Melaka, 24 Jun - Telah berlansungnya program Jejak Pahlawan anjuran Pembina UPM bertujuan untuk memberi kesedaran dan kebangkitan jati diri dalam diri setiap peserta dengan mengenal dan melihat kembali sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Program ini telah dikendalikan oleh Ahmad Iqbal bin Ahyar dan Syed Zahiruddin bin Syed Hashim sebagai pengarah satu dan dua, Farah Ziela binti Abu sebagai timbalan pengarah serta ajk-ajk Pembina UPM yang lain. Dua bas telah disewa iaitu dengan satu bas memuatkan seramai 34 orang peserta ikhwah yang terdiri dari pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Nottingham Malaysia, dan Pembina Cawangan Bangi. Manakala sebuah bas lagi 46 orang peserta akhwat terdiri dari pelajar UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPIS).

Terdapat tiga buah muzium yang dilawati iaitu Muzium Istana Kesultanan Melaka, Muzium Dunia Melayu Dunia Islam, dan Muzium Samudera. Setiap muzium ada keunikannya dalam memberi input-input berguna kepada para peserta.

Serdang, 2 Jun - Satu ceramah bertajuk 'Perpaduan Melayu, Dakwah atau Assobiyyah?' telah berlangsung di masjid Jamek Kompleks Pertanian yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Ismail, ahli jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pusat. Objektif utama ceramah ini adalah untuk menerangkan slogan ISMA iaitu 'Melayu Sepakat, Islam Berdaulat' bagi menyeru para hadirin untuk sepakat dan bersatu dalam melaksanakan Islam di Malaysia. Ia bermula selepas para jemaah solat Maghrib dan berlangsung selama 1 jam dengan tambahan masa 20 minit pertanyaan daripada para jemaah. Ia telah dihadiri seramai 85 orang jemaah lelaki dan 23 orang jemaah wanita. Kebanyakan hadirin adalah pelajar UPM dan penduduk sekitar masjid.

Para hadirin khusyuk mendengar ceramah Ustaz Mohamad Ismail


Dalam ceramah tersebut, Ustaz Mohamad Ismail menyeru semua umat Melayu yang beragama Islam bersepakat dan bersatu di bawah nama Islam. Permulaan ceramah dimulakan dengan menyatakan bahawa dakwah Islam hanya boleh dibawa oleh umat manusia di dunia ini. Seterusnya disentuh pula mengenai orang-orang yang bertaqwa adalah orang yang paling baik di sisi Allah. Beliau juga menerangkan kenapa Allah menjadi manusia pelbagai bangsa iaitu hanya untuk menegakkan agama Islam di muka bumi ini. Isi utama mula diterangkan oleh beliau dengan penerangan maksud assobiyah dan diakhiri dengan sesi pertanyaan oleh hadirin yang hadir.

Walaupun mempunyai beberapa salah faham ketika sesi pertanyaan, majlis dapat dikatakan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.  Majlis ditutup dengan semua jemaah solat Isyak bersama.

Para hadirin kemudiannya dijemput untuk menikmati juadah bihun dan kuih-muih sebelum pulang ke rumah masing-masing.


Pada hari Khamis bersamaan 3 Rejab tahun 1433 Hijrah atau 24 Mei 2012 telah berlangsung satu majlis ringkas iftar bersama beberapa orang pelajar Asasi Sains Pertanian UPM (ASPer). Aktiviti ini dikendalikan oleh saudara Muhaimin Selawi dengan bantuan ahli-ahli Pembina UPM yang lain.

Sesi ta'ruf bersama adik-adik ASPer.

Pada jam 6.30 petang, para peserta mula memenuhi ruang hadapan surau Kolej 13. Sesi ta'aruf dimulakan dahulu dan diikuti pula sesi tazkirah yang disampaikan oleh saudara Sayfiq Shahmi atau lebih dikenali sebagai abang Shah oleh adik-adik asasi sekalian.


Saudara Muhaimin (kanan gambar) memberi sedikit kata-kata aluan kepada adik-adik ASPer.

Majlis iftar atau kata mudahnya majlis berbuka puasa ini diadakan bagi merapatkan lagi hubungan antara adik-adik yang baru memasuki UPM ini dengan ahli-ahli Pembina UPM yang lain. Ia juga bagi memperkenalkan kepada mereka mengenai Pembina dan apa matlamat utama Pembina sebagai badan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam menyeru belia ke arah Islam yang syumul.

Berbuka puasa di atas talam.

Majlis berakhir setelah semua para peserta habis menjamah hidangan pembuka puasa yang ditaja oleh Pembina UPM.



 UPM Serdang- Pada hari Sabtu dan Ahad yang lepas, Persatuan Belia Islam Universiti Putra Malaysia (Pembina UPM) telah menyertai Karnival Kesenian dan Keusahawanan Islam dengan membuka satu booth jualan yang bertempat di  dewan Kolej 13 bertujuan untuk memperkenalkan Pembina UPM kepada para pelawat yang hadir ke karnival tersebut.

Antara barangan yang dijual di booth Pembina UPM.
 Booth Pembina UPM menjual barangan seperti baju muslimah, tudung, al-Quran bersertakan terjemahan, dan beberapa makanan ringan. Terdapat juga beberapa persatuan Islamik yang lain yang turut serta dalam karnival ini seperti Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMI UPM). Ahli-ahli Pembina UPM digalakkan menyertai booth jualan ini bagi mengasah kemahiran jualan mereka. Disamping itu mendekatkan diri dan membantu adik-adik asasi pertanian yang baru sahaja habis menyertai minggu orientasi mereka.


Antara ahli Pembina yang sedia menanti pembeli dan pelawat yang hadir ke booth Pembina UPM.

Semenyih, 22 April 2012 – Satu program yang diberi nama ‘Let’s Hike’ telah berlangsung di Bukit Broga, Semenyih baru-baru ini. Program yang melibatkan beliawanis dari UPM ini, bermula seawal jam 4 pagi menuju destinasi. Sebelum bertolak, peserta diberi pengisian mengenai cara mengambil wuduk dan solat di kawasan hutan.

Misi pendakian Bukit Broga bermula jam 5.20 pagi. Bermula dengan regangan, pembahagian kumpulan, dan doa agar dipermudahkan segala urusan, peserta memulakan pendakian. Sewaktu pendakian, peserta diuji stamina mereka dengan jalan bukit yang berliku dan curam dalam suasana yang gelap. Dalam keadaan itu, peserta dapat merasakan pergantungan kepada Allah sangat diperlukan dalam memilih jalan untuk sampai ke puncak dengan selamat tanpa sebarang kecederaan. Semangat setia kawan dan kerjasama sesama ahli kumpulan sangat dititikberatkan untuk melancarkan lagi perjalanan.

Setelah hampir satu jam, peserta berjaya sampai ke puncak. Cara mengambil wuduk dan solat di atas bukit yang telah dipelajari, dipraktikkan di situ. Peserta dapat merasakan kebesaran Allah sewaktu solat di atas bukit. Keindahan bumi ciptaan Allah terbentang luas di hadapan mata sambil diri tunduk bersujud di hadapan Allah. Subhanallah,satu pengalaman yang sungguh bernilai dalam menghayati erti hamba yang sebenar dan terasa betapa kerdilnya manusia.

Peserta juga berpeluang menyaksikan detik matahari terbit. Sambil melepaskan lelah, peserta mengambil peluang untuk bergambar di puncak bukit dimana keindahan alam ciptaan Allah ini sangat memukau pandangan. Ianya terbukti dengan kehadiran orang ramai yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia, bangsa, dan agama.

Anak kecil seawal usia lima tahun hingga ke peringkat warga emas, masing-masing berusaha untuk mendaki hanya untuk melihat keindahan panorama di puncak bukit. Pengunjung silih berganti dan semakin ramai yang sudah sampai ke puncak.

Memberi peluang kepada orang lain, dan setelah puas mengamati kebesaran Allah, peserta memulakan langkah untuk turun bukit. Sekali lagi peserta diuji dengan keadaan jalan yang agak cerun dan licin sekali gus mencabar kekuatan fizikal peserta. Alhamdulillah, dengan izin Allah peserta selamat sampai tanpa sebarang kecederaan. Sedikit tazkirah dikongsi dengan peserta tentang kekuasaan Allah, penghayatan terhadap nikmat kurniaan Allah dalam kehidupan dan sedikit perkongsian tentang ayat 125 surah Al-An’am.

Program berakhir sekitar 9 pagi. Penat lelah yang dirasai diharapkan tidak mematahkan semangat beliawanis untuk sentiasa aktif dan cergas pada setiap masa. Semoga melalui program ini, ukhuwwah yang terbina dapat dimantapkan lagi melalui program-program yang seterusnya. Tidak lupa juga agar kita semua dapat bermuhasabah setiap kali melihat alam yang merupakan kitab terbuka Allah untuk manusia sekalian alam.

Nor Syahidah Abd Kadir
Beliawanis PEMBINA UPM

http://pembinabangi.com/2012/05/lets-hike-cabar-ketahanan-diri-beliawanis/