Melahirkan Demokrasi Islam

Majlis Tertinggi PEMBINA UPM Sesi 2013/14

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM membuka peluang dan ruang kepada ahli PEMBINA UPM untuk menjadi barisan kepimpinan tanzim (organisasi) PEMBINA UPM dengan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2014. Beberapa kategori yang dipertandingkan ialah:   

1. Biro Media dan Promosi
2. Biro Sukan dan Kembara
3. Biro Sahabat Aman (Sukarelawan)
4. Biro Aktivisme Mahasiswa (Kepimpinan)

4 biro dipertandingkan dan bagi setiap biro, hanya 2 orang akan dipilih melalui undian ahli PEMBINA UPM yang hadir ke MAT 2014 PEMBINA UPM untuk memegang jawatan dalam tanzim PEMBINA UPM. 

Dalam pemilihan barisan kepimpinan PEMBINA, dua cara pemilihan dijalankan iaitu melalui sistem syura dan melalui demokrasi pengundian. Sistem syura digunakan untuk memlih barisan kepimpinan tertinggi dalam PEMBINA, manakala demokrasi pengundian pula hanya terbuka untuk beberapa biro seperti yang disebutkan di atas.

Apabila kita mendengar istilah ‘demokrasi’, kebiasaannya kita akan terbayangkan demokrasi barat yang kotor dan hina. Realiti politik di Malaysia ialah sistem demokrasi barat yang merupakan hasil tinggalan dan tahi penjajahan British di Tanah Melayu. Akhirnya, rakyat Malaysia membangun dan hidup dengan projek-projek barat yang terancang.

Namun, apa yang ingin dibawa dan ditekankan di sini adalah, demokrasi barat adalah alat atau sistem yang boleh dimatikan, lalu kita melahirkan satu sistem baru iaitu Demokrasi Islam. Istilah ‘asing’ iaitu demokrasi, boleh diasimilasikan secara menyeluruh dan diterjemahkan berdasarkan parameter Islam. 

Walaupun demokrasi di Malaysia adalah warisan barat, tetapi masih ada ruang-ruang khas untuk umat islam dan gerakan islam dilangsungkan.

Namun, berdasarkan pemerhatian, ruang demokrasi ini telah dipergunakan dan diperalatkan oleh segelintir manusia yang membawa kepentingan peribadi, nafsu dan kehendak sehingga ada yang bercanggah dengan Islam. Hal ini kerana, demokrasi di Malaysia masih lagi bebas dan terbuka pada semua, tanpa ada syarat-syarat dan kriteria yang disusun oleh sesiapa seperti ulama’ demi menjaga kemurnian dan kedaulatan Islam di Malaysia.

Kita harus bertindak agar demokrasi ini dapat diterjemahkan dan dilahirkan semula dalam bentuk kerangka syariah. Pemilihan kepimpinan harus melalui beberapa fasa dan marhalah tertentu yang telah disusun khas, supaya barisan kepimpinan yang berjaya mencalonkan diri dan bertanding adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, kefahaman yang benar, dan akhlak yang tulus. 

Dan ia bukanlah dinilai hanya dari sudut berpidato di hadapan khalayak ramai atau hebat berhujah menangkis hujah pihak lawan.

Demokrasi harus dilahirkan semula dalam kerangka shariah. Ia didirikan berdasarkan prinsip syarak. Jika kita lihat semula, demokrasi barat telah membawa pelbagai manusia dari setiap ceruk tempat yang mempunyai pelbagai pemikiran yang jernih dan kotor, yang putih dan hitam. Akhirnya semua bertanding dan menjadi calon sebagai pimpinan dan barisan yang menang, bercampur antara yang haq dan yang batil.

Namun, demokrasi Islam akan membuat tapisan terperinci setiap pencalonan untuk melantik kepimpinan. Akhirnya, yang akan tercalon untuk bertanding adalah mereka yang terpilih, yang membawa agenda yang benar, iaitu yang Haq.

Seorang pemuda yang bernama Al-Fateh, satu nama yang tidak asing bagi umat Islam telah menunjukkan satu contoh yang hebat. Kisah ketika al-Fateh memilih imam ketika ingin mendirikan solat Jumaat selepas pembukaan Kota Konstantinopel, perlu dihayati dan direnungi dengan mendalam. Pemilihan imam dilihat sinonim sebagai pemimpin dalam ibadah solat, tugasnya besar, amanahnya berat, lalu beberapa syarat disusun Sultan al-Fateh bagi memilih imam yang benar-benar layak.

Sultan al-Fateh telah memerintahkan semua tenteranya berdiri termasuk dirinya, lalu dia bertanya 3 soalan kepada tenteranya.

Soalan 1:
"Siapa di antara kita yang sejak baligh sehinggalah sekarang pernah meninggalkan solat fardu walaupun sekali, sila duduk"

Soalan 2:
"Siapa di antara kita yang sejak baligh sehingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!"

Soalan 3:
"Siapa di antara kamu sejak baligh hingga kesaat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk".

Ini jelas menunjukkan, penilaian Sultan al-Fateh bagi satu kedudukan yang mulia adalah pada solatnya. Penilaian beliau bukanlah kepada pangkat, rupa, saiz, tinggi atau berat, atau yang kaya dalam tenteranya, tetapi penilaian utama adalah solat. Dari solat fardhu sehingga solat sunat, hal ini dititk beratkan. Begitu juga, dalam isu pemilihan kepimpinan sama ada politik Malaysia sehinggalah sekecil-kecil organisasi. 

Perlaksanaan Shariat Islam sebagai undang-undang negara akhirnya akan berjaya dicapai jika setiap pimpinan memahami kewajipannya. Akhirnya, calon-calon yang menang dan berjaya selepas melalui sistem demokrasi Islam, adalah terdiri daripada mereka yang soleh, aqidah yang sejahtera, akan berbincang (musyawarah) untuk memilih jawatan dalam sesebuah organisasi.

Inilah permulaan ke arah pemilihan pemimpin secara syura seperti yang diperkenalkan Saidina Umar al-Khattab.

PEMBINA membawa dan melaksanakan sistem ini supaya Demokrasi tidak selamanya dilihat sebagai kotor, tetapi ia boleh dibersihkan dengan menjadikan ia ‘alat’ untuk memenangkan Islam. Jika dahulu, Barat meninggalkan kita sistem yang mengongkong rakyat Malaysia, kini, kita gunakan ‘alat’ yang sama untuk keluar dari kotak sempadan yang dibina mereka, dan membina sistem berdasarkan prinsip syarak yang benar.

Penting bagi PEMBINA untuk bertindak sebagai pembina umat, pembimbing, pendidik dan peneraju  bagi masyarakat dan umat, memberi solusi dan kefahaman yang sahih, ilmu pengetahuan yang benar, supaya syariat Islam akhirnya dipercayai dan difahami, lalu dilaksanakan secara menyeluruh.

Seruan ini ditujukan kepada semua ahli PEMBINA UPM, semua mahasiswa dan mahasiswi, kerajaan Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), dan parti-parti politik agar kita memahami dan menghayati konsep Demokrasi Islam lebih mendalam dan melaksanakannya agar keadilan yang diperjuangkan mampu memberi kerahmatan pada seluruh manusia.


Oleh:
SYAFIQ SYAHMI SAZALI
Biro Tarbiyah Dan Dakwah
PEMBINA UPM
Sesi 2013/2014

0 komen:

Catat Ulasan