Mahasiswi Beragenda?

Mahasiswi beragenda

Mahasiswi pada masa ini perlu bangkit! Ya. Kenapa? Bukankah sekarang dunia sudah aman dan maju?  Kerana dengan kemajuan teknologi yang canggih pada masa ini dan keamanan yang dialami selama 56 tahun membuatkan kita semakin lalai dan kabur dengan setiap matlamat dan tanggungjawab kita sebagai seorang pelajar. Terlalu banyak masa yang kita habiskan dengan melakukan perbuatan yang tidak bermanfaat. Contohnya,


  • Mahasiswi sanggup menghabiskan masa berjam-jam melayari internet untuk meng’update’ laman sosial, dan mengetahui perkembangan semasa mengenai artis, lebih-lebih lagi kini kita dipengaruhi dengan ‘korean wave’ yang sudah tentunya melalaikan kita dari mengingati Allah.
  • Mahasiswi sanggup menghabiskan masa sehariannya di ‘shopping complex’ untuk membeli belah, menonton wayang, karaoke bersama teman, dan makan ditempat mewah untuk ‘memanjakan’ diri setelah berhempas pulas ‘study’.
  • Mahasiswi sanggup menghabiskan masanya dengan menonton filem dan drama dari pelbagai negara untuk menghiburkan diri setelah mengalami ‘stress study’.
  • Mahasiswi sanggup menghabiskan masanya bersama kekasih hati yang dicintai sebelum sah menjadi mahramnya. 
Dan banyak lagi perbuatan-perbuatan yang membuatkan kita alpa dengan matlamat kita sebagai seorang pelajar. Walaupun ada sebahagian mahasiswi yang menggunakan masanya dengan baik, tetapi ia sangatlah sedikit dan boleh dibilang orangnya.

Mahasiswi di zon selesa?

“Tak payahla nak fikir banyak tentang dunia luar.. tujuan kita masuk U sebab apa? Belajar kan?”

“Buat apa sibuk-sibuk hal diorang.. lantak lah, Bukannya masalah kita pun!”

Banyaknya kata-kata negatif yang membuatkan kita terus berada di zon selesa dimana hanya kita sahaja yang kisah tentang diri kita. Ada sebahagian daripada kita yang tidak mahu ambil berat mengenai masalah-masalah umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di negara Islam diluar sana. Ia membuatkan mahasiswi kini semakin lesu, leka dan hilang arah tuju mereka sebagai seorang pelajar yang berdedikasi dan bermatlamat tinggi.

Mahasiswi yang mempunyai ilmu pengetahuan

Mahasiswi berperanankah dalam menghadapi cabaran masa ini?

Ya! Mahasiswi sangat berperanan menghadapi cabaran pada masa ini, bukan hanya mahasiswa sahaja yang perlu mengambil berat dan menyuarakan pendapat mereka. Mahasiswi juga perlu menunjukkan sahsiah yang tinggi dan kuat menghadapi cabaran disamping mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi.
  • Mahasiswi pada masa ini perlulah mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap permasalahan yang berlaku di sekeliling mereka dan bukan itu sahaja, mahasiswi juga  perlu ‘aware’ dengan berita-berita  melangkaui sempadan Malaysia. Sebagai contoh, masalah pembuangan bayi. Walaupun bukan kita yang melakukannya tetapi kita kena mengambil tahu dan mengambil sikap berjaga-jaga dalam diri kita. Kalau bukan kita yang melakukannya adakah itu dikira selamat? Bagaimana pula dengan adik-beradik kita, saudara mara kita dan jiran tetangga kita? Perlukah kita mengambil sikap tidak ambil tahu? 
  • Mahasiswi perlu jelas dengan tujuan penciptaan kita di dunia ini. Jika kita lihat dalam Surah Adz-Dzaariyaat ayat 56 iaitu: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” Tujuan kita di dunia ini bukanlah ‘saja-saja’ atau berseronok sahaja tetapi kita mempunyai matlamat yang ingin dituju iaitu Syurga Allah. Jadi, kita hendaklah melakukan ibadah yang mengingatkan diri kita kepada Allah. Antaranya solat diawal waktu, berpuasa, menghadiri majlis ilmu, mendampingi orang-orang soleh dan setiap perbuatan kita niatkan kerana Allah. Jika mahasiswi jelas dengan penciptaan manusia ini pasti setiap perbuatan kita ini tidak sia-sia dan kita bersungguh-sungguh untuk membuat bekalan menuju ke akhirat kelak.
  • Mahasiswi perlu cakna dengan persekitaran. Cabaran pada masa ini memerlukan kita sebagai seorang mahasiswi ‘alert’ persekitaran kita dengan membaca bahan-bahan ilmiah dan melayari internet dari sumber-sumber yang betul.  Hal ini akan menyebabkan kita lebih yakin terhadap sesuatu perkara dan lebih bersedia untuk menghadapinya. Sebagai contoh: ajaran syiah yang mula menular di Malaysia ini kita perlu tahu tentang perkara ini. Bukan hanya sekadar tahu tetapi mahasiswi perlu mengkaji sejauh manakah kebenarannya. Adakah ia memberi manfaat kepada kita jika mengamalkannya atau memudaratkan kita. Jika kita tidak mengkaji sesuatu perkara sebenar-benarnya, maka ia akan mudah mempengaruhi kita dan menjadikan kita rosak dan tidak bernilai. Bagaimanakah generasi akan datang? Cuba  bayangkan..
  • Mahasiswi juga perlu menjaga kesihatan diri. Walaupun ia nampak mudah dan tidak perlu dihiraukan tetapi kesihatan kita perlu dipandang secara serius. Hal ini kerana terlalu banyak penyakit yang muncul dikalangan kita yang masih muda lagi. Bagaimana kita mahu berjuang sekiranya kita sakit? Bagaimana kita nak beribadah sekiranya kita tidak bermaya dan tidak berupaya melakukan  sesuatu?
  • Mahasiswi perlu sihat dan kuat. Bagaimana? Mahasiswi perlu bijak mengambil pemakanan yang seimbang. Ramai remaja perempuan dan mahasiswi pada masa ini menahan perut kerana dikatakan mahu ‘berdiet’ untuk kurus tetapi tidak mengambil zat-zat yang secukupnya yang diperlukan oleh badan manusia. Mahasiswi juga perlu melakukan senaman sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Hal ini kerana sebahagian mahasiswi pada masa ini kurang menghiraukan gaya hidup yang sihat.
  • Mahasiswi perlu memelihara diri sebaik-baiknya.

Ambil Ibrah dalam  sirah wanita pejuang Islam

Ramai wanita Islam yang mencatat sejarah mereka kerana keperibadian mereka berjuang menghadapi cabaran pada suatu masa yang lalu yang boleh kita jadikan contoh. Antaranya:
  • Masih ingatkah pada Asma’ Binti Abu Bakr? Beliau digelar Zat An-Nitaqain kerana mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua untuk membawa makanan kepada Rasulullah SAW dan bapanya Abu Bakr RA ketika persembunyian di Gua Thur. Beliaulah juga yang dilempang oleh Abu Jahal sehingga tercabut subang di telinganya, kerana tidak mahu memberitahu posisi Rasulullah SAW dan bapanya ketika hijrah.Beliaulah juga yang mentarbiyyah anaknya, Abdullah Ibn Zubair RA, sehingga menjadi seorang sahabat Rasulullah SAW yang berani. 
  • Masih ingatkah pada  isteri Rasulullah SAW, Ummu Salamah? Bagaimana cerdiknya beliau, bijaknya beliau sehinggakan beliau  menjadi penasihat yang baik kepada Rasulullah SAW. Ketika peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, apabila Rasulullah mengarahkan semua sahabat-sahabatnya menyembelih haiwan dan bercukur rambut, tiada seorang pun yang bangkit menyahut arahannya. Rasulullah SAW hairan, lantas kembali ke khemah, lalu berkata di hadapan Ummu Salamah, “Kenapakah berlaku begitu?” Ummu Salamah berkata, “Jangan kau hiraukan mereka, cukurlah rambutmu, dan sembelihlah haiwanmu” Bila Rasulullah SAW melakukan, semua sahabat mengikuti.
  • Masih ingatkah pada Maryam, ibu kepada Isa AS. Sang Perawan itu menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang terkunci, Allah memuliakannya dengan memilih Zakaria AS sebagai penjaga. Maryam yang suci inilah dipilih Allah untuk mengandungkan Isa AS. Apabila dia melahirkan Isa AS dan ditohmah dengan pelbagai dugaan, dia bergantung kepada Allah, dan bersangka baik atas segala apa yang berlaku ke atasnya. Akhirnya anaknya Isa AS boleh berbicara dan menyeru manusia sedari buaian. 
  • Masih ingatkah pada Fatimah Az-Zahrah binti Rasulullah SAW?. Dialah yang bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya itu diseksa teruk. Tanpa kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia sentiasa membantu ayahandanya yang sering disakiti. Tangannya yang bersih dan suci itulah yang mencuci najis yang dibalingkan ke tubuh ayahandanya. Tangannya yang suci itulah yang membersihkan segala luka ayahandanya. Seorang wanita yang tabah, kuat menempuhi segala dugaan. 
  • Masih ingatkah pada isteri kedua Nabi Muhammad S.A.W yang paling muda semasa dikahwini, Aisyah R.A? Beliau membuktikan bahawa wanita mampu menguasai bidang keilmuan mengatasi kaum lelaki serta mampu menjadi pendidik kepada para ilmuan dan pakar-pakar pelbagai bidang. beliau juga menjadi bukti kemampuan wanita dalam mempengaruhi pandangan masyarakat, baik lelaki mahupun perempuan, serta membekalkan sumber inspirasi dan kepimpinan yang mantap. Wanita yang kaya dengan pekerti tinggi, lemah lembut serta sopan santun ini juga telah membawa kebahagiaan dan ketenangan hati yang tidak putus kepada suaminya.
Kesimpulannya, mahasiswi pada masa ini mampu menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang sekiranya kita mengambil berat terhadap peranan mahasiswi yang sebenarnya. Mahasiswi juga perlu membimbing rakan-rakan yang lain untuk turut ‘aware’ dengan cabaran di Malaysia dan juga diluar negara supaya kita menjadi mahasiswi yang beragenda terrhadap diri, masyarakat, agama dan negara.

Oleh:
Norhazimah bt Zainal Abidin, 
Naib Presiden PEMBINA, 
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

0 komen:

Catat Ulasan