Zero To Hero - Kembara Kegemilangan Siswa


UPM SERDANG
– Program Zero To Hero (ZTH) anjuran Kolej Keenam, UPM dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah berlansung dengan jayanya pada hari Ahad yang lepas. Objektif utama program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada para mahasiswa UPM dalam menghayati hikmah yang tersingkap di sebalik cara hidup Islam, memupuk semangat kerjasama, meningkatkan kemahiran, memberi pengalaman dan bertolak ansur.

Ia juga untuk mencungkil bakat warga Kolej Keenam sebagai ahli jawatankuasa (AJK) dan melahirkan bakal pemimpin yang mempunyai kemahiran insaniah seperti kemahiran kepimimpinan, kerja berpasukan, kemahiran komunikasi dan lain-lain lagi.

Program ZTH yang bermula dari 8 pagi sehingga 2 petang telah membawa beberapa slot yang menarik dan penuh dengan pengisian. Slot dalam program ini terbahagi kepada tiga, yang pertama adalah slot ‘Who I am?’ , slot kedua pula bertajuk ‘Be a Hero’ dan slot ketiga adalah berkonsepkan forum bertajuk ‘Misi Sang Juara’.

"Tujuan utama program ZTH ini ialah untuk memberikan motivasi, semangat kepada peserta untuk menjadi seseorang yang hebat, seorang yang bermanfaat untuk berkhidmat kepada agama kita, Islam," menurut pengarah program ZTH, Muhammad Hafizuddin bin Mazlan,

Mahasiswa dan mahasiswi pada zaman sekarang kurang menyedari bahawa mereka adalah bakal pemimpin terutama belia Muslim. Fenomena keciciran dan kelembapan belia muslim Melayu di kampus telah memberi kesedaran dan inspirasi kepada Kolej Keenam dan PEMBINA untuk menganjurkan program ini.

“Hari ini, mahasiswa dan mahasiswi perlu menananamkan agenda dalam diri serta bertindak mengikut syariat Islam yang telah ditetapkan. Jika niat kita betul tapi tindakan menyalahi syariat, maka ia adalah haram. Jika agenda kita murni, misi kita jelas, tindakan kita tepat dengan yang ditetapkan, insya Allah cinta Ilahi, keredhaan Allah, matlamat kita akan tercapai.” ulas Fakrur Radzi B. Mohd Omar, panelis pertama Forum Misi Sang Juara.

Di dalam program ini, beberapa ahli panel dan penceramah yang mantap telah dijemput bagi setiap slot yang berbeza. Antara yang menarik ialah penceramah slot pertama Ustaz Ibrahim B Mohd Hasan, penceramah slot kedua ialah Ustaz Dr Zainurrashid bin Zainuddin. Manakala panelis forum ialah Fakrur Radzi B. Mohd Omar dan Prof Madya Dr Rafidah Hanim. Majoriti ahli panel yang dijemput adalah bekas pelajar-pelajar terbaik daripada universiti masing-masing. Manakala moderator untuk forum ‘Misi Sang Juara’ iaitu Muhammad Azrul, pelajar jurusan akaun, tahun keempat, UPM telah menjadikan slot ketiga itu lebih menarik dan telah dapat menambat hati para penonton yang hadir.

“Mahasiswa dan mahasiswi perlu faham bahawa pelajaran akademik adalah tempat pertama, tetapi dakwah dan tarbiyah bukan ditempat kedua. Belajar akademik di kelas perlu seiring dengan gerakan dakwah kita, barulah itu dinamakan sebagai juara,” pesan Dr Rafidah Hanim, panelis kedua forum 'Misi Sang Juara’.

Dua orang panelis dan satu orang moderator semasa slot ketiga ZTH berlangsung. Dari kiri Muhammad Azrul, Fakrur Radzi dan PM Dr. Rafidah Hanim.

“Oleh itu betapa pentingnya untuk kita hidup dalam berjemaah. Di dalam jemaah atau persatuan, kita akan dapat belajar banyak ilmu, kemahiran serta pengalaman. Mungkin antara kita akan menjadi ‘Top 4’, tapi itu tidak bermakna mereka sahaja pemimpin, kita semua tetap juga sebagai pemimpin, walaupun menjadi AJK Pendaftaran sekalipun.

Ingatlah, kita adalah juara dalam diri masing-masing, dan setiap juara ada misi, matlamat dan agenda yang jelas dalam kehidupan mereka.”, antara rumusan yang diperkatakan oleh Muhammad Azrul sebelum menutup forum ‘Misi Sang Juara’ dalam program ZTH ini.

0 komen:

Catat Ulasan