Tokoh PEMBINA UPM- Umi Fauziah Md Jamal


  
Umi Fauziah bt Md Jamal
 Ketua Biro Sukan dan Kembara  13/14

Hablumminallah hablumminanna merujuk kepada soal hubungan manusia dengan Allah SWT (hablumminallah) dan hubungan manusia dengan manusia yang lain (hablumminannas) Prinsip ini menjadi prinsip hidup bagi saudari Umi Fauziah Md Jamal, tokoh PEMBINA UPM. Beliau merupakan pelajar tahun kedua yang mengambil jurusan ekonomi di Universiti Putra Malaysia.

“Mula terlibat dalam tarbiyah semasa mengikuti  jaulah ke Pantai Kelanang di Banting. Waktu itu saya masih di alam matrikulasi. Itu adalah ‘turning point’ dalam hidup saya. Berjinak-jinak menyertai usrah walaupun pada mulanya sangat susah untuk istiqamah. Namun, akhirnya sehingga sekarang saya masih dalam bulatan gembira. Dalam usrah saya mengenal erti kepentingan tarbiyah dan dakwah”. Kata saudari Umi yang menceritakan permulaan beliau dalam mengenali apa itu tarbiyah dan dakwah.

Beliau juga memjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai sumber inspirasi kerana Rasulullah S.A.W adalah seorang manusia yang sempurna dan istimewa untuk dijadikan inspirasi dalam kehidupan sebagai seorang mukmin.

“Sifat ikhlas ,amanah dan komited perlu ada dalam kepimpinan. Adabiyat amal jamaie juga penting dalam berorganisasi agar kepentingan organisasi dapat diutamakan melebihi kepentingan diri”. Kata saudari Umi mengenai aspek kepimpinan yang perlu diterapkan dalam berorganisasi.

Saudari Umi turut berkongsi tips cemerlang dalam mencapai kejayaan berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang pelajar iaitu menjaga hubungan dengan Allah dan manusia, memohon restu ibu bapa, jangan menyakiti guru, berkongsi ilmu dengan rakan-rakan dan sentiasa mendampingi rakan-rakan yang baik.

“Jalan dakwah dan tarbiyah ini bagaikan kereta api, apabila sudah terjebak, tiada lagi istilah menoleh ke belakang atau mengundur diri, tetapi harus teruskan sehingga ke stesen yang terakhir kehidupan”, terang saudari Umi.

“Salah satu perkara yang saya pelajari selama menjadi salah seorang pimpinan PEMBINA UPM, sesungguhnya dakwah itu bukan hanya ketika memegang jawatan sebaliknya menjadikan dakwah sebagai kehidupan. Bukan tajmik selepas disuruh oleh mas’ulah tetapi atas inisiatif sendiri”, tambah saudari Umi.

Akhir kalam, saudari Umi menegaskan bahawa walaupun jalan dakwah ini pahit, penuh ranjau berduri , jatuh tergolek sekalipun, percayalah pada penghujungnya yang akan dirasai penuh nikmat manis kerana semua orang boleh berdakwah iaitu mengajak orang berbuat kebaikan walaupun sekecil-kecil perkara.

0 komen:

Catat Ulasan