Di Mana Kita pun, Kita Hanyalah Hamba

Manusia sering alpa dengan dunia, terlupa bahawa kita akan pulang ke negeri akhirat yang kekal abadi. Kita begitu rakus dengan dunia hinggakan kita lupa tujuan asal kita.

Banyaknya nikmat Allah yang telah kita lupakan. Lupa untuk bersyukur! Itulah kita insan yang bernama manusia, mudah lupa termasuklah diri saya.

Ingin sekali saya membawa firman Allah dalam surah Ar Rahman,

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?”

Lihatlah dalam diri kita, sudah sempurna nikmat anggota yang Allah berikan kepada kita. Ayuh kita melihat disebalik penciptaan mata.

Pernahkah kita fikir kenapa Allah jadikan mata kita ini ada mata putih, ada mata hitam? Pernahkah kita fikir apa akan terjadi jika Allah hanya jadikan mata kita ini satu warna iaitu warna putih. Pasti kita tidak dapat melihat apa-apa kerana mata putih tidak dapat merangkap cahaya.

Sebaliknya jika Allah hanya ciptakan mata hitam, pasti mata kita akan sakit kerana terlalu banyak cahaya yang masuk. Jika Allah tidak ciptakan kelopak mata, apakah yang akan terjadi? Sudah pasti kita akan menjadi seperti ikan, mata sentiasa terbuka.

Banyak lagi nikmat yang tidak terhitung, terlalu banyak.

Subhanallah!

Lalu apakah layak untuk kita sombong dengan Allah? Segalanya milik Allah, kita hanya meminjam. Kita hanya peminjam tapi bongkak dan angkuh. Untuk sujud kepada Allah pun kita masih berkira-kira. Malunya kepada Allah.

Ayuh kita kembali merenung dalam diri, apakah yang kita sudah lakukan untuk membalas segala pemberian Allah walaupun hakikatnya kita tidak mampu membalasnya melainkan bersyukur atas segala nikmat pemberian-Nya.

Bagaimana mahu bersyukur? Rasulullah telah mengajar kita untuk bersyukur.

Walaupun pintu syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk Baginda, tetapi Baginda masih lagi berdiri di malam-malam sepi untuk terus beribadah kepada Allah. Pernah Baginda terjatuh kerana kaki-kakinya bengkak oleh sebab terlalu lama berdiri.

Apabila ditanya oleh Sayidatina Aisyah “Ya Rasulullah, bukankah tuan hamba telah di jamin syurga. Mengapa tuan hamba masih bersusah payah sebegini?”.

Baginda menjawab dengan tenang “Ya Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba. Sesungguhnya aku ingin menjadi seorang hambaNya yang bersyukur.”

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan apa yang demikian) Maha Tinggilah Allah yang menguasai alam, lagi yang tetap benar.” (Surah al-mukminun : 115-116)

Marilah kita kembali melihat tujuan penciptaan kita.

“Aku tidak menjadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” (surah Az Zariyat ayat 56)

Saya ingin membawa satu kisah. Ketika rasulullah mengembala kambing, tidak jauh daripadanya ada sekumpulan remaja sedang melepak, berborak dan ketawa. Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah: "Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana itu?" Rasulullah dengan tegas menjawab: "Saya diciptakan bukan untuk itu.”

Hebatnya jika pemuda-pemudi sekarang mampu memberikan jawapan yang sama. Tetapi malang sekali, ramai sekali pemuda-pemudi harapan negara telah tenggelam di bawa arus deras dunia yang menggoda.

Ayuh sahabat-sahabat, mari kita kembali kepada Allah dengan iman. Janganlah kita lalai lagi dengan dunia yang hanya sementara.

Seorang alim berkata dalam syairnya, “apakah kamu semua tetap tidur(lalai)? Padahal neraka telah dinyalakan.”

Marilah kita mengerjakan amal soleh yang akan menjadi hasil dagangan kita diakhirat kelak. Hari ini dagangan akhirat sangat lesu dan mundur, ramai yang tidak berminat padanya. Hargailah ia hari ini kerana suatu saat nanti ia akan kembali berharga tetapi kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa lagi.

Ya Tuhanku,
Aku tidak bermaksud melakukan maksiat kepada-MU
Tidak bermaksud menderhakai-MU
Namun aku telah lakukan semua itu
Ketika ku lakukan, bukan tidak mengetahui hukuman-MU
Bukan menetang hukuman-MU
Bukan meremehkan azab-MU

Akan tetapi akulah yang tergoda oleh nafsu syaitanku
Nafsu itulah yang membawa aku ke lubang maksiat diriku
Aku telah jatuh ke lubang maksiat menentang-MU
Kerana aku lalai dengan peringatan-MU!

Kini wahai Tuhanku
Kepada siapa lagi tempat aku berlindung
Ampunkanlah aku..

Aku hanya seorang hamba.

Oleh:
Noraziah Zainul Abidin
Ahli PEMBINA UPM

0 komen:

Catat Ulasan