Kenali Biro Tarbiyah dan Dakwah


Islam adalah satu agama yang lengkap dan sempurna. Ia lengkap dan sempurna kerana ia datang dari sisi Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa yang telah menciptakan alam ini secara keseluruhan. Bumi, planet-planet, bintang, gunung-ganang, lautan samudera, flora dan fauna kesemuanya. Subhanallah, Maha Suci Allah.

Islam yang diturunkan Allah SWT untuk umat manusia juga bukanlah sekadar agama biasa. Maksudnya, ia bukan seperti agama-agama lain yang wujud seperti Kristian, Buddha, Hindu, Taoisme, Sikh dan lain-lain. Islam tidak duduk sama taraf dengan fahaman dan isme agama-agama ini. Islam dijadikan Allah untuk menjadi 'superior' ke atas agama-agama yang lain. Islam mesti 'superior' kerana peranannya ialah untuk menyelamatkan umat manusia daripada kesesatan.

"DIA-lah Allah SWT yang telah mengutuskan Rasul-Nya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya." (As-Soff:9)
Islam tidak lain adalah satu cara hidup yang mengatur segala ruang inci kehidupan manusia. Allah SWT tidak menciptakan manusia secara kebetulan atau begitu sahaja. Maha Suci Allah daripada perkara itu. Sebaliknya, Allah SWT menciptakan manusia ada tujuan dan peranan yang perlu dialaksanakan. Maka dengan itu, umat Islam ialah umat yang memahami tujuan penciptaannya di dunia ini, tahu tugasan asasinya iaitu untuk menjadikan Allah s.w.t sebagai Tuhan yang disembah dan apa sahaja yang diperintahkan-Nya dilaksanakan, dan apa yang dicegah oleh-Nya ditinggalkan.

Proses untuk melahirkan manusia yang sebegini itulah yang dinamakan sebagai 'tarbiyah'. Dalam memastikan umat manusia tahu dan faham tujuan dia diciptakan, Allah SWT telah mengutuskan para Rasul pada setiap zaman yang wujudnya umat manusia, dari zaman Nabi Adam AS sehinggalah Rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW. Tujuan pengutusan mereka adalah sama, iaitu sebagai pemberi peringatan dan mengajak manusia mentauhidkan Allah SWT.

"DIA-lah Allah SWT yang telah mengutuskan kepada orang-orang (Arab) seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Al-Jumu'ah:2)

Memahami akan peranan yang cukup besar ini, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam menekuni usaha 'tarbiyah'. Keutamaan terhadap 'tarbiyah' dalam PEMBINA adalah ibarat rukun utama kewujudan PEMBINA. Tanpa 'tarbiyah', maka tiada ertilah PEMBINA.

Dengan itu, saya menyeru agar setiap individu menyedari kepentingan untuk melibatkan diri dalam arena perjuangan ini serta berada dalam posisi membersihkan diri dari kejahilan dan kemaksiatan. Sertailah program-program PEMBINA seperti Usrah, Kuliah Fiqh, Qiamullail (Mabit), Iftar dan lain-lain. Jadikanlah Islam sebagai perjuangan utama dalam hidup ini kerana hidup ini bukan untuk hidup, tetapi hidup di dunia ini adalah untuk mati.

Wallahu'alam.

0 komen:

Catat Ulasan