MABIT- Mengenal Pencipta Hati


SURAU KOLEJ CANSELOR,15 Mac- Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM telah mengadakan Malam Bina Iman Takwa (MABIT) yang mendapat sambutan mengalakkan dari pelajar UPM dari pelbagai kolej. Antara yang menarik semasa program berlangsung merupakan pengisian dari Saudari Halimatun Saadiah tentang Mengenal Pencipta Hati.

“Mengapa kita harus mengenal Allah, pencipta hati kita?”,soal Saudari Halimatun.

Kita harus mengenal Allah agar kita mencintai Allah serta mengetahui tujuan hidup kita berada di atas muka bumi ini. Mereka yang tidak mempunyai tujuan dan matlamat hidup akan menjadi tidak tentu arah.

Dua tujuan utama manusia diciptakan adalah sebagai khalifah di mana kita perlu terlebih dahulu memimpin diri sebelum memimpin orang lain dan untuk beribadah. 

Allah S.W.T  Maha Pemurah, dengan memberi peluang sebanyak pahala untuk kita bila mana kita niatkan setiap pekerjaan yang dilakukan hanya kerana Allah S.W.T, setiapnya sudah dikira sebagai ibadah, dengan syarat ianya ikhlas kerana Allah serta mematuhi syariat.

Sebagai individu muslim, penting bagi kita mengenal Allah supaya kita tidak terleka dengan keseronokan dunia dan kita harus meyakini nilai dunia itu jauh beza dengan akhirat nanti. Nikmat di dunia sementara ini terlalu sedikit jika di bandingkan dengan nikmat akhirat yang kekal abadi.

“Dunia adalah penjara bagi orang-orang yang beriman, dan (dunia adalah) syurga bagi orang - orang kafir,”
(Hadis Riwayat Muslim)

Jika kita merasa nikmat dunia melebihi akhirat maka muhasabah diri kita semula, fikirkan cara bagaimana untuk membuang perasaan terlalu cintakan dunia.

Antara cara untuk mencintai Allah ialah elakkan melakukan kemaksiatan berterusan kepada Allah. Fitrah seorang manusia itu sentiasa lupa, sentiasa melakukan dosa. Namun, Allah lebih suka hambanya yang segera melakukan taubat apabila melakukan dosa.

Untuk dekat dengan Allah, maka kita harus berkomunikasi dengan Allah melalui ayat-ayat Allah di dalam Al- Quran serta sentiasa berdoa  kepada Allah mengadu dan memohon pertolongan daripada-Nya.


Kita juga seharusnya berupaya untuk menghafaz dan memahami juzuk Amma. Jika di Palestin, keadaan negara saudara kita di sana tidak aman dan sentiasa berperang, tetapi mereka mampu menghafal 30 juzuk. Namun, bagaimana dengan keadaan kita yang hidup di negara Malaysia yang aman? Muhasabah diri kita semula.

Majlis pada malam itu bermula dengan solat isyak berjemaah, sesi taaruf, pengisian ringkas,serta solat sunat taubat dan bacaan Al- Mulk sebelum tidur untuk bangun menunaikan qiamullail pada paginya pula. Seusai solat Subuh serta perkongsian kisah para sahabat nabi, majlis berakhir pada pukul 7.00 pagi setelah peserta bersarapan.

Gambar sepanjang program:

Sesi taaruf bagi mengeratkan ukhwah


Tayangan video berjudul 'Shahadatul Haq'


Wartawan:
Nur liyana Binti Mat Hussin,
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.

0 komen:

Catat Ulasan