Hidup Dengan Nilai Iman




Iman manusia ini berbagai, ada orang mempunyai iman, namun imannya tidak mampu mendorongnya untuk tunduk dan patuh pada Allah s.w.t dan keduanya orang yang beriman di mana keimanannya mampu menggerakkan tubuh badannya, menggerakkan lisannya, menggetarkan hatinya, sentiasa merasai hubungan hati dengan  Allah Taala, merasai kehadiran bahkan menghayati kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.sehingga seluruh kesibukannya untuk Allah, hidup dan matinya untuk Allah Taala. Ini yang kita ikrarkan waktu kita mengejarkan solat.

"Sesungguhnya solatku, amalanku, hidup dan matiku Tuhan sekalian alam". Inilah iman yang kita nak bina, iman yang hidup, iman yang berfungsi, iman yang boleh mendorong kita tunduk dan taat pada Allah s.w.t. iman yang akan mempengaruhi sikap kita, mempengaruhi cara kita berfikir hingga seluruh kehidupan ini kita lihat dari kaca mata iman. Bagi orang yang memilih dunia sebagai tujuannya, dia melihat dunia ini dengan pandangan keduniaan dan yang kita tengok adalah keseronokan, hiburan, kebahagiaan yang sementara atau keseronokan yang penuh tipu daya.

Kalau berniaga ini, nak untung, nak duit banyak, sanggup menipu, menzalimi dan sebagainya. Kalau diberi amanah, dia khianat kerana melihat pada kepentingan duniawi. Tapi jika kita lihat dunia dengan pandangan iman, kita akan lihat dunia dengan konteks yang berbeza dengan wajah-wajah yang berbeza. Ada orang, jika hilang basikal, riuh satu kampung, dia merasakan musibah begitu berat, baru dapat gaji, kemudian duit gaji hilang, lagi dia susah hati hingga dia hilang arah tujuan kehidupannya sampai keluar keluhan. Hingga keluh-keluhan dia, sanggup meragukan kebesaran dan keadilan Allah s.w.t. Musibah bagi kita, musibah yang mematikan hati kita, hati kotor dengan dosa, hidup dalam kekufuran, lalai dalam ibadah. Inilah musibah-musibah yang paling kita takuti, rosaknya keperibadiaan kita, hingga kita tidak berakhlak sebagaimana akhlak seorang mukmin.

Kalau ahli perniagaan, dalam untung ruginya dengan melihat nilai "RM', namun bagi orang mukmin untung kita adalah bila diselamatkan dari neraka Allah dan dimasukkan ke syurga Allah s.w.t. Tambahan, dalam surah al-Imran " setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian," tiada siapa pun yang boleh mengingkari kematian. Tidak boleh kita minta tangguh walaupun sesaat atau kita nak awalkan sesaat. Bila sampai ajalnya maka akan terpisahlah roh daripada tubuh badan. Pada saat itulah kita makin hampir kepada Allah s.w.t . Kita semua berkumpul di alam barzakh, dihimpunkan di mahsyar untuk kita menerima akibat apa yang kita lakukan masa kehidupan kita di dunia ini. Kematian itu yang begitu pasti, persoalannya bukan bila tapi apa yang kita sediakan untuk kita balik bertemu dengan Allah s.w.t dan nanti akan disempurnakan seluruh balasan-balasan kita di hari kiamat. Pada masa itu ditimbangkan amal kebaikan dan keburukan  kita dengan timbangan al mizan yang penuh keadilan. Pada masa itu lah  ada untung dan rugi yang sebenarnya. Sesiapa yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dialah yang beruntung. Berjaya dengan sebenar-benarnya bukan berjaya dalam perniagaan, untung dalam perniagaan, berjaya dalam kerjaya tapi yang sebenarnya apabila bila kita diselamatkan daripada neraka Allah s.w.t dan dimasukkan ke dalam syurga Allah . 

Kejayaan yang sebenar, keuntungan yang sebenar bila kita balik kepada Allah s.w.t, diselamatkan dari neraka Allah s.w.t dan dimasukkan ke dalam syurga Allah s.w.t. Kita tengok kerugian, bukan kerana kita rugi dalam perniagaan namun apabila kita tengok dari kaca mata iman ini yang merugikan kita , Allah s.w.t sebut dalam Al-Quran dalam surah al zumar ayat ke 15,"Sesungguhnya orang yang rugi itu adalah orang yang merugikan diri dia, dan ahli keluarganya di hari kiamat", inilah rugi yang sebenar-benarnya. Bila di hari akhirat nanti, tempat kita di  neraka Allah s.w.t. Rugi di hari kiamat nanti adalah ketika ditimbang amal kita, maka yang layak bagi kita adalah neraka Allah s.w.t dan tiada tempat untuk kita di syurga Allah bahkan Allah tidak memandang wajah kita dan ketika kita balik kepada Allah s.w.t, mendapati tiada pengampunan Allah bahkan kita telah jauh dari redhaNya dan dicampakkan ke neraka Allah s.w.t 

Apabila kita dah menghambakan diri kita kepada Allah s.w.t, maksudnya kita telah membebaskan diri kita sebebas bebasnya. Ini satu keunikan hamba kepada Allah, kerana manusia ini jika dia tidak menghambakan diri dia kepada Allah s.w.t, dia akan menperhambakan diri dia pada bermacam-macam bahkan kita terkurung bila hidup kita kerana hendak penuhi kehendak orang lain, megambil nilai masyarakat sebagai ukuran kita.

Syafiah bt. Mohammad
Tahun 3
BSK Major Fizik
Fakulti Sains

0 komen:

Catat Ulasan