‘Let’s Hike’ Cabar Ketahanan Diri Beliawanis

Semenyih, 22 April 2012 – Satu program yang diberi nama ‘Let’s Hike’ telah berlangsung di Bukit Broga, Semenyih baru-baru ini. Program yang melibatkan beliawanis dari UPM ini, bermula seawal jam 4 pagi menuju destinasi. Sebelum bertolak, peserta diberi pengisian mengenai cara mengambil wuduk dan solat di kawasan hutan.

Misi pendakian Bukit Broga bermula jam 5.20 pagi. Bermula dengan regangan, pembahagian kumpulan, dan doa agar dipermudahkan segala urusan, peserta memulakan pendakian. Sewaktu pendakian, peserta diuji stamina mereka dengan jalan bukit yang berliku dan curam dalam suasana yang gelap. Dalam keadaan itu, peserta dapat merasakan pergantungan kepada Allah sangat diperlukan dalam memilih jalan untuk sampai ke puncak dengan selamat tanpa sebarang kecederaan. Semangat setia kawan dan kerjasama sesama ahli kumpulan sangat dititikberatkan untuk melancarkan lagi perjalanan.

Setelah hampir satu jam, peserta berjaya sampai ke puncak. Cara mengambil wuduk dan solat di atas bukit yang telah dipelajari, dipraktikkan di situ. Peserta dapat merasakan kebesaran Allah sewaktu solat di atas bukit. Keindahan bumi ciptaan Allah terbentang luas di hadapan mata sambil diri tunduk bersujud di hadapan Allah. Subhanallah,satu pengalaman yang sungguh bernilai dalam menghayati erti hamba yang sebenar dan terasa betapa kerdilnya manusia.

Peserta juga berpeluang menyaksikan detik matahari terbit. Sambil melepaskan lelah, peserta mengambil peluang untuk bergambar di puncak bukit dimana keindahan alam ciptaan Allah ini sangat memukau pandangan. Ianya terbukti dengan kehadiran orang ramai yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia, bangsa, dan agama.

Anak kecil seawal usia lima tahun hingga ke peringkat warga emas, masing-masing berusaha untuk mendaki hanya untuk melihat keindahan panorama di puncak bukit. Pengunjung silih berganti dan semakin ramai yang sudah sampai ke puncak.

Memberi peluang kepada orang lain, dan setelah puas mengamati kebesaran Allah, peserta memulakan langkah untuk turun bukit. Sekali lagi peserta diuji dengan keadaan jalan yang agak cerun dan licin sekali gus mencabar kekuatan fizikal peserta. Alhamdulillah, dengan izin Allah peserta selamat sampai tanpa sebarang kecederaan. Sedikit tazkirah dikongsi dengan peserta tentang kekuasaan Allah, penghayatan terhadap nikmat kurniaan Allah dalam kehidupan dan sedikit perkongsian tentang ayat 125 surah Al-An’am.

Program berakhir sekitar 9 pagi. Penat lelah yang dirasai diharapkan tidak mematahkan semangat beliawanis untuk sentiasa aktif dan cergas pada setiap masa. Semoga melalui program ini, ukhuwwah yang terbina dapat dimantapkan lagi melalui program-program yang seterusnya. Tidak lupa juga agar kita semua dapat bermuhasabah setiap kali melihat alam yang merupakan kitab terbuka Allah untuk manusia sekalian alam.

Nor Syahidah Abd Kadir
Beliawanis PEMBINA UPM

http://pembinabangi.com/2012/05/lets-hike-cabar-ketahanan-diri-beliawanis/

0 komen:

Catat Ulasan