Usrah Umum Siri Ke-4: Polemik Kalimah Allah


Surau Serumpun, UPM – Pada 23 oktober 2013 iaitu hari Rabu selepas waktu Maghrib telah diadakan satu usrah umum bertajuk “Polemik Khalimah Allah”  yang telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM. Usrah umum ini disampaikan oleh Ustaz Muhammad Firdaus Zailani, graduan Universiti Al-Azhar. Sebelum memulakan perbincangan mengenai isu khalimah Allah, Ustaz Muhammad memberi gambaran mengenai isu penggunaan khalimah Allah yang harus diambil tahu oleh semua mahasiswa. 

"Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalah gunakan oleh agama lain, adalah amat berbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama",kata Uztaz Muhammad.

Pada permulaan usrah, ustaz menceritakan mengenai sifir pertembungan yang berlaku sebelum kedatangan Islam, di mana semasa zaman jahiliah, perkara yang berlaku adalah mengenai pertembungan ‘nafsu melawan nafsu’ iaitu berlaku banyak peperangan dan bergaduh sesama mereka.

Menurut ustaz, selepas kedatangan Islam dan wujudnya kepimpinan Islam, berlaku pula pertembungan Al-Haq melawan nafsu iaitu perjuangan menegakkan agama Islam melawan kuasa nafsu. Namun, dalam melawan kuasa nafsu, agama Islam yang harus ditegakkan kerana Islam adalah agama yang benar seperti dalam surah Ali’Imraan ayat 19 iaitu Allah S.W.T berfirman,

Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi kitab kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barang siapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sungguh, Allah sangat cepat perhitungan-Nya”.

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa Islam adalah agama benar dan yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T. Ustaz menegaskan bahawa kepimpinan Islam harus disepakati dan ditegakkan di Malaysia tanpa sebarang unsur negatif yang mampu mengancam kedudukan agama Islam dan salah satu isu yang mampu mengancam agama Islam adalah isu mengenai penggunaan khalimah Allah dalam penerbitan The Herald dan kitab Bible dalam bahasa Melayu.

Ustaz turut membicarakan perspektif daripada respon umum bahawa masih ramai lagi umat Islam yang tidak cakna isu ini dan sesetengah pihak hanya tahu berhujah semata-mata mengenai ayat al-Quran. Di samping itu, yang membangkitkan isu ini adalah orang bukan Islam, tetapi yang bergaduh sampai ke hari ini adalah orang Islam. Isu yang sepatutnya kita sepakat dan bersatu, tetapi kita berpecah semata-mata kerana kepentingan pihak tertentu. Maka, dalam konteks negara kita, kalimah Allah tidak boleh kita benarkan penggunaannya kepada orang selain dari kaum Muslimin.

Perkara yang paling penting, semua pihak perlu jelas bahawa nama Allah telah menjadi nama khas bagi Tuhan umat Islam. Perlu dibezakan antara kalimah Allah dari sudut bahasa yang telah wujud sejak zaman Jahiliyyah dengan kalimah Allah yang menjadi istilah atau nama khas semenjak kedatangan Islam. Jika diperhatikan kalimah tauhid – "La ilaha illa Allah". Ia tidak bermakna - "Tiada Tuhan melainkan Tuhan", tetapi membawa maksud "Tiada Tuhan melainkan Allah". Oleh itu, para sarjana Islam tidak bersetuju untuk menggantikan kalimah Allah dengan perkataan God dalam Bahasa Inggeris.

Pada pengakhiran usrah umum, ustaz menegaskan bahawa sesuatu kebenaran dalam menegakkan agama Islam harus dicari dan diperjuangkan oleh semua umat Islam. Penceramah turut menyeru kepada semua mahasiswa supaya cakna isu umat supaya kepimpinan Islam akan terus tertegak. Selesai sesi ceramah, para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah. Sesi ceramah pada kali ini berakhir pada jam 9.30 malam.

0 komen:

Catat Ulasan