Surau Serumpun, UPM – Pada 9 oktober 2013 iaitu hari Rabu selepas waktu maghrib telah diadakan usrah umum ke-3 bertajuk:  Antara Semalam Dan Hari Ini yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM. Usrah umum ini disampaikan oleh saudara Luqman Abdul Hamid selaku Presiden Persatuan Belia Islam Nasional, Universiti Putra Malaysia. 

Antara pengisian yang disampaikan oleh beliau adalah mengenai sejarah umat Islam dahulu ketika berada dalam zaman jahiliah iaitu zaman masyarakat Arab jahiliah yang mengamalkan perbuatan yang tidak bermoral seperti berjudi, berzina dan meminum arak.

Kedudukan wanita dalam masyarakat pula adalah rendah, sehinggakan mereka tidak dapat mewarisi harta pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Terdapat dalam  kalangan mereka yang menanam bayi perempuan sejurus selepas lahir. Pembunuhan terhadap bayi perempuan ini dilakukan kerana mereka beranggapan anak perempuan akan menjatuhkan maruah keluarga. 

Dalam hal perkahwinan pula, tidak mempunyai peraturan khusus yang boleh dijadikan panduan oleh masyarakat pada ketika itu. Seseorang lelaki boleh berkahwin dengan beberapa orang wanita sekaligus atau dengan sesiapa yang disukainya.

Namun, setelah kedatangan Islam yakni turunnya wahyu pertama pada tahun 610 Masihi, kehidupan masyarakat Islam telah berubah dengan bersandarkan kepada aqidah, syariat, dan akhlak. Strategi Nabi Muhammad S.A.W dalam berdakwah menyebarkan agama Islam adalah melalui dakwah secara sulit selama tiga tahun dan terang-terangan mengambil masa 10 tahun.

Saudara Luqman juga turut menceritakan tentang penyebaran dakwah selepas kewafatan Rasulullah S.A.W yang diteruskan oleh para sahabat iaitu zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin yang dipimpin oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan, dan Saidina Ali bin Abi Talib. Corak pemerintahan yang dijalankan oleh kerajaan ini adalah berdasarkan corak pemerintahan Rasulullah S.A.W serta Al-Quran dan Sunnah. Pemerintahan kerajaan ini telah berlangsung selama lebih kurang 29 tahun dan melalui banyak cabaran dan rintangan dalam usaha menyebarkan dakwah Islam dan mengekalkan keamanan negara.

Selepas kerajaan Khulafa Ar-Rasyidin, pemerintahan disambung oleh kerajaan Bani Umaiyah dan berlaku pertukaran sistem kepada sistem dinasti oleh Muawiyah bin Abu Sufian r.a. Berlaku perluasan kuasa sehingga Andalus, Turkinistan, Uzbekistan, Afghanistan dan sempadan kerajaan China. Pusat pentadbiran Bani Umaiyah adalah bertempat di Damsyik (Syria).

Seterusnya, pada 750 Masihi pemerintahan Islam diteruskan oleh kerajaan Abbasiyah dan berlaku perluasan empayar kepada pemantapan tamadun, sistem pendidikan Islam, penterjemahan dan Pusat Islam Dunia. Bermulanya kejatuhan umat Islam bila berlakunya Perang Salib I mengakibatkan musuh Islam berjaya menakluki Kota Palestin. Namun, ia berjaya ditawan semula oleh Salahudin al-Ayubi.

Selain daripada memperihalkan soal zaman kegemilangan Islam pada suatu ketika dahulu, saudara Luqman turut memberi ulasan mengenai sejarah Islam kini yang turut berada dalam konteks jahiliah iaitu wujudnya kumpulan Black Metal, budaya lepak, hiburan melampau, kes penagihan dadah,seks bebas yang semakin berleluasa, pembantaian umat Islam, kejahilan umat serta khurafat iaitu wujudnya istilah nabi palsu.

Saudara Luqman juga berkongsi cara atau formula kebangkitan  untuk mengatasi masalah tersebut melalui “MANHAJ NUBUWWAH” iaitu dakwah dan tarbiyyah merupakan agenda utama baginda S.A.W tatkala memulakan dakwahnya di Mekah. Negara Islam Madinah tidak akan tertegak kukuh kalau tidak kerana tarbiyah.

"Kegemilangan di Badar tidak akan datang bergolek kalau bukan kerana tarbiyah. Keutuhan daulah selepas kewafatan Nabi s.a.w. tidak akan berlaku kalaulah bukan kerana adanya golongan al awa’iel yang ditarbiyah. Malah kelangsungan daulah dalam kalangan khalifah Islam lemah juga adalah kerana wujudnya RIJAL yang ditarbiyah oleh para ulama", kata saudara Luqman.

Pada pengakhiran slot usrah, saudara Luqman telah memperingatkan tentang peranan umat Islam untuk menegakkan semula zaman kegemilangan Islam dengan memberi beberapa panduan iaitu umat Islam seharusnya cuba untuk mengubah diri sendiri ke arah lebih baik serta berani untuk menyeru orang lain kerana segalanya bermula daripada diri kita sendiri yang bersesuaian dengan firman Allah S.W.T

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah dirinya sendiri (ar-Ra’d:11)”.

Selepas berakhirnya sesi usrah, para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah. Sesi usrah umum pada kali ini berakhir pada jam 9.30 malam. Para peserta tidak pulang dengan tangan kosong, tetapi memperolehi pelbagai ilmu dan info yang sangat berguna sebagai panduan hidup di arus yang serba moden ini.
Mahasiswi beragenda

Mahasiswi pada masa ini perlu bangkit! Ya. Kenapa? Bukankah sekarang dunia sudah aman dan maju?  Kerana dengan kemajuan teknologi yang canggih pada masa ini dan keamanan yang dialami selama 56 tahun membuatkan kita semakin lalai dan kabur dengan setiap matlamat dan tanggungjawab kita sebagai seorang pelajar. Terlalu banyak masa yang kita habiskan dengan melakukan perbuatan yang tidak bermanfaat. Contohnya,


  • Mahasiswi sanggup menghabiskan masa berjam-jam melayari internet untuk meng’update’ laman sosial, dan mengetahui perkembangan semasa mengenai artis, lebih-lebih lagi kini kita dipengaruhi dengan ‘korean wave’ yang sudah tentunya melalaikan kita dari mengingati Allah.
  • Mahasiswi sanggup menghabiskan masa sehariannya di ‘shopping complex’ untuk membeli belah, menonton wayang, karaoke bersama teman, dan makan ditempat mewah untuk ‘memanjakan’ diri setelah berhempas pulas ‘study’.
  • Mahasiswi sanggup menghabiskan masanya dengan menonton filem dan drama dari pelbagai negara untuk menghiburkan diri setelah mengalami ‘stress study’.
  • Mahasiswi sanggup menghabiskan masanya bersama kekasih hati yang dicintai sebelum sah menjadi mahramnya. 
Dan banyak lagi perbuatan-perbuatan yang membuatkan kita alpa dengan matlamat kita sebagai seorang pelajar. Walaupun ada sebahagian mahasiswi yang menggunakan masanya dengan baik, tetapi ia sangatlah sedikit dan boleh dibilang orangnya.

Mahasiswi di zon selesa?

“Tak payahla nak fikir banyak tentang dunia luar.. tujuan kita masuk U sebab apa? Belajar kan?”

“Buat apa sibuk-sibuk hal diorang.. lantak lah, Bukannya masalah kita pun!”

Banyaknya kata-kata negatif yang membuatkan kita terus berada di zon selesa dimana hanya kita sahaja yang kisah tentang diri kita. Ada sebahagian daripada kita yang tidak mahu ambil berat mengenai masalah-masalah umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di negara Islam diluar sana. Ia membuatkan mahasiswi kini semakin lesu, leka dan hilang arah tuju mereka sebagai seorang pelajar yang berdedikasi dan bermatlamat tinggi.

Mahasiswi yang mempunyai ilmu pengetahuan

Mahasiswi berperanankah dalam menghadapi cabaran masa ini?

Ya! Mahasiswi sangat berperanan menghadapi cabaran pada masa ini, bukan hanya mahasiswa sahaja yang perlu mengambil berat dan menyuarakan pendapat mereka. Mahasiswi juga perlu menunjukkan sahsiah yang tinggi dan kuat menghadapi cabaran disamping mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi.
  • Mahasiswi pada masa ini perlulah mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap permasalahan yang berlaku di sekeliling mereka dan bukan itu sahaja, mahasiswi juga  perlu ‘aware’ dengan berita-berita  melangkaui sempadan Malaysia. Sebagai contoh, masalah pembuangan bayi. Walaupun bukan kita yang melakukannya tetapi kita kena mengambil tahu dan mengambil sikap berjaga-jaga dalam diri kita. Kalau bukan kita yang melakukannya adakah itu dikira selamat? Bagaimana pula dengan adik-beradik kita, saudara mara kita dan jiran tetangga kita? Perlukah kita mengambil sikap tidak ambil tahu? 
  • Mahasiswi perlu jelas dengan tujuan penciptaan kita di dunia ini. Jika kita lihat dalam Surah Adz-Dzaariyaat ayat 56 iaitu: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” Tujuan kita di dunia ini bukanlah ‘saja-saja’ atau berseronok sahaja tetapi kita mempunyai matlamat yang ingin dituju iaitu Syurga Allah. Jadi, kita hendaklah melakukan ibadah yang mengingatkan diri kita kepada Allah. Antaranya solat diawal waktu, berpuasa, menghadiri majlis ilmu, mendampingi orang-orang soleh dan setiap perbuatan kita niatkan kerana Allah. Jika mahasiswi jelas dengan penciptaan manusia ini pasti setiap perbuatan kita ini tidak sia-sia dan kita bersungguh-sungguh untuk membuat bekalan menuju ke akhirat kelak.
  • Mahasiswi perlu cakna dengan persekitaran. Cabaran pada masa ini memerlukan kita sebagai seorang mahasiswi ‘alert’ persekitaran kita dengan membaca bahan-bahan ilmiah dan melayari internet dari sumber-sumber yang betul.  Hal ini akan menyebabkan kita lebih yakin terhadap sesuatu perkara dan lebih bersedia untuk menghadapinya. Sebagai contoh: ajaran syiah yang mula menular di Malaysia ini kita perlu tahu tentang perkara ini. Bukan hanya sekadar tahu tetapi mahasiswi perlu mengkaji sejauh manakah kebenarannya. Adakah ia memberi manfaat kepada kita jika mengamalkannya atau memudaratkan kita. Jika kita tidak mengkaji sesuatu perkara sebenar-benarnya, maka ia akan mudah mempengaruhi kita dan menjadikan kita rosak dan tidak bernilai. Bagaimanakah generasi akan datang? Cuba  bayangkan..
  • Mahasiswi juga perlu menjaga kesihatan diri. Walaupun ia nampak mudah dan tidak perlu dihiraukan tetapi kesihatan kita perlu dipandang secara serius. Hal ini kerana terlalu banyak penyakit yang muncul dikalangan kita yang masih muda lagi. Bagaimana kita mahu berjuang sekiranya kita sakit? Bagaimana kita nak beribadah sekiranya kita tidak bermaya dan tidak berupaya melakukan  sesuatu?
  • Mahasiswi perlu sihat dan kuat. Bagaimana? Mahasiswi perlu bijak mengambil pemakanan yang seimbang. Ramai remaja perempuan dan mahasiswi pada masa ini menahan perut kerana dikatakan mahu ‘berdiet’ untuk kurus tetapi tidak mengambil zat-zat yang secukupnya yang diperlukan oleh badan manusia. Mahasiswi juga perlu melakukan senaman sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Hal ini kerana sebahagian mahasiswi pada masa ini kurang menghiraukan gaya hidup yang sihat.
  • Mahasiswi perlu memelihara diri sebaik-baiknya.

Ambil Ibrah dalam  sirah wanita pejuang Islam

Ramai wanita Islam yang mencatat sejarah mereka kerana keperibadian mereka berjuang menghadapi cabaran pada suatu masa yang lalu yang boleh kita jadikan contoh. Antaranya:
  • Masih ingatkah pada Asma’ Binti Abu Bakr? Beliau digelar Zat An-Nitaqain kerana mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua untuk membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan bapanya Abu Bakr RA ketika persembunyian di Gua Thur. Beliaulah juga yang dilempang oleh Abu Jahal sehingga tercabut subang di telinganya, kerana tidak mahu memberitahu posisi Rasulullah SAW dan bapanya ketika hijrah.Beliaulah juga yang mentarbiyyah anaknya, Abdullah Ibn Zubair RA, sehingga menjadi seorang sahabat Rasulullah SAW yang berani. 
  • Masih ingatkah pada  isteri Rasulullah SAW, Ummu Salamah? Bagaimana cerdiknya beliau, bijaknya beliau sehinggakan beliau  menjadi penasihat yang baik kepada Rasulullah SAW. Ketika peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, apabila Rasulullah mengarahkan semua sahabat-sahabatnya menyembelih haiwan dan bercukur rambut, tiada seorang pun yang bangkit menyahut arahannya. Rasulullah SAW hairan, lantas kembali ke khemah, lalu berkata di hadapan Ummu Salamah, “Kenapakah berlaku begitu?” Ummu Salamah berkata, “Jangan kau hiraukan mereka, cukurlah rambutmu, dan sembelihlah haiwanmu” Bila Rasulullah SAW melakukan, semua sahabat mengikuti.
  • Masih ingatkah pada Maryam, ibu kepada Isa AS. Sang Perawan itu menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang terkunci, Allah memuliakannya dengan memilih Zakaria AS sebagai penjaga. Maryam yang suci inilah dipilih Allah untuk mengandungkan Isa AS. Apabila dia melahirkan Isa AS dan ditohmah dengan pelbagai dugaan, dia bergantung kepada Allah, dan bersangka baik atas segala apa yang berlaku ke atasnya. Akhirnya anaknya Isa AS boleh berbicara dan menyeru manusia sedari buaian. 
  • Masih ingatkah pada Fatimah Az-Zahrah binti Rasulullah SAW?. Dialah yang bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya itu diseksa teruk. Tanpa kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia sentiasa membantu ayahandanya yang sering disakiti. Tangannya yang bersih dan suci itulah yang mencuci najis yang dibalingkan ke tubuh ayahandanya. Tangannya yang suci itulah yang membersihkan segala luka ayahandanya. Seorang wanita yang tabah, kuat menempuhi segala dugaan. 
  • Masih ingatkah pada isteri kedua Nabi Muhammad S.A.W yang paling muda semasa dikahwini, Aisyah R.A? Beliau membuktikan bahawa wanita mampu menguasai bidang keilmuan mengatasi kaum lelaki serta mampu menjadi pendidik kepada para ilmuan dan pakar-pakar pelbagai bidang. beliau juga menjadi bukti kemampuan wanita dalam mempengaruhi pandangan masyarakat, baik lelaki mahupun perempuan, serta membekalkan sumber inspirasi dan kepimpinan yang mantap. Wanita yang kaya dengan pekerti tinggi, lemah lembut serta sopan santun ini juga telah membawa kebahagiaan dan ketenangan hati yang tidak putus kepada suaminya.
Kesimpulannya, mahasiswi pada masa ini mampu menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang sekiranya kita mengambil berat terhadap peranan mahasiswi yang sebenarnya. Mahasiswi juga perlu membimbing rakan-rakan yang lain untuk turut ‘aware’ dengan cabaran di Malaysia dan juga diluar negara supaya kita menjadi mahasiswi yang beragenda terrhadap diri, masyarakat, agama dan negara.

Oleh:
Norhazimah bt Zainal Abidin, 
Naib Presiden PEMBINA, 
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Surau Kolej Kedua, UPM - Pada 3 Oktober 2013, telah berlangsungnya satu majlis Iftar Jamaie iaitu majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM dengan kerjasama Kolej Kedua.

Saudara Ahmad Naqiuddin, Timbalan Presiden PEMBINA UPM, telah menyampaikan tazkirah ringkas semasa majlis iftar pada kali ini, yang lebih berbentuk kepada peringatan buat diri sendiri serta semua hadirin yang hadir. Beliau mengatakan bahawa semua manusia di dunia ini menginginkan sesuatu yang baik dan bercita-cita untuk menjadi seorang yang lebih baik. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa untuk menjadi seorang yang baik, terdapat pelbagai halangan. Antaranya adalah, dibelenggu atau ditarik dengan unsur-unsur yang tidak baik terutamanya kawasan sekeliling kita semua.

Terdapat beberapa nasihat atau panduan daripada saudara saudara Ahmad Naqiuddin untuk menjadi seorang yang baik dalam semua aspek iaitu kita hendaklah cuba merapatkan diri dengan bergaul bersama orang baik-baik dan beriman supaya dapat menasihati kita dan memperingati serta membimbing kearah yang lebih baik. Saudara Ahmad Naqiuddin juga menegaskan supaya untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik, kita hendaklah menjaga hati kerana penjagaan hati amat penting. Rasulullah S.A.W juga bersabda:

“Ketahuilah, sungguh pada tubuh itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh tubuhnya, ketahuilah bahwa ia adalah hati”.
(Riwayat Bukhari & Muslim, dari Nu'man bin Basyir). 

Berdasarkan hadis ini jelaslah bahawa kita harus bersungguh-sunguh dalam menjaga hati.

Pesanan yang terakhir daripada saudara Ahmad Naqiuddin adalah dengan menyeru kepada semua hadirin yang hadir supaya menjaga hubungan kita dengan Allah S.W.T kerana tujuan kita semua diciptakan ini adalah untuk beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T yang Maha Pencipta.

Matlamat utama majlis ini diadakan adalah untuk menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi kembali mengamalkan amalan sunnah Rasulullah S.A.W iaitu berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Seperti yang diperkatakan oleh Saidatina Aisyah, 
"Rasulullah S.A.W mengambil berat tentang puasa hari Isnin dan Khamis" 
(Hadith Riwayat At - Tirmizi).

Majlis iftar pada kali ini di mulakan dengan para hadirin berbuka ringkas dahulu dan kemudiannya solat Maghrib secara berjemaah. Selepas solat Maghrib, para jemaah semua dijemput makan secara beramai-ramai. Selesai sesi tazkirah, para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah.  Majlis yang dihadiri dalam kalangan muslimin dan muslimat dari pelbagai kolej ini berakhir pada pukul 9.00 malam. 
Tidak ada daun yang gugur yang tidak diketahui-Nya (6:59)

Daun


Daun pokok mempunyai daya kudrat untuk memproses karbon dioksida kepada karbon dan oksigen, atau dengan erti kata lain, daun-daun pokok mengeluarkan oksigen dan menyimpan karbon  air yang diserap melalui akar-akar pokok. Nitrogen juga memainkan peranan yang amat penting dalam penghasilan tumbuhan yang subur.

Proses sebatian nitrogen terhadap tumbuhan boleh berlaku dengan 2 cara iaitu:

1. Melalui penanaman kacang kuda, kacang pis dan rumput kuda di sekeliling akar-akar tumbuhan dengan harapan, rumput dan kacang ini dapat mengambil dan mengubah nitrogen udara kepada nitrogen sebatian yang boleh diserapkan kepada akar.

2. Melalui ribut petir. Setiap kali petir menyambar udara, oksigen akan bersatu dengan nitrogen dan akhirnya apabila hujan menyirami sebatian nitrogen dan oksigen tadi, ia akan meresap ke dalam akar-akar tumbuhan.

Setiap kejadian, makhluk serta unsur-unsur yang ALLAH jadikan adalah di bawah kekuasaan-Nya. Tanpa oksigen, kita tidak akan mampu sesekali menghelakan nafas dan pasti akan mengalami sesak-sesak nafas. Tanpa hidrogen pula, air tidak akan wujud dan tanpa nitrogen, nescaya tumbuhan tidak mampu menghasilkan oksigen yang menjadi azimat kepada manusia.

Kitaran gas karbon dan oksigen dalam kehidupan seharian


Masih angkuhkah kita?

Setiap manusia harus melalui proses tarbiyah dan tazkiyatunnafs (pembaikan diri). Paru-paru atau hati manusia memerlukan cahaya dan makanan rohani yang mampu memantulkan kembali perilaku yang baik dalam kehidupan. Sesungguhnya hati itu adalah RAJA, dan perilaku seseorang mencerminkan tahap kejernihan hati yang tersingkap di sebalik jasad.

Sabda Rasulullah,

"Ketahuilah, di dalam jasad ini ada segumpal daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya. Dan apabila ia rosak, maka buruklah jasadnya. Ketahuilah bahawa ia(segumpal daging) adalah HATI."

Jika daun-daun pokok mampu menghasilkan oksigen yang bermanfaat buat semua manusia, tidakkah kita MANUSIA, yang mempunyai akal dan jiwa, boleh menyumbang sesuatu kepada keluarga, masyarakat, bangsa, negara atau agama? Atau pun kita masih memasang persepsi, "Orang lain lebih layak...".



Tarbiyah umpama baja di mana ia digunakan dalam proses penyuburan untuk menjadikan pokok lebih sihat dan besar. Pokok yang disuburkan dengan baja pasti akan mengembalikan hasil yang disukai oleh si penanamnya. Analogi ini boleh dikaitkan dengan manusia kerana manusia yang dididik dan ditarbiyah pasti akan melahirkan gerak kerja dan amalan yang bermanfaat untuk ummah, dan ini pasti disukai ALLAH Ta'ala.

Proses tarbiyah umpama nitrogen yang disebatikan dalam akar-akar. Adakalanya untuk memperbaiki diri, kita harus berdampingan bersama insan-insan yang soleh. Beramah mesra, berjalan bersama, berprogram bersama dan kemana-mana sahaja pun tetap bersama, pasti akan mampu melentur sedikit perilaku kita seperti mana sahabat kita.

Ada juga yang ingin memperbaiki diri, tetapi memerlukan seseorang yang tegas dalam menegurnya dan perlu menasihatinya acap kali, seperti mana ribut petir yang digunakan dalam proses sebatian nitrogen. Tanpa panduan dan pantauan daripada seseorang, pasti akan tergelincir semula ke lembah kejahilan dan keburukan.

Kesimpulannya, semua manusia memerlukan didikan tarbiyah dalam kehidupan. Semenjak dari kelahiran sehingga kematian kelak, setiap masa dan saat, manusia perlu menitik beratkan tarbiyah dalam diri.

InsyaAllah, PEMBINA UPM menyediakan saluran dan ruang buat mahasiswa dan mahasiswi untuk berada dalam suasana tazkiyatunnafs. Kami menyediakan Quranic Circle / USRAH untuk sama-sama kita mendalami firman-firman ALLAH dan meneliti terjemahan al-Quran. Juga pengisian dan tazkirah ringkas yang mana bertujuan membentuk diri menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.


Harapan kami agar kita ada satu hasrat untuk menjadi mereka yang "Hidup Sebelum Mati" dan "Hidup Selepas Mati" bukannya menjadi mereka yang telah "Mati Sebelum Mati". Ayuh hidupkan jiwa dan hati kita dengan keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH Ta'ala.


Bagi yang berminat untuk menyertai Quranic Circle /Usrah, hubungi:

Akhi Syafiq Syahmi: 012-9790211
Ukhti Noraziah : 019-5503857


Biro Tarbiyah dan Dakwah,
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA UPM).

Surau Serumpun, UPM – Pada 25 september 2013 iaitu hari Rabu selepas waktu maghrib telah diadakan usrah umum ke-2 bertajuk “Penularan Syiah di Malaysia: Persepsi atau Realiti?” yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM.

Usrah umum ini disampaikan oleh Ustaz Soleh Ismail, pelajar Universiti Al-Azhar yang mengambil jurusan dalam bidang Syariah Islamiah. Antara pengisian yang disampaikan oleh penceramah adalah mengenai fahaman atau pegangan Syiah yang menyeleweng dari ajaran Islam.

Antaranya adalah golongan Syiah mengkafirkan para sahabat secara umum. Pengkafiran ini boleh dilihat dalam semua kitab Syiah, terutama yang muktabar, memuatkan riwayat yang mengkafirkan, melaknat, memaki hamun dan melakukan tabarri terhadap para sahabat.

'Golongan Syiah menabur fitnah kepada para sahabat Rasullullah S.A.W seperti Sayyidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Abdul Rahman bin ‘Auf, serta isteri-isteri Rasullullah S.A.W', jelas Ustaz Soleh.

Golongan Syiah juga mempercayai Allah bersifat dengan sifat al-Bada’ iaitu bahawa Allah telah memulakan satu ketentuan baru setelah ketentuan awal gagal dilaksanakan. Definisi al-Bada’ bererti jahil dan tidak mempunyai ilmu yang meliputi.

Ustaz juga tidak ketinggalan berkongsi dengan mahasiswa mengenai kelahiran Syiah di Malaysia. Secara umumnya terdapat tiga kumpulan Syiah di Malaysia iaitu Syiah Taiyibi Bohra (Dawood Bohra), Syiah Ismailiah Agha Khan, dan  Syiah Ja’afariyah (Imam Dua Belas).

Sesi yang seterusnya, ustaz merungkai faktor- faktor penularan ajaran Syiah yang semakin berkembang di Malaysia. Antaranya adalah orang Melayu Islam jahil tentang syiah dan menganggapnya sama seperti mazhab-mazhab Islam yang lain, bersikap menolak mentah-mentah, atau terus menerima tanpa usul periksa dan membuat analisa, Ulama’ ahli sunnah wal jamaah tidak mengambil berat kerana kebanyakan ulama’ sunnah enggan menjawab hujah golongan syiah, dan Iran dianggap ‘Hero Umat Islam’ kerana keberanian serta kelantangan memusuhi Amerika dan Israel.

Pengakhiran sesi ceramah, ustaz menyeru serta menekankan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi untuk bersama-sama duduk semeja bagi membincangkan tentang ideologi-ideologi luar yang datang untuk mengancam kedudukan agama Islam agar permasalahan ini dapat ditangani dengan kadar segera.

Isu tentang fahaman Syiah perlu diatasi segera kerana hal ini akan memberi kesan buruk kepada seluruh umat Islam. Bertepatan dengan tujuan usrah umum ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai ajaran Syiah yang semakin tersebar luas di Malaysia dan juga seluruh dunia.

Selepas sesi ceramah berakhir, sesi soal jawab  antara ustaz dengan para pelajar mengenai ajaran Syiah telah diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk bertanya secara langsung kepada ustaz mengenai fahaman Syiah ini, sekaligus meningkatkan lagi kefahaman mereka.

Selesai sesi pertanyaan, para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah. Sesi ceramah pada kali ini berakhir pada jam 9.30 malam. Pelbagai manfaat diperolehi oleh para peserta Usrah Umum kerana mereka tidak pulang dengan tangan kosong, tetapi dengan ilmu dan info yang sangat berguna untuk dijadikan panduan hidup.


Ustaz Soleh Ismail semasa menyampaikan ceramah

Peserta khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan