Mari Berhibur Cara Islam


Tatkala seluruh dunia tertumpu kepada kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, kita dikejutkan lagi dengan berita enam orang maut termasuk tiga orang gadis. Mereka disyaki mengambil dadah berlebihan hingga mengalami kesesakan nafas ketika menghadiri sebuah konsert ‘Future Music Festival Asia’ di Stadium Bukit Jalil. Kejadian ini sesungguhnya memberi tamparan hebat dan menguji keimanan warga Malaysia.

Remaja

Mengkaji semula naluri remaja hakikatnya tidak dapat dipisahkan dengan hiburan kerana ia menjadi tempat mereka meluahkan perasaan dan mendapatkan ketenangan. Hal ini dibuktikan apabila pelajar kebanyakannya memasang earphone ketika menyiapkan tugasan.

Mengikut biologinya apabila seseorang itu mendengar muzik kegemaran, sejenis hormon dikenali sebagai dopamin akan dirembeskan. Bahan kimia yang terkandung di dalam dopamin ini akan menyebabkan ia berasa seronok dan bebas. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan seseorang itu mampu terleka dengan alunan irama dan lagu sesebuah muzik apabila terlalu menghayati dengan penuh mendalam.

Bahana hedonisme

Perasaan inginkan kebebasan melampau menjurus kepada falsafah hedonisme iaitu beranggapan bahawa kesenangan atau kenikmatan adalah merupakan tujuan akhir hidup. Budaya hedonisme ini mementingkan kebebasan fikiran sedangkan akidah Islam meletakkan Al-Quran dan hadis sebagai paksi pemikiran.

Keseronokan diri yang didewa-dewakan ini seperti berhibur secara melampau, memiliki barangan yang berjenama, minum arak, berjudi, dan sebagainya itu sememangnya mempesonakan dan menggiurkan golongan remaja. Hedonisme berpotensi membuat manusia leka dan lalai daripada melaksanakan kewajipan hakikinya sebagai hamba Allah dan sebagai anggota keluarga ataupun anggota masyarakat.

Jika budaya ini tidak dibendung, ia akan menyebabkan mereka menjadi lemah dan terjajah. Sejarah keruntuhan kerajaan Abbasiah, kerajaan Uthmaniah, kesultanan Melaka dan lain-lain lagi telah membuktikan di mana pemerintah dan rakyat lena dibuai kemakmuran negara sehingga tidak sedar dengan perancangan ancaman musuh.

Berhibur tiada salahnya, berhiburlah cara Islam

Sebenarnya, Islam tidak melarang menikmati hiburan selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat serta memenuhi kriteria sebagai hiburan yang mendorong kepada kebaikan. Konsep hiburan dalam Islam bertepatan dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w kepada Abdullah bin Al-As bermaksud,

‘Wahai Abdullah bin Amar  “Sesungguhnya ke atas kamu hak kepada Allah s.w.t dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu dan hak untuk keluarga kamu. Maka berikan kepada yang miliki hak tersebut”. 

Umat Islam mempunyai panduan asas untuk berhibur iaitu:

1. Niat yang betul
2. Tiada unsur-unsur bercanggah dengan akidah dan syariat
3. Tidak meninggalkan dan melalaikan kewajipan yang di fardhukan
4. Menjaga adab pergaulan
5. Tiada unsur perjudian
6. Tiada berlaku pembaziran

Tanpa menyalahkan sesiapa, kita seharusnya  memikirkan secara mendalam untuk membina kembali generasi harapan. Kita harus sedar bahawa masalah sosial remaja berkait rapat dengan pembentukan budaya yang tentunya bermula dari rumah.

Tanggungjawab bersama

Para ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam memastikan anak-anak tidak dipengaruhi dengan budaya yang tidak sihat seperti budaya bersuka-sukaan dan bermewah-mewahan secara berlebih-lebihan yang mengundang banyak risiko kepada anak-anak.

Barangkali ada sesetengah ibu bapa berkemampuan untuk memberikan apa saja kepada anak-anak, namun perbuatan menyogokkan mereka dengan wang ringgit serta pelbagai kemewahan bukanlah cara yang terbaik untuk mendidik dan menyayangi mereka kerana ia boleh menjadikan mereka materialistik dan lalai. Sebaiknya, anak-anak ataupun golongan remaja perlu di hidupkan dengan iman dan takwa melalui didikan yang sempurna serta pemberian kasih sayang yang secukupnya.

Selain tanggungjawab ibu bapa, peranan rakan-rakan juga amat perlu di titikberatkan. Seorang sahabat memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan, maka seharusnya remaja perlu cerdik dalam memilih sahabat. Jangan nanti menyesal pada hari kiamat  disebabkan pujuk rayu dan pengaruh sahabat yang dipilih sehingga tergelincir daripada jalan yang hak dan terjeremus dalam kemaksiatan.

Di samping itu, pertubuhan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan perlu menjalankan tugas bagi membentuk generasi remaja yang berlandaskan ajaran agama, budaya serta jati diri yang kukuh. Antaranya adalah dengan mengadakan liqo' (pertemuan) al-Quran dan usrah.

Pengetahuan serta pemahaman terhadap nilai budaya dan moral serta perbincangan masalah sosial daripada kaca mata saintifik, tingkah laku dan sosial perlu diterapkan kepada remaja secara berterusan.


NurBaiti Hamzah
Biro Tarbiyah Dan Dakwah 
Persatuan Belia Islam Nasional
Universiti Putra Malaysia

0 komen:

Catat Ulasan