Pada hari Khamis bersamaan 3 Rejab tahun 1433 Hijrah atau 24 Mei 2012 telah berlangsung satu majlis ringkas iftar bersama beberapa orang pelajar Asasi Sains Pertanian UPM (ASPer). Aktiviti ini dikendalikan oleh saudara Muhaimin Selawi dengan bantuan ahli-ahli Pembina UPM yang lain.

Sesi ta'ruf bersama adik-adik ASPer.

Pada jam 6.30 petang, para peserta mula memenuhi ruang hadapan surau Kolej 13. Sesi ta'aruf dimulakan dahulu dan diikuti pula sesi tazkirah yang disampaikan oleh saudara Sayfiq Shahmi atau lebih dikenali sebagai abang Shah oleh adik-adik asasi sekalian.


Saudara Muhaimin (kanan gambar) memberi sedikit kata-kata aluan kepada adik-adik ASPer.

Majlis iftar atau kata mudahnya majlis berbuka puasa ini diadakan bagi merapatkan lagi hubungan antara adik-adik yang baru memasuki UPM ini dengan ahli-ahli Pembina UPM yang lain. Ia juga bagi memperkenalkan kepada mereka mengenai Pembina dan apa matlamat utama Pembina sebagai badan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam menyeru belia ke arah Islam yang syumul.

Berbuka puasa di atas talam.

Majlis berakhir setelah semua para peserta habis menjamah hidangan pembuka puasa yang ditaja oleh Pembina UPM.



 UPM Serdang- Pada hari Sabtu dan Ahad yang lepas, Persatuan Belia Islam Universiti Putra Malaysia (Pembina UPM) telah menyertai Karnival Kesenian dan Keusahawanan Islam dengan membuka satu booth jualan yang bertempat di  dewan Kolej 13 bertujuan untuk memperkenalkan Pembina UPM kepada para pelawat yang hadir ke karnival tersebut.

Antara barangan yang dijual di booth Pembina UPM.
 Booth Pembina UPM menjual barangan seperti baju muslimah, tudung, al-Quran bersertakan terjemahan, dan beberapa makanan ringan. Terdapat juga beberapa persatuan Islamik yang lain yang turut serta dalam karnival ini seperti Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMI UPM). Ahli-ahli Pembina UPM digalakkan menyertai booth jualan ini bagi mengasah kemahiran jualan mereka. Disamping itu mendekatkan diri dan membantu adik-adik asasi pertanian yang baru sahaja habis menyertai minggu orientasi mereka.


Antara ahli Pembina yang sedia menanti pembeli dan pelawat yang hadir ke booth Pembina UPM.

Semenyih, 22 April 2012 – Satu program yang diberi nama ‘Let’s Hike’ telah berlangsung di Bukit Broga, Semenyih baru-baru ini. Program yang melibatkan beliawanis dari UPM ini, bermula seawal jam 4 pagi menuju destinasi. Sebelum bertolak, peserta diberi pengisian mengenai cara mengambil wuduk dan solat di kawasan hutan.

Misi pendakian Bukit Broga bermula jam 5.20 pagi. Bermula dengan regangan, pembahagian kumpulan, dan doa agar dipermudahkan segala urusan, peserta memulakan pendakian. Sewaktu pendakian, peserta diuji stamina mereka dengan jalan bukit yang berliku dan curam dalam suasana yang gelap. Dalam keadaan itu, peserta dapat merasakan pergantungan kepada Allah sangat diperlukan dalam memilih jalan untuk sampai ke puncak dengan selamat tanpa sebarang kecederaan. Semangat setia kawan dan kerjasama sesama ahli kumpulan sangat dititikberatkan untuk melancarkan lagi perjalanan.

Setelah hampir satu jam, peserta berjaya sampai ke puncak. Cara mengambil wuduk dan solat di atas bukit yang telah dipelajari, dipraktikkan di situ. Peserta dapat merasakan kebesaran Allah sewaktu solat di atas bukit. Keindahan bumi ciptaan Allah terbentang luas di hadapan mata sambil diri tunduk bersujud di hadapan Allah. Subhanallah,satu pengalaman yang sungguh bernilai dalam menghayati erti hamba yang sebenar dan terasa betapa kerdilnya manusia.

Peserta juga berpeluang menyaksikan detik matahari terbit. Sambil melepaskan lelah, peserta mengambil peluang untuk bergambar di puncak bukit dimana keindahan alam ciptaan Allah ini sangat memukau pandangan. Ianya terbukti dengan kehadiran orang ramai yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia, bangsa, dan agama.

Anak kecil seawal usia lima tahun hingga ke peringkat warga emas, masing-masing berusaha untuk mendaki hanya untuk melihat keindahan panorama di puncak bukit. Pengunjung silih berganti dan semakin ramai yang sudah sampai ke puncak.

Memberi peluang kepada orang lain, dan setelah puas mengamati kebesaran Allah, peserta memulakan langkah untuk turun bukit. Sekali lagi peserta diuji dengan keadaan jalan yang agak cerun dan licin sekali gus mencabar kekuatan fizikal peserta. Alhamdulillah, dengan izin Allah peserta selamat sampai tanpa sebarang kecederaan. Sedikit tazkirah dikongsi dengan peserta tentang kekuasaan Allah, penghayatan terhadap nikmat kurniaan Allah dalam kehidupan dan sedikit perkongsian tentang ayat 125 surah Al-An’am.

Program berakhir sekitar 9 pagi. Penat lelah yang dirasai diharapkan tidak mematahkan semangat beliawanis untuk sentiasa aktif dan cergas pada setiap masa. Semoga melalui program ini, ukhuwwah yang terbina dapat dimantapkan lagi melalui program-program yang seterusnya. Tidak lupa juga agar kita semua dapat bermuhasabah setiap kali melihat alam yang merupakan kitab terbuka Allah untuk manusia sekalian alam.

Nor Syahidah Abd Kadir
Beliawanis PEMBINA UPM

http://pembinabangi.com/2012/05/lets-hike-cabar-ketahanan-diri-beliawanis/

UPM SERDANG
– Program Zero To Hero (ZTH) anjuran Kolej Keenam, UPM dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah berlansung dengan jayanya pada hari Ahad yang lepas. Objektif utama program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada para mahasiswa UPM dalam menghayati hikmah yang tersingkap di sebalik cara hidup Islam, memupuk semangat kerjasama, meningkatkan kemahiran, memberi pengalaman dan bertolak ansur.

Ia juga untuk mencungkil bakat warga Kolej Keenam sebagai ahli jawatankuasa (AJK) dan melahirkan bakal pemimpin yang mempunyai kemahiran insaniah seperti kemahiran kepimimpinan, kerja berpasukan, kemahiran komunikasi dan lain-lain lagi.