Usrah Umum 3: Antara Semalam Dan Hari Ini


Surau Serumpun, UPM – Pada 9 oktober 2013 iaitu hari Rabu selepas waktu maghrib telah diadakan usrah umum ke-3 bertajuk:  Antara Semalam Dan Hari Ini yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM. Usrah umum ini disampaikan oleh saudara Luqman Abdul Hamid selaku Presiden Persatuan Belia Islam Nasional, Universiti Putra Malaysia. 

Antara pengisian yang disampaikan oleh beliau adalah mengenai sejarah umat Islam dahulu ketika berada dalam zaman jahiliah iaitu zaman masyarakat Arab jahiliah yang mengamalkan perbuatan yang tidak bermoral seperti berjudi, berzina dan meminum arak.

Kedudukan wanita dalam masyarakat pula adalah rendah, sehinggakan mereka tidak dapat mewarisi harta pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Terdapat dalam  kalangan mereka yang menanam bayi perempuan sejurus selepas lahir. Pembunuhan terhadap bayi perempuan ini dilakukan kerana mereka beranggapan anak perempuan akan menjatuhkan maruah keluarga. 

Dalam hal perkahwinan pula, tidak mempunyai peraturan khusus yang boleh dijadikan panduan oleh masyarakat pada ketika itu. Seseorang lelaki boleh berkahwin dengan beberapa orang wanita sekaligus atau dengan sesiapa yang disukainya.

Namun, setelah kedatangan Islam yakni turunnya wahyu pertama pada tahun 610 Masihi, kehidupan masyarakat Islam telah berubah dengan bersandarkan kepada aqidah, syariat, dan akhlak. Strategi Nabi Muhammad S.A.W dalam berdakwah menyebarkan agama Islam adalah melalui dakwah secara sulit selama tiga tahun dan terang-terangan mengambil masa 10 tahun.

Saudara Luqman juga turut menceritakan tentang penyebaran dakwah selepas kewafatan Rasulullah S.A.W yang diteruskan oleh para sahabat iaitu zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin yang dipimpin oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan, dan Saidina Ali bin Abi Talib. Corak pemerintahan yang dijalankan oleh kerajaan ini adalah berdasarkan corak pemerintahan Rasulullah S.A.W serta Al-Quran dan Sunnah. Pemerintahan kerajaan ini telah berlangsung selama lebih kurang 29 tahun dan melalui banyak cabaran dan rintangan dalam usaha menyebarkan dakwah Islam dan mengekalkan keamanan negara.

Selepas kerajaan Khulafa Ar-Rasyidin, pemerintahan disambung oleh kerajaan Bani Umaiyah dan berlaku pertukaran sistem kepada sistem dinasti oleh Muawiyah bin Abu Sufian r.a. Berlaku perluasan kuasa sehingga Andalus, Turkinistan, Uzbekistan, Afghanistan dan sempadan kerajaan China. Pusat pentadbiran Bani Umaiyah adalah bertempat di Damsyik (Syria).

Seterusnya, pada 750 Masihi pemerintahan Islam diteruskan oleh kerajaan Abbasiyah dan berlaku perluasan empayar kepada pemantapan tamadun, sistem pendidikan Islam, penterjemahan dan Pusat Islam Dunia. Bermulanya kejatuhan umat Islam bila berlakunya Perang Salib I mengakibatkan musuh Islam berjaya menakluki Kota Palestin. Namun, ia berjaya ditawan semula oleh Salahudin al-Ayubi.

Selain daripada memperihalkan soal zaman kegemilangan Islam pada suatu ketika dahulu, saudara Luqman turut memberi ulasan mengenai sejarah Islam kini yang turut berada dalam konteks jahiliah iaitu wujudnya kumpulan Black Metal, budaya lepak, hiburan melampau, kes penagihan dadah,seks bebas yang semakin berleluasa, pembantaian umat Islam, kejahilan umat serta khurafat iaitu wujudnya istilah nabi palsu.

Saudara Luqman juga berkongsi cara atau formula kebangkitan  untuk mengatasi masalah tersebut melalui “MANHAJ NUBUWWAH” iaitu dakwah dan tarbiyyah merupakan agenda utama baginda S.A.W tatkala memulakan dakwahnya di Mekah. Negara Islam Madinah tidak akan tertegak kukuh kalau tidak kerana tarbiyah.

"Kegemilangan di Badar tidak akan datang bergolek kalau bukan kerana tarbiyah. Keutuhan daulah selepas kewafatan Nabi s.a.w. tidak akan berlaku kalaulah bukan kerana adanya golongan al awa’iel yang ditarbiyah. Malah kelangsungan daulah dalam kalangan khalifah Islam lemah juga adalah kerana wujudnya RIJAL yang ditarbiyah oleh para ulama", kata saudara Luqman.

Pada pengakhiran slot usrah, saudara Luqman telah memperingatkan tentang peranan umat Islam untuk menegakkan semula zaman kegemilangan Islam dengan memberi beberapa panduan iaitu umat Islam seharusnya cuba untuk mengubah diri sendiri ke arah lebih baik serta berani untuk menyeru orang lain kerana segalanya bermula daripada diri kita sendiri yang bersesuaian dengan firman Allah S.W.T

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah dirinya sendiri (ar-Ra’d:11)”.

Selepas berakhirnya sesi usrah, para hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah. Sesi usrah umum pada kali ini berakhir pada jam 9.30 malam. Para peserta tidak pulang dengan tangan kosong, tetapi memperolehi pelbagai ilmu dan info yang sangat berguna sebagai panduan hidup di arus yang serba moden ini.

0 komen:

Catat Ulasan