JEREBU: Pesanan Buat Mahasiswa

بسم الله الرحمن الرحيم


Jerebu mac 2014 ?


Ramai yang mengeluh. Aktiviti luar terpaksa di hadkan. Pandangan terbatas. Batuk dan demam mula menyerang.

Para pembaca yang dirahmati Allah,

Seharusnya, sebagaimana kita redha ketika mendapat nikmat, begitulah jua kita harus redha akan bahana jerebu ini.

“Tiada suatu BENCANA pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah al-Hadid: 22)
Cubalah menempuh saki baki hidup anda dengan perasaan gembira dan aktiviti yang bermanfaat walau hujan badai menjelma sekalipun. Kita tidak mahu 24 jam berakhir dengan aktiviti merenung jerebu dengan perasaan yang hambar sambil mengharap jerebu akan hilang serta lenyap secara tiba-tiba.

Namun, kita tetap mengakui akan sifat bahaya jerebu ini. Ramai yang tidak sedar mengenai bahan kimia dalam jerebu yang masuk ke dalam tubuh badan dan kesan jangka panjang akibat pendedahannya.


Antara kesan jerebu kepada manusia ialah mata akan mula pedih dan berair, merasakan letih yang luar biasa, emosi akan terganggu, gangguan hormon tetutama wanita, gangguan saluran pernafasan dan paru-paru, dan dada akan terasa sempit.

GOLONGAN YANG BERISIKO TINGGI SEMASA JEREBU


Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk kepada semua orang terutama yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung , pesakit jantung dan respiratori, mereka yang sensitif kepada habuk, orang yang merokok serta mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah.




NASIHAT KESIHATAN SECARA UMUM UNTUK MENCEGAH PENYAKIT AKIBAT JEREBU



i. Orang ramai di galakkan untuk berada di dalam bangunan, kurangkan berada di luar.

ii. Kurangkan aktiviti lasak di luar rumah.

iii. Orang ramai dinasihatkan supaya kerap membasuh muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kepada jerebu.

iv. Orang ramai dinasihatkan supaya minum banyak air.

v. Mereka yang menggunakan kenderaan yang berhawa dingin hendaklah menghidupkan alat penghawa dingin (mod : kitaran dalam) dan menutup semua tingkap.

vi. Penutup hidung dan mulut hendaklah digunakan oleh mereka yang melakukan aktiviti di luar terutamanya mereka yang berisiko tinggi.

vii. Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jika keadaan penyakit bertambah teruk.


viii. Perokok dinasihatkan supaya berhenti merokok.


ix. Sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada media massa dan mengikut nasihat daripada pihak berkuasa.


Selain itu, doa khusus untuk jerebu sangatlah ditekankan sebagai tanda kita seorang hamba yang merendah diri dan hanya mengharapkan pertolongan Allah semata-mata.




Diriwayatkan dari Abu ‘Abbas ‘Abdillah bin ‘Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata: Suatu hari aku berada di belakang Rasulullah s.a.w., lalu beliau bersabda:


Wahai anak! Aku hendak mengajarimu beberapa perkataan: Jagalah Allah maka ia akan menjagamu; jagalah Allah nescaya engkau dapati ia mengukuhkanmu; bila engkau meminta, pintalah kepada Allah; bila engkau memohon pertolongan, pohonlah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah bahawa jika seluruh umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu yang bermanfaat bagimu, maka mereka tidak boleh memberi manfaat kepadamu kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah terhadapmu. Dan jika seluruh umat ini berkumpul untuk memudharatkanmu dengan sesuatu, maka mereka tidak akan boleh memudharatkanmu kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah terhadapmu. Pena-pena telah diangkat dan lembaran catatan telah ditutup.


(Diriwayatkan oleh At-Tarmidzi, dan ia berkata: Hadith ini hasan shahih)


Rujukan: http://hkotabelud.moh.gov.my/modules/artikel/item.php?itemid=12

Oleh:

Nurnazhifa Binti Ab. Rahman,
Ketua Beliawanis
PEMBINA UPM.

0 komen:

Catat Ulasan