“Dulu lain, sekarang lain, mana boleh samakan dahulu dan sekarang”,

Ini adalah jawapan cliché yang sering digunakan sekiranya disoal mengenai perbezaan kelakuan, pengamalan adat  dan sebagainya yang melibatkan dua zaman.

Ya, benar! Dulu dan sekarang memang sangat berbeza, tapi cuba lihat kembali sama ada perbezaan itu telah mewujudkan satu jalan cerita baharu yang positive mahupun yang negative.

Tetapi harus kita  ingat! Dua panduan hidup umat islam sentiasa sama untuk sepanjang zaman iaitu Al-quran dan sunnah.
            Jika dahulu, seorang pemuda lah yang telah menjulang tinggi agama islam. Tapi kini, di manakah nilai seorang pemuda itu dalam mengangkat mahupun membawa nama Islam itu sendiri.

Ingatkah kita akan kisah Ashabul kahfi?
Kisah agung ini  telah Allah titipkan dalam ayat-ayat cintaNya untuk dijadikan tatapan pemuda sepanjang zaman. Kisah yang menggambarkan  pemuda yang beriman dan kecekalan  mereka dalam mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda juga mereka sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan islam sehingga mereka tidak sanggup menggadaikannyal.

Mereka lebih rela mempertahankan iman dan agama biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan terasing. Bahkan sanggup sekiranya terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun. Kisah ini bukan sahaja untuk dibanggakan oleh seorang yang bernama pemuda tetapi harus dikutip segala nilai yang ada pada ashabul kahfi tersebut untuk diaplikasikan pada zaman yang penuh fitnah ini.    
    
Hari ini, pemikiran pemuda kita telah didoktrinkan dengan pelbagai jenis ancaman daripada barat. Hal ini kerana mereka tidak mahu lagi melihat sejarah seperti ashabul kahfi, Sultan Muhammad AL-Fateh  dan beberapa tokoh pemuda yang lain itu kembali berulang. Tanpa disedari, pemudalah yang digunakan sebagai bahan ekperimentasi dalam rancangan jahat mereka dan dengan  relanya juga kita menyerah diri untuk dijadikan bahan uji kaji mereka. 

Jika dilihat akan virus yang telah dialirkan musuh dalam darah pemuda, Hedonisme adalah virus yang paling kuat dan dekat dengan jiwa pemuda. Hedonisme ini dapat disingkapkan sebagai fahaman bahawa keseronokan merupakan matlamat utama dalam hidup. Hedonisme juga merupakan ajaran atau pandangan bahawa kesenangan atau kenikmatan merupakan tujuan hidup dan tindakan manusia.
           
Melalui terjemahan maksud hedonisme itu sendiri  telah jelas menunjukkan  betapa tersasarnya ia daripada tujuan hidup utama umat islam iaitu sebagai  khalifah dan untuk beribadat kepada Allah S.W.T.
Tetapi adakah kita pernah sedar akan hal ini?

Mungkin dalam kesedaran juga kita masih tidak dapat menepis serangan ini kerana masih ada yang beranggapan “ Muda hanya sekali, apa gunanya hidup kalau tak enjoy”. Islam tidak pernah menghalang kita untuk berhibur, tapi dalam berhibur juga ada batasnya. Ini tidak, semua jenis hiburan disapu, malah hiburan yang menjauhkan diri daripada menginggati Allah itulah yang lebih digemari oleh pemuda sekarang berbanding hiburan yang lebih mendidik jiwa. Bersesak-sesakkan dalam kelompok yang ramai, duduk bercampur antara lelaki dan perempuan dalam suasana yang gelap hanya dipandang enteng demi mendapatkan satu keseronokkan dunia semata-mata.

Masih ingat kah kita akan firman Allah,
“Maka pernah kah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuanNya, dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah(membiarkannya sesat)? Mengapa kamu tidak mengambil pengajaran.”                           [ Surah Al-Jathiyah : 23]

            Barah hedonisme ini hanya dipandang sepi oleh pemuda sedangkan kesannya sudah banyak dapat dilihat walhal dengan pandangan mata kasar sekalipun. Adakah kita tidak pernah terfikir bahawa isu pembuangan anak, zina dan pelbagai lagi masalah dalam kalangan pemuda itu berpunca daripada fahaman hedonisme yang diagung-agungkan ini. Ada yang berkata “tua nanti kita bertaubatlah”, tetapi  adakah kita dapat menjamin bahawa kita dapat hidup sehingga hari tua, justeru membenarkan diri dalam arus keseronokkan yang sia-sia . Sedangkan ada sahaja mereka yang diambil nyawa oleh Allah dalam keadaan berbuat maksiat. Semoga kita dijauhkan. 

            Kesimpulannya, pilihan ada ditangan kita, Allah telah mengurniakan akal bukan untuk dijadikan hiasan semata-mata, tetapi untuk digunakan dalam mengatur perjalanan  kehidupan sebagai hamba Allah. Sudah banyak yang menyampaikan mengenai bahang  hedonisme dan kesannya. Adakah kita masih ingin menzalimi diri sendiri dengan membenarkan bahang tersebut menjadi suatu kebiasaan kepada diri kita, sahabat-sahabat terdekat, ahli keluarga dan sebagainya?

Saya tinggalkan ruang ini dengan sebuah kata-kata yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu a’la. “ Sesungguhnya Allah sangat mengkagumi pemuda yang tidak ada baginya masa muda( berhibur dan bersuka-ria).  Sedangkan barat telah mencucuk-cucuk kita untuk mencari keseronokan ini.

Oleh itu saya menyeru semua pihak terutama di bumi UPM khususnya berjaga-jaga dengan budaya hedonisme. Anjuran program juga tidak seharusnya berunsurkan hedonisme. Pihak penganjur dan peserta program sentiasa ada pilihan.

“ Wahai orang yang beriman ¡ Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”             [Surah Al-Baqarah : 208]

 Masih adakah alasan untuk berhibur mengikut hawa nafsu?

Ditulis oleh:
Siti Nur Athirah bt Ismail,

SETIAUSAHA 1 PEMBINA UPM.
Ustaz Ahmad bin Khairuddin, penulis buku "Akal "

UPM, 18 MAC 2015 – PEMBINA UPM telah menganjurkan program mega dengan membawa tajuk “Wacana Normalisasi: Antara Membiasakan Kebenaran atau  Membenarkan Kebiasaan” yang bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM. Pembentangan kertas kerja ini disampaikan oleh Ustaz Ahmad bin Khairuddin yang juga merupakan penulis buku “Akal”.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk menyedarkan mahasiswa akan ancaman Normalisasi serta memberi solusi praktikal kepada mahasiswa dalam menghadapi Normalisasi.
Menurut Ustaz Ahmad, “Normalisasi merujuk kepada proses yang menjadikan sesuatu yang sebenarnya salah pada rujukan syarak, diterima sebagai pandangan biasa oleh masyarakat”. 

“RAND Corporation merupakan sebuah syarikat yang sedang menlaksanakan projek ‘Building Moderate Muslim Networks’, ianya adalah salah satu projek Normalisasi yang cukup terancang oleh pihak Barat”. Ujar Ustaz Ahmad.

“Projek ini tidak mengalakkan sifat wasatiyah, tetapi mengalakkan masyarakat yang ‘moderate’, iaitu masyarakat yang hanya mengikut kehendak Barat sehingga mencairkan identiti umat Islam itu sendiri tanpa pengetahuan umat Islam mengenainya”. Tambah Ustaz Ahmad.

Seterusnya, perkara yang lebih membimbangkan adalah hasil ‘muslim moderate’ itu sendiri. Antara hasilnya ialah mengimani demokrasi (kebebasan mutlak) secara mutlak, menolak kejadian undang-undang syariah dan mengangkat undang-undang sivil yang sekular, hak individu bagi seorang muslim menukar agama sesuka hati dan menjadikan deklarasi hak asasi manusia sebagai salah satu rujukan agama selain Al-quran dan Sunnah.

“Matlamat utama Normalisasi adalah ingin menjadikan negara Islam tidak dapat dicapai dan kuasa Islam terus hilang sehingga menyebabkan umat Islam terus dipergunakan”. Kata Ustaz Ahmad semasa membentangkan kertas kerjanya.

Seterusnya, Ustaz Ahmad juga menegaskan bahasa masyarakat Islam kini harus mengikuti kehidupan generasi pertama iaitu zaman Rasulullah SAW dalam membendung ancaman Normalisasi dengan menjadikan Al-quran dan Sunnah rujukan utama serta memahami sebetul-betulnya sekaligus mendapatkan kebaikan daripada Al-quran.

Di akhir ucapan beliau, Ustaz Ahmad juga memberi peringatan kepada mahasiswa bahawa setiap individu muslim harus mempunyai matlamat hidup yang besar dengan meletakkan agama Islam sebagai matlamat utama yang wajib dilaksanakan.

“Islam yang berkuasa dapat memerintah dengan adil dan hanya negara Islam yang dapat membebaskan manusia. Jangan menjadikan Islam hanyalah sebuah teori semata-mata”. Tegas Ustaz Ahmad.

Noor Khairina bt Mohd Said
Wartawan Biro Media dan Promosi PEMBINA UPM



UPM, 15 Mac 2015 – Beliawanis PEMBINA UPM telah menganjurkan daurah yang bertajuk Normalisasi bertempat di surau Kolej Canselor. Daurah Nomalisasi ini disampaikan oleh saudari Ummi Kalsom Mohamad Khalid yang merupakan Pengawai Khas PEMBINA.

Normalisasi merujuk kepada sebuah proses memindahkan budaya asing kepada satu kelompok yang tidak biasa dengan budaya tersebut. Antara contoh yang paling hampir adalah dengan  menjadikan budaya Barat normal dalam kehidupan umat Islam.

“Serangan Normalisasi ini lebih halus dan lebih bahaya berbanding penjajahan fizikal. Hal ini kerana, ianya juga merupakan salah satu serangan pemikiran yang dilakukan oleh Barat sehingga mampu mempengaruhi nilai-nilai kehidupan kita sebagai umat Islam yang kini semakin hilang dan digantikan dengan nilai dan budaya Barat”,ujar saudari Ummi.

 Saudari Ummi juga menegaskan bahawa bangsa Yahudi tidak akan sekali-kali berputus asa untuk menjatuhkan agama Islam dan Allah SWT juga ada berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud:
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Antara contoh Normalisasi yang sedang berlaku sekarang terutamanya adalah dalam kalangan remaja iaitu fikiran remaja kini harus mempunyai boyfriend atau girlfriend. Ia menjadi suatu kepelikan apabila seseorang masih tidak mempunyai teman dikala usia muda.
Menurut saudari Ummi “ remaja juga lebih sukakan hiburan dalam kehidupan mereka seperti keluar malam, menghadiri konsert dan juga menonton wayang”.
Selain itu, saudari Ummi juga menyentuh mengenai liberalisme merupakan fahaman yang meraikan hak kebebasan manusia. Sisters in Islam (SIS) juga merupakan NGO yang cuba memasukkan serangan liberalisme  dalam minda umat Islam. Contohnya, SIS mengeluarkan hujah dengan mengatakan tudung adalah budaya arab dan bukan suruhan al-Quran. Tambahan lagi, SIS juga menentang poligami, hukum hudud dan sebagainya. Semua ini akan mengancam akidah seorang muslim bagi mereka yang tidak cukup ilmu pengetahuan mengenai agama Islam.

Akhir kata, saudari Ummi menyeru kepada semua mahasiswa agar terus mara kehadapan menentang musuh-musuh Islam tanpa berasa gentar dan takut. Terdapat banyak cabang atau sumber yang dapat dijadikan sebagai medium memperjuangkan agama Islam seperti menjadikan media dan bakat yang dimiliki oleh setiap individu sebagai alat untuk berdakwah.
“Kita semua harus bersyukur dilahirkan sebagai Islam dan sebagai mahasiswa kita juga harus mengorbankan segala masa muda kita untuk Islam”. Ujar saudari Ummi diakhir pengisiannya.

Sarah Aliah Najib
Wartawan Biro Media dan Promosi PEMBINA UPM








UPM, 14 Mac 2015 – Beliawanis PEMBINA UPM telah menganjurkan Malam Bina Iman dan Takwa (MABIT) yang berlangsung  di surau Kolej Canselor  dengan kehadiran seramai 29 orang peserta dari pelbagai kolej. Sasaran MABIT kali ini adalah bertujuan untuk membuka hati dan minda mahasiswi mengenai “Manisnya tarbiyah”.

Pengisian yang bertajuk “Manisnya Tarbiyah” telah disampaikan oleh Saudari Sharifah Abdul Samad yang merupakan salah seorang daripada Jawatankuasa PEMBINA pusat.
Menurut saudari Sharifah, “tarbiyah adalah untuk memperbaiki diri dan juga perbaiki orang lain dan seseorang yang telah ditarbiyah haruslah bersedia untuk berubah kepada yang lebih baik dan menjadi "unusual" atau "rare" daripada orang lain.
Saudari Sharifah juga mengatakan bahawa banyak perkara yang perlu kita korbankan semasa memperjuangkan agama Allah SWT. Antaranya ialah masa,  duit, rakan-rakan dan banyak lagi.
Namun begitu, saudari Sharifah memberi peringatan bahawa sebagai seorang yang beragama Islam, kita harus yakin dengan janji Allah SWT seperti mana Firman Allah SWT dalam surah Muhammad, ayat 7 iaitu 

“Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”.

Berdasarkan pengalaman beliau dalam tarbiyah, “Allah SWT telah menghantar sahabat-sahabat yang baik untuk turut bersama-sama berjuang menegakkan agama Islam”. Tambahan pula, asas penting dalam dakwah juga adalah ukhuwah dan kita juga merupakan antara orang-orang yang terpilih untuk terus berada di jalan dakwah dan tarbiyah ini.

Sarah Aliah Najib
Wartawan Biro Media dan Promosi PEMBINA UPM
Deras mencurah penuh rakus kau redah;
Tanpa berdalih kau menurut perintahNya;
Habis kau telan bangunan tersegam indah;
Tiada lagi yang dipinta selain kasih dan rahmatNya.



Banjir Disember 2014 benar-benar menyayat hati segenap lapisan masyarakat. Tiada siapa sangka banjir ini yang akan menjadi kesudahan buat tahun 2014.

Pelbagai persepsi yang di lontarkan oleh masyarakat awam, lebih lagi pada pelajar yang merantau jauh dari keluarga.

“Kasihan mangsa banjir, moga Allah bantu mereka,”

“Sabar kawan, tak lama surut la tu..”

“Fokus pada peperiksaan, In Sya Allah,  Allah akan bantu ahli keluarga kau..”

“Nak buat macam mana, dah banjir nak datang,”


Sahabat, bukankah Allah telah berfirman di dalam surah Al- Baqarah ayat 286,

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksaan (dari kejahatan) yang dikerjakannya…” 

Namun, wujud juga, sesetengah masyarakat yang berfikiran negatif, mudah menghukum dan hanya mengkritik tanpa memberi jalan penyelesaian.

“Ini tak lain tak bukan sebab tak buat hudud.”

“Adalah tu dosa Kelantan tu..”

“Bala ! Ini semua bala !”

“Fuhh! Nasib baik aku bukan orang Kelantan.”


Wahai sahabat, renungilah firman Allah dalam Surah Yunus ayat 36,

“Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran”,


Ada juga lontaran atau pandangan yang disertai nafsu tetapi mereka tidak sedar. Mereka hanya berpendapat bahawa lontaran mereka adalah yang terbaik tanpa mengira keadaan sekeliling.

Jaga-jaga sahabatku, takut takut Allah murka atas sikap dan kelalaian kita.

“Nafsu itu seperti kanak-kanak, sekiranya ia dibiarkan, ia akan terus membesar dengan mencintai susu, tetapi apabila anda pisahkan dia dari menyusu, dia akan berhenti menyusu. Tidak syak lagi bahawa membangunkan insan lebih susah daripada mendirikan kilang dan bangunan.”-Mustafa Masyur.

Walaupun begitu, syukur Alhamdulillah, beratus-ratus trak dan lori keluar masuk dari kawasan banjir sama ada mengangkut keperluan ataupun mengangkut ribuan sukarelawan. Walaupun terdapat juga sukarelawan yang di sifatkan sebagai ‘disaster tourist’, tetapi tidak mengapa. Semangat mereka yang sanggup turun padang sudah cukup untuk mendapat pujian.

Kita fokus kepada golongan sukarelawan yang sememangnya turun padang membantu sepenuh tenaga menggunakan tulang empat keratnya. Di celah kesunyian yang seperti tiada harapan buat mangsa banjir, muncul segolongan sukarelawan kecil yang tulus ikhlas hendak membantu.

Siapakah mereka ini?

Jika ada ahli keluarga yang terkandas di sana, kita boleh memahami situasi ini. Tetapi rata-rata mereka tiada ahli keluarga di sana. Kenapa masih sibuk hendak membantu? Malah, pada saat ini masih ada lagi sukarelawan yang berada di negeri mangsa banjir.

Saya melihat sendiri bagaimana golongan sukarelawan ini memulakan operasi menghulurkan bantuan daripada mencari tempat pengumpulan barang, membuat promosi media besar-besaran, membuat jadual bergilir menjaga tempat barang, membungkus barang-barang yang di terima, membuat senarai barang, mencari kotak, mencari kenderaan, dan lain-lain.

Terlalu banyak tugas hendak dilakukan. Ini belum kira kepada sukarelawan yang turun padang membersihkan kekotoran dan mengagihkan barang kepada mangsa.

Kenapa perlu bersusah-payah?

Tidak boleh kah membuat sekadarnya sahaja?

Ah, bingung memikirkan dari mana datangnya sukarelawan ini !


Wahai sahabatku,
Ini tidak lain tidak bukan kerana wujudnya perasaan kasih dan sayang buat mangsa banjir walau tidak pernah bersua muka. Rakyat Malaysia yang bukan terdiri daripada sukarelawan turut memberikan sumbangan kepada mangsa banjir dari sudut makanan, kewangan, pakaian dan lain-lain.

Keadaan ini membuatkan saya teringat akan satu kisah lama, kisah di zaman Rasulullah s.a.w. masih hidup.

Seorang muhajirin yang berpindah ke Madinah meninggalkan harta dan keluarganya di Mekkah, lari kerana agamanya, mendapati di hadapannya anak-anak Islam dari pemuda-pemuda Yathrib sedang menunggunya dengan penuh rindu, penuh kasih dan merasa gembira dengan kedatangannya, sedang mereka sebelum ini tidak pernah berkenalan dan tidak ada sebarang hubungan. 

Mereka tidak diikat oleh persemendaan atau kemonakan, mereka tidak di dorong oleh sebarang tujuan atau sesuatu manfaat tetapi hanyalah aqidah Islamiyyah yang telah membuatkan mereka golongan Ansar merasa rindu dan tertambat hati kepadanya. Mereka menganggapnya sebagai saudara kandung mereka sendiri, sebagai saudara ruh mereka.

Bila beliau sampai di masjid beliau melihat di sekelilingnya sekumpulan orang ramai dari golongan Aus dan Kharaj, kesemua mereka mempelawakannya ke rumah mereka masing-masing, mengutamakannya dari diri mereka sendiri, menebusnya dengan jiwa dan harta mereka, mereka berebut-rebut dengan permintaan dan pelawaan hinggalah undian terpaksa dilakukan. Al-quran telah mengabdikan keistimewaan orang-orang Ansar ini hingga ke akhir zaman. 

Dalam firman Allah :

“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin) mereka menyintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan pada mereka (muhajirin) dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin) dari diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan sesiapa yang dipelihara dari kekiraannya mereka itulah orang yang beruntung”.
Sebuah petikan dari risalah Ke Arah Mana Kita Menyeru oleh Imam Hasan al-Banna.

Kisah ini menunjukkan ukhuwah islamiyyah ini benar-benar wujud. Malah tidak mustahil untuk membuktikan yang ia masih wujud sekarang. Betapa hebatnya kaum Ansar ini sehingga kisah mereka dirakam di dalam al-Quran. Ini membuktikan mereka bukanlah calang-calang orangnya. Di dalam catatan sejarah juga, kaum Ansar turut membantu di dalam mengangkat martabat Islam yang hakiki.

Ku sangkakan semua pemuda sudah tenggelam;
Di telan arus dek zaman propaganda;
Rupanya masih ada rijal yang beragenda Islam;
Harapan itu masih ada.

Mungkin para sukarelawan yang benar-benar mengikhlaskan diri inilah para pemuda yang benar-benar ditunggu untuk menyelamatkan mangsa banjir, atau lebih dari itu, untuk menyelamatkan Islam di Malaysia khususnya.


Rujukan :

1       Facebook page: Briged Bakti Pembina
      Ke Arah Mana Kita Menyeru oleh Imam Hassan al-Banna
     Jalan dakwah oleh Mustafa Masyur

    
     Oleh, 

     Nur Nazhifa,
     Ketua Beliawanis, 
     PEMBINA UPM.