Ucapan selamat datang


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum w.b.t.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya dapat lagi kita meniti usia muda di alam kampus ini. Alam yang mengajar kita erti kehidupan yang sebenar serta pelbagai pengalaman dalam kehidupan.

Pertama sekali, ingin saya mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada semua pelajar baharu sesi 2012/2013 Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana terpilih sebagai penuntut di sini, universiti yang menduduki kedudukan pertama di Malaysia pada tahun 2012. Semoga kehadiran kalian akan lebih merancakkan lagi dunia ilmu di UPM.

Alam kampus merupakan suatu alam yang berbeza suasananya berbanding alam sebelum ini. Ia penuh dengan cabaran berbanding alam matrikulasi, diploma, tingkatan 6 dan seumpamanya. Universiti adalah tempat pengajian yang memerlukan pelajar berfikiran kritis dan intelek, demi mencari dan menimba ilmu yang datang bukan dengan sendirinya. Sesungguhnya kejayaan tidak datang bergolek dengan sendirinya di sini.

Ia bukan sahaja tertumpu dari sudut akademik, malahan meliputi semua pendidikan termasuk belajar untuk berfikir, berkomunikasi, berdikari, rohani dan lain-lain. Ini bukanlah lagi masa untuk kita bermain-main, tetapi inilah masanya untuk kita mengkaji hakikat kehidupan yang sebenar. Justeru, saya mengharapkan agar pelajar-pelajar baharu sedar serta jelas akan matlamat dan objektif supaya mereka tidak mudah tersesat dan terpesong dari jalan yang benar.

Aktiviti-aktiviti persatuan juga banyak memainkan peranan penting dalam suasana di UPM ini. Aktiviti di kolej kediaman dan fakulti semestinya mempunyai daya tarikan untuk setiap mahasiswa turut serta menambah nilai modal insan. Ia semacam tidak lengkap jika mahasiswa hanya terperuk di dalam bilik dan perpustakaan tanpa terlibat dalam mana-mana aktiviti yang dianjurkan oleh pelbagai persatuan di UPM.

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM mengalu-alukan penglibatan kalian untuk itu.

Untuk sesi 2012-13 ini, Pembina UPM akan menjalankan pelbagai aktiviti menarik untuk para pelajar khususnya. Jangan ketinggalan untuk menyertai program-program yang kami akan jalankan nanti. Ia pasti mampu mengisi masa kalian selain daripada aktiviti-aktiviti kolej dan fakulti.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah dan selamat Datang sekali lagi kepada para pelajar baharu sesi 2012/2013 UPM. Jalanilah kehidupan sebagai mahasiswa dan mahasiswi dengan sebaik mungkin, rebutlah dan kejarlah sebanyak mungkin ilmu demi memajukan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Sekian dahulu dari saya. Jazakallahu khair.

Oleh:
Syafiq Syahmi Sazali
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM 2012/13
Bacelor Aeroangkasa tahun ketiga.

“Meneraju Arus Mahasiswa”
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

1 ulasan:

  1. ha.. nama saya nora.. wakil/staf dari Kolej Pendeta Za'ba, UPM.. boleh tak kalau saya nk minta hidupkan link website rasmi kpz di kenyataan "Dewan Putra 3, KPZ" dan jika ada posting2 mengenai UPM di blog ini? jangan lupa follow juga blog kpz ya untuk maklumat dan berita2 terkini kolej.

    Website Rasmi KPZ : http://kpz.upm.edu.my/
    Blog KPZ : https://kpz9upm.blogspot.com/

    terima kasih

    BalasPadam