanpa usaha, lantas hanya terus duduk dan menunggu kedatangan penyelamat seperti Imam Mahadi dan Nabi Isa serta yang lain-lain
Golongan yang menyakini bahawa kemenangan akan dimiliki semula dengan mencontohi perjuangan generasi yang sebelum ini
Golongan yang hanya mengetahui dan cakna akan perkara ini bila mana dipaparkan di media massa seperti Facebook dan Twitter tetapi hanya sekadar berkongsi kisah sedih dan menumpang simpati.

Maka wajarlah kita cermin kembali diri kita, dimanakah kedudukan kita?Muhasabah diri kita.

Apa yang kita lihat hari ini, pada dasarnya merupakan perebutan antara dua kumpulan mengenai tuntutan kawasan tanah oleh Rejim Zionis yang menubuhkan Negara haram Israel dan juga rakyat Arab Palestin yang mempertahankan tanah air mereka.

Bumi Palestin yang pada suatu masa dahulu merupakan sebuah negara yang cemerlang. Seperti yang kita sedia tahu bahawa generasi Salahuddin telah berjaya menguasai Palestin kerana kecemerlangan akhlak dan kehebatan rohani di kalangan umat Islam pada zaman tersebut.

Namun, tanah umat Islam Palestin kini hanya tinggal sebahagian kecil yang terbahagi kepada dua iaitu Semenanjung Gaza yang bersempadan dengan Negara Mesir yang diketuai oleh pemimpin Hamas, Ismail Haniyeah Al- Asyqar dan Tebing Barat yang dikuasai puak Fatah dipimpin oleh Presiden Mahmoud Abbas, di mana jarak di antara dua negeri ini dipisahkan dengan kawasan yang sedang dikuasai zionis Israel.

Salahuddin al-Ayyubi merupakan seorang yang wara’  dan sentiasa mendirikan solat secara berjemaah. Bahkan ketika sakit, beliau memaksa dirinya untuk hadir bersama bagi mendirikan solat di belakang Imam. Beliau tidak pernah meninggalkan solat berjemaah melainkan beberapa hari ketika sakit sebelum kewafatan menjemputnya.

Selain itu, beliau senantiasa bangun malam untuk mendirikan solat Tahajjud. Dan inilah antara amalan sunnah yang tidak pernah ditinggalkan oleh para pejuang dan pendokong Islam yang tercoret dalam diri mereka seperti yang dilakukan sendiri oleh Nabi S.A.W, para sahabat seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab, Umar Abd Aziz dan lain-lainnya.

Melihat kepada perwatakan mereka, buat seketika waktu, cubalah kita muhasabah dan bandingkan dengan keadaan sebenar kita pada hari ini.

Selagi mana Muslim tidak bangkit dan menunaikan solat subuh secara berjemaah seperti ramainya ketika solat Jumaat, selagi itu orang Islam masih dalam keadaan lemah. Memang tiada nas yang jelas bahawa Zionis akan hancur jika solat Subuh berjemaah sama seperti solat Jumaat. Ia bukan satu keyakinan seperti menunggu turunnya Imam Mahadi tetapi ia adalah satu semangat bahawa Islam dapat dibangunkan bermula dengan menjadikan solat Subuh berjemaah sama seperti solat Jumaat.

Realitinya adakah ini akan berlaku dengan perilaku kita sendiri pada hari ini? Muhasabah diri kita.

Tidak usah diceritakan lagi bagaimana golongan ini menindas, menyiksa, dan memperlakukan saudara kita seperti binatang. Kanak kanak kecil dibedil, disembelih, diacukan pedang dan pistol manakala wanita-wanita diperkosa, disiksa dan dibunuh dengan kejam.

Namun, betapa kuatnya semangat dan keazaman mereka ini mempertahankan tanah air mereka. Apabila mereka diajukan soalan,

“ Mengapa tidak ditinggalkan sahaja negara ini dan berhijrah ke negara lain kerana cubaan yang diberikan kepada kalian cukup besar?”.

 Maka mereka menjawab.

“ Jika kami keluar dari Tanah ini (Palestin), maka siapa lagi yang akan menjaga Masjid suci Al-Aqsa?
Siapa lagi yang akan menjaga tanah waqaf Umat Islam?
Biarlah kami tetap disini, mewakili kalian (seluruh umat Islam di dunia), saudaraku.”

Subhanallah.
Betapa besarnya pengorbanan mereka untuk kita seluruh Umat Islam. Sedang kita di Malaysia, walaupun terdapat usaha-usaha membantu rakyat Palestin melalui sumbangan kewangan kepada  NGO yang khusus membantu rakyat Palestin, tetapi masih ramai lagi yang lalai dan alpa tentang isu di Palestin.

Apatah lagi mahu berjuang untuk saudara kita walaupun dengan sekecil-kecil usaha dan sehebat-hebat senjata umat Islam iaitu doa. Itupun kita tidak mampu.

Apabila diseru untuk memboikot syarikat yang mempunyai kaitan dengan zionis Israel seperti restoran makanan segera McDonald yang kita tahu sebenarnya banyak menyumbang kepada pembangunan Israel, masyarakat menjadi kecoh.Sama ada memboikot atau berkecuali.

Sedangkan golongan bukan Islam di luar negara turut memberi sokongan kepada saudara kita di Palestin, dengan sama-sama memboikot pengusaha seperti ini. Dengan mengadakan demonstrasi setidak-tidaknya, untuk membela umat kita atas dasar kemanusian.

Apakah yang kita lakukan disini? Sejauh mana kesedaran kita dan tindakan kita? patut kita tanya kepada diri kita sendiri.

Firman Allah dalam surah Ali- 'Imran,
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dengan memberikan pertolongan-Nya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik matahatinya)." [3:13]
Perjuangan ini tidak mungkin berhenti di sini. Islam pasti akan menang seperti yang dijanjikan Allah S.W.T. Namun, apakah kita ingin meraikan kemenangan tersebut tanpa kita memberikan sumbangan apa-apa terhadap Islam. Pastinya kita adalah yang paling rugi. Bangunlah wahai pejuang -pejuang Islam. Apa yang paling kita perlukan buat masa sekarang ialah kesedaran.

Wallahualam.

Oleh:
Nadia Hanani Ahmad Habibillah
Bachelor Of Aerospace Engineering
Biro Aktivisme Mahasiswa
Pembina Upm.



BUKIT EKSPO,UPM- Sabtu lalu, 7 Jun 2014, telah berlangsungnya Program Simpulan Ukhwah Muslimat yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM. Program ini dianjurkan khusus untuk pelajar asasi UPM yang baru sahaja mendaftar masuk pada dua minggu yang lalu bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara beliawanis PEMBINA UPM.

“ Sebagai seorang pelajar kita harus bijak membahagikan masa sebaik yang mungkin dengan melakukan perkara yang berfaedah dan bermanfaat untuk diri sendiri dan ummah.” Kata saudari Siti Farhana Fathy dalam slot “Melangkah ke Alam Universiti”. Pengisian ini diberikan kepada para pelajar asasi sebagai satu perkongsian daripada saudari Farhana yang merupakan pelajar master sains bioterapeutik.

“ Kehidupan di kampus sebagai seorang pelajar sememangnya sibuk dengan tugasan dan pelbagai aktiviti yang disertai. Namun, sebagai seorang pelajar muslim, kita jangan sekali-kali lalai dalam menjalankan amanah yang telah Allah S.W.T berikan iaitu beriman dan bertaqwa kepada-Nya.”

Saudari Farhana mengingati adik-adik supaya jadikan al-Quran sebagai ‘teman’ dengan membacanya setiap hari walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti di kampus.

“Amalkan sikap suka bertanya kepada pensyarah jika tidak faham perkara yang dibincangkan semasa kuliah supaya dapat menguasai subjek tersebut secara menyeluruh, Jadikan universiti sebagai gedung ilmu dan medium untuk merebut peluang yang ada tanpa merasa takut dan malu”,  pesan saudari Farhana.

Akhir kata daripada saudari Farhana, beliau menasihati adik-adik supaya menjalinkan hubungan yang baik dengan teman-teman sekuliah dan perkara paling penting adalah bina juga hubungan antara pensyarah supaya ilmu yang dipelajari mendapat keberkatan kerana sebagai seorang muslim keberkatan amat penting dalam kejayaan seseorang individu.

Slot seterusnya, adalah sesi taaruf barisan kepimpinan dan pengenalan pakej-pakej yang ditawarkan daripada PEMBINA UPM yang disampaikan oleh ketua beliawanis PEMBINA UPM, saudari Nurnazhifa.


Wartawan:
Noor khairina,
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.