Usrah Umum: Cabaran Globalisasi


19 Mac, Surau Serumpun, UPM- "Globalisasi merupakan satu senjata dalam projek pengAmerikaan untuk memasarkan produk humanisme. Globalisasi juga telah menjadikan dunia tanpa sempadan seterusnya menjadikan budaya barat semakin dominan," kata saudara Mohamad Asyraf b. Mohamad Farique sebagai naqib am dalam usrah umum anjuran PEMBINA UPM.

Kesan globalisasi ini akan turut mengancam pemuda-pemudi Islam kerana mereka akan mengalami krisis identiti yang sangat besar sehingga menyebabkan kehidupan para pemuda ini bercelaru kerana terpengaruh dengan budaya Barat. Di samping itu, serangan ideologi juga semakin meluas tersebar seperti syiah, liberalisme, pluralisme, komunisme, dan sosialisme.

Cabaran globalisasi juga dapat dilihat dari segi fesyen dan pakaian. Gaya pemakaian zaman kini lebih kepada untuk menunjukkan kecantikan semata-mata. Dalam hal ini, penggayaan pakaian lebih kepada hawa nafsu tanpa memikirkan aurat yang sepatutnya dijaga dan dipelihara.

Hiburan dan muzik juga merupakan satu 'trend' global yang merupakan cabaran globalisasi. Hal ini kerana, filem pada masa kini mampu mencerminkan gaya hidup yang sebenar sehingga mampu membentuk pemikiran masyarakat dan jiwa turut diglobalisasikan.

Saudara Asyraf turut berkongsi kepada mahasiawa UPM dalam menangani masalah ini. Solusi yang pertama adalah pemuda-pemudi harus meletakkan diri mereka di jalan tarbiyah. Hal ini kerana, tarbiyah adalah asas pembentukan tamadun yang kuat dan hebat seperti zaman Rasulullah S.A.W suatu ketika dahulu.

Selain itu, mahasiwa mahasiwi juga harus rajin beraktivisme, sebagai permulaan mencari terlebih dahulu satu landasan untuk bergerak menegakkan agama Islam  dengan cara berkumpulan atau berjemaah.

Mahasiswa juga meningkatkan tsaqafah Islam  serta mendalami isu-isu yang menyerang Islam supaya kita semua tidak lalai dengan musuh-musuh yang ingin menghancurkan Islam.

Di penghujung ceramah, saudara Asyraf menyeru kepada mahasiswa supaya bangkit dan sedarkan diri daripada lamunan seterusnya kuatkan jiwa dalam menegakkan semula syariat Islam. Mahasiswa juga hendaklah menjadi tonggak kegemilangan Islam dan setiap masa yang dilalui, mahasiswa harus memikirkan nasib ummah pada masa kini.

Usrah Umum adalah satu siri ceramah yang dikendalikan oleh Biro Aktvisme Mahasiswa PEMBINA UPM. Matlamat usrah umum ini adalah untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada para mahasiswa UPM tentang isu-isu semasa dan bagaimana mereka sebagai mahasiswa dapat bertindak mengikut acuan Islam yang benar.

Wartawan:
Noor Khairina, 
Biro Media dan Promosi,
PEMBINA UPM.

0 komen:

Catat Ulasan