Di bulan Ramadhan yang mulia ini, dunia digegarkan lagi dengan isu serangan Israel ke atas bumi Gaza, Palestin. Berita-berita terkini disiarkan melalui media seperti siaran televisyen tempatan dan antarabangsa. Tidak terkecuali dilaman sosial sama ada blog, Facebook, Twitter mahupun Instagram tentang perkembangan isu ini termasuk juga dalam telefon pintar seperti aplikasi Whatsapp dan sebagainya.

Isu Palestin seperti tiada kesudahan, hari ke hari perkara ini sudah dianggap sebagai satu kebiasaan dan bukan lagi sebuah perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin yang terletaknya Masjid Al-Aqsa daripada penguasaan zionis Israel.

Sedang kita di Malaysia aman berpuasa dan berbuka bersama keluarga dan sanak saudara di bulan Ramadhan, saudara kita disana dihidang dengan bedilan bom dan serangan udara yang telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan rakyat yang tidak berdosa.

Perkara ini realitinya berlaku. Namun, sedarkah kita?

Berapa ramai diantara kita  yang sebenarnya cakna tentang apa yang sedang dialami oleh saudara kita disana?

Ingin saya kongsikan disini, secara umumnya, umat Islam pada hari ini yang dianggarkan berjumlah 1.6 billion merupakan antara ¼ dari penduduk dunia dan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis golongan terhadap isu Palestin.

Golongan yang tidak tahu langsung atau hampir tidak mengetahui mengenai isu Palestin
Golongan yang berputus asa dan tidak memberi harapan kepada Palestin
Golongan yang meletakkan kepada tindakan yang terletak kepada kuasa-kuasa besar dunia
Golongan yang mengharapkan keajaiban tanpa usaha, lantas hanya terus duduk dan menunggu kedatangan penyelamat seperti Imam Mahadi dan Nabi Isa serta yang lain-lain
Golongan yang menyakini bahawa kemenangan akan dimiliki semula dengan mencontohi perjuangan generasi yang sebelum ini
Golongan yang hanya mengetahui dan cakna akan perkara ini bila mana dipaparkan di media massa seperti Facebook dan Twitter tetapi hanya sekadar berkongsi kisah sedih dan menumpang simpati.

Maka wajarlah kita cermin kembali diri kita, dimanakah kedudukan kita?Muhasabah diri kita.

Apa yang kita lihat hari ini, pada dasarnya merupakan perebutan antara dua kumpulan mengenai tuntutan kawasan tanah oleh Rejim Zionis yang menubuhkan Negara haram Israel dan juga rakyat Arab Palestin yang mempertahankan tanah air mereka.

Bumi Palestin yang pada suatu masa dahulu merupakan sebuah negara yang cemerlang. Seperti yang kita sedia tahu bahawa generasi Salahuddin telah berjaya menguasai Palestin kerana kecemerlangan akhlak dan kehebatan rohani di kalangan umat Islam pada zaman tersebut.

Namun, tanah umat Islam Palestin kini hanya tinggal sebahagian kecil yang terbahagi kepada dua iaitu Semenanjung Gaza yang bersempadan dengan Negara Mesir yang diketuai oleh pemimpin Hamas, Ismail Haniyeah Al- Asyqar dan Tebing Barat yang dikuasai puak Fatah dipimpin oleh Presiden Mahmoud Abbas, di mana jarak di antara dua negeri ini dipisahkan dengan kawasan yang sedang dikuasai zionis Israel.

Salahuddin al-Ayyubi merupakan seorang yang wara’  dan sentiasa mendirikan solat secara berjemaah. Bahkan ketika sakit, beliau memaksa dirinya untuk hadir bersama bagi mendirikan solat di belakang Imam. Beliau tidak pernah meninggalkan solat berjemaah melainkan beberapa hari ketika sakit sebelum kewafatan menjemputnya.

Selain itu, beliau senantiasa bangun malam untuk mendirikan solat Tahajjud. Dan inilah antara amalan sunnah yang tidak pernah ditinggalkan oleh para pejuang dan pendokong Islam yang tercoret dalam diri mereka seperti yang dilakukan sendiri oleh Nabi S.A.W, para sahabat seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab, Umar Abd Aziz dan lain-lainnya.

Melihat kepada perwatakan mereka, buat seketika waktu, cubalah kita muhasabah dan bandingkan dengan keadaan sebenar kita pada hari ini.

Selagi mana Muslim tidak bangkit dan menunaikan solat subuh secara berjemaah seperti ramainya ketika solat Jumaat, selagi itu orang Islam masih dalam keadaan lemah. Memang tiada nas yang jelas bahawa Zionis akan hancur jika solat Subuh berjemaah sama seperti solat Jumaat. Ia bukan satu keyakinan seperti menunggu turunnya Imam Mahadi tetapi ia adalah satu semangat bahawa Islam dapat dibangunkan bermula dengan menjadikan solat Subuh berjemaah sama seperti solat Jumaat.

Realitinya adakah ini akan berlaku dengan perilaku kita sendiri pada hari ini? Muhasabah diri kita.

Tidak usah diceritakan lagi bagaimana golongan ini menindas, menyiksa, dan memperlakukan saudara kita seperti binatang. Kanak kanak kecil dibedil, disembelih, diacukan pedang dan pistol manakala wanita-wanita diperkosa, disiksa dan dibunuh dengan kejam.

Namun, betapa kuatnya semangat dan keazaman mereka ini mempertahankan tanah air mereka. Apabila mereka diajukan soalan,

“ Mengapa tidak ditinggalkan sahaja negara ini dan berhijrah ke negara lain kerana cubaan yang diberikan kepada kalian cukup besar?”.

 Maka mereka menjawab.

“ Jika kami keluar dari Tanah ini (Palestin), maka siapa lagi yang akan menjaga Masjid suci Al-Aqsa?
Siapa lagi yang akan menjaga tanah waqaf Umat Islam?
Biarlah kami tetap disini, mewakili kalian (seluruh umat Islam di dunia), saudaraku.”

Subhanallah.
Betapa besarnya pengorbanan mereka untuk kita seluruh Umat Islam. Sedang kita di Malaysia, walaupun terdapat usaha-usaha membantu rakyat Palestin melalui sumbangan kewangan kepada  NGO yang khusus membantu rakyat Palestin, tetapi masih ramai lagi yang lalai dan alpa tentang isu di Palestin.

Apatah lagi mahu berjuang untuk saudara kita walaupun dengan sekecil-kecil usaha dan sehebat-hebat senjata umat Islam iaitu doa. Itupun kita tidak mampu.

Apabila diseru untuk memboikot syarikat yang mempunyai kaitan dengan zionis Israel seperti restoran makanan segera McDonald yang kita tahu sebenarnya banyak menyumbang kepada pembangunan Israel, masyarakat menjadi kecoh.Sama ada memboikot atau berkecuali.

Sedangkan golongan bukan Islam di luar negara turut memberi sokongan kepada saudara kita di Palestin, dengan sama-sama memboikot pengusaha seperti ini. Dengan mengadakan demonstrasi setidak-tidaknya, untuk membela umat kita atas dasar kemanusian.

Apakah yang kita lakukan disini? Sejauh mana kesedaran kita dan tindakan kita? patut kita tanya kepada diri kita sendiri.

Firman Allah dalam surah Ali- 'Imran,
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dengan memberikan pertolongan-Nya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik matahatinya)." [3:13]
Perjuangan ini tidak mungkin berhenti di sini. Islam pasti akan menang seperti yang dijanjikan Allah S.W.T. Namun, apakah kita ingin meraikan kemenangan tersebut tanpa kita memberikan sumbangan apa-apa terhadap Islam. Pastinya kita adalah yang paling rugi. Bangunlah wahai pejuang -pejuang Islam. Apa yang paling kita perlukan buat masa sekarang ialah kesedaran.

Wallahualam.

Oleh:
Nadia Hanani Ahmad Habibillah
Bachelor Of Aerospace Engineering
Biro Aktivisme Mahasiswa
Pembina Upm.