BUKIT EKSPO,UPM- Ahad lalu, 25 Mei 2014, telah berlangsungnya program tautan hati gabungan daripada biro-biro PEMBINA UPM.

Menurut  Wan Anisa Binti Wan Abdullah semasa slot inspirasi wanita  ‘Siapa yang berjalan di suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan dari jalan-jalan syurga’. Dan malaikat selalu menghamparkan sayapnya untuk menaungi orang-orang yang menuntut ilmu.

Kita sering lalai dan tenggelam dalam kehidupan sebagai pelajar. Perlumbaan mengejar dunia yang kita cipta, sebenarnya menjerat ramai anak muda masa kini alpa dalam mengejar akhirat. Banyak masa yang sepatutnya kita infakkan kepada jalan Allah kita bazirkan dengan perkara sia – sia.

Kesihatan yang diberi tidak kita manfaatkan kepada perkara yang membantu agama Allah. Jarang sekali kita mensyukuri nikmat-nikmat yang telah diberi-Nya. Namun, Allah tidak pernah memutuskan rahmat-Nya di dunia ini. Jadi, nikmat mana lagi yang harus didustakan?

PEMBINA ditubuhkan sebagai alternatif untuk membantu para pelajar memantapkan lagi iman dan kefahaman agama disebalik  program yang diadakan.  Sesungguhnya, masa muda inilah yang harus dimanfaatkan untuk mengumpul pahala dalam mencari redha Allah.

“Tidak akan berganjak dua kaki seorang hamba Allah (dari tempat hisab di padang mahsyar) sebelum ia ditanya berkenaan :

Umurnya (yakni masa-masa di sepanjang umurnya); bagaimana ia habiskannya? , Ilmunya; bagaimana ia amalkannya? , Hartanya; dari mana ia perolehi dan cara mana ia belanjakannya? , Tubuh-badannya; bagaimana ia gunakannya?

(Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Barzah Nadhlah ibn ‘Abid al-Aslami)
Masa muda kita lazimnya mempunyai kesihatan yang baik dan kekuatan dalaman yang kuat. Jadi, gunakanlah masa seoptimum mungkin untuk berbakti di jalan Allah. Masa yang kita ada adalah untuk ummah. Sibukkanlah diri ke jalan Allah bagi mencapai keredhaan Allah.

Program tautan hati ini turut memperkenalkan peserta tentang pakej PEMBINA melalui biro-biro yang disediakan. Program ini menarik minat ramai peserta bagi bergiat aktif dengan menjadi ahli biro yang diminati.

Wartawan:
Nur Aqilah Shawarudin,
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.
Majlis Tertingi PEMBINA UPM sesi 2014/15

Dewan Putra 3, KPZ, UPM- “ Mahasiswa memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan negara kearah sesuatu yang lebih baik walaupun terdapat pelbagai ancaman yang melanda para pemuda kini iaitu serangan pemikiran seperti  liberalisme, sekularisme, pluralisme dan LGBT. Jadi, mahasiswa bertanggungjawab dalam usaha merungkai permasalah ini.”

Demikian adalah kata saudara Azlan, Timbalan Presiden PEMBINA Bangi dalam Mesyuarat Agung Tahunan PEMBINA UPM yang pertama kali diadakan sejak tertubuhnya PEMBINA di UPM. Selaku jawatankuasa cawangan yang mempunyai pengalaman dalam jalan dakwah dan tarbiyah ini, beliau dijemput untuk memberikan taujihat kepada ahli-ahli tanzim bagi sesi 2014/2015.

“Mahasiswa mahupun ahli PEMBINA itu sendiri harus menitikberatkan kefahaman al-quran dan sunnah dalam menyebarkan dakwah.”tambah saudara Azlan lagi.

Beliau mengajak mahasiswa mencontohi tokoh-tokoh Islam terdahulu seperti Saidina Ali yang sudah memeluk Islam berusia 10 tahun dan juga kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh yang telah berjaya menakluki Konstantinopel dalam usia yang muda.

Saudara Azlan turut menekankan situasi mahasiswa kini yang tidak tahu membezakan sama ada perkara yang dilakukan oleh mereka benar atau salah kerana mereka merasa dalam zon selesa. Beliau menyeru kepada pimpinan PEMBINA UPM supaya mendedahkan fahaman yang sebetulnya kepada mahasiswa.

“ Saya merasa bangga dengan kewujudan pelbagai persatuan belia yang menekankan konsep dakwah dan tarbiyah dan salah satu persatuan tersebut adalah PEMBINA kerana PEMBINA mempunyai matlamat dalam membentuk sebuah negara Islam yang utuh berlandaskan al-quran dan sunnah”,jelas saudara Azlan.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau mengucapkan ribuan tahniah kepada pimpinan baru PEMBINA UPM.

Seterusnya, mantan Presiden sesi 2013/2014, saudara Luqman Abdul Hamid juga memberi ucapan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PEMBINA UPM. Beliau mengharapkan barisan PEMBINA UPM yang baru harus mengimani dakwah di UPM dan harus disampaikan seluas mungkin kepada seluruh dunia.

“Saya mengharapkan yang terbaik dalam tanzim PEMBINA UPM yang baru dan kalian semua harus fikirkan strategi untuk menjadikan semua ahli PEMBINA sebagai aktivis yang aktif dalam menyebarkan dakwah Islam.”terang saudara Luqman.

Kepimpinan PEMBINA UPM yang baru dilantik bagi sesi 2014/2015 secara rasminya diketuai oleh saudara Ahmad Naqiuddin Mohd Tahir, pelajar tahun 3 jurusan Bacelor Perakaunan. Manakala, ketua beliawanis yang baru disandang oleh saudari Nur Nazhifa Ab. Rahman, tahun 2 dalam jurusan Major Matematik.

Wartawan:
Noor Khairina,
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.
Majlis Tertinggi PEMBINA UPM Sesi 2013/14

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM membuka peluang dan ruang kepada ahli PEMBINA UPM untuk menjadi barisan kepimpinan tanzim (organisasi) PEMBINA UPM dengan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2014. Beberapa kategori yang dipertandingkan ialah:   

1. Biro Media dan Promosi
2. Biro Sukan dan Kembara
3. Biro Sahabat Aman (Sukarelawan)
4. Biro Aktivisme Mahasiswa (Kepimpinan)

4 biro dipertandingkan dan bagi setiap biro, hanya 2 orang akan dipilih melalui undian ahli PEMBINA UPM yang hadir ke MAT 2014 PEMBINA UPM untuk memegang jawatan dalam tanzim PEMBINA UPM. 

Dalam pemilihan barisan kepimpinan PEMBINA, dua cara pemilihan dijalankan iaitu melalui sistem syura dan melalui demokrasi pengundian. Sistem syura digunakan untuk memlih barisan kepimpinan tertinggi dalam PEMBINA, manakala demokrasi pengundian pula hanya terbuka untuk beberapa biro seperti yang disebutkan di atas.

Apabila kita mendengar istilah ‘demokrasi’, kebiasaannya kita akan terbayangkan demokrasi barat yang kotor dan hina. Realiti politik di Malaysia ialah sistem demokrasi barat yang merupakan hasil tinggalan dan tahi penjajahan British di Tanah Melayu. Akhirnya, rakyat Malaysia membangun dan hidup dengan projek-projek barat yang terancang.

Namun, apa yang ingin dibawa dan ditekankan di sini adalah, demokrasi barat adalah alat atau sistem yang boleh dimatikan, lalu kita melahirkan satu sistem baru iaitu Demokrasi Islam. Istilah ‘asing’ iaitu demokrasi, boleh diasimilasikan secara menyeluruh dan diterjemahkan berdasarkan parameter Islam. 

Walaupun demokrasi di Malaysia adalah warisan barat, tetapi masih ada ruang-ruang khas untuk umat islam dan gerakan islam dilangsungkan.

Namun, berdasarkan pemerhatian, ruang demokrasi ini telah dipergunakan dan diperalatkan oleh segelintir manusia yang membawa kepentingan peribadi, nafsu dan kehendak sehingga ada yang bercanggah dengan Islam. Hal ini kerana, demokrasi di Malaysia masih lagi bebas dan terbuka pada semua, tanpa ada syarat-syarat dan kriteria yang disusun oleh sesiapa seperti ulama’ demi menjaga kemurnian dan kedaulatan Islam di Malaysia.

Kita harus bertindak agar demokrasi ini dapat diterjemahkan dan dilahirkan semula dalam bentuk kerangka syariah. Pemilihan kepimpinan harus melalui beberapa fasa dan marhalah tertentu yang telah disusun khas, supaya barisan kepimpinan yang berjaya mencalonkan diri dan bertanding adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, kefahaman yang benar, dan akhlak yang tulus. 

Dan ia bukanlah dinilai hanya dari sudut berpidato di hadapan khalayak ramai atau hebat berhujah menangkis hujah pihak lawan.

Demokrasi harus dilahirkan semula dalam kerangka shariah. Ia didirikan berdasarkan prinsip syarak. Jika kita lihat semula, demokrasi barat telah membawa pelbagai manusia dari setiap ceruk tempat yang mempunyai pelbagai pemikiran yang jernih dan kotor, yang putih dan hitam. Akhirnya semua bertanding dan menjadi calon sebagai pimpinan dan barisan yang menang, bercampur antara yang haq dan yang batil.

Namun, demokrasi Islam akan membuat tapisan terperinci setiap pencalonan untuk melantik kepimpinan. Akhirnya, yang akan tercalon untuk bertanding adalah mereka yang terpilih, yang membawa agenda yang benar, iaitu yang Haq.

Seorang pemuda yang bernama Al-Fateh, satu nama yang tidak asing bagi umat Islam telah menunjukkan satu contoh yang hebat. Kisah ketika al-Fateh memilih imam ketika ingin mendirikan solat Jumaat selepas pembukaan Kota Konstantinopel, perlu dihayati dan direnungi dengan mendalam. Pemilihan imam dilihat sinonim sebagai pemimpin dalam ibadah solat, tugasnya besar, amanahnya berat, lalu beberapa syarat disusun Sultan al-Fateh bagi memilih imam yang benar-benar layak.

Sultan al-Fateh telah memerintahkan semua tenteranya berdiri termasuk dirinya, lalu dia bertanya 3 soalan kepada tenteranya.

Soalan 1:
"Siapa di antara kita yang sejak baligh sehinggalah sekarang pernah meninggalkan solat fardu walaupun sekali, sila duduk"

Soalan 2:
"Siapa di antara kita yang sejak baligh sehingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!"

Soalan 3:
"Siapa di antara kamu sejak baligh hingga kesaat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk".

Ini jelas menunjukkan, penilaian Sultan al-Fateh bagi satu kedudukan yang mulia adalah pada solatnya. Penilaian beliau bukanlah kepada pangkat, rupa, saiz, tinggi atau berat, atau yang kaya dalam tenteranya, tetapi penilaian utama adalah solat. Dari solat fardhu sehingga solat sunat, hal ini dititk beratkan. Begitu juga, dalam isu pemilihan kepimpinan sama ada politik Malaysia sehinggalah sekecil-kecil organisasi. 

Perlaksanaan Shariat Islam sebagai undang-undang negara akhirnya akan berjaya dicapai jika setiap pimpinan memahami kewajipannya. Akhirnya, calon-calon yang menang dan berjaya selepas melalui sistem demokrasi Islam, adalah terdiri daripada mereka yang soleh, aqidah yang sejahtera, akan berbincang (musyawarah) untuk memilih jawatan dalam sesebuah organisasi.

Inilah permulaan ke arah pemilihan pemimpin secara syura seperti yang diperkenalkan Saidina Umar al-Khattab.

PEMBINA membawa dan melaksanakan sistem ini supaya Demokrasi tidak selamanya dilihat sebagai kotor, tetapi ia boleh dibersihkan dengan menjadikan ia ‘alat’ untuk memenangkan Islam. Jika dahulu, Barat meninggalkan kita sistem yang mengongkong rakyat Malaysia, kini, kita gunakan ‘alat’ yang sama untuk keluar dari kotak sempadan yang dibina mereka, dan membina sistem berdasarkan prinsip syarak yang benar.

Penting bagi PEMBINA untuk bertindak sebagai pembina umat, pembimbing, pendidik dan peneraju  bagi masyarakat dan umat, memberi solusi dan kefahaman yang sahih, ilmu pengetahuan yang benar, supaya syariat Islam akhirnya dipercayai dan difahami, lalu dilaksanakan secara menyeluruh.

Seruan ini ditujukan kepada semua ahli PEMBINA UPM, semua mahasiswa dan mahasiswi, kerajaan Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), dan parti-parti politik agar kita memahami dan menghayati konsep Demokrasi Islam lebih mendalam dan melaksanakannya agar keadilan yang diperjuangkan mampu memberi kerahmatan pada seluruh manusia.


Oleh:
SYAFIQ SYAHMI SAZALI
Biro Tarbiyah Dan Dakwah
PEMBINA UPM
Sesi 2013/2014
Saudari Siti Nur Athirah Bt. Ismail

“Kepimpinan menuntut kita untuk meluahkan sepenuhnya tanggungjawab terhadap sesuatu yang dipertanggungjawabkan walaupun kaki terikat dengan 1001 perkara. Sebenarnya itu adalah cabaran yang perlu dipikul oleh setiap insan kerana kita semua sering terikat dengan masa. Tetapi yang pastinya kita semua  adalah pemimpin”, kata saudari Athirah yang merupakan pelajar daripada Fakulti Ekologi Manusia, mengenai cabaran dan kepimpinan yang perlu dipraktikkan sebagai seorang pelajar.

Beliau juga berkongsi pandangan mengenai dakwah dan tarbiyah. Bagi beliau, dakwah akan menjadi tanggungjawab apabila anda telah menandatangi kontrak persetujuan untuk ditarbiyah malah tanpa kontrak itu  kita tetap juga bergelar  pendakwah iaitu kepada diri sendiri.

“Usia tarbiyah yang masih baru semasa di matrikulasi, kadangkala membuatkan diri kurang berkeyakinan untuk menyampaikan dakwah. Namun bagi saya, dakwah bukan hanya menggunakan kelebihan dalam berucap untuk mengajak kearah amar makruf dan nahi mungkar sahaja, tetapi kita juga boleh berdakwah melalui akhlak yang ditonjolkan dan itu adalah yang cuba dipraktikkn untuk peringkat permulaan dalam tarbiyah. Apa yang pastinya diri saya sendiri merasa terpanggil untuk bersama-sama mengajak jiwa-jiwa lain untuk merasai nilai tarbiyah yang sebenar”. Jelas saudari Athirah mengenai permulaan beliau terlibat dalam dakwah dan tarbiyah sehingga hari ini.

Saudari Athirah juga menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai sumber inspirasi beliau kerana  sebagai insan biasa, kita mungkin tidak akan dapat menjejaki langkah kehebatan dakwah baginda tetapi sekurang-kurangnya kita seharusnya cuba untuk menyambung rantai-rantai perjuangan baginda dan umat terdahulu. Dakwah baginda sangat berhikmah iaitu dengan menunjukkan akhlak yang baik walaupun kepada mereka yang memusuhi baginda.

“Jangan pernah berkira untuk berkorban harta, nyawa, masa mahupun tenaga untuk agama Islam. Jika kita menolong agama Allah, Allah pasti akan menolong kita dan kadang kala tanpa disedari pertolongan itu sentiasa  hadir dalam kehidupan kita. Oleh itu, kita hendaklah berlapang dada untuk melakukan kebaikan kerana kita bukan hanya mengejar kecemerlangan di dunia tetapi juga kecemerlangan di akhirat terutamanya”, kata saudari Athirah yang berkongsi mengenai tips kecemerlangan yang sebenar.

Beliau juga berpendapat, ilmu itu penting untuk menunjukkan kekuatan umat Islam tetapi kita perlu pastikan bahawa kita tidak melupakan hakikat kejadian kita yang sebenar iaitu bekerja di jalan Allah S.W.T  adalah yang pertama dan harus diiringi dengan pelajaran.

Akhir kata dari saudari Athirah, “Jangan berputus asa daripada rahmat Allah kerana Allah S.W.T sentiasa berada di sepanjang perjalanan hidup kita, jika terjatuh, kita harus bangun dan terus berjalan semula”.
Saudari Nur Nazhifa
Biro Sukan dan Rekreasi PEMBINA UPM 2013/14

Saudari Nur Nazhifa dilahirkan pada 25 Mac 1993, di Hospital Tanjung Karang. Menjadi kakak sulung kepada lima orang adik nyata mendidik Nazhifa menjadi lebih bertanggungjawab.  Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sekinchan , Selangor kemudian melalui alam sekolah menengah di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam. 

Melanjutkan pelajaran di  Kolej Matrikulasi Selangor dan kini menuntut dalam jurusan Major Matematik tahun kedua di UPM, Serdang.

Beliau mula mengenali PEMBINA sejak di matrikulasi. Dakwah PEMBINA menyedarkan tujuan hidup sebenar dan  mengajak ke arah jalan tersebut. PEMBINA menawarkan pelbagai pakej, diantaranya ialah pakej riadah. Melalui pakej riadah inilah beliau mula tertarik dan berminat untuk serius di dalam dakwah PEMBINA kerana beliau meminati sukan dan riadah.

Menjawat jawatan Naib Setiausaha Kelab Kerohanian Kolej Tun Perak sesi 2012/2013. Seterusnya, beliau bertanggungjawab pula di bawah AJK biro sukan PEMBINA  sesi 2013/2014. Beliau giat memikirkan strategi untuk menghasilkan program – program riadah agar dapat menarik minat mahasiswa  menyertai di samping dapat melebarkan sayap dakwahnya.

Meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai 'role' model kerana kehebatan baginda dalam menghadapi cabaran dan liku – liku hidup. Baginda juga merupakan manusia sempurna yang harus kita semua contohi dan teladani  dari segala aspek. 

Memegang prinsip ‘qudwah qobla dakwah’  ketika berdakwah iaitu ‘action speaks louder than word’ kerana tidak mahu mejadi seperti tin kosong . Tin kosong apabila diketuk akan mengeluarkan bunyi yang lebih kuat berbanding tin yang berisi. 

Namun, pada dasar hakikatnya tin kosong tidak mempunyai isi dan hanya mengeluarkan bunyinya sahaja berbanding tin yang berisi, mungkin dia tidak berbunyi atau tidak sekuat berbunyi seperti tin kosong apabila diketuk kerana ia mempunyai isi yang padat dan tidak dapat mengeluarkan bunyi yang kuat apabila diketuk seperti tin sardin.

Apabila ditanya mengenai cabaran dalam kepimpinan, beliau mengungkapkan tingkah laku dan perwatakan setiap orang adalah sangat berbeza. Cabaran utama dalam kepimpinan adalah untuk berurusan dengan setiap orang yang mempunyai kriteria yang unik dan dalam masa yang sama cuba menerapkan nilai murni samada kepada diri sendiri mahupun kepada orang tersebut. Namun, baginya  pemimpin yang baik adalah yang dapat melahirkan pemimpin yang lebih baik daripadanya.

Sedikit tip cemerlang yang dikongsikan Saudari Nazhifa ialah menjaga hubungan dengan  Allah swt dengan sentiasa bersangka baik. Selain itu menjaga hubungan sesama  insan, bertetapan dengan kata Allah di dalam al-Quran ‘HabluminAllah Wa Habluminannas’ yang membawa   maksud kita perlu menjaga hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita sesama makhluk.  

Selain itu,kita haruslah mejaga kesihatan tubuh kerana pepatah ada mengatakan, 'otak yang cerdas terletak pada badan yang sihat'. Akhir sekali, sentiasa menepati masa untuk menjadi cemerlang. Pembahagian masa yang teratur akan membawa kebaikan pada kehidupan kita.

  
Umi Fauziah bt Md Jamal
 Ketua Biro Sukan dan Kembara  13/14

Hablumminallah hablumminanna merujuk kepada soal hubungan manusia dengan Allah SWT (hablumminallah) dan hubungan manusia dengan manusia yang lain (hablumminannas) Prinsip ini menjadi prinsip hidup bagi saudari Umi Fauziah Md Jamal, tokoh PEMBINA UPM. Beliau merupakan pelajar tahun kedua yang mengambil jurusan ekonomi di Universiti Putra Malaysia.

“Mula terlibat dalam tarbiyah semasa mengikuti  jaulah ke Pantai Kelanang di Banting. Waktu itu saya masih di alam matrikulasi. Itu adalah ‘turning point’ dalam hidup saya. Berjinak-jinak menyertai usrah walaupun pada mulanya sangat susah untuk istiqamah. Namun, akhirnya sehingga sekarang saya masih dalam bulatan gembira. Dalam usrah saya mengenal erti kepentingan tarbiyah dan dakwah”. Kata saudari Umi yang menceritakan permulaan beliau dalam mengenali apa itu tarbiyah dan dakwah.

Beliau juga memjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai sumber inspirasi kerana Rasulullah S.A.W adalah seorang manusia yang sempurna dan istimewa untuk dijadikan inspirasi dalam kehidupan sebagai seorang mukmin.

“Sifat ikhlas ,amanah dan komited perlu ada dalam kepimpinan. Adabiyat amal jamaie juga penting dalam berorganisasi agar kepentingan organisasi dapat diutamakan melebihi kepentingan diri”. Kata saudari Umi mengenai aspek kepimpinan yang perlu diterapkan dalam berorganisasi.

Saudari Umi turut berkongsi tips cemerlang dalam mencapai kejayaan berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang pelajar iaitu menjaga hubungan dengan Allah dan manusia, memohon restu ibu bapa, jangan menyakiti guru, berkongsi ilmu dengan rakan-rakan dan sentiasa mendampingi rakan-rakan yang baik.

“Jalan dakwah dan tarbiyah ini bagaikan kereta api, apabila sudah terjebak, tiada lagi istilah menoleh ke belakang atau mengundur diri, tetapi harus teruskan sehingga ke stesen yang terakhir kehidupan”, terang saudari Umi.

“Salah satu perkara yang saya pelajari selama menjadi salah seorang pimpinan PEMBINA UPM, sesungguhnya dakwah itu bukan hanya ketika memegang jawatan sebaliknya menjadikan dakwah sebagai kehidupan. Bukan tajmik selepas disuruh oleh mas’ulah tetapi atas inisiatif sendiri”, tambah saudari Umi.

Akhir kalam, saudari Umi menegaskan bahawa walaupun jalan dakwah ini pahit, penuh ranjau berduri , jatuh tergolek sekalipun, percayalah pada penghujungnya yang akan dirasai penuh nikmat manis kerana semua orang boleh berdakwah iaitu mengajak orang berbuat kebaikan walaupun sekecil-kecil perkara.