Jom Kenali Usrah dan Bagaimana Menyertainya di UPM

Menghayati bacaan al-Quran di dalam usrah aka bulatan gembira

APA ITU USRAH?

Usrah dalam bahasa Arab bermaksud keluarga. Manakala daripada istilahnya pula usrah ialah ikatan perpaduan yang dibina atas dasar iman dan Islam dengan berusaha tolong-menolong sesama sendiri untuk memahami dan menghayati Islam; berusaha mempertingkatkan ilmu dan amal, dan menghindari maksiat dan permusuhan berdasarkan firman Allah (maksudnya):

Bertolong-tolonganlah kamu berbuat kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya dan takutlah kepada Allah.” [Al-Maidah, 5:2]
Usrah juga bertepatan dengan maksud hadis 7 golongan yang mendapat naungan di akhirat kelak. Antaranya adalah:

"... dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana-Nya.." - (HR Bukhari & Muslim)


KENAPA PERLU USRAH?

Fitrahnya seorang insan, pelupa, jahil dan lalai. Maka peringatan tentang akhirat amatlah wajar. Kita bimbang jika hari silih berganti namun tiada langsung peringatan diberi, sedangkan jika dalam seminggu tiada santapan rohani dalam diri membuatkan diri kita menjadi lalai.

Makanya usrah ini, antara salah satu medium dengan ahli-ahli usrah akan membincangkan  asas aqidah, tauhid, ibadah, sirah, serta bertadabbur dengan Quran, yang pastinya menyentuh jiwa.

Peringatan untuk sentiasa memperbaiki amalan, memahami tujuan penciptaan, serta mengambil  tahu perihal nasib saudara seislam kita akan kita perolehi dengan menyertai usrah.

BAGAIMANAKAH PENGEDALIAN USRAH?

Usrah  diadakan pada tiap-tiap minggu atau paling kurang tiap-tiap dua minggu sekali dan merupakan program tarbiyah yang tetap. Majlis usrah dikendalikan dan di ketuai oleh seorang ketua atau naqib (lelaki) atau naqibah (perempuan).

Ia dikendalikan mengikut 3 rukun usrah iaitu:

1. Taaruf (berkenalan)
Ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan serta berkasih sayang dengan semangat cinta kepada agama. Kita hendaklah memahami pengertian dan hakikat ukhuwah sejati. Elakkan perkara-perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwah itu.

Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung titah firman Allah dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Jadikan firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. sebagai perkara yang wajib diutamakan.

Antara firman Allah (maksudnya): Orang-orang mukmin itu bersaudara-mara. (Al-Hujarat, 26:10)

2. Tafahum (saling memahami)
Periksalah diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar mentaati perintah Allah atau terlibat dalam arena kederhakaan. Setelah memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat.

Rakan yang dinasihati itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat dari sahabatnya. Pemberi nasihat pula janganlah berubah hati terhadap sahabat yang tersilap itu-walau sejarak sehelai rambut sekali pun.

Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), "Agama itu adalah nasihat." Oleh itu, perhatikanlah dalam-dalam pengajaran yang mulia dalam hadis ini-mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada kamu.

3. Takaful (tolong –menolong)
Memelihara nasib sesama sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar.  Rukun ini diamalkan dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara menolong memikul bebanan sesama sendiri.

Takaful merupakan tunjang iman dan inti sari ukhuwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, berganti-ganti membuat kebajikan dengan jalan segera menolong antara satu sama lain sedaya upaya.

KEBAIKAN USRAH

  • Meningkatkan kefahaman anggota-anggota dan menentukan sikap Islam terhadap satu-satu masalah. 
  • Menambahkan penghayatan dan menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jamaah. 
  • Membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai "Din Wa Daulah", menghayatinya di dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan mendakwahnya sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.
  • Membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islammiyah di dalam kehidupan diri dan sensitif terhadap segala perkara yang tidak Islamik.
  • Membina generasi Islam yang insaf dan sedar akan cabaran dan godaan yang berbagai bentuk yang mengancam kemurnian Islam.
  • Mendidik perasaan anggota supaya bertanggungjawab terhadap ALlah dan RasulNya. Menghubungkan anggota secara langsung dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. 
  • Mengikhlaskan diri anggota kepada ALlah, demi untuk mencari keredhaannya, mengharapkan pahala dan merasa gerun dengan siksaanNya. Bukan kerana segan dengan naqib usrah atau kumpulannya tetapi kerana ketaatan kepada ALlah. Oleh itu setiap anggota hendaklah membetulkan niatnya, kemudian diikuti dengan amalan sekalipun tanpa arahan dari sesiapa. 


AKTIVITI SEMASA USRAH

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh berlangsung di dalam usrah. Di antaranya ialah:

1. Membentangkan Kesulitan

Setiap anggota membentangkan kesulitan masing-masing. Setiap kesulitan yang diluahkan oleh dan rakan kita harus diberi perhatian dan berusaha untuk mengatasinya. Hal ini dilakukan dalam suasana ukhuwah sejati dan dengan niat kerana Allah. Dengan demikian dapatlah diperkuatkan lagi asas saling percaya-mempercayai dan tali hubungan ukhuwah dapat diperkukuhkan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya, "Orang mukmin itu cermin bagi saudaranya."

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi (maksudnya): Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dan dalam erti kata timbang rasa simpati mereka adalah laksana badan yang satu, iaitu apabila mana-mana anggota mengadukan hal turut menangguhkan seluruh badan dengan berjaga malam dan merasai demam.

2. Bermuzakarah

Anggota usrah bermuzakarah iaitu bertukar-tukar fikiran dalam urusan Islam. Muzakarah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar batas-batas sopan santun yang sempurna dan dengan cara harga-menghargai fikiran yang datang daripada semua pihak dalam muzakarah itu.

 3. Kajian Buku

Mengadakan studi (penelitian) terhadap sesebuah kitab yang bermutu.  Penelitian dikaitkan dengan kehidupan harian. Panduan daripada buku  disampaikan dalam taklimat sesuatu projek seperti menziarahi orang sakit; menolong orang-orang yang berhajat (walaupun hanya sekadar kata-kata yang baik), mencari dan bertanyakan hal tentang anggota yang tidak kelihatan bersama-sama kumpulan, menanggung bebanan anggota yang terputus rezeki.

Semuanya itu dapat menambahkan lagi tali ukhuwah dan dapat melipat gandakan perasaan kasih sayang dalam hati masing-masing.

4. Aktiviti Sokongan

Siapa kata usrah di dalam surau sahaja?
Untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama sendiri, turut juga diadakan rehlah, lawatan, aktiviti lasak seperti mendayung sampan, mendaki gunung dan berbasikal. Selain itu turut juga diadakan aktiviti khusus seperti berpuasa (seminggu sekali atau dua minggu sekali), solat Subuh berjemaah di masjid dan qiamullail.

--

Bukan dari sekolah aliran agama? Kurang ilmu agama? Eh itu bukanlah satu kemestian jika hendak menyertai sesuatu usrah. Sesiapa pun boleh menyertainya. Apa yang penting hanyalah keterbukaan dan kemahuan ahli menyertai usrah.

PEMBINA UPM menawarkan usrah sebagai salah satu aktiviti mingguan kepada mahasiswa UPM. Usrah dijalankan di kolej-kolej kediaman UPM mengikut fleksibilit masa dan tempat ahli usrah (iaitu anda yang berminat). Usrah yang berjalan dibezakan antara usrah lelaki dan usrah wanita. Tidak bercampur.

Untuk menyertai usrah PEMBINA, tidak wajib menjadi ahli PEMBINA. Bagi mana-mana pelajar yang berminat ingin menyertai usrah PEMBINA, bolehlah menghubungi AJK yang bertugas di bahagian Jom Sertai PEMBINA.

0 komen:

Catat Ulasan