Running Iman: Suara Palestin Membangkit Iman Membina Ukhwah



Sekitar Kawasan UPM- Pada 20 oktober 2013, satu program telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), UPM iaitu Explorace Running Iman bertemakan Suara Palestin Membangkit Iman Membina Ukhwah yang disertai oleh mahasiswa dan mahasiswi UPM.

Antara objektif utama program ini dijalankan adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pendedahan kepada para peserta mengenai sejarah sebenar dan situasi di Palestin. Pada masa yang sama, melalui explorace ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan mahasisiwa UPM kerana aktiviti ini melibatkan kerjasama dalam kumpulan di mana para peserta dipecahkan kepada tujuh kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai lima orang ahli.

Program ini bermula pada pukul 8:00 pagi di mana kesemua peserta mendaftar dan  berkumpul di Cafe Serumpun. Setelah selesai pendaftaran, para peserta diminta melakukan senaman pagi bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku kepada peserta sepanjang explorace dijalankan di sekitar kawasan, UPM. Seterusnya, para peserta diberi sedikit taklimat dan kata-kata aluan oleh saudara Syafiq Syahmi bin Sazali, selaku pengarah program Running Iman mengenai perjalanan program.

Setelah selesai sesi taklimat mengenai sepanjang explorace, pengembaraan explorace bermula dari Cafe Serumpun dan terus bergerak ke arah check point yang seterusnya mengikut 'task' yang diberikan oleh fasilitator program. Sepanjang pengembaraan yang dilakukan di sekitar UPM, terdapat sembilan ‘check point’ yang harus dilalui oleh para peserta. 

Antaranya adalah di check point satu, bertempat di Kolej 13 iaitu ‘Cuba Teka’ di mana terdapat beberapa soalan kuiz yang dijawab oleh para peserta mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Palestin.  Objektif kuiz ini diadakan adalah untuk menguji tahap pengetahuan para peserta mengenai isu Palestin sekali gus dapat menyedarkan mereka bahawa semua mahasiswa harus cakna isu-isu semasa terutamanya yang berkaitan dengan Islam.

Di Pusat Kesihatan Universiti UPM juga merupakan salah satu tempat yang dituju oleh para peserta bagi mendapatkan petunjuk yang seterusnya, walau bagaimana pun, sebelum itu, para peserta telah diberikan tugasan untuk melaksanakan jualan amal dengan menjual barangan daripada Aman Palestin  yang terdiri daripada button badge Aman Palestin, mafia dan buku-buku.

Antara matlamat yang cuba dicapai melaui tugasan ini adalah untuk menerapkan unsur pengorbanan dan sumbangan dalam setiap cabang kerana pengorbanan bukanlah diukur melalui sembelihan korban, wang ringgit tetapi tetap diukur melalui pengorbanan tenaga. Tugasan ini juga menguji tahap kemahiran para peserta dalam perniagaan yang memerlukan strategi dan begitu juga dengan dakwah. Ternyata tugasan ini berjaya dilaksanakan oleh semua kumpulan kerana jumlah kutipan wang hasil daripada jualan mereka amat memberangsangkan.

Bagi menghayati dan membangkit lagi tema Running Iman iaitu 'Suara Palestin Membangkit Iman Membina Ukhwah' , terdapat juga check point yang bertemakan persaudaraan dan check point ini dipanggil ‘Mister and Miss Blind’ bertempat di Kolej Tun Perak, UPM. Tugasan yang diberikan adalah setiap kumpulan perlu memilih salah seorang ahli kumpulan untuk menjadi ‘Mister Blind’ atau ‘Miss Blind’, manakala empat orang yang dikehendaki melakukan tugasan yang berbeza.

Antara objektifnya adalah untuk memberi rasa kesedaran dalam hubungan persaudaraan yang akan diredhai Allah Ta’ala apabila kita menyerikan hubungan kerana cinta kepada Allah dan komunikasi yang baik harus dijadikan keutamaan dalam persaudaraan supaya ukhwah yang terjalin akan berkekalan sepanjang masa.

Selain daripada bertemakan hubungan persaudaraan, terdapat juga check point yang bertemakan ‘Patient and Calmness’, sekali gus dapat menguji kesabaran dan ketelitian para peserta dalam melakukan sesuatu tugasan tanpa mengenal erti putus asa. Tugasan di check point tersebut iaitu di Kolej Kelima, UPM memerlukan setiap kumpulan membina sebuah monumen bangunan yang paling indah dan kukuh dengan menggunakan barang-barang yang disediakan. Kecantikan monumen yang dibina akan dinilai, seterusnya markah akan diberikan oleh fasilitator program.

Antara check point lain yang harus dilalui oleh para peserta adalah ‘cari gali’, ‘al-kisah’, ‘imagination’,  dan kerjasama. Setiap check point yang telah ditetapkan oleh fasilitator program mempunyai objektif atau matlamatnya yang tersendiri. Tempat terakhir sekali adalah di Padang Permainan, Bukit Ekspo dimana kesemua kumpulan akan berkumpul.

Apabila kesemua kumpulan sudah berjaya menamatkan pengembaraan Running Iman, sesi penutupan dijalankan dengan menjemput wakil dari PEMBINA, UPM iaitu saudara Naqiuddin untuk memberikan sedikit perkongsian mengenai pengajaran Running Iman. Beliau mengatakan bahawa di dunia ini begitu banyak nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T tanpa kita sedari iaitu nikmat Iman dan juga Islam serta nikmat untuk hidup selesa di dunia ini. Saudara Naqiuddin juga memberi sedikit perbandingan mengenai kehidupan mahasiswa di kampus yang selesa dengan suasana kesengsaraan kehidupan di Palestin.

Program berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para peserta serta sesi fotografi turut dilakukan sebagai kenangan dan tanda jalinan ukhwah antara mahasiswa UPM serta dalam kalangan ahli PEMBINA UPM.

Antara gambar-gambar sepanjang aktiviti:


Senaman pagi yang menyegarkan dan membangkitkan semangat



Peserta bertungkus lumus menghasilkan monumen yang paling kreatif 




Imagination: Peserta melukis dan membentang gambaran tentang  isu Palestin



Kerjasama: Peserta mengangkat cawan yang berisi air ke 'checkpoint' terakhir



Semangat membara: Ikhwah bergambar kenangan


Teruja dan ceria: Akhwat bergambar kenangan

0 komen:

Catat Ulasan